Allahu.. pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Berang, Mohd Ismail, 64 yang diuji kehilangan tiga anak serentak dalam tragedi lemas di Sungai Terengganu, dekat Kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu, semalam tak berdaya menghantar jenazah ketiga-tiga anaknya ke Tanah Perkuburan Islam Alor Lombat, Rawai Bukit Payung di Marang.
Biarpun sebelum ini, sudah empat tahun menjadi tugas bapa ini menghantar jenazah lain ke tanah perkuburan. Malah akuinya, sejak bekerja membawa van jenazah, sudah hampir 40 jenazah yang dibawanya ke tanah perkuburan.
Tetapi tidak kali ini. Tidak berdaya kudrat ayah ini untuk mengiring ketiga-tiga jenazah anaknya ke tanah perkuburan.
Perasaan sebaknya tak dapat ditahan-tahan apabila melihat tiga keranda anak-anaknya berada di ruang tamu rumah. Bertambah hilang daya upayanya untuk membawa sendiri jenazah anaknya itu ke rumah terakhir anak-anaknya kelak.
“Orang lain satu keranda saja tapi saya sampai tiga, terus rasa lembik tengok tiga keranda anak-anak saya ini dibawa ke rumah.
“Saya terus rasa tak berapa kuat semangat, sedangkan sebelum ini sering memberi nasihat itu kepada orang lain.”
Biarpun masih lagi dalam keadaan terkejut, bapa ini redha dengan kehilangan ketiga-tiga anaknya itu. Rasa kesyukuran dipanjatkan kerana usaha pasukan keselamatan mencari mayat anak-anaknya dapat ditemui selepas 18 jam operasi mencari dimulakan.
Ads
Mayat mereka ditemui antara jam 9.50 pagi hingga 12.40 tengah hari.
Permintaan terakhir anak-anak; mahu dipeluk.. mahu bergambar baju sedondon.
Ketiga-tiganya Anak Harapan Keluarga
Ketiga-tiga jenazah anaknya, Allahyarham Umar Iskandar Mohd, 21, Khairul Firdaus Mohd, 17 dan Khalid Naim Mohd, 16 merupakan anak keempat, keenam dan ketujuh dari lapan beradik.
Mereka menjadi harapan keluarga malah anak yang baik dan bertanggungjawab.
Allahyarham Umar menuntut di Universiti Malaya (UM) berimpian menjadi pakar matematik, Allahyarham Khalif Naim pula belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang dan mahu menjadi kadi.
Ayah mereka ini nampak akan kesungguhan anak-anaknya belajar malah selalu mengingatkan mereka agar belajar bersungguh-sungguh memandangkan mereka bukan orang senang.
Namun, hasrat ketiga-tiga anak ini tidak kesampaian apabila mereka terlebih dahulu meninggalkan ahli keluarga tercinta.
Mohd Ismail tak berdaya menghantar jenazah ketiga-tiga anak ke tanah perkuburan
Bapa Redha.. Orang Kata Mati Lemas Jadi Syahid
“Saya redha kerana orang kata mati lemas jadi syahid. Dan hadiah untuk mak ayah. Sebalik yang buruk ada baiknya.”
Jenazah tiga beradik ini selamat tiba di perkerangan rumah keluarga jam 4 petang hari ini. Selepas disembahyangkan di rumah keluarga, ketiga-tiga jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Alor Limbat, Rawai, Bukit Payung di Marang.
Ads
Untuk dikebumikan dalam satu liang lahad berhampiran pusara ibu mereka.
Semoga bapa ini tabah dan cekal menghadapi ujian hebat Ilahi ini. Dua tahun lalu, Malaysia juga pernah digemparkan dengan tragedi lemas melibatkan 6 orang anggota penyelam Bomba ketika misi menyelamatkan mangsa lemas.
Sebagaimana yang pernah dikongsikan oleh Datuk Dr Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika beliau menjadi Mufti Wilayah Persekutuan, yang mengambil ikhtibar tragedi itu sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis :
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (653)
MW : Al Fatihah.. semoga Allahyarham Umar Iskandar Mohd, Khairul Firdaus Mohd dan Khalid Naim Mohd ditempatkan di taman-taman syurga dalam kalangan orang-orang yang beriman. Didoakan agar seluruh ahli keluarga ini tabah menghadapi ujian hebat ini.
Ada apa sebenarnya dengan resepi kari ayam viral YouTuber pasangan suami isteri Sugu Pavithra ini? Bukan saja orang Malaysia, malah vlogger Jepun ichang RM pun gigih cari daun pisang, buat sendiri rempah kari dan mencuba resepi kari ayam yang S pavithra, 28 kongsikan dalam channel YouTubenya.
Yang pasti rata-rata warganet yang mencuba akan membuat perkongsian semula dan mengakui akan keenakan resepi kari ayam Sugu