Dalam sibuk-sibuk info kepentingan guna car seat untuk anak, semalam tular di laman media sosial kes anak kecil perempuan berusia lapan bulan maut terhentak pada dashboard selepas kenderaan dinaiki keluarganya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 70 Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran Dusun Panti di Kota Tinggi.
Sangat menyayat hati, apabila melihat pelukan seorang ibu sambil menangis pada anak kecilnya yang sudah tidak bernyawa. Kejadian pada 5.10 petang itu mengakibatkan mangsa dari Endau, Mersing maut di tempat kejadian. Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki mangsa bersama keluarganya hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Secara kebetulan pada masa sama sebuah Proton Wira dari arah Johor Bahru ke Mersing tidak sempat mengelak dan bertembung dengan kereta keluarga mangsa. Mangsa dipercayai meninggal dunia kerana cedera di kepala akibat hentakan pada papan pemuka kereta, ” kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ashmon Bajah.
Dalam kejadian berasingan, Ashmon berkata, seorang lelaki, 33, maut selepas kenderaan dipandunya hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 25 Jalan Johor Bahru-Mersing.
Katanya, kejadian berlaku pada 7.30 malam mengakibatkan mangsa Rosli Suder dari Kampung Mawai meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ads
Katanya, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
“Ya Allah, jadikanlah kematian anak ini sebagai pahala dan sim-panan bagi kedua orang tuanya dan pemberi syafaat yang dikabul-kan doanya. Ya Allah, dengan musibah ini, beratkanlah timbang-an perbuatan mereka dan berilah pahala yang agung. kum-pulkan anak ini dengan orang-orang yangshaleh dan jadikanlah dia dipeliha-ra oleh Nabi Ibrahim. Peliharalah dia dengan rahmat-Mu dari siksaan neraka jahim.“
Wanita ini pernah jadi viral gara-gara aksinya memandu lori kontena dengan berbaju kurung. Masyarakat terperanjat kerana ada orang perempuan yang memilih kerjaya yang cukup sinonim dengan lelaki. Apatah lagi kerjaya sebagai pemandu lori dikaitkan dengan kerja yang lasak, tak glamor dan tak sesuai dengan keperibadian wanita yang lemah lembut
Menurut Rokiah bt Salim, 52, atau mesra dengan panggilan Ekka, dia tidak pernah menyangka akan menjadi viral dan dikenali satu Malaysia. Yang pasti, dia cukup berbangga dengan kerjayanya sebagai pemandu lori kontena di Syarikat HL Super Sdn Bhd di Seberang Prai, Pulau Pinang.
“Saya tiba-tiba saja terkenal kerana aksi saya yang membawa lori dengan berpakaian baju kurung tersebar. Masyarakat memandangnya sebagai sesuatu yang pelik. Tapi secara peribadi, saya tak rasa pelik pun bila memandu lori dengan berbaju kurung. Pakaian tak pernah mengganggu saya melakukan kerja. Malah saya bangga dan selesa mengenakan pakaian itu kerana ia pakaian tradisi kita. Di bahagian dalam saya tetap mengenakan seluar jeans untuk menjaga aurat.
” Walau bagaimana pun saya gembira kerana kisah saya sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat terutamanya wanita supaya lebih yakin untuk menceburi bidang yang di luar kebiasaan. Banyak cabang kerja yang boleh kita lakukan, asalkan rajin dan sanggup sahut cabaran. Jangan takut pilih kerja yang tak glamor, asalkan mampu beri pulangan yang lumayan. Malah saya bangga kerana dengan kerja ini, saya berjaya membesarkan dan menanggung pengajian dua anak saya hingga memperoleh ijazah di dalam bidang biotech dan pendidikan,” ujar wanita gemarkan aktiviti lasak ini.
Mengimbau keterlibatannya di dalam kerjaya ini, Ekka sebelum itu bekerja di sebuah kilang sehinggalah dia ditawarkan VSS.
” Selepas berhenti kerja dan ditawarkan VSS pada tahun 2014, saya tercari-cari pekerjaan untuk menyara dua anak lelaki saya memandangkan saya ibu tunggal. Ketika itu pula saya aktif di dalam dunia permotoran dan menyertai sebuah kelab motosikal. Rakan-rakan bikers yang menyarankan saya mencuba kerjaya sebagai pemandu lori. Lantas saya sahut saranan mereka itu. Lagi pun, saya banyak mengembara ke luar negara dan wanita yang bekerja sebagai pemandu lori bukan perkara yang asing di sana. Jadi, apa salahnya jika saya cuba kerjaya itu.
” Terus terang, pada mulanya banyak syarikat yang menolak permohonan saya. Sehingga akhirnya syarikat tempat saya bekerja sekarang, HL Super Sdn Bhd, membuka peluang pada saya. Sejak itu saya bekerja memandu lori kontena untuk dihantar ke pelabuhan Prai. Saya hanya buat local trip sahaja dan tidak minat untuk membuat long distance. Tempat kerja saya juga hanya 15 minit daripada rumah yang terletak di Tasik Gelugor.
“Dua anak lelaki saya sangat menyokong keputusan saya tetapi ada ahli keluarga saya yang menentang. Mereka beranggapan kerja itu susah dan tidak sesuai untuk wanita. Namun kini mereka dapat terima. Saya sedar mereka melarang sebab mereka sayangkan saya. Alhamdulillah, saya berjaya buktikan pilihan saya tepat. Namun sebenarnya kerja ini taklah begitu susah bagi saya. Hanya duduk di dalam lori dan pandu. Bukan kena angkat barang berat. Tapi, sudah tentu perkara pertama adalah mendapatkan lesen GDL bersendi untuk melayakkan saya memandu lori kontena,” tambah Ekka lagi.
Ujar Ekka, dia seronok berada dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki. ” Seronok dan bangga kerana kita melakukan kerja yang orang lelaki selalu buat. Tak ada masalah bergaul dengan rakan-rakan sekerja kerana mereka suka menolong,” jelas Ekka yang ingin menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar tidak memilih kerja.
“Bagi anak-anak gadis, jangan terlalu memilih kerja. Konon nak bekerja di dalam pejabat saja, sedangkan masih banyak peluang yang ada. Kerjaya sebagai pemandu lori mendatangkan pendapatan yang lumayan. Cuma, kalau nak gaji lebih, kenalah kerja lebih masa. Semuanya terpulang pada diri sendiri.
” Anggaran pendapatan yang boleh diperoleh antara RM3000-RM5000 sebulan. Waktu kerja juga fleksibel. Saya bekerja antara jam 8.30 pagi hingga selewatnya 10.30 malam. Purata antara tujuh ke lapan trip sehari. Kalau nak pergi bercuti ke luar negara, saya akan buat target. Saya akan kerja lebih panjang dan kemudian akan ambil cuti panjang selepas itu. Saya pernah bercuti hingga 12- 20 hari. Yang penting, kena cukupkan 150 trip sebulan.
“Untuk ibu tunggal, kita perlu bangkit. Tiada gunanya bersedih terlalu lama. Fikir anak-anak tersayang dan jangan harapkan bantuan orang saja. Diri sendiri yang perlu berusaha.Peluang dan ruang ada, terpulang pada diri masing-masing. Walau bagaimana pun, saya ingin nasihatkan ibu-ibu tunggal di luar sana, perpisahan adalah di antara kita dan bekas suami. Jangan libatkan anak-anak. Jangan jadikan bekas suami musuh anda kerana dia tetap ayah kepada anak-anak anda selamanya,” nasihat Ekka.
Wanita bertubuh kecil molek ini sememangnya berjiwa kental dan minat dengan aktiviti lasak seperti mendaki gunung, camping dan maraton. Sebelum ini, dia terlibat di dalam dunia permotoran namun setelah kehilangan motosikal CBR hilang pada tahun 2008, dia mula beralih ke aktiviti mendaki gunung.
” Saya seorang yang aktif dan lasak. Saya gemar mendakI, kebanyakan gunung di Malaysia ini sudah saya tawan. Selain itu, saya sanggup ke luar negara untuk mendaki. Antara puncak yang pernah saya jejaki ialah Anapurna Base Champ dan Everest Base Champ. Di Filipina saya pernah mendaki Mount Pulag dan lebih banyak mendaki gunung-gunung di Indonesia. MisalnyaGunung Rinjani, Gunung Selamet, Gunung Sibayak dan banyak lagi.
“Selain mendaki, saya juga gemar bercuti ke luar negara untuk menimba pengalaman di tempat orang. Paling jauh saya pernah ke Rusia. Hujung tahun ini pula, saya akan ke Mongolia bersama anak sulung untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Anak sulung saya itu juga berkongsi minat mendaki dengan saya manakala si bongsu sebaliknya,” ulasnya lagi.
Walau pun berkerjaya lasak, namun sebagai wanita, dia tetap menitik berat soal kecantikan dan penampilan diri. Buktinya, walau pun bekerja sebagai pemandu lori kontena, Ekka tetap mampu kelihatan cantik.
“Siapa kata kerjaya sebagai pemandu lori kontena tak membolehkan kita kelihatan cantik? Saya tetap menjaga kecantikan dan penampilan diri sebagai seorang wanita. Bahkan terus terang, saya sangat mengambil berat soal pemakanan. Mungkin ada wanita yang takut hendak ceburi kerjaya sebagai pemandu lori kerana takut tak boleh jaga kecantikan. Itu tak betul. Terpulang pada diri sendiri. Sekarang ini di tempat kerja saya sudah ada lima pemandu lori wanita dan saya tumpang bangga kerana kerjaya itu mula diterima masyarakat. Cuma kami tidak lagi dibenarkan memakai baju kurung ketika memandu lori,” akhirinya yang akan mendaki gunung sekurang-kurangnya sekali seminggu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dorongan ibu menjadikan Leftenan Maritim Aida Arzahari, 35, berusaha keras hingga berjaya melakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik Pegawai Memerintah Kapal di negara ini. Beliau dilantik sebagai Pegawai Memerintah KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) pada Februari yang lalu.
Kejayaannya yang dikecapi disifatkan sebagai memenuhi impian ibunya yang inginkan dirinya meneruskan legasi arwah bapanya, Arzahari Sudin untuk berkhidmat dalam pasukan beruniform yang sebelum ini bertugas selaku Pegawai Waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“Saya amat rapat dengan arwah bapa dan sebagai anak sulung ibu mahu saya mengikut jejak bapa. Sejujurnya saya sememangnya menyimpan impian untuk bergelar pegawai memerintah namun tidak sangka ia secepat ini,” ujarnya memulakan bicara.
Cabaran Bekerja Dalam Bidang Dimonopoli Lelaki
Mengakui peranan ibunya yang banyak mendorong tanpa jemu untuk berkhidmat dalam pasukan Maritim, Aida yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memilih bekerja dalam bidang perakaunan di sebuah syarikat pembinaan kapal sebelum beralih arah.
Mula menyertai Maritim Malaysia pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah, pelbagai pengalaman sebagai wanita yang bertugas di atas kapal pernah dilalui wanita ini. Aida membuktikan tiada halangan buat seorang wanita sepertinya untuk turut sama bekerja dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Ketika penglibatan awal sebagai pegawai Maritim, Leftenan Aida pernah bertugas sebagai Pegawai Tadbir, Pegawai Pensenjataan, menjadi Pegawai Navigasi di Kapal KM Banggi, Pegawai Navigasi di Kapal KM Arau sehinggalah dirinya dilantik sebagai Pegawai Memerintah di Kapal KM Nyalau baru-baru ini.
“Sepanjang lima tahun saya bergelar seorang Pegawai Maritim, tugas-tugas yang saya sandang semuanya berbeza-beza. Ketika menjadi Pegawai Tadbir saya banyak membuat kerja-kerja pentadbiran kapal, bermain dengan kertas, surat dan sebagainya.
“Untuk tugas Pegawai Persenjataan pula saya fokus kepada menjaga senjata, membuat latihan menembak dan sebagainya yang berkaitan dengan senjata. Menjadi Pegawai Navigasi pula tugas saya biasanya di Anjungan iaitu bahagian menggemudi kapal dan biasanya Pegawai Navigasi lah yang akan membantu Pegawai Memerintah sebagai penunjuk arah.
“Sebelum saya menyertai Maritim, saya pernah bekerja dengan syarikat perkapalan yang mana majoriti kakitangan di sana adalah lelaki. Persekitaran itu telah terbina sejak pekerjaan saya yang lama lagi, jadi bila masuk Maritim, saya tiada masalah dengan perkara tersebut. Cuma cabarannya, status saya yang bujang dan perlu bekerja dengan krew lelaki yang sudah berkahwin.
“Alhamdulliah saya mendapat rakan-rakan sekerja yang baik dan memberi kerjasama yang baik untuk saya. sepanjang bertugas memang saya tiada masalah. Antara pendekatan lain yang saya buat, saya turut berkenalan dengan keluarga mereka, saya maklumkan status saya kepada keluarga krew lain untuk memudahkan tugas saya pada masa hadapan. Kebanyakan mereka kenal dengan saya jadi semua itu semua tidak timbul masalah,”ujarnya Leftenan Aida lagi.
Sudah Biasa ‘Berkampung’ Di Laut
Dengan jawatan sebagai Pegawai Memerintah yang baru disandangnya sejak Februari yang lalu, pasti bidang tugas Leftenan Aida berbeza daripada sebelumnya. Leftenan Aida turut berkongsi bagaimana dirinya sebagai seorang wanita menjadi ketua kepada krew lain yang kebanyakannya adalah lelaki.
“ Kapal KM Nyalau merupakan kapal ketiga tempat saya berkhidmat. Sebelum ini saya pernah bertugas di atas Kapal KM Banggi dan juga KM Arau yang berpengkalan di Kota Kinabalu, Sabah. kedua kapal sebelum ini bersaiz lebih besar daripada Kapal KM Nyalau, bidang tugas saya juga kini berbeza daripada dahulu.
“Kalau dahulu kapal besar dan sekarang saiznya lebih kecil, jadi pengendaliannya juga berbeza. Dahulu saya menerima arahan daripada ketua tetapi kini saya yang perlu memberi arahan kepada anak kapal. selain itu saya juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas aset kerajaan yang dipertanggungjawabkan kepada saya. Bukan sahaja kapal yang perlu saya jaga tapi anak-anak kapal juga saya perlu ambil tahu.
“Kapal KM Nyalau biasanya setiap kali beroperasi akan mengambil masa lima hari di laut. Namun jika tidak ke laut untuk operasi biasanya kami tetap berada di atas kapal tapi bezanya kapal hanya berlabuh dan tidak bergerak. Ketika berlabuh saya dan krew akan melakukan penyelengaraan kapal dan juga urusan pentadbiran yang lain.
“Dalam KM Nyalau, selain dianggotai krew-krew lelaki, saya juga ada pegawai perempuan bersama, memang bukan mudah untuk saya pada mulanya menjadi seorang ketua kepada anak-anak kapal yang majoriti lelaki.
“Namun itu sudah menjadi tugas saya dan dalam apa jua keadaan sebagai seorang ketua apa yang penting dalam menjalankan tugas adalah kita kena tegas. Bagi saya ketegasan itu perlu ada sebagai seorang ketua supaya anak-anak kapal tidak memandang remeh dan ambil kesempatan ke atas kebaikan kita sebagai seorang ketua walaupun saya seorang wanita,”katanya.
