Hidayah itu milik Allah dan Dia beri kepada seseorang itu dengan pelbagai cara. Siapa sangka dalam bulan yang penuh keberkatan ini, malahan dalam 10 hari terakhir Ramadan, seorang pemuda dari Sabah telah memeluk agama Islam. Beruntung, bila dia mengucapkan kalimah itu di hadapan Datuk Seri Dr Zulkifli itu sendiri.
Inilah antara perkongsian daripada Ustaz Dr. Khairuddin at-Takiri.
Beruntungnya seorang insan bernama Jackie Jamior Jepol atau nama Islamnya Afiq Iman.
Ads
Di bulan Ramadhan yang mulia ini menjadi saksi seorang lagi insan terpilih melafazkan dua kalimah syahadah.
Berumur 27 tahun dan berasal dari Penampang, Sabah, beliau melafazkan syahadah di hadapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di pejabat beliau di Putrajaya sebentar tadi.
Ads
Turut sama hadir, wakil dari Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dan JAWI. Bapa saudara Afiq Iman berjumpa dengan SUSK YB Menteri Dr. Khairuddin, Ust Radhi dan berpeluang berjumpa Dr. Zulkifli dan mengucap dua kalimah syahadah.
Dr. Zulkifli turut berpesan kepada Afiq Iman dan menerangkan kepadanya tentang Islam dan keindahannya serta dijelaskan bahawa Islam tidak sama sekali menghina agama lain.
Suatu ketika dahulu menjadi kebiasaan bagi umat Islam berkirim dan berbalas kad raya apabila tibanya syawal. Siapa sangka, sempena musim Covid-19 ini, amalan yang lama ditinggalkan hidup kembali.
Seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Nadzrul Zarfan Sharul Azly telah menghantar kuih-muih dan kad raya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Oleh kerana terharu dengan pemberian itu, beliau berjanji akan membalas semula kad raya yang dikirim.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zukifli Mohamad Al-Bakri terharu menerima kad raya dan hadiah kuih-muih daripada seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Nadzrul Zarfan Sharul Azly.
Luahan itu dikongsi di Twitter rasminya yang turut mengingati ucapan nasihat daripada kanak-kanak berusia 11 tahun itu serta mengucapkan terima kasih di atas pemberian tersebut.
“Pakcik amat terharu dgn surat anakanda. Pakcik akan ingat nasihat dan pesan anakanda. Siap ada pantun; Pecah kaca, pecah gelas, Lepas baca, harap balas.
“Insya-ALLAH nanti pakcik balas kad raya ni,” ciapnya pantas menarik perhatian ramai.
Dalam isi kandungan surat tersebut juga menyatakan keinginan Nadzrul Zarfan untuk berkolaborasi bersama Dr Zulkifli menghasilkan buku Bayyan Linnas versi komik untuk kanak-kanak.
Buku itu juga dikatakan mampu menarik kanak-kanak untuk menuntut ilmu agama kerana konsep komik lebih santai, menarik dan mudah difahami.
Terdahulu, Nadzrul Zarfan pernah tular di laman sosial selepas mengutus surat kepada pengurusan sebuah surau yang menghalangnya solat di saf pertama sehingga mendapat perhatian Dr Zulkifli yang ketika itu masih menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Sumber: Sinar Harian
MW: Tahniah kepada mak, ayah adik Nadzrul Zarfan yang berjaya mendidiknya menjadi anak yang baik dan mempunyai akhlak yang mulia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tegurannya tentang sikap malas segelintir masyarakat Melayu yang menjadi punca kemiskinan. Dan kemalasan itulah yang membuatkan kemiskinan sukar dibanteras dalam kehidupan mereka.
Menerusi akaun facebooknya, yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, beliau berkongsi catatan.
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.
Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong.
Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan.
Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan.
Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ “Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ “Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Demi rasa rindu, seorang ayah yang berasal dari Kuala Terengganu sanggup mengambil keputusan untuk berjalan kaki dari Johor semata-mata ingin bertemu anak dan keluarga tercinta. Benarlah kasihnya seorang hingga dia menutup mata. Betapa besarnya kasih sayang seorang ayah sanggup memerah tenaga dan kudrat demi insan tersayang.
Namun hasratnya tidak kesampaian dan Allah lebih menyayanginya apabila dia ditemui meninggal di tepi jalan di Muadzam Shah. Walaupun sedih keluarga arwah yang tidak mampu menanggung kos pengebumian redha dengan pemergian arwah.
Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Muadzam Shah, dipercayai berjalan dari Segamat, Johor menuju ke kampung halamannya di Kuala Terengganu, kelmarin.
Pengerusi Eksekutif Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia, Rafie Zainal, berkata mangsa yang berusia 30 tahun itu disahkan positif COVID-19 selepas ujian saringan ketika bedah siasat dijalankan terhadap jenazahnya yang dibawa dari Hospital Muadzam Shah, ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang, semalam.
"Arwah dikatakan terlalu rindukan anaknya di kampung menyebabkan dia berkeras untuk pulang dengan berjalan kaki, selepas sekian lama terpisah dengan keluarga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.
"Ada sumber memaklumkan kepada kami, arwah ada melintasi sekatan jalan raya (SJR) dan anggota bertugas melihatnya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya.
"Atas ihsan mereka, arwah diberikan makanan dan dinasihatkan untuk tidak meneruskan perjalanannya. Namun, dia berkeras untuk berjalan pulang sejak Jumaat lalu," katanya ketika dihubungi.
Keluarga Mencari Arwah
Rafie berkata, waris lelaki itu ada meminta pihak berkuasa mengesan kedudukan arwah selepas gagal dihubungi kerana bimbang terhadap keselamatan dirinya.
"Menurut kakak arwah yang menghubungi kami, arwah adiknya itu sangat bertanggungjawab pada keluarganya. Walaupun terkejut dengan khabar berita kematian adiknya itu, dia dan keluarganya tetap reda dengan apa yang berlaku," katanya.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan oleh pihak hospital mengenai waris arwah tidak mampu untuk menanggung kos pengebumian sebanyak RM1,500.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat itu, mereka membantu urusan pengebumian arwah, termasuk membeli keranda serta menempah kubur dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi pengendalian jenazah pesakit COVID-19.
Katanya, ia termasuk kaedah tayamum untuk solat jenazah dengan jenazah dibalut dua lapisan plastik, tiga lapisan kain dan dua kali proses sanitasi dilakukan sepanjang urusan pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, Pahang, hari ini.
Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia
"Sepanjang tiga jam urusan pengebumian itu, kami perlu memakai Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi mengelak jangkitan Covid-19.
"Cuaca agak panas ketika proses pengebumian itu dan kami perlu mengambus tanah secara bergilir-gilir selepas jenazah dimasukkan ke liang lahad.
Kematian ke-110
Dalam sidang media hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kematian ke-110 (kes ke-6,743) lelaki warganegara Malaysia berusia 30 tahun yang ditemui mati di Rompin.
Katanya, ujian sampel COVID-19 diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020 dan kes di bawah siasatan pihak polis dan Pejabat Kesihatan Rompin, manakala punca jangkitan belum dikenal pasti serta masih dalam siasatan.
Sumber: Berita Harian
MW: MW mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkannya di kalangan para solihin. Semoga perkongsian ini dapat memberi iktibar dan menjadikan setiap dari kita untuk lebih menghargai seorang ayah yang sanggup mengorbankan jiwa dan raga demi orang tersayang.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Teruja melihat pengantin perempuan mengundi hari ini, tetap meluangkan masa untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.