Jodoh adalah rahsia Allah. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang. Tiap orang pasti ingin jodohnya kekal ke akhir hayat namun ada yang tak kesampaian. Ikuti pengakuan daripada seorang wanita yang merupakan ibu tunggal. Jodoh dibantah kerana kekasih hatinya masih teruna.
Jodoh Terpisah Selepas Tiga Tahun
Saya seorang ibu tunggal, mempunyai seorang anak yang berusia enam tahun. Terus terang, saya menuntut cerai selepas tiga tahun berkahwin. Bukan saya minta perceraian itu terjadi namun saya lakukan demi kehidupan saya dan anak kesayangan.
Saya seorang kakitangan kerajaan, berpangkat pegawai dan gaji saya agak lumayan. Saya berkahwin pada usia 29 tahun dengan seorang jejaka, Man, satu kementerian tapi berlainan jabatan. Itu pun atas aturan rakan-rakan yang ingin menjodohkan kami. Saya akui, belum sempat cinta berputik sepenuhnya kami sepakat untuk melangsungkan perkahwinan. Biarkan kami menyulam cinta selepas kahwin. Itu lagi berkat. Perkahwinan kami hanya selepas empat bulan perkenalan.
Bahagia Hanya Sementara
Jika dilihat daripada segi luaran, tiada cacat celanya pada Man. Bertanggungjawab dan melayan saya dengan baik. Tapi, dari awal perkahwinan, ada sesuatu yang pelik pada dirinya yang saya tidak ketahui.
Hubungan kami bertambah rapat dan rasa sayang semakin menebal di hati sehinggalah terbongkar rahsianya selama ini. Rupa-rupanya dia seorang penagih dadah. Itu pun saya ketahui apabila terjumpa sesuatu yang meragukan ketika mengemas bilik stor di tingkat bawah. Saya jumpa peralatan menghisap dadah. Selama ini dia sering kali berkurung di dalam bilik itu tapi katanya mengemas stok atau mencari barang. Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Saya tidak dapat terima kenyataan bahawa saya telah mengahwini seorang penagih dadah.
Man sujud di kaki saya memohon diberikan peluang kedua dan kerana anak yang masih kecil, saya turutkan. Namun, ternyata dia tetap tak berubah malah semakin parah. Kesabaran saya hilang apabila dia mula ‘naik tangan’ apabila saya menegur perbuatannya itu. Cukup! Setakat itu saja. Tak sanggup saya mengambil risiko untuk hidup selamanya dengan lelaki yang sudah menyakiti diri saya.
Tuntut Cerai
Akhirnya saya menuntut cerai. Walau pun pada mulanya Man cuba memujuk rayu namun saya tidak sanggup lagi hidup bersama seorang penagih dadah. Dalam terpaksa, Man merelakan perpisahan kami dan talak satu dilafazkan.
Ads
Selepas bercerai, saya meminta ditukarkan ke negeri kelahiran, agar lebih dekat dengan keluarga. Syukur permohonan saya berjaya dan saya berpindah tinggal bersama ibu bapa. Kehidupan saya lebih tenang dan fokus saya hanya untuk membesarkan anak tunggal saya itu.
Berkenalan
Takdir Tuhan tiada yang dapat menduga. Selepas hampir tiga tahun bergelar ibu tunggal, hati saya dijentik oleh seorang jejaka, Rizal. Kami satu jabatan dan sering bekerjasama. Pada mulanya saya agak segan untuk berkawan rapat dengannya memandangkan dia masih bujang sedangkan saya bergelar janda. Tapi apabila melihatkan keikhlasannya, saya terima huluran persahabatannya walau pun tidak pernah secara terang-terangan melafazkan kata sayang kepadanya.
Namun dia sedar dia satu-satunya lelaki yang paling rapat dengan saya. Kami sebaya namun dia lebih matang pemikiran dan caranya. Saya yakin Rizal dapat menjadi pemimpin saya dan anak kelak. Malah anak saya dapat menerima kehadiran rakan rapat saya itu dengan baik.
Keluarga Soal Jodoh
Apa yang membuatkan saya buntu apabila keluarga saya tidak bersetuju dengan pilihan hati saya ini. Mereka meragui keikhlasan lelaki itu mencintai saya yang sudah ada anak satu. Sepanjang perkenalan kami, Rizal pernah bawa saya berkunjung ke rumahnya berjumpa mak dan ayahnya dan ternyata mereka dapat terima diri saya seadanya.
Masalahnya sekarang di pihak keluarga saya sendiri. Mak dan ayah berterus terang dengan saya bahawa mereka membantah hubungan saya dan Rizal. Sepanjang perhubungan kami selama setahun lebih, saya belum berani hendak bawa Rizal jumpa keluarga. Mana taknya, bila saya cerita pun mereka awal-awal lagi dah bantah. Puan, bagaimanakah caranya saya boleh meyakinkan mak dan ayah untuk terima Rizal?
Perkahwinan adalah satu perjalanan yang memerlukan ilmu, kebijaksanaan, kemahiran, peranan dan tanggungjawab, tolak ansur, pengorbanan, daya ketahanan dan kesabaran dalam mengharungi cabaran dan ujian dalam menuju kehidupan yang diredhai Allah. Pengalaman pahit dan manis akan dilalui oleh isteri, suami dan ahli keluarga yang lain. Ada perkahwinan yang bahagia yang bertahan lama. Ada juga perkahwinan yang tidak bahagia tetapi bertahan lama. Perpisahan adalah jalan terakhir agar masing-masing dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna jika sudah tidak bertemu jalan penyelesaian.
Pengalaman perkahwinan kali pertama sedikit sebanyak telah mengajar puan. Puan juga telah mengenali hampir 90 peratus tentang diri seorang lelaki. Walaupun tidak semua lelaki sama, namun saya percaya puan telah mengenali lelaki dan bijak membuat pertimbangan dan keputusan. Keputusan yang puan akan ambil ini perlulah menggunakan pemikiran yang rasional, ada pertimbangan dan ada membuat penyelidikan. Keputusan yang puan ambil ini perlu mengambil banyak faktor. Bukan sahaja dari tuntutan hati dan perasaan sayang atau kasihan puan kepada lelaki baharu ini, tetapi dari semua aspek tentang latar belakang dan karakternya.
Ads
Selidik
Apabila kita membuat penyelidikan, kita perlu mengambil kira faktor-faktor yang boleh menyokong, berkecuali atau menolak. Faktor ini pula perlu berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang menguatkan kenapa perlu menerima, berkecuali atau menolak.
Dengan erti kata lain, pandangan keluarga yang menolak itu adakah hanya dengan anggapan bahawa lelaki itu tidak ikhlas? Bagaimana untuk mengukur ikhlas. Mungkin ada faktor-faktor yang menyebabkan ibu bapa puan boleh “membaca” atau membuat kesimpulan bahawa dia tidak ikhlas. Ibu bapa jarang yang tidak ikhlas terhadap anak-anaknya.
Seboleh mungkin mereka mahu anak-anak bahagia. Melainkan ibu bapa yang memang mahu anak bersamanya dan tidak mahu anak bersama orang lain. Cuba cari alasan kepada apa yang ibu dan bapa puan berkata begitu. Kedua, cuba dapatkan maklumat tentang lelaki itu. Lazimnya maklumat boleh diperoleh daripada rakan sepejabatnya, rakan-rakan sepermainan atau yang mengenalinya, daripada jiran, dan ahli keluarga. Kita juga boleh mengenali daripada alam maya facebook jika kita mahu mencari maklumat tentangnya (jika dia ada facebook dan seangkatan dengannya.
Ambil masa Kenal Hati Budi
Ketiga, ambil masa berkawan dengannya. Cuba ketepikan dahulu soal sayang dan cinta. Kerana ia akan menghalang pemikiran rasional untuk membuat keputusan. Orang selalu berkata “cinta itu buta”. Bermaksud, segala yang lemah dan tidak baik itu akan “terhijab” atau terlindung dek kerana perasaan cinta yang menguasai diri seseorang. Sekadar yakin dengan keikhlasannya belum mencukupi untuk puan membuat kesimpulan bahawa dia bakal lelaki yang boleh membahagiakan.
Ingat, keputusan bijak adalah datang daripada pertimbangan pemikiran yang bijak, mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak, mengkaji latar belakangnya, dari segi perangai, tabiat, kesukaan, gaya hidup, cara berbelanja dan yang paling penting tentang agamanya khusus solat yang lima. Solat kalau tidak didirikan bukanlah calon suami yang boleh membawa kita ke arah kehidupan yang diredhai Allah. Lelaki yang bergelar suami berperanan membawa isteri ke jalan hidup yang diredhai Allah.
