Hiking pakai jubah. Mungkin nampak pelik bila seseorang itu tidak mengenakan pakaian sukan ketika bersenam, apatah lagi yang suka aktiviti hiking dengan keadaan tempat yang tidak kurang curam dan sebagainya.
Pernah juga sebelum ini viral dan mempertikaikan tentang seorang nenek dan juga penceramah bebas yang berhiking dengan berpakaian jubah. Walaupun berjubah tapi tetap mengenakan seluar longgar di dalamnya.
Hakikatnya, tidak perlu mempersoalkan tentang semua ini, yang penting keselesaan oleh orang yang memakai dan cara seseorang itu memanfaatkan aktiviti riadah ini.
Antara perkongsian dari Dzuriasikim Dzulkefli yang melalui pengalaman menarik bersama Ustazah Asma’ Harun, berhiking sambil berkongsi ilmu. Menariknya, Ustazah Asma’ Harun nampak comel dengan pemakaian jubahnya (bahagian dalam memakai seluar yang longgar untuk keselesaan) dan berkasut sukan.
Hiking Pakai Jubah, Ustazah Asma’ Beriadah Sambil Berkongsi Ilmu
Saya kongsikan sebahagian dari gambar-gambar indah untuk dijadikan kenangan manis yang sempat dirakamkan di sepanjang aktiviti hiking bersama Ustazah dan Team serta beberapa sahabat saya semalam.
Sebenarnya, ada terlalu banyak gambar dan video yang diambil. Bermula dari susur naik sehinggalah ke waktu pulang, perbualan kami penuh dengan pengisian buat kami sendiri dan rakan-rakan. Saling bertukar ilmu. Saling berbicara. Ketawa bersama. Di samping beriadah.
Ads
Dengan izin Allah, liputan (coverage) di sepanjang perjalanan adalah sangat baik. Jadi team media Ustazah Asma dapat buat siaran live. Dan pendakian ini telah “diikuti” bersama oleh beberapa ribu orang yang menonton. Ada penonton yang telah menonton dari awal sehingga perjalanan kami selesai. MasyaAllah. Kata mereka…. Seolah turut mendaki bersama.
Berada di dalam hutan kecil di tengah kota begini, adalah cukup mendamaikan. Kita akan berjumpa dengan banyak pokok-pokok besar yang terjaga dengan baik di hutan. Tanpa perlu disiram setiap hari, namun ia semua tetap subur. Tanpa perlu dibaja, namun tetap segar. Begitulah kuasa Allah.
(Sedangkan pokok-pokok yang kita tanam di rumah walau dibaja dan disiram pun ada yang tidak bertahan).
Uji Stamina Dan Kecergasan
Masuk ke hutan begini bukan hanya untuk menguji stamina juga kecergasan diri, tetapi untuk menikmati suasana alam semulajadi yang indah. Kemudian menikmati matahari terbit di sebalik pohon-pohon sehingga menghasilkan cahaya yang begitu cantik untuk ditatapi. Kita dapat menghirup udara yang lebih segar. Jauh dari pencemaran bunyi. Yang ada hanyalah bunyi air mengalir, deruan angin dan sesekali hidupan hutan seperti kera melintas menjadi penghibur kami.
Ads
Pagi semalam kami telah bersetuju untuk memilih Bukit Kiara sebagai destinasi pertama pendakian kami. Ianya tidak terlalu sukar untuk didaki. Namun laluan sekitar 8km itu sudah cukup untuk mengeluarkan keringat kami.
Pada permulaan rakaman video yang saya kongsikan, saya telah merahsiakan lokasi kami bagi tujuan keselamatan. Apabila sudah tiba di separuh jalan, barulah kami umumkan. (Saya lakukan begini setiap kali mendaki termasuk ketika bersama sahabat lain).
Untuk waktu terdekat ini, Ustazah Asma’ Harun ada membuka bagi wanita, khususnya suri rumah untuk turut sama mengikuti program hiking bersama kami.
Kami sangat menggalakkan para wanita untuk meningkatkan penjagaan kesihatan diri dengan lebih baik dan berterusan. Program hiking begini juga sangat baik bagi “healing” dan menenangkan diri dari kesibukan urusan harian.