Jelasnya juga pengalaman bekerja di atas kapal yang lebih besar dengan krew kapal lelaki melebihi 50 orang turut digunakan sebagai persediaan untuk perjalanan tugas yang lancar.
“Bagi saya kalau di kapal besar pun saya boleh bekerjasama dengan krew lelaki, saya pasti di kapal KM Nyalau juga saya boleh lakukan perkara yang sama.”
Beraya Atas Kapal
Lima tahun bergelar seorang Pegawai Maritim, berpuasa dan berhari raya dilautan menjadi asam garam buat wanita yang kini bergelar Pegawai Memerintah Kapal KM Nyalau ini. Namun pengalaman yang ada menjadikan diri Leftenan Aida lebih matang dalam kehidupannya.
“Pada tahun lepas, bulan Mei 2017. Saya dan 25 orang krew kapal yang lain membawa pulang kapal KM Arau dari Jepun Ke Malaysia. Saya satu-satunya pegawai wanita yang mengikuti pelayaran itu. Kebetulan pada waktu kami belayar itu adalah pada bulan Ramadan.
“Pengalaman berpuasa di negara orang yang mana kami perlu berpuasa di lautan lebih daripada 16 jam dan juga perlu melalui perubahan masa dari satu negara ke satu negara yang lain yang mempunyai perbezaan waktu untuk berbuka memang satu pengalaman yang berharga buat saya. Keadaan laut pada ketika itu juga bergelora dan ditemani pula oleh krew kapal dari Jepun yang berumur antara 62 hingga 75 tahun membuatkan pelayaran kami satu pengalaman yang tak akan saya perolehi di mana-mana,” ujar anak kelahiran Perlis ini.
Sepanjang berkhidmat sudah dua kali Leftenan Aida menyambut Syawal di lautan. berjauhan dengan keluarga hanya ditemani krew kapal dan juga lautan tentunya buat hati terasa sayu. Namun kerana tugas untuk negara, tanggungjawab yang dipikul perlu digalas tanpa rasa sesal.
“Pengalaman saya beraya di laut pertama kali adalah ketika menjalani latihan di kapal KM Banggi yang berpengkalan di Kota Kinabalu. Pada pagi raya saya dan krew kapal yang lain menyediakan juadah raya secara beramai-ramai di dalam kapal. Sebelum ini tak pernah saya masak beria untuk hari raya, cuma tolong-tolong sahaja emak dan nenek. Tapi kerana perlu bertugas dihari raya saya belajar masak juadah yang biasa ada dir rumah pada hari raya. ketupat rendang semuanya kami masak di atas kapal.
“Pengalaman beraya kali kedua di laut pula ketika beroperasi di Tawau. Pegawai Memerintah kami mengambil inisiatif dengan berlabuh sebentar di Jeti Pelabuhan Tawau untuk sembahyang raya. selepas solat kami meneruskan pelayaran untuk meneruskan operasi. Suasana memang sangat berbeza dengan sambutan perayaan di rumah atau dikampung, yang ada hanya anak-anak kapal dan juga juadah raya yang kami masak sendiri. kebiasaannya memanglah tidak semeriah beraya di daratan, kami masak menu yang mudah disediakan seperti nasi impit, kuah kacang, mihun sup. ketupat lemang semua kami bawa yang segera dan rebus sahaja,”ceritanya tentang pengalaman beraya di lautan.
Ternyata bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti yang dikecapi oleh Leftenan Aida. harapan Aida kejayaannya itu akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk sama-sama menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Tiga tahun usia perkahwinan barulah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang diberi nama Rifqi Abshar yang kini berusia empat tahun. Benar ujian itu tanda Allah sayangkan hambanya, sekali lagi pasangan Nor Shamimi Ramli, 33 dan suami, Fairul Rafiq, 33 diberi dugaan apabila anak sulung mereka Rifqi disahkan mengidap Acute Lympoblastic Leukemia (ALL) Pre-B High Risk.