Berbeza
Puan berkawan dengannya. Pastinya puan boleh mengetahui sejauh mana tentang diri beliau dan ciri-ciri yang saya sebutkan ini ada pada dirinya. Alam berkawan dan alam berkahwin tidak sama puan. Kadang-kadang kita tidak menyangka sama sekali lelaki yang kita jadikan suami itu berbeza sekali karakternya sebelum berkahwin. Kata orang tua-tua pisang jangan berbuah dua kali. Beri masa pada diri.
Utamakan pemikiran daripada perasaan dalam apa jua tindakan dan keputusan yang diambil. Solat hajat, bermunajat kepada Allah dan istikharah mohon petunjuk dari Nya. Insya-Allah puan akan menemui jalannya dan tenang jika puan percaya dan yakin kepada janji dan ketentuan Allah. Wallahualam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami isteri bila bergaduh, elakkan daripada menjaja keburukan masing-masing. Jangan sesekali membuka aib pasangan di media sosial. Persepsi setiap orang tidak sama jadi lebih baik jauhkan diri daripada media sosial ketika bergaduh dengan pasangan.
Suami Isteri Bila Bergaduh
Sebenarnya yang tahu keburukan pasangan kita 100% bukan orang luar tetapi suami dan isteri itu sendiri. Dan bila diberi ruang dan dipujuk, akhirnya kita sedar masing-masing ada buat silap.
Jadi kenapa memilih untuk meluah pada orang luar? Tak boleh ke bagi ruang bertenang dan masing-masing berkomunikasi selesaikan masalah rumahtangga?
Jangan Jaja Keburukan Pasangan, Buka Aib Di Media Sosial
Fikir Sebelum Bertindak
Ya, itulah yang menjadi masalah laki bini zaman sekarang. Lebih memilih buka aib pasangan di media sosial sampai orang luar tahu dan bila hati dah sejuk, rasa menyesal dan bersalah. Hmmm…
Baik suami atau isteri, berfikirlah sebelum bertidak. Baikilah emosi dan renungkan perkongsian Puan Intan Dzulkefli ini sejenak, moga yang baik-baik akan menyelinap masuk dalam rumahtangga kita.
Rumah tangga ni sebenarnya adalah sangat ‘complicated’. Kita sendiri sahajalah, bila waktu marah, sakit hati dengan pasangan, nak lihat muka si dia pun kita tak sudi. Marah punya pasal.
‘Hei kenapalah aku kahwin dengan dia niiii…’ getus hati yang panas, tapi mampu terdetik sekejap sahajalah sebab takutkan dosa kufur nikmat.
Namun, mungkin setelah pasangan memujuk, diberi ruang untuk menerangkan apa yang sebenarnya yang membuat dia buat sesuatu itu, akhirnya rajuk kita pun hilang, senyum kita pun melebar. Syukur sangat… Allah jodohkan kita dengan pasangan.
Tengok? Sekejap sahaja persepsi 180 darjah berubah.
Jangan Jaja Keburukan Pasangan
Sebab itu ramai orang ‘alim menegah kita untuk meluahkan perasaan, bercerita kisah rumahtangga, buka aib pasangan/bekas pasangan SEMASA SEDANG EMOSI di media sosial atau bercerita kepada orang luar yang tidak faqqih, kerana bimbang reputasi rumahtangga kita, pasangan kita, hatta diri sendiri jadi bualan dan fitnah kepada orang.
Sedangkan mungkin beberapa minit atau jam atau hari setelah kita bercerita itu, rumahtangga kita sudah pun kembali baik. Tetapi persepsi orang luar terhadap pasangan kita telah pun buruk.
Contohnya kalau suami ada masalah dengan isteri, dia balik cerita keburukan isteri pada mak dia, walhal selepas dia pulang semula ke rumah, dia berbaik dengan isteri, tetapi di mata dan hati mertua, sudah meluat dengan menantu perempuannya tadi.
Cari Allah Dulu
Oleh itu, bila dilanda krisis dalam rumahtangga, SABAR DAN BERTENANG SERTA CARI ALLAH DAHULU.
