Rutin bersedekah wanita ini, Aziana AR dilakukan seawal pagi hampir setiap hari. Sebagai satu galakan kepada diri sendiri agar konsisten dalam menghulurkan sedekah.
Hakikatnya, rutin bersedekah itu boleh saja dilakukan bila-bila masa. Tanpa perlu keluar rumah pun sesiapa saja boleh bersedekah. Peluang yang terbuka luas sementara hayat masih ada ini gunakanlah dengan sebaiknya. Dan ini pesanan ibu ini.
BAGAIMANA INGIN KONSISTEN BERSEDEKAH DENGAN CARA MUDAH?
Semalam saya ada kongsikan tentang satu hadis Rasulullah SAW mengenai kelebihan bersedakah yang bermaksud …
“Tidak ada satu Subuh pun yang dialami hamba-hamba Allah kecuali turun kepada mereka dua malaikat. Salah satu di antara keduanya berdoa:
“Ya Allah, berilah ganti bagi orang yang berinfaq”,
sedangkan yang satu lagi berdoa,
“Ya Allah, berilah kerusakan bagi orang yang menahan (hartanya)”
(HR Bukhari 5/270)
Ternyata satu kelebihan yang luar biasa bila Allah mengizinkan ‘malaikat’ mendoakan manusia yang melakukan sedekah/infaq.
SubhanAllah! Allahuakbar!
Peluang yang terbuka ini usah pernah kita persia-siakan teman.
Kalau pernah kita lakukan dosa sucikanlah rezeki kita.
Bersihkan Pendapatan..
Jika pernah kita terleka, dengan melakukan perkara yang tidak sepatutnya ketika waktu bekerja. Bersihkanlah pendapatan kita.
Jika kita dalam kesempitan, banyakkan memberi untuk menjemput rezeki dan kejar ganjaran ini.
Yakin akan janji Tuhan, bahawa tidak akan miskin orang yang bersedekah malah rezekinya akan bertambah.
“Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.”
(HR Muslim)
Lantas harus bagaimana?
Perlukah keluar rumah untuk bersedekah?
Perlukah ke pusat NGO untuk berinfaq?
Perlukah ke rumah anak-anak yatim mahu memberi makanan dan segala sedangkan kadangkala tidak punya kudrat dan masa.
Atau mungkin kalau ada masa tetapi sering bertangguh untuk menenunaikannya.
Aduh!
Susahnya!
Tak, insya-Allah tidak sukar andai kita menanam azam dan tekad untuk perbaiki kedudukan kewangan kita.
Rutin Bersedekah Boleh Dilakukan Bila-bila Masa, Ini Panduannya
Hakikatnya bersedekah itu boleh dilakukan pada bila-bila masa dan ketika. Asalkan ikhlas memberi, itulah yang utama.
Tidak akan susah, andai kita mengejar ganjaran yang Allah berikan.
Tidak payah, andai keberkatan rezeki yang kita damba.
Nah!
Nak tahu caranya?
Ada beberapa cara yang saya dapati mudah untuk kita konsisten dalam melakukan sedekah.
Dan di awal pagi itu mungkin lebih indah, kerana di permulaan hari, kita melakukan sesuatu yang berfaedah.
Sedikit sebanyak dapat membantu memberikan aura positif kita sepanjang hari.
Dengan harapan, semoga segala urusan seharian kita berjalan lancar dan diberkati.
Antara cara mudah bersedekah ialah …
1. Ini boleh dikatakan konsisten saya lakukan. Hampir setiap pagi Insya-Allah.Saya pilih beberapa NGO yang saya yakini.
Pergi ke page mereka dan tekan sahaja link yang disediakan.
Biasanya link tersebut akan terus membenarkan kita membuat bayaran melalui sistem atas talian seperti FPX dan sebagainya.
Tetapkan jumlah, buat bayaran. Selesai. Memandangkan ia menjadi rutin setiap awal pagi maka jumlah yang saya lakukan tidak banyak dan mengikut kemampuan saya.
Anggaplah ia seperti duit belanja makan harian kita di pejabat atau belanja sekolah anak.
Selalu jumlah yang saya sedekah adalah antara RM10 ke RM 50.
Sangat mudah teman. Klik, bayar dan selesai. Diselangi niat, hajat serta doa saya ketika itu.
Antara badan yang menjadi pilihan dan perhatian saya ialah
Sabahat Amal Care yang dikendalikan Ustazah Asma Harun dan pasukan
https://www.facebook.com/Sahabat-Amal-Care-102282004814101/
Dan Aman Palestin
https://www.facebook.com/AmanPalestinAP/
Pilih NGO. Buat bayaran. Mudah! Sambil pisat-pisat awal pagi. Transaksi selesai.
2. Selalunya hari gaji, atau hari terima bonus atau sebagainya. Saya utamakan transaksi dalam talian untuk membayar zakat, beri ibu bapa, adik beradik atau saudara mara serta sahabat handai yang memerlukan.
Apa sahaja transaksi termasuklah suprise delivery atau menghantar makanan kepada saudara atau kenalan. Selalu dilakukan di awal penerimaan gaji. Mengharap keberkatan daripada Illahi.
3. Andai susah untuk buat transaksi di awal pagi. Kita cuba teknik ini. Teknik yang saya terbaca di media sosial.
Sediakan tabung untuk kita masukkan sedikit sumbangan. Boleh juga sediakan beberapa tabung untuk memudahkan kita membuat pelbagai kerja kebajikan.
Contoh tabung A masjid, tabung B keluarga, tabung C rumah anak yatim dan sebagainya.
Maka setiap pagi kita masukkan sejumlah wang ke dalam tabung-tabung yang telah kita sediakan. Bersedekahlah mengikut kemampuan jangan sampai menjadi beban. Insya-Allah.
Bila sudah cukup wang tabungannya. Hantar ke tempat-tempat yang memerlukan. Insya-Allah. Semoga beroleh keberkatan.
4. Jangan gusar teman, Islam itu mudah dan indah. Andai 10 sen atau RM1 kita masih tidak mampu bangunlah di awal pagi. Tunaikan tanggungjawab kita kepada Illahi.
Sedekahkan senyuman kita buat suami serta anak-anak yang dikasihi.
Kalau keluar rumah ternampak burung atau kucing berilah sedikit makanan kerana mereka juga hamba Tuhan yang perlu kasih sayang dan perhatian.
Insya-Allah semoga kita sama-sama berusaha mengejar keberkatan Rezeki daripada Illahi, disamping ganjaran pahala yang telah disajikan ini.
Rebutlah teman, rebutlah selagi berkesempatan.
Jangan bertangguh dalam melakukan kebaikan.
Terutama dalam zaman gawat begini bukan sahaja membantu kita beroleh pahala, dalam masa yang sama dapat membantu mereka di luar sana yang mungkin tiada makanan untuk dijamah, tiada pakaian untuk menutup aurat dengan sempurna. Tiada pekerjaan untuk menyambung kehidupan.
Insya-Allah #UrusRezeki, urus peribadi
Baca sini : Bila rasa malas, susah hati, bersedekahlah, itu amalan yang paling senang dan tenang.
Mingguan Wanita : Rutin bersedekah ini boleh dipupuk dalam diri dan jadikan amalan setiap hari.
Sumber/Foto : Aziana AR
#mudahnyamenjemputrezeki
#MudahnyaSedekah
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
Bukan mudah untuk menerima sesuatu ujian yang diberikan olehNya. Lebih-lebih lagi ujian melibatkan orang tersayang, baik anak-anak mahupun suami. Tak tertanggung rasanya, segalanya beban dan jiwa resah di hati.
Hakikatnya, apabila diuji belajarlah untuk redha dan sabar menerima dengan hati terbuka diatas segala yang ditakdirkan, kerana ia adalah salah satu pintu yang boleh memberikan ketenangan hati.
Fahamkan perkongsian penuh bermakna daripada Ustazah Asma’ Harun ini sebagai panduan bila ditimpa ujian;
SENI UJIAN
Kita akan DIUJI dengan apa yang kita SAYANG sehingga terduduk tak berdaya. Lalu kita SEDAR bahawa tiada kebahagiaan melainkan melalui jalan SABAR dan REDHA menerima ketetapan dan keputusan Allah swt.
Selagi TIDAK REDHA nescaya kita akan LELAH berpindah dari satu usaha ke satu usaha. Dari zikir ke zikir. Dari doa ke doa. Dari air penawar ke air penawar. Dari umrah ke umrah. Dari solat ke solat. Dari sedekah ke sedekah.
REDHA adalah langkah pertama menuju jalan penyelesaian. Anak kunci kepada pintu KETENANGAN.
Buatlah pengakuan yang tulus dihadapan Allah. Ikhlas daripada hati yang dalam,
“Ya Allah… AKU REDHA bahawa isteri/suami/anak/pekerjaan/bos/perniagaan dan lain-lain sebagai satu UJIAN dan RAHMAT daripadaMu untuk aku mendapat REDHAMU dan SYURGAMU, Aku Redha ya ALLAH. Aku Redha ya Allah. Aku hambaMu yang sangat lemah, tidak ada daya dan upaya melainkan dengan pertolonganMu. Bantulah aku untuk melalui dan menghadapi Ujian ini. Tunjukilah aku jalan-jalan kebenaranMu, bantulah aku untuk menjadi hambaMu yang sentiasa yakin dan bersangka baik denganMU”.
Bila Allah memberi kita ujian, Allah juga sedang memerhatikan tindakbalas kita. Berhentilah memaksa Allah untuk mengikuti kehendak dan impian kita, kita akan terus kecewa.
Hayati Hadis Nabi dibawah :
“Apabila Allah cinta kepada suatu kaum, mereka akan DIUJI. Barang sesiapa REDHA menerima UJIAN itu, Allah REDHA pula kepadanya. Dan barang siapa yang MARAH, maka Allah murka (MARAH) kepadanya.”
(Hadith riwayat at Tarmizi)
Apakah tanda kita dah REDHA dengan ujian tersebut?
Apabila kita mula berhenti mengeluh, menangis, membentak, menyendiri dan kemurungan dengan ujian tersebut.
Lalu kita bangkit kerana Allah, dan menjadi hamba yang lebih dekat dengan Allah, mentaati perintah dan meninggalkan laranganNya. Kita berusaha menunaikan solat dengan sempurna, menyarungkan pakaian yang menutup aurat dan menukarkan majlis maksiat kepada majlis ibadat.
Selepas itu, yakinlah satu persatu UJIAN akan diberi JALAN KELUAR, dan mendapati bahawa RAHMAT ALLAH lebih luas daripada besarnya UJIAN tersebut.
UJIAN yang mendekatkan kita dengan Allah adalah satu RAHMAT.
UJIAN yang menjauhkan kita dengan Allah adalah MUSIBAH.
Selalu saya ditanya,
“Apa lagi yang patut saya buat ustazah? Semua usaha dah buat, pelbagai doa dan zikir diamalkan. Berapa kali pergi umrah berdoa depan Kaabah. Saya rasa dah penat”
Puan dah redha dengan Allah?
“Iya.. Saya redha. Memang saya redha”
Mudahnya mengucap redha. Iya bukan hanya dengan lidah, iya menuntut pembuktian.
Peringatan dan nasihat untuk diri sendiri. Sentiasa berjuang untuk redha dan diredhai.
Silakan share. Moga bermanfaat.