Terima kasih Ustazah dan Team untuk pengalaman yang manis ini. Semoga kita dapat beraktiviti bersama lagi nanti.
Ads
Terima kasih kepada sahabat-sahabat hikers saya, Faz, Kapten Elman, TJ, Kak Rita dan Datin Eliza yang menemankan kami. Juga bagi foto-foto yang cantik ini.
Mingguan Wanita : Geng-geng hiking sila munculkan diri. Bagi yang pernah hiking mesti tahu keseronokannya.
Haram sebar video & gambar aib mangsa kemalangan, menyakiti hati keluarga waris. Hari ini media sosial begitu terbuka di mana orang ramai sering berkongsi apa saja yang berlaku.
Tragedi pesawat terhempas di Elmina semalam sememangnya menggemparkan di mana 10 mangsa meninggal dunia. Namun penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan melibatkan identiti penghantar makanan food panda, yang pada awalnya identitinya tidak dikenal pasti yang meninggal akibat terbakar sememangnya amat menyedihkan. Arwah dikenali sebagai Apit atau nama sebenarnya Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32 tahun.
Di sebalik penyebaran video dan gambar mangsa kemalangan, ada sesuatu yang harus kita pelajari di mana HARAM HUKUMNYA SEBARKAN GAMBAR ATAU VIDEO AIB MANGSA KEMALANGAN. Bukan saja mendedahkan aibnya tapi juga menyakiti hati keluarga waris.
Penyebaran gambar rider yang terlibat nahas pesawat ini sememangnya mendatangkan kesedihan namun kita dilarang menyebarkan sebarang gambar yang memberikan aib kepada arwah dan kesedihan kepada keluargaBeginilah situasi di lokasi kejadian yang mengorbankan 10 orang dalam nahas pesawat terhempas sebelum meletupPihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi kejadian
Menyakiti Hati Keluarga Waris – Mufti Wilayah
Assalamualaikum W.B.T. Sesetengah masyarakat kita yang gemar mengambil dan menyebarkan gambar mangsa kemalangan atau kes tertentu di media sosial, apakah hukum perbuatan ini dari perspektif agama?
Ringkasan Jawapan:
Perbuatan menyebarkan gambar mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris. Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan ia boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam. Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat.
Huraian Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه
Maksudnya:“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.
Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45)
Berdasarkan hadis di atas, jelaslah bahawa seorang muslim hendaklah menyukai segala kebaikan yang diperoleh oleh saudara muslim yang lain sebagaimana dia menyukai kebaikan itu untuk dirinya, dan membenci segala keburukan yang menimpa saudara muslim yang lain sebagaimana dia membenci keburukan itu menimpa dirinya.
Oleh itu hendaklah seseorang muslim berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara semuslim-nya yang lain, menutup segala keaibannya serta menjaga hak-hak ke atas mereka (sesama muslim). (Rujuk: ‘Umdah al-Qori Syarh Sahih al-Bukhari, 1/141).
Justeru, pada asasnya perbuatan menyebarkan gambar mayat si mati adalah haram dan bercanggah dengan moral dan akhlak Islam kerana hal tersebut boleh membuka aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Islam sangat menitikberatkan kewajipan seseorang Islam terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W:
Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”.
Riwayat Muslim (2564)
Berdasarkan hadis di atas, ia menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain maka haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli, dan hendaklah menjaga kehormatan dirinya iaitu tidak boleh menghina sifatnya atau rupa paras atau keturunannya kerana hal itu boleh menjatuhkan kehormatannya dan hendaklah memelihara kemuliaan dirinya. (Rujuk: Al-Adab al-Nabawi, 1/137).
Firman Allah S.W.T:
….ولقد كرمنا بني آدم
Maksudnya:“Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak Adam…..”.
( Surah al-Isra’ : 70)
Ayat dia atas menunjukkan Allah S.W.T. memuliakan manusia samada semasa hidup atau matinya. Dan tidak syak lagi apa yang diharamkan oleh seseorang muslim ke atas saudaranya ketika hidup sama seperti pengharamannya setelah meninggal dunia. Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:
إن كسر عظم المؤمن ميتا مثل كسره حيا
Berkata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani “dapat diambil iktibar daripada hadis ini bahawasanya pengharaman seseorang muslim ke atas saudaranya ketika meninggal dunia sama seperti halnya ketika hidup”. (Rujuk: Fath al-Bari, 9/142).