Tanyalah siapa pun, jika disoal tentang anak, pasti hati menjadi sayu saat dimaklumkan bahawa cahaya mata yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh, kini menderita dengan salah satu penyakit kronik. Lebih membuatkan jiwa meruntun apabila semakin hari keadaan kesihatan anakanda tersayang semakin merosot. Jika dahulu Shamimi dapat melihat anaknya itu aktif meneroka dunianya, tapi kini Rifqi hanya terbaring di katil memerlukan bantuan ibu dan ayahnya dalam menguruskan diri yang masih kecil.
“24 Jun anak saya Rifqi dimasukkan ke Hospital Shah Alam kerana demam. Anak saya juga pengidap G6PD Deficiency yang boleh menyebabkan Anemia. Pada ketika itu platlet darah anak saya ok cuma tekanan darah yang rendah. Lima hari berada di hospital kami dibenarkan pulang. Tapi dalam masa sebulan selepas keluar hospital saya dapati ada yang tak kena dengan Rifqi. Dia pucat, kurus dan tak tahu kenapa naluri saya mengatakan anak saya ni mengidap penyakit serius tapi saya tak sangka ia adalah Leukimia.”
“Awal bulan Ogos, Rifqi masih lagi demam, saya bagi paracetamol. Biasanya anak-anak saya kalau bagi ubat tu tiga kali suhu badan akan turun, tapi Rifqi tidak. Suhunya kekal 38 darjah. Keesokkan harinya saya dan suami ambil keputusan untuk bawa Rifqi ke hopital, ketika itu jam menunjukkan pukul 2 pagi. Saya terus ke kecemasan Hospital Shah Alam sebab saya yakin kalau di sana rawatan yang menyeluruh akan dibuat ke atas anak saya. Pukul 5 petang hari yang sama saya dapat keputusan ujian darah yang dilakukan kepada Rifqi. Berdasarkan tekanan darah dan platlet darah yang rendah, Rifqi disahkan mengidap Leukimia,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata ini.”
Memandangkan Hanya tiga hospital yang menyediakan rawatan dan mempunyai kepakaran untuk penyakit kanser, Rifqi di rujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas lima hari berada di Hospital Shah Alam.
“ Selepas lima hari di Hospital Shah Alam, dia dirujuk ke PPUM. Di sana dia dimasukkan ke wad Onkologi Pediatrik 5PA, PPUM. Sehari selepas dimasukkan di wad tersebut, Rifqi menjalani Bone Marrow Aspiration (BMA) dan dia disahkan menginap Leukimia. Namun keputusan risiko Leukimia tersebut hanya diketahui selepas enam minggu kami berada di PPUM.”
Perkembangan kesihatan Rifqi
Bercerita mengenai perkembangan kesihatan Rifqi, menurut Shamimi sejak didiagnos dengan penyakit tersebut, anaknya itu telah menjalani 10 kitaran kemoterapi. Namun keadaan Rifqi tidak menunjukkan kesan yang positif setelah menjalani salah satu kitaran kemoterapi dimana dia kini hanya mampu terbaring di katil.
“ Rifqi sudah berada di hospital sejak 12 Februari sehinggalah sekarang. Sudah hampir dua bulan kerana Rifqi dehidrasi selepas buat 1 protokol kemoterapi. Selepas rawatan tersebut juga dia tak boleh makan dan mengalami cirit birit. Sejak itu, Rifqi tidak minum setitik air pun dan dia tidak boleh bercakap tak fokus dan tak boleh bergerak kecuali ada refleksi seperti kesakitan dan sebagainya. Rifqi juga tidak boleh makan dan minum secara biasa. Kini hanya 100 peratus cecair yang masuk ke dalam badan anak saya.