Asma binti Harun
Baca Lagi disini: Hati Sedih, Tak Tenang Baca Surah Ghafir Ayat 44 Berulang Kali
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Bila ditimpa ujian, belajarlah untuk menerima dengan sabar dan redha kerana ia kunci kepada segala ketenangan hati.Yakinlah satu persatu UJIAN akan diberi JALAN KELUAR, dan mendapati bahawa RAHMAT ALLAH lebih luas daripada besarnya UJIAN tersebut.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Tanggal 12 Rabiul Awal merupakan hari kebesaran bagi umat Islam, iaitu kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sebagai umat kepada pemimpin agung ini,kita sangatlah digalakkan untuk berselawat kepada baginda Nabi kerana ganjarannya amatlah besar dan untuk memperoleh syafaat daripadanya. Ia juga merupakan salah satu tanda kecintaan kita kepada Nabi SAW.
Penyanyi kesayangan negara, Dato Sri’ Siti Nurhaliza ada kongsikan antara kelebihan selawat di media sosialnya.
Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, maka Allah berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali – Hadis riwayat Muslim (1530), an-Nasa’i (1295) dan at-Tirmizi (485)
Kelebihan Berselawat
Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan merupakan salah satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW sekaligus menjadi faktor utama untuk mencapai syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak.
Terdapat beberapa kelebihan selawat, antaranya:
1)Selawat merupakan salah satu amalan paling utama.
2)Boleh menghapuskan kesalahan dan dosa.
3)Jaminan untuk mendapat rahmat Allah dunia dan Akhirat serta syafaat Nabi SAW.
4)Menjadi benteng sifat munafik dan kafir.
5)Selamat daripada huru-hara hari Kiamat.
6)Menjadi penyebab hajat, doa dan amalan baik diterima Allah.
7)Tiket untuk mudah memasuki Syurga dan terlepas daripada perhisaban yang rumit.
8)Menggantikan sedekah bagi mereka yang tidak mampu bersedekah.
9)Dikasihi oleh Nabi SAW dan dapat turut serta mendampingi Baginda di Syurga kelak.
10)Kehidupan di dunia penuh ketenangan dan bahagia manakala di Akhirat kelak terlepas daripada segala yang mendukacitakan.
Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sama-samalah kita memperbanyakkan selawat sebagai salah satu tanda kecintaan kepada baginda dan untuk memperolehi ganjaran syafaatnya d akhirat kelak.
https://www.instagram.com/p/CG5-CqUHxNa/
Sumber: CTDK
Salah ke wanita solat tarawih di rumah? Kalau anak-anak pun masih kecil, tak kan nak bawa angkut sekali ke masjid.
Nak-nak pula kalau anak jenis meragam, baru nak solat dia dah menangis. Maka meriahlah masjid dengan suara anak kecil.
Haa… isu ini bukan baru tetapi ramai mak-mak cuba sehabis boleh nak kaut pahal di bulan Ramadan, curi masa berjemaah dan dengar tazkirah. Namun tak mudah bila ada anak-anak yang masih kecil.
Usah risau, sebab jawapan terbaik pasal wanita solat tarawih di mana lagi baik, ada dalam perkongsian Ustaz Farid Rashidi ini. Jemput hadam.
Hukum Wanita Solat Tarawih Di Rumah
Sehari dua ini, berlegar beberapa status tentang hukum wanita bersolat tarawih di Masjid.
Kebetulan ada seseorang menghantar mesej bertanyakan soalan. Bunyinya begini.
“Assalamualaikum ustaz, nak tanya kaum hawa kalau pergi tarawih dekat surau tak elok ke? Saya pergi solat dekat surau sebab nak berjemaah. Kalau buat kat rumah sorang-sorang feeling solat tak terasa sangat. Salah ke apa yang saya buat ustaz?”
Setelah free sikit masa, saya cubalah berikan jawapannya berdasarkan apa yang hadis Rasulullah SAW sebutkan dan dinaqalkan dari pandangan ulama’.