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas wajib ke atas kita untuk beradab dan memuliakan saudara muslim yang lain samada ketika hidup ataupun setelah meninggal dunia. Segala perkara yang boleh membawa kepada pencerobohan nyawa, harta dan kehormatan diri seseorang muslim adalah haram dan dilarang di sisi agama kita yang mulia.
Selain itu, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang kurang elok atau tidak menutup aurat adalah suatu bentuk pendedahan aib dan ia merupakan suatu perkara yang ditegah dalam agama. Malah tiada khilaf dalam kalangan para ulama’ bahawa wajib menutup aurat jenazah. (Rujuk: Hasyiyah al-Dasuqi, 1/408). Sehinggakan para ulama menitikberatkan hendaklah dijaga aurat dan aib si mati sekalipun ketika urusan memandikan jenazah.
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan disunatkan agar ditutup mayat (ketika memandikan jenazah) daripada orang lain, kerana berkemungkinan terdapat pada badannya itu suatu aib yang beliau menutupinya dahulu (ketika dia hidup), dan boleh jadi terdapat badannya itu suatu tompokan darah, lalu disangka oleh orang yang melihatnya itu sebagai suatu hukuman baginya (mayat itu).” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/154).
Sabda Nabi S.A.W yang mengisyaratkan hal ini:
لا تبرز فخذك ولا تنظر إلى فخذ حي ولا ميت
Maksudnya: “Jangan membuka paha kamu dan janganlah melihat kepada paha orang yang hidup atau meninggal dunia”.
Riwayat Abu Daud (3140), Ibnu Majah (1460)
Apatah lagi sekiranya keadaan mayat tersebut mengaibkan seperti tertanggal anggota dari badan, terburai jasad dan sebagainya maka itu boleh membuka aib si mayat tersebut. Jelaslah bahawa perbuatan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan dilarang tegas oleh agama.
Oleh itu, berdasarkan dalil-dalil di atas jelaslah bahawa wajib ke atas kita menutup aurat dan aib seseorang sekalipun orang tersebut telah meninggal dunia. Malah wajib hukumnya bagi seorang muslim menutup apa jua yang tidak disukai oleh seseorang ketika hidupnya. Barangsiapa yang melakukan sebarang perbuatan yang mendedahkan aurat dan aib si mati maka dia telah tergolong dalam golongan yang mencerobohi maruah saudara muslimnya yang lain dan ianya termasuk dalam perkara yang dibenci oleh Allah dan rasulnya.
Kesimpulan
Tunstasnya, perbuatan menyebarkan mayat orang yang meninggal dunia adalah haram kerana ia boleh mendedahkan aib si mati dan menyakiti hati keluarga waris.
Tambahan pula, sekiranya keadaan mayat yang agak tidak sempurna seperti terdedah aurat, tertanggal anggota tubuh dari badan maka haram menyebarkan gambar tersebut kerana Islam melarang umatnya mendedahkan aurat dan hal tersebut boleh menjatuhkan kehormatan si mati.
Selain itu ia boleh mendatangkan trauma kepada keluarga si mati dan boleh mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini. Justeru, perbuatan menyebarkan gambar mayat yang meninggal dunia perlu dihentikan kerana ia bercanggah dengan etika, moral dan akhlak Islam.
Di samping itu, individu yang melakukan perbuatan ini juga harus diambil tindakan tegas agar fenomena ini tidak berleluasa dalam masyarakat. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.
Kadang-kadang dalam berkawan kita terleka, tanpa sedar kita berjenaka atau bergurau berlebih-lebih hingga mencalarkan emosi rakan-rakan.
Kadang kita anggap kata-kata kita hanyalah gurauan, namun tanpa sedar kata-kata kita beri kesan pada emosi orang lain. Oleh itu berhati-hatilah dalam berkata-kata.
Ikuti perkongsian Ikram Rosdi ini dan fahami sebaiknya:
Jangan bermain dengan emosi seseorang…
Terkesima dengan kejadian kawan yang sanggup bunuh kawan sendiri. Sebolehnya aku tidak ingin mengulas.