Seperti kata ustazah Norhafizah Musa dalam satu ceramahnya dahulu.
Bila mana pasangan kita buat silap, anak kita buat silap, atau mereka lukakan hati kita. Hal pertama yang kita kena buat ialah, SOLAT TAUBAT. Sebab ada kemungkinan ada ‘bahagian’ silap dan salah kita pada kesilapan mereka itu.
Allahu… Cantik sangat pesanan ini.
Jangan Komen Sesedap Hati
Orang luar tidak faham 100% apa yang berlaku dalam sesebuah institusi rumahtangga. Oleh itu, sebagai orang luar pun, sekiranya ada yang mengadu hal rumahtangga atau terbaca kisah rumahtangga orang lain, jagalah tangan dan mulut dari komen sesuka hati berkaitan rumahtangga dan pasangan orang lain.
Jangan bongkak seolah kita takkan diuji. Boleh jadi kita cuma belum diuji dan juga bakal diuji selepas ini. Cukup penyataan ini sebagai peringatan.
Si Dia Itu Milik Allah
Pasangan, anak-anak bukanlah hak mutlak kita. Mereka adalah milik Allah selamanya.
Jangan lupa untuk ingatkan diri, segala pengorbanan serta usaha untuk kita bahagiakan pasangan adalah semata-mata untuk mendapatkan redha Ilahi. InsyaAllah.
Ingatan untuk diri saya yang selalu lalai dan leka.
Beruntungnya suami bila isteri tidak berkira dalam menanggung perbelanjaan keluarga.
Sekurang-kurangnya boleh mengurangkan beban suami. Bagaimana pula jika suami mengharapkan isteri dalam perbelanjaan keluarga, sedangkan dia lebihkan kepada keluarga sendiri.
Pada fikirannya, isteri mampu menanggung semuanya. Apa yang patut dilakukan agar keadaan ini tidak dibiarkan berterusan dan suami pula sesuka hati lebihkan keluarga sendiri. Ikuti kupasan lebih lanjut topik ini bersama Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand Master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat.
Bagi suami yang sangat mementingkan kekeluargaan, perbelanjaan tetap diutamakan, bukan untuk isteri dan anak-anak tetapi ibu bapanya sendiri. Baginya, sebagai anak lelaki, itu adalah haknya untuk menanggung keperluan ahli keluarga yang selama ini membesarnya.
Lebih menyedihkan lagi, apabila aa keperluan keluarga sendiri diutamakan sedangkan
perbelanjaan untuk isteri dan anak-anak diambil sambil lewa dan mengharapkan pada isteri, memandangkan isteri turut bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Kesannya, isteri ‘makan hati’ dengan sikap suami yang lebihkan pada keluarganya sendiri.
Keutamaan Anak Lelaki
Bagi anak lelaki yang melebihkan keluarganya dahulu, iaitu ibu bapa ia adalah pilihan. Ini
kerana kemungkinan anak lelaki tersebut adalah anak harapan ibu bapanya, anak manja atau anak kesayangan. Dia sanggup menyenangkan ibu bapanya dahulu daripada anak-anak dan isterinya.
Anak lelaki ini sanggup menyuruh isterinya yang bekerja mengeluarkan perbelanjaan untuk anak dan persedian hari raya. Cara begini adalah salah, walaupun isteri itu bekerja, duit gajinya adalah duitnya dan suami harus bertanggungjawab di atas perbelanjaan isteri dan anak- anaknya.
Suami hendaklah adil dan berperi kemanusiaan di dalam menyuruh isterinya mengeluarkan duit untuk keluarga kecuali ia telah dipersetujui bersama. Dalam erti kata perbelanjaan kesemua hal anak, isteri dan rumahnya adalah tanggung jawab suami.
Jangan Mengambil Kesempatan
Dalam hal begini, suami mengambil kesempatan dengan menyuruh isterinya mengeluarkan belanja rumah, di mana ia tidak sepatutnya berlaku dan melanggar peraturan berkahwin.
Disebabkan isteri bekerja, semua hal rumah dan anak diserahkan pada isteri dan dia ingin
menunjukkan pada ibu dan bapanya yang dia berbelanja persiapan dan kesenangan untuk keluarga ibu bapanya. Semua ini adalah tidak adil. Sudah tentu isteri cepat merasa dan menangkap perasaan itu seperti dirinya dipergunakan.
Sempurnakan Tanggungjawab
Suami sepatutnya menyempurnakan tanggung jawabnya kepada membesarkan anak anak, penjagaan isteri dan rumah dahulu sama rata dengan ibu bapanya. Dia tidak boleh buat satu pihak senang dan satu pihak lagi sengsara kerana sengsara ini akan menimbulkan banyak masalah termasuk geram, berdendam, sakit hati atau tidak puas hati. Kesemua hal keluarga dan perbelanjaan adalah tanggungjawab suami.
Memang syurga terletak di kaki ibu, tapi tanggung jawab suami juga adalah untuk menjaga keluarganya. Oleh kerana isterinya bekerja, ia tidak adil sekiranya suami hendak
mempergunakan kewangan dan gaji isterinya semata-mata untuk ibu bapa dan adik-beradiknya dan mengabaikan anak dan isterinya yang sedia ada. Suami perlu memahami yang dia juga perlu mempertahankan keluarganya yang sedia ada.
Perbelanjaan Berpada-pada
Menyentuh tentang perbelanjaan yang sesuai untuk diberikan kepada keluarga sendiri (ibu bapa dan adik beradik) adalah dari segi pemakanan dan ubat-ubatan. Lebih sesuai sekiranya ibu bapa diberi duit bulanan. Suami perlu ingat bahawa dia perlu berlaku adil dan mempunyai keluarga sendiri, ibu bapa dan mungkin ada ibu dan bapa mertuayang perlu dijaga juga.
Selain daripada itu, segala perkara terutama sekali tentang duit isteri hendaklah dibincang
dan dipersetujui oleh isteri untuk menghindarkan daripada isteri sakit hati dan tidak
berpuas hati dengan tindakan suami.
Seringkali isteri akan akur dengan tindakann suami tetapi hendaklah dilakukan dengan
berhati-hati dan bukan dengan di perintah atau memaksa. Suami sepatutnya bertolak ansur dan memahami kehendak isteri dalam hal ini an tidaklah boleh menurunkan kuasa veto seperti isteri itu tidak penting.
Nasihat Untuk Suami
Walau macam mana sekali pun di dalam perbelanjaan untuk ibu bapa, ia hendaklah dilakukan berpatutan dan bukannya membelanjakan semua gaji untuk ibu bapanya.
Perkara yang penting diadakan oleh suami untuk ibu bapa adalah pakaian, makanan dan
keperluan kehidupan harian seperti ubat-ubat dan bukannya sesuatu untuk kemewahan,
kesenangan dan menunjuk-nunjuk.
Isteri Patut….
Ramai suami yang tidak bertanggungjawab akan menggunakan alasan menggunakan duit isteri sebagai tidak mampu menanggung keluarga seorang diri dan menggunakan agama sebagai asas menegakkan fahaman.
Kebanyakan isteri hanya mengikut sahaja dan tidak mahu dilabelkan sebagai berdosa atau
menderhaka. Tetapi, hakikatnya mereka hanya reda dengan apa yang berlaku dan tidak melawan atau tidak berkata apa-apa. Hanya menurut saja walaupun hati memberontak.
Sebagai keselamatan, setiap isteri perlu ada simpanan sebagai persediaan sekiranya sesuatu yang tidak diingini berlaku. Isteri juga perlu banyak bersabar dan memahami situasi yang berlaku.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Memang ada benarnya, tak sama penat seorang suami dan penat seorang isteri terutamanya dalam menguruskan anak-anak dan rumahtangga. Isteri lebih mudah rasa stres dan penat.Malah emosi juga tak menentu dalam menanganinya.
Maka suami lah yang perlu memainkan peranan menenangkan emosi isteri sebelum ia meletus! Semudah bawa isteri keluar berjalan-jalan dan mendengar luahannya sudah mampu membuatkan isteri kembali tenang dan bersemangat.
Hadamkan catatan yang dikongsikan oleh Zaim Zinini;
Saya balik kerja, isteri cakap, “Abang, jom keluar jalan-jalan. Stress la”
Banyak kali macam tu. Pelik betul. Stress apa, duduk rumah jaga anak-anak tercinta yang comel-comel tu. Kalau ikutkan, keluar rumah, lagi la stress dan penat.
Bila fikir semula, saya bawa juga pusing-pusing naik kereta. Kadang-kadang, singgah pasaraya. Selalunya tak beli apa pun, window shopping je. Tapi dia punya teruja, macam anak kecil diajak pergi Disneyland.
“Terima kasih abang, bawa jalan-jalan!”, isteri saya akan ucap ini setiap kali dapat berjalan.
Emosi Perempuan
Saya teringat satu pesanan,
“Emosi perempuan ni macam belon kecil, tak boleh tampung banyak sangat tekanan. Nanti meletus. Beza dengan kita orang lelaki”
Dulu isteri saya lemah lembut je, sejak ada anak ni, kalau tak kena masa, kalah raja rimba. Macam nak makan orang. Pelik juga. Kemana perginya kelembutan dan kemanjaan beliau yang dulu?
Kita baru pegang handphone pun, tiba-tiba boleh kena serang. Mengejut je. Tiba-tiba meletus.
Penat Suami Isteri Tak Sama
Saya cuba untuk faham situasi ini. Ya, kami para suami susah nak faham.
Rupanya, tak sama penat seorang suami dan penat seorang isteri.
Anak menangis nak susu, anak yang lain berkelahi menjerit-jerit, sorang lagi mendesak nak tengok kartun, rumah dah macam tongkang pecah. Tak masuk lagi bab masak, bisnes, kurang tidur, lapar, basuh baju, kemas, layan perangai customer barang tak sampai. Ini berlaku setiap hari, hampir setiap masa.
Tengok la gambar ni, nak tidur pun, nak dengan mama dia sahaja. Tak ada ruang mama dia bersendiri. Terpaksa saya sarung tudung isteri untuk kelirukan budak ni.
Asakan-asakan ni mendesak isteri secara fizikal, mental dan emosi.
Siapa lagi tempat isteri nak mengadu dan harapkan? Kita la, partner dia. Sebab tu kalau emosi mereka tidak ditenangkan, boleh meletop!
Nasihat Buat Suami
Jadi, nasihat ini untuk diri saya dan suami-suami sekalian. Isteri adalah amanah Allah pada kita.
1. Dengar Cerita Dia
Jika isteri mahu bercerita, dengar dengan cara pandang muka dia, atau peluk dia. Tunjuk yang kita prihatin dan sokong dia. Apabila kita abaikan dia nak luah kepenatan dia, dia makan hati. Tau-tau dah merajuk acik tu. Lagi teruk kalau kita sinis dan rendah-rendahkan pula perasaan dia. Jangan pelik kalau isteri pandai melawan.
2. Urus Rumah Adalah Kerja Kita Juga
Tak ada istilah ‘tolong isteri buat kerja rumah’. Kalau ikutkan, itu memang kerja kita juga. Kita masak sebab nak makan, kita basuh baju dan pinggan sebab dah pakai. Itu rumah kita dan itu anak kita. Kita ada tanggungjawab. Ringankan tulang.
3. Bagi Isteri ‘Me Time’
Kerja isteri tiada office hour. Dia bukan robot, jadi, bagi masa untuk dia berehat dan ‘me time’. Dia pun memang kurang rehat, sejak mengandungkan anak pertama.
Pada saya, mengurus rumah tangga ni ada dua school of thought. Satu, isteri kena layan suami macam raja. Kedua, urus rumah bersama-sama. Dua-dua betul. Sesuaikan lah dengan cara kita.
Para isteri sekalian, maaf ya, jika tidak memahami kalian, bagi para suami peluang. Kita jaga kita. Benda boleh bincang. Mulakan dengan bercakap baik-baik dengan pasangan.
Maafkan, jika ada kesilapan dan kesalahan. Kita manusia biasa. Kenapa suami ada kekurangan? Sebab awak adalah pelengkap dia.
Kita bukan terbaik, tetapi izinkan kita berusaha jadi yang terbaik.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat pasangan suami isteri. Belajarlah memahami dan bertolak ansur dengan pasangan dalam memudahkan urusan dan membahagiakan rumahtangga.
‘Sleep divorce’ makin popular. Terbaru menerusi perkongsian doktor selebriti yang juga pempengaruh media sosial Dr Say Shazril berkongsi pendapat mengenai isu ‘sleep Divorce’.Rupanya isu...