Apa Kata Rasulullah SAW dan Para Ulama’?
Lebih afdhal wanita bersolat di rumah. Namun jika aman, bebas dari fitnah. Tak salah. Tak mengapa boleh ke masjid.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW.
Dari Ummu Humaid, isteri Abu Humaid As-Saa’idiy. Ummu Humaid pernah mendatangi Nabi SAW dan berkata bahwa dia sangat senang sekali bila dapat solat bersama beliau. Kemudian Nabi SAW bersabda:
قَدْ عَلِمْتُ أَنَّكِ تُحِبِّينَ الصَّلاَةَ … وَصَلاَتُكِ فِى دَارِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِى مَسْجِدِ قَوْمِكِ وَصَلاَتُكِ فِى مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلاَتِكِ فِى مَسْجِدِى
”Aku telah mengetahui bahawa engkau senang sekali jika dapat solat bersamaku. Solatmu di rumahmu lebih baik dari solatmu di masjid kaummu. Dan solatmu di masjid kaummu lebih baik daripada solatmu di masjidku.”
[Hadis Riwayat Ahmad, no. 27135]
Nak Ke Masjid Ada Syaratnya
Andai wanita tadi rasa macam malas bila solat dekat rumah sendirian, nak ada rasa semangat berkobar-kobar, maka bolehlah dia bersolat di masjid atau surau. Dengan beberapa syarat:
1. Bebas dari fitnah. Contoh macam anak dara comel pergi bertarawih, tiba-tiba jadi bualan jejaka-jejaka masjid. Asal tak pernah jejak pun ke masjid, tapi bila si gadis tadi ada terus bertukar rajin lain macam. Siap tolong bersihkan jamban lagi. Punyalah rajin. ?
Tak pun si janda Milah bersolat tarawih di surau. Abang Aji asal buat lapan je, tapi sebab ada janda Milah full 20 siap witir. 30 hari Ramadan tau. ?
Haa, inilah namanya fitnah. Bahaya bahaya.
2. Elakkanlah bertabarruj, berwangian dan tutuplah aurat sempurna. Ini selalu sangat saya tulis pada tulisan lepas. Tak faham juga tak tahulah nak tulis bahasa apa lagi.
Pergi surau dan masjid pakai cantik-cantik wangi-wangi, nak solat ke nak goda lelaki? Betulkan niat ya.
3. Tak berlaku iktilat atau percampuran lelaki perempuan. Hah, ada pula yang ambil kesempatan nak mengoratlah, nak ambil peluang berborak, nak bermesra kenyit matalah. Tak pun nak bergosip. Ini tak boleh ya.
4. Mendapat keizinan suami bagi yang dah berkahwin. Bagi yang belum kahwin, mesti mendapat keizinan ibu bapa.
Jangan main redah je tau. Betul nak beribadah, tapi kena alert juga hal begini.
عنِ ابنِ عُمرَ رَضِيَ اللهُ عنهما، أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم قال: ((إذا استأذَنتْ أحدَكم امرأتُه إلى المسجدِ، فلا يَمنعْها))
“Jika isteri kalian meminta izin pada kalian untuk ke masjid, maka izinkanlah mereka.”
[Hadis Riwayat Muslim, no. 442. Riwayat Bukhari, no. 5238]
Imam An-Nawawi membawakan hadis ini dalam Bab “Keluarnya wanita ke masjid, jika tidak menimbulkan fitnah dan selama tidak menggunakan harum-haruman.”
Jika syaratnya dah cukup, bolehlah dipersilakan ke surau atau masjid. Semoga ibadah kalian lebih khusyuk, semangat, feeling lebih, bertambah kenalan wanita solehah, bertambah ilmu setelah mendengar nasihat dan taujihat.
Jangan bertambah kasih pada bang Aji sudah ya. Alah, guraulah. Gurau pun tak boleh. ?