Aku tak tahu tentang kejadian sebenar-benarnya yang berlaku tetapi untuk renungan bersama, izinkan aku menulis realiti yang berlaku pada hari ini.
Kadang-kadang kita sangka apa yang kita ucap terhadap orang lain hanya untuk gurauan semata-mata. Sekadar ingin memeriahkan suasana.
Namun tanpa kita sedar perkataan tersebut memberi kesan terhadap emosi mereka sehingga mendatangkan dendam kesumat.
Ada antara mereka hanya memendam perasaan. Ada sahaja kes yang boleh menyebabkan pergaduhan sehingga mendatangkan kecederaan.
Tanpa Sedar Kata Kita Beri Kesan Pada Orang
Ada juga yang sanggup tikam dari belakang dek kerana mahu membalas dendam.
Malah tidak mustahil ke tahap mahu membunuh kerana banyak faktor lain yang boleh menyumbang kepada sesuatu tindakan diluar jangkauan akal dan kewarasan.
Pepatah ada mengatakan, kata-kata yang tidak ditapis lebih tajam dari sebilah mata pisau. Jadi, belajarlah untuk berlapik sewaktu bertutur. Kita mungkin tidak tahu apa yang mereka sedang alami ketika itu.
Semoga kita dijauhkan dari mudarat yang melampau.
Nota: Aku sendiri pernah melalui fasa ketidakmatangan. Maafkan aku teman-teman andai pernah mengguris hati mu
MW: Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmahnya, oleh itu berhati-hatilah dalam berkata-kata. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perahu buruk padahnya.
Selepas 11 hari melahirkan bayi secara pembedahan, isteri ini Faiqah masih ditidurkan. Bayi lelaki pramatangnya yang dikeluarkan pada usia 31 minggu itu juga masih berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bawah pemantauan doktor.
Sebagaimana ibunya yang ketika ini sedang bertarung nyaw di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana ada jangkitan pada paru-paru dan kadar jangkitan dalam darah. Baginya juga mengalami keadaan yang sama, paru-parunya ada jangkitan.
“Hanya Allah yang Maha Mengetahui perasaan saya ketika ini sayang. Allahurobbi.. tiada kata-kata yang dapat diungkap. Hanya doa dan air mata yang sentiasa menemani.” Kongsi suaminya, Mohd Zulkifli Mohdisa lewat facebook miliknya.
Ketika ini, dia di rumah menjaga anak perempuan sulung mereka, Siti Aisyah. Mengharap dengan doa agar isteri dan ibu mereka yang masih ditidurkan itu kembali sedar.
Sebelumnya, Faiqah dijangkiti Covid-19 dan keadaannya yang tidak baik itu membuatkan dia terpaksa ditidurkan.
Isteri Masih Ditidurkan, Bergantung Alat Bantuan Pernafasan
Pada 5 Ogos lalu, kadar oksigen Faiqah turun mendadak sehingga 51 peratus. Dan memerlukan alat bantuan pernafasan seratus peratus.
Beberapa hari lalu, Mohd Zulkifli memohon agar mendoakan isteri dan anaknya. “Keadaan terkini isteri saya masih lagi ditidurkan. Masih perlukan alat bantuan pernafasan. Alhamdulillah walaupun sedikit tapi beliau menunjukkan perubahan positif.
Dan saya masih mengharapkan keajaiban dan belas ihsan dari Allah SWT untuk isteri dan anak saya pulih. Saya masih menanti perkembangan tentang anak saya.
Setakat hari ini masih tiada lagi perkembangan dari pihak hospital.
Maafkan Isteri Saya, Doakannya Dan Bayi
Maafkanlah isteri saya jika beliau ada mengguris hari sesiapa. Doa kalian masih saya harapkan. Diharap kalian semua juga sentiasa di dalam kesihatan yang baik dan di dalam lindunganNya. Stay safe, jaga diri.”
Kisah Faiqah dan bayi ini sama jalan ceritanya dengan ibu-ibu hamil yang terkesan kesihatannya selepas dijangkiti Covid-19. Buat keluarga yang sedang berdepan ujian hebat ini, semoga kalian diberi kekuatan olehNya untuk terus tabah.
Marilah sama-sama menjaga dan mengikuti pematuhan SOP. Dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar virus maut ini dapat dilenyapkan dari bumi Malaysia tercinta ini.