Ada benarnya kebersihan serta kesucian diri daripada najis jangan sesekali diambil ringan. Perlu tahu cara sebenar untuk membersihkan najis dan hadas sama ada kecil ataupun besar.Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak kecil, mak ayah lebih banyak ‘berurusan’ dengan air kencing, muntah, air liur basi mahupun najis anak.
Hati-hati cara kita membersihkannya, walaupun pada zahirnya mungkin nampak bersih tapi hakikat sebenar masih bergelumang dengan najis. Akibatnya solat mungkin tidak diterima dan doa tak dimakbulkan. Ini kerana ia menentukan sahnya amal ibadat yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.
Seorang ibu memandikan bayinya. Pampers dicabut lalu direndam si anak di dalam besen atau bekas mandian khas bayi.Selesai sahaja, diangkat bayi tadi dengan disiram sekali lalu (tidak rata) dengan keadaan kaki bayi yang masih menjulur lagi ke dalam besen yang bertakung najis.
Semasa anak kecil itu menunggu dipakaikan pampers, ia sudah terkencing. Terus si ibu mengelap dengan kain tuala yang digunakan juga untuk mengelap tubuh si anak, lalu baju pun disarungkan dengan tangan ibu yang telah terkena kencing si anak dan ibu ini meneruskan kerja-kerja yang lain tanpa membersihkan dengan baik kawasan yang terkena air kencing tersebut.
Ini kisah benar yang berlaku dan pelbagai macam ‘cara’ membersihkan najis yang salah serta dianggap remeh oleh segelintir kita.
Kita sedar atau tidak
1. Najis WAJIB dibersihkan dengan baik sehingga suci (hilang bau, warna dan rasa). Masyarakat kita menganggap najis itu adalah tahi sahaja. Sedangkan AIR KENCING juga adalah najis. Penyuciannya juga sama, wajib betul-betul bersih dan suci.
2. Besen yang direndamkan bayi tanpa menyuci dahulu kemaluan bayi yang terkena najis akan menjadikan seluruh air mandian tersebut telah tercemar dengan najis dan tidak dapat menyucikan lagi.
3. Tuala atau pakaian yang terkena air kencing bayi adalah najis dan jika terkena pakaian atau tempat lain ia boleh memindahkan najis tersebut.
4. Lantai tandas yang sudah terkena air kencing lalu tidak dijirus baik dan terkena pula pada pakaian atau badan adalah najis yang jika dibawa keluar akan memindahkan najis tersebut ke tempat lain.
Ads
5. Pakaian yang bernajis dipakai pula untuk solat serta solat ditempat bernajis tidak sah dan tidak diterima solatnya. Jika solat pun tidak diterima apatah lagi doanya.
Sedih melihat betapa kurangnya kefahaman kita tentang pengurusan najis. Segelintir kita mengangap asal tidak nampak betul-betul sebagai tahi ianya bukan najis. Ianya jelas kefahaman yang salah.
Tidakkah kita bertanya kepada diri ?
Mampukah kita mendidik baik anak-anak ini jika dari kecil tubuhnya bergelumang najis ?
Ibu ayah bergelumang dosa kerana pengabaian pendidikan thaharah dan penyuciannya ?
Lalu bagaimana solatnya, doanya harus diterima Allah ?
Ads
Akibatnya jauh lebih besar.Seisi keluarga solat tidak diterima, doanya tidak dimakbulkan, rumahnya menjadi tempat kotor persingahan syaitan, membesar anak-anak yang hatinya keras dan kematiannya dalam keadaan tercela dan diazab asbab daripada AIR KENCING .
Ianya bukan sekadar pendidikan “kebersihan” yang biasa-biasa, bahkan impaknya mampu memberi sebuah rasa ketenangan dan keharmonian dalam rumah tangga jika dijaga baik.
Belajar Semula Bab Taharah (Kebersihan)
Ingatan saya untuk para suami dan isteri…
Wahai para suami, didik dan berikanlah ilmu agama yang secukupnya bermula daripada aspek “kebersihan dalam Islam” yang kian dipandang ringan oleh kebanyakan keluarga Islam.
Tidak salah anda membuka kembali ‘ Pelajaran Thaharah’ memperbincangkannya dalam bulatan kecil bersama keluarga sehingga difahami keseluruhan ahli keluarga anda dengan baik.
Mana yang nampak salah tegur dan ajak bersama-sama diperbaiki. Perhati cara isteri mengurus najis anak kecil, dan tegur dengan cara yang berhikmah jika terdapat kelemahan atau kesalahan.
Perhatikan cara anak-anak menggunakan tandas, sediakan kemudahan yang perlu untuk memastikan mereka mampu menjaga adabnya dengan baik. Anak-anak lebih mudah dididik melalui teladan. Jadilah seorang suami yang kepimpinan dan kewibaannya bukan hanya terletak pada katanya tetapi teladan yang baik yang membentuk isteri dan anak lebih dekat dengan ketakwaan.
Wahai para isteri, masamu mengurus anak adalah lebih lama berbanding suamimu maka perkemaskan diri dengan ilmu yang dipraktikkan dengan baik dalam aspek kebersihan ini.
Kita penat menjerit memarahi sikap anak yang melawan kata, geram dengan perangainya yang keras hati lalu tidak menyelidik rupanya kita gagal BUKAN mengurus emosi mereka tetapi dari kecil kita sendiri melakukan dosa membiarkan anak dan rumah tangga begelumang najis, lalu mengharap anak mendengar kata ? sedangkan rumah tangga yang kita bina didampingi syaitan akibat gagal mengurus najis dengan baik.
Ads
Kain baju bernajis bercampur aduk, anak-anak masih kecil sebebasnya keluar masuk tandas tidak beralas kaki, air kencing…tahi..muntah dll diuruskan dengan ceteknya ilmu.
Mulianya seorang isteri apabila ‘lelahnya’ mengurus keluarga bukan setakat makan dan minum tetapi memastikan keluarganya terpelihara daripada mendapat azab-Nya sehingga tidak ada ganjaran yang lebih layak baginya melainkan syurga.
*Ambillah juga pengajaran buat semua terutama yang dipertangungjawab menguruskan bayi yang baru lahir samaada suami, isteri, ibu sendiri, ibu mertua, adik beradik atau sesiapa sahaja. Semoga Allah selalu memelihara dan merahmati.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Semoga kita tak terlepas pandang menyucikan najis ini kerana ini menentukan sahnya amal ibadat yang kita lakukan.
Perkara yang selalu bermain dalam fikiran ibu yang baru bersalin tentulah masalah nifas. Sebab ada sesetengahnya beberap hari sahaja dan tak kurang juga sampai berbulan.
Bukan itu saja, masalah nifas ini turut berlaku bila ia hanya keluar seakan ‘period’ iaitu 7 atau 8 hari saja. Inilah yang membuatkan ibu rasa was-was terutamanya bila ia melibatkan ibadah yang ingin dilakukan.
Bagi ibu-ibu yang baru bersalin, fahami betul-betul apa yang diterangkan oleh Che Engku Khairunnisa tentang masalah nifas ini. Moga ia memberi manfaat pada kita semua.
Hati-hati buat para ibu yang mempunyai masalah nifas yang terputus-putus dan berpanjangan selepas melahirkan.
Sudah acap kali ditanya oleh para ibu yang mempunyai masalah yang sama dan berulang kali cuba menjawab kerana memahami betapa resahnya untuk menentukan status darah yang melibatkan ibadah.
Darah nifas ialah darah yang hadir setelah kosongnya rahim daripada janin, sama ada daripada proses wiladah bayi hidup ataupun meninggal dunia juga keguguran, di sisi mazhab imam syafie.
Sepertimana yang kita semua maklum,
Nifas paling pendek : Satu lahzah, sedetik
Nifas paling lama : 60 hari
Nifas kebiasaan : 40 hari
Perlu di ambil perhatian darah di penghujung tempoh nifas. Kerana di penghujung nifas, yakni hari ke 60, ada dua status darah yang berbeza untuk dua situasi.
Darah nifas yang terakhir boleh bertukar status kepada HAID dan juga boleh bertukar kepada status ISTIHADAH.
Bagaimana?
1. Hari ke 60 nifas, tiada berhenti darah walau sedetik. Darah tetap terus menerus, maka darah yang tetap hadir pada hari ke 61, 62, dan seterusnya berlangsung selama 15 hari di panggil DARAH ISTIHADAH.
Wajib solat dan harus melakukan ibadah-ibadah lain dalam tempoh tersebut.
2. Adapun jika pada hari ke 60, darah nifas yang keluar terberhenti walau satu lahzah (sedetik, sesaat ) dan kemudiannya disusuli darah kemudiannya, maka darah tersebut dipanggil DARAH HAID, dan hendaklah ia berhukum dengan hukum kebiasaan haidnya sebelum ini.
Sentiasa menjadi pesanan buat ibu-ibu yang bertanya,
TAKE NOTE,
Pastikan sentiasa memeriksa kewujudan darah mahupun tidak terutama di penghujung nifas, kerana kalau kita cuai dalam mengambil berat, susah untuk tentukan apakah status darah tersebut,
Periksalah sekerap mungkin kehadiran darah, paling kurang di setiap waktu solat, agar ibu-ibu tahu waktu manakah ibu-ibu telah kering daripada darah.
Tambahan juga buat ibu-ibu yang mengalami darah nifas yang terputus-putus,
1. Jikalau darah nifas terputus-putus tidak sampai tempoh selangnya (suci) selama 15 hari, selagi mana masih dalam tempoh max nifas (60 hari), maka itu masih bergelar DARAH NIFAS.
2. Tapi jika sekiranya, darah nifas terputus (suci) selama 15 hari, walaupun masih dalam fatrah/tempoh max nifas (60 hari) maka darah itu sudah bertukar kepada DARAH HAID.
3. Jika sekiranya darah nifas sudah kering, tiada pada pad, tiada pada kapas apabila diperiksa, maka wajiblah mandi walaupun belum habis tempoh pantang 40 hari ataupun 44 hari, tak perlu tunggu.
Sekadarnya daripada Al-Faqirah.
Minggaun Wanita : Moga ia memberi panduan dan manfaat buat bakal ibu hamil dan yang telah melahirkan anak.
Manusia mudah lupa…Bila nikmat ditarik baru sedar. Bila sekali tergadah baru menyesal. Tapi menyesal pun sekejap sahaja, saat diduga kita bersolat namun ketika senang dan bahagia, kita lupakan Allah. Sebenarnya kita tidak sedar setiap ujian yang diberikan bukan sahaja Allah mahu menduga kita namun ia adalah ‘teguran’ Allah kepada kita. Mungkin selama ini kita leka sehingga tidak menjaga hubungan kita dengan Allah.
Maka Allah memberi ‘teguran’, sedikit nikmat kita ditarik agar kita insaf dan kembali kepada Maha Pencipta. Ramai antara kita yang hangat-hangat tahi ayam, berubah menjadi baik hanya seketika. Selepas itu hanyut kembali dengan keseronokan dunia.
Bila Nikmat Ditarik
Beruntung orang yang sedar dengan ‘teguran’ Allah dan dia berubah secara total dan konsisten. Berubah sedikit-sedikit atau perlahan-lahan, kesannya lebih bagus. Kita memberi peluang dan ruang kepada diri untuk bersedia.
Bercerita mengenai ‘teguran’ Allah, kita pasti berasa sangat sedih melihat insan-insan yang kita sayangi sedang merosakkan diri. Bukan sahaja tidak mengendahkan ‘teguran’ Allah malah seperti mencabar hukum Tuhan.
Semakin hari, semakin jauh dengan agama. Ada yang berasa bangga menyarung pakaian seksi ke kelab malam, teguran dan nasihat keluarga tidak dipeduli. Tukar pasangan seperti tukar baju. Keluarga stress memikirkan masalah ini namun tuan punya badan tidak juga mahu berubah. Malah bermusuh dengan keluarga sendiri kerana rimas dengan teguran dan nasihat.
Allah sudah beberapa kali memberi ‘teguran’ dan ‘amaran’ namun dia tidak endahkan. Ya Allah, kepada golongan sebegini, kita mohon kepada Allah agar mereka diberikan hidayah dimasukkan iman. Hanya doa yang dapat membuka hati golongan yang hanyut sebegini.
Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita dan dosa keluarga kita, semoga Allah memberkati hidup kita dan semoga kita mengadap Allah dalam keadaan yang baik. Janganlah kita meninggalkan dunia dalam keadaan aib dan sengsara.
Ya Allah, kami memang manusia yang penuh dengan kelemahan diri. Kami sering melakukan kesilapan yang kami tidak sedari dan yang kami sedar, ampunkanlah dosa-dosa kami. Berikan hidayah agar kami menjadi hamba-Mu yang bersyukur. Amin.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suatu ketika dahulu Siti Zulaikha Choo Abdullah, 29, pernah membenci Islam. Hanya dengan cabaran oleh salah seorang rakan kolej ketika belajar, wanita yang pernah dikenali dengan nama Choo Ti Ma ini amat membenci Islam, namun setelah diselami dan dipelajari, perasaan benci bertukar menjadi sebaliknya.
Peluang melanjutkan pelajaran ke Selangor telah memberi hikmah yang besar. Wanita yang mesra disapa dengan nama Zulaikha berasal dari Lundu, Sarawak ini mendapat hidayah Allah tatkala bulan Ramadan yang mulia. Melihatkan keberkatan yang ada pada bulan tersebut, menuntut dirinya untuk lebih mengenali agama Islam yang suci ini.
“Saya merupakan seorang yang sangat membenci Islam, hanya kerana kawan kolej cabar saya untuk ‘cari sebab kenapa saya membenci Islam’? Dari saat dan detik itulah saya mula mencari tentang agama ini. Saya nak buktikan kepada kawan saya yang Islam ni teruk, jahat. Tapi semakin saya mencari tentang Islam perasaan benci itu berubah menjadi suka, minat dan lebih kepada ingin tahu. Bertahun-tahun mencari tentang keburukan Islam tapi apa yang saya ketemu adalah ketenangan dan bukannya kebencian.
Sering menghadiri kursus untuk mendalami tentang Islam
“Apa yang boleh saya katakan juga saya tertarik dengan Islam kerana bulan Ramadan. Di daerah tempat saya tinggal di Sarawak bilangan penduduk di sana tidak ramai. Ketika di sekolah rendah hanya ada seorang pelajar Islam di sekolah saya. Jadi saya memang tak nampak cara-cara kehidupan orang Islam. Bila saya sambung belajar ke Selangor, saya mula nampak kehidupan orang Islam dengan lebih jelas terutamanya bila tibanya masuk bulan Ramadan. Saya tertarik bila melihat umat Islam bersama-sama ketika waktu berbuka dan seterusnya mengimarahkan masjid untuk solat sunat tarawih bersama-sama,” ujar Zulaikha.
Tidak Putus Asa
Setelah banyak belajar tentang Islam, hati Zulaikha mula terbuka untuk memeluk agama Islam. Namun ia ditentang oleh keluarganya yang merupakan penganut agama Buddha dan Kristian. Memandangkan dirinya jauh di perantauan, dia nekad untuk teruskan hasrat tersebut dan pada 2016 secara rasminya Choo Ti Ma memeluk Islam dan menukar namanya kepada Siti Zulaikha Choo Abdullah.
“Pada tahun 2015 saya dah nyatakan hasrat pada keluarga untuk pelukIslam tetapi ditentang oleh mereka. Tapi saya nekad dengan keputusan saya, kebetulan saya ikut kawan serumah balik ke kampungnya di Terengganu. Di sana saya memeluk Islam di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu pada 3 Januari 2016.
“Saya sembunyikan tentang pengislaman saya selama dua tahun. Namun sepanjang tempoh tersebut saya tetap pulang ke Sarawak seperti biasa terutamanya setiap kali perayaan Tahun Baru Cina. Setelah ada kekuatan mental dan fizikal akhirnya saya berterus terang. Saya kuatkan diri dan bersedia dengan segala kemungkinan.
“Apabila dimaklumkan sahaja, keluarga tidak dapat menerima saya. Namun, saya tetap berusaha untuk berbaik semula dengan keluarga sehingga sekarang walaupun saya masih tak diterima sepenuhnya,” ujarnya penuh sayu.
Tambah ZUlaikha lagi, kehidupannya juga kini berubah setelah menjadi seorang muslim. Dari suka bersosial, mengambil minuman beralkohol untuk mencari ketenangan, kini sedikit demi sedikit Zulaikha berubah ke arah kebaikan.
Menyertai salah satu aktiviti pengagihan bantuan kepada mualaf lain
“Dahulu saya boleh dikategorkan suka bersosial. Lepak dari malam hingga pagi. Pendek kata banyak habiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Tapi sekarang Alhamdullilah walaupun tidak sebaik dan sesempurna orang lain, saya mula berubah ke arah kebaikan. Kalau dahulu cepat marah, kini saya lebih tenang dan sukakan kedamaian. Doakan saya semoga ia berterusan dan berkekalan,” ujar anak bongsu dari tujuh orang adik-beradik ini.
Dugaan Demi Dugaan
Perjalanan Zulaikha untuk terus mendalami Islam bukanlah mudah, sudahlah ditentang keluarga malah ada juga teman-teman yang seolah tidak menyokong keputusan yang diambilnya itu.
“Awal penghijrahan saya amat terkilan bila rata-rata kawan saya yang beragama Islam menjauhkan diri dari saya kerana mereka merasakan saya memperlekehkan mereka dari segi penampilan, sikap adan amalan sebagai muslim. Majikan dan kakitangan bukan Islam di tempat kerja pula tak boleh menerima saya dan merasakan Islam itu punca utama saya harus dibuang kerja. Setiap hari saya disindir, di maki,” katanya dengan nada sedih.
Walaupun terpaksa lalui pelbagai rintangan untuk menjadi seorang muslim yang sempurna, itu semua tidak menjadi penghalang buat Zulaikha. Dia yang turut aktif menghadiri kursus-kursus yang disediakan untuk saudara-saudara baru.
Rakan-rakan yang banyak membantu
“Saya banyak ikuti kursus-kursus yang dianjurkan untuk saudara baru, contohnya di Selangor, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyediakan kelas-kelas fardhu ain khas untuk mualaf. Memandangkan saya bekerja pada waktu siang, saya akan hadir kelas pada waktu malam. Pada masa yang sama saya turut mengikuti kelas belajar al Quran berbayar bagi memantapkan lagi pengetahuan saya,” katanya lagi.
Ternyata apabila memeluk Islam, satu perasaan yang cukup indah mendatangi Zulaikha. Kini dia berasa lebih tenang, aman dan damai.
“Bagi saya setiap apa yang berlaku menjadikan saya lebih reda dan percaya ada hikmah tersembunyi disebaliknya,” ujar Zulaikha mengakhiri perbualan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Model Rusia buat laporan polis selepas jadi mangsa komen lucah, dimalukan ketika makan berseorangan di restoran. Seorang wanita warga Rusia tampil membuat laporan polis...