“Sehingga sekarang sudah dua kali Rifqi menjalani prosedur MRI dan juga CT Scan dan pada 28 Mac yang lalu satu lagi prosedur dibuat iaitu Brain Biopsy untuk ambil sample tisu dalam kepala Rifqi. Prosedur Brain Biopsy ini dibuat untuk memeriksa jika terdapat virus atau radang pada otak Rifqi dan juga supaya kami tidak hanya meneka apa sebenarnya yang berlaku kepada Rifqi,”ujar Shamimi penuh tabah.
Hati siapa yang tidak sedih apabila mendapat perkhabaran duka tentang anak sendiri. Tambah pula mengenangkan anak yang masih kecil. Namun Syamimi bagaikan diberi kekuatan luar biasa saat diberitahu oleh doktor tentang penyakit anaknya itu. Dia redha dan berusaha untuk memberikan rawatan yang terbaik buat anak sulungnya itu.
“Ketika doktor maklumkan tentang penyakit Riqfi, saya tak menangis, mungkin diberi kekuatan oleh Allah dan naluri keibuan yang saya dapat rasakan anak saya memang ada penyakit serius buat saya jadi begitu. Namun jauh di sudut hati memang saya rasa sedih mengenangkan Rifqi yang kini tidak lagi seperti dahulu. Doa saya moga Rizqi kembali pulih dan membesar dengan sihat,”ujarnya Shamimi lagi.
Beraya di hospital
Penyakit yang dihidapi oleh Rifqi mula dikesan sejak dia pertama kali dimasukkan ke wad ketika mengalami Anemia pada 24 Jun tahun lalu. Sejak itu Rifqi mula menunjukkan simptom-simptom awal pengidap leukimia seperti demam bersilih ganti, pucat dan mengalami penurunan berat badan. Pada tarikh tersebut jugalah, sedang masyarakat Melayu lain bersiap-siap untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, Rifqi dikejarkan ke hospital kerana demam. Menurut ibunya sempatlah mereka beraya di Hospital memandangkan anaknya itu ditahan selama lima hari di sana.
“Ketika Rifqi mula demam pada penghujung bulan Jun tahun lalu, masa itu orang lain tengah bersiap-siap nak beraya. Tapi saya pula perlu berada di hospital kerana anak saya demam. Ketika itu Rifqi belum lagi disahkan mengidap Leukimia, tapi kerana dia dimasukkan ke hospital, saya sekeluarga beraya di hospital. Sempatlah kami sekeluarga berbaju raya di sana.”
“Wad memang kosong, dalam bilik untuk lima orang tu hanya saya dan anak saya sahaja. Masa raya memang tak ramai orang,” kongsinya Shamimi tentang pengalaman beraya di hospital setahun yang lalu.
Sokongan keluarga
Dalam menghadapi waktu yang sukar, keluarga memainkan peranan penting. Shamimi bersyukur mempunyai suami yang cukup penyabar dan bersama-sama dengannya bagi menguruskan anak yang sedang sakit.
Bukan itu sahaja, pasangan ini juga terpaksa berjauhan dengan anak keduanya yang dijaga oleh ibu Shamimi di Kedah bagi memudahkan urusan rawatan Rifqi di ibu kota. Secara luaran Shamimi memang kelihatan kuat dan tabah, tapi menurutnya hanya Allah sahaja yang tahu hati dan perasaannya menghadapi semua ini.
Sokongan daripada ibu dan ayahnya juga membuatkan pasangan ini terus kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang. Semoga Rifqi diberikan kesembuhan dan pulih seperti sediakala untuk membesar normal bersama rakan-rakan sebayanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Dek kerana rasa tidak puas hati dengan bekas teman wanita, pertemuan damai untuk menyelesaikan konflik hubungan bertukar menjadi tragedi berdarah apabila seorang lelaki dipercayai menikam mati teman lelaki bekas kekasihnya sebelum melarikan diri sejauh ratusan kilometer.