Dah berbulan tak balik kampung, rindunya tak terungkap. Tapi apakan daya masa PKP ni duduklah diam-diam kat rumah ye. Rutin hidup sekarang tak sibuk macam dulu, lagilah rasa rindu pada mak ayah. Kenangan membesar di kampung pun bermain di fikiran. Bila dah jadi macam ni baru tahu nikmatnya balik kampung.
Kebanyakan kita tidak tinggal di kampung halaman. Ramai yang berhijrah ke bandar baik mencari rezeki mahupun melanjutkan pelajaran. Penghijrahan ini menjadi detik baru dalam kehidupan kita.
Hijrah Dari Kampung Ke Bandar
Segalanya serba baru, teman-teman, kediaman dan suasana. Ketika kita sibuk menyesuaikan diri, hati ibu bapa di kampung sangat gundah gulana. Mak ayah bimbangkan keselamatan kita, mereka juga risau andai kita tidak cukup makan. Tapi percayalah sebenarnya bukan itu yang paling sukar buat mak ayah tetapi perkara yang lebih perit apabila mereka terpaksa berpisah dengan anak-anak.
Hati mak ayah begitu berat melepaskan anak pergi namun mereka relakan demi masa depan. Keizinan dan kerelaan mak ayah ini begitu tinggi nilainya, mereka berkorban jiwa dan raga semata-mata mahu melihat anak berjaya.
Si anak yang dulunya melanjutkan pelajaran di bandar besar kini sudah selesa hidup sebagai warga kota. Tamat pengajian, langsung bekerja di bandar. Sekali lagi mak ayah redha dengan keputusan kita untuk mencari nafkah jauh di perantauan.
Dalam keghairahan kita membina kehidupan baru di kota, ada kala kita terlupa bertanya khabar mak ayah. Alasan kita sering dihambat masa, sebab itu tidak sempat menelefon mak ayah.
Ads
Aduhai! Sudah-sudahlah memberi alasan. Kita yang mesti mengatur masa bukannya mengikut masa. Luangkan masa untuk menghubungi mak ayah di kampung, berbuallah dengan mereka. Usaha yang sedikit ini besar maknanya kepada mak ayah kita. Mereka rasa gembira dan dihargai apabila anak yang jauh, yang sibuk dan berpangkat menelefon bertanya khabar. Mak ayah terharu apabila kita masih ingat kepada mereka.
Balik Selalu…
Bila keadaan dah pulih nanti, pulanglah ke kampung. Ziarah mak ayah, peluk cium mereka. Selagi kita ada kemampuan dan sihat, pulanglah ke kampung. Kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita dan bila masanya mak ayah kita akan pergi mengadap Ilahi.
Betapa girangnya hati mak ayah menyambut anak pulang, makanan kegemaran disediakan agar anak tersenyum. Tempat tidur ibu siapkan agar anak selesa. Begitulah seronoknya mak ayah apabila kita pulang.
Tak Mampu Balas Jasa
Kita tidak mampu melayan mak ayah kita sebagaimana mereka lakukan. Lihat sahaja ketika mereka berkunjung ke rumah kita. Makanan kebanyakan kita beli di kedai kerana sibuk, tidak sempat memasak.
Paling sedih, apabila kita meninggalkan mak ayah di rumah kerana terpaksa bekerja. Kita biarkan tv yang menemani mereka. Mak ayah faham situasi kita yang bekerja dan sibuk, mereka tidak merungut. Tapi ketahuilah jauh di sudut hati, mereka pasti berasa sedih dengan layanan kita.
Saya tidak terkecuali berdepan dengan situasi ini kerana komitmen kerja. Saya putuskan mengambil cuti dan pulang ke kampung menziarah mak ayah selalu. Kerja memang tak pernah habis, tapi masa bersama mak ayah akan berlalu. Ingat ye, masa tak boleh patah balik.
Lagipun saya lebih seronok menghirup udara segar di kampung dan lebih indah dapat meluangkan masa bersama mak ayah tanpa dibebani urusan kerja. Pulang ke kampung juga mengimbau kenangan dan asal usul kita.
Percutian yang paling indah apabila kita berada di sisi insan-insan tersayang di kampung halaman. Baliklah kampung selalu, jangan bagi macam-macam alasan. Air mata gembira mak ayah, keindahan yang tidak dapat diungkapkan.
Bebel sebab sayang, bebel sebab amanah. Sayang semua.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Diam tak diam, bayi kesayangan rakyat Malaysia, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin ini dah semakin pulih dari sakit ketumbuhan dalam mulut yang pernah dialami sebelum ini, ‘Germ Cell Tumor’.
Makin comel dan lasak, tak reti duduk diam pun iya. Hal ini diakui sendiri oleh ayahnya, yang bimbangkan keadaan anaknya, Ainul yang mula menolak bila mahu dipakaikan oksigen.
Sehingga usia Ainul ketika ini, dia masih perlu bergantung dengan bantuan Oksigen. Maka, mak ayahnya lah yang perlu memujuk malah berjaga di malam hari bagi memastikan Ainul mendapat bekalan oksigen secukupnya.
Biar pun diuji dengan anak sakit, kedua ibu bapa ini cekal dan sentiasa positif. Malah, kegigihan mereka membesarkan Ainul dengan sabar menjadi inspirasi ibu bapa di Malaysia yang berdepan ujian anak sakit.
Kongsi bapa Ainul, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, “Lasak sangat dah dia ni. Langsung dah tak mahu pakai oksigen. Selalu minta didokong dan bawa berjalan. Suka betul dia.
Ini gambar dia tengah termenung sebab kena ” cas ” sekejap. Dah main-main, lepas tu ainul kena cas oksigen semula supaya dia tak kekurangan oksigen. Lepas tu sambung main semula.
Tapi masalahnya cas tak sampai 5 minit, dia dah cabut balik. Kesian orang yang menjaganya!”
Tak mudah sebenarnya nak beri Ainul pakai oksigen ini. Katanya lagi, “Betul-betul dah tak reti duduk diam. Lepas tu dah reti cabut oksigen. Ainul macam dah tak nak pakai. Ya, part ni yang kena risau sikit. Sebab bila malam time tidur dia cabut, naya je. Tapi so far kami suami isteri memang tidur tak nyenyak mana pun bila malam hari. So kalau Ainul terbatuk sikit je kami memang lekas bangun tengok ainul.
“Tapi apa pun alhamdulillah. Keadaannya semakin baik. Akal pun makin panjang. Puasa tahun lepas adalah waktu sukar yang dilalui Ainul. Tapi puasa tahun ini, Ainul semakin pulih.
Ramadan ini pun Ainul dah pandai menutup alat bantuan pernafasan (trancy) dengan tangan sendiri dan mengeluarkan suara. Perkembangan positif Ainul ini tentunya menggembirakan kedua ibu dan ayahnya.
Berbeza dengan Ramadan sebelumnya, ibu dan ayah ini diuji Ainul sakit ketumbuhan dalam mulut ‘Germ Cell Tumor’ sehingga memaksa mereka mendapatkan rawatan untuk anaknya.
Malah seminggu sebelum Aidilfitri, mereka diterbangkan ke London untuk Ainul menjalani pembedahan di sana. Ainul juga pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London, UK pada 10 Jun lalu.
Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tegurannya tentang sikap malas segelintir masyarakat Melayu yang menjadi punca kemiskinan. Dan kemalasan itulah yang membuatkan kemiskinan sukar dibanteras dalam kehidupan mereka.
Menerusi akaun facebooknya, yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, beliau berkongsi catatan.
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.
Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong.
Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan.
Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan.
Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ “Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ “Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.
Semua ini sebab sayanglah, maka ibu pelakon dan usahawan pasaraya terkenal, Datuk Rosyam Nor ambil keputusan gantung banner depan rumahnya.
Kalau tak sebab sayangkan nyawa anak-anak dan orang lain, mana mungkin ibu Rosyam tega menggantung banner permohonan maaf siap-siap tak terima kunjungan tetamu pada Hari Raya tahun ini.
Menerusi perkongsiannya di instagram, Rosyam menjelaskan tindakan keluarganya menggantung banner itu, Biahsudin (Wok) bersebab. Bila anak-anak buat keputusan tidak pulang berhari raya, maka dengan memaklumkan di banner.. tiadalah orang lain datang berkunjung ke rumah mereka.
“Sebab Gantung Banner kerana takut kami tak balik, orang lain pulak datang.”
“Kalau raya rumah mak aku jadi tumpuan beratus anak cucu, anak cucu saudara. Sebab dalam keluarga mak aku, dia saja yang masih hidup. Jadi anak cucu semua akan bertandang.”
“Maafkan kami sekeluarga. Untuk kebaikan bersama.”
“In Sha Allah ada umur tahun depan kita Raya Sakan okey.” Rayunya di dalam instagram miliknya.
Bak kata Rosyam, ini pesan ibunya, “Video Call Aje’ sambil menunjukkan isyarat tangan tanda ‘good’.” Bermakna anak-anak, sanak saudara perlu akur dengan permintaan keluarga Biahsudin ini yang terpaksa tidak menerima kunjungan tetamu.
“Sebab #sayangmak”
Ianya sebagai, “menyahut arahan kerajaan dan KKM. Walaupun rumah mak aku dekat KG. Melayu Subang aje. 10 minit dari rumah aku. Tapi sebab mak dah umur 80 tahun, kami sekeluarga dan keluarga adik-beradik yang semuanya tinggal di KL ambil keputusan tidak balik kampung beraya tahun ini.”
Ketika ini.. dalam keadaan sekarang, inilah tindakan terbaik yang boleh dicontohi rakyat Malaysia demi memerangi Covid-19. Kerana ketika ini wabak Covid-19 masih lagi bebas, boleh menular sesiapa saja tanpa mengenal warna, umur, rupa malah pangkat.
Dan sehingga saat ini, penjarakan sosial masih terus diamalkan oleh rakyat Malaysia di negara ini. Biarpun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membenarkan lawatan ke rumah keluarga terdekat, jiran dalam satu daerah pada Hari Raya pertama sahaja, tetap keluarga Rosyam ambil langkah berjaga-jaga.
Ya.. inilah norma baru yang terpaksa ditelan oleh seluruh rakyat Malaysia buat masa ini.
MW : Kuatkan semangat duhai rakyat Malaysia. Kita masih belum menang. Bila mana ada negeri Zon Hijau dilaporkan naik satu kes baru, itu bermakna kita perlu berjaga-jaga dan jangan terleka. Bersabarlah dan teruslah berdoa, semoga tuhan memberi kemudahan untuk rakyat Malaysia tempuhi ujian yang tersangat getir ini. Kekallah #DudukRumah.
Kisah Allahyarhamah Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, menjadi tumpuan dan tular apabila dia yang sepatutnya mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Mohamad Alif Iskandar Azhar, 24, pada 26 Jun ini namun tidak kesampaian.