Jasa dan pengorbanan seorang mak sangatlah besar. Kasih sayangnya pada anak-anak dan keluarga tiada galang gantinya.Hinggakan ketika anak sakit, sanggup nyawa diri dipertaruhkan menggantikan derita dan kesakitan yang perlu ditanggung oleh seorang anak.Namun hakikatnya, seorang mak perlu ‘pentingkan dirinya’ sendiri, memikirkan keperluan dirinya terlebih dahulu untuk kesejahteraan seluruh isi keluarga.

Untuk fahamkan lebih lanjut, jemput baca perkongsian dan pandangan Puan Farizal Radzali ini sebagai panduan;

Dulu, masa saya baru ada seorang anak, tiap kali anak demam atau sakit, saya susah hati. Sampai saya cakap kat mak saya, kalaulah sakit tu boleh berpindah, biarlah sakit anak tu pindah kat saya.

Tapi mak saya cakap, “Biar anak yang sakit, jangan mak yang sakit”. Masa tu saya rasa tak patut seorang mak cakap macam tu.

Tapi lama kelamaan, bila anak pun dah bertambah, baru saya faham apa yang mak saya cuba sampaikan.

BIAR ANAK SAKIT, JANGAN MAK YANG SAKIT

Andai semua ahli keluarga sakit sekalipun, seorang mak boleh jaga semuanya. Tapi bila mak seorang yang sakit, semua isi keluarga jadi tak tentu arah, segalanya jadi kucar kacir. Sesungguhnya benar sekali.

IKLAN

Mak saya juga cakap, kalau makanan dah siap, ada masa makanlah dulu. Jangan risaukan anak belum makan. Sebab mak yang kena bertenaga. Jangan tunggu masa sesuai untuk makan, sebab seorang mak tiada masa sesuai. Kerana mak tiada me time.

Kalau ada duit, rasa nak makan makanan mahal sikit tapi tak mampu nak beli untuk semua isi keluarga, belilah dan makan sendiri. Contohnya, teringin sangat nak makan aiskrim Connetto (dulu aiskrim ni kira mahallah). Belilah dan makan sendiri. Jangan rasa bersalah. Jangan rasa pentingkan diri. Sebab anak akan membesar, In Shaa Allah mereka akan ada masa untuk menikmatinya, mungkin lebih dari kita. Doakan rezeki anak-anak dimudahkan.

Cari ‘Me Time’ Sendiri

Sebagai mak, tak kiralah bekerja atau tak, kita tetap seorang mak. Kita tetap lalui perkara yang sama, tugas yang sama, rutin yang sama. Memasak, membasuh, mengemas, mencuci, mengajar, mendidik, membebel, semua tu tugas mak, tiada yang terkecuali. Carilah me time sendiri. Jangan tunggu me time itu datang, sebab ia takkan datang.

IKLAN

Tak perlu jadi sempurna untuk segalanya. Hidup ini bukan untuk jadi sempurna, tapi untuk dinikmati dan menyimpan bekalan untuk hari kemudian. Jangan peduli kata orang sebab orang bercakap takkan pernah berhenti. Puaskan hati sendiri, bukan untuk orang lain.

Hidup untuk memberi, tapi simpan sikit untuk diri sendiri. Bukan kerana pentingkan diri tapi kerana kita manusia, ada kelemahan, kita tahu penat. Berehatlah jika nafas dah makin laju, jangan paksa diri. Minta bantuan jika perlu, walaupun adakala bantuan yang diminta, tiada yang peduli. Andai sukar didik suami, didiklah anak untuk membantu.

Moga mak-mak diluar sana sihat selalu, sentiasa dilindungi Allah swt dan diberi pahala berlipat ganda di atas pangkat sebagai MAK.

IKLAN

Farizal Radzali

Baca lagi Di Sini: Isteri Takkan Selamanya Sihat, Tetap Gagahkan Diri Walaupun Tak Larat Sangat

MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memang ada benarnya, ada ketikanya seorang mak perlu ‘pentingkan diri sendiri’ untuk keperluan seluruh ahli keluarganya. Tak perlu rasa bersalah, hidup untuk memberi, tapi simpan sikit untuk diri sendiri.

Sumber: Farizal Radzali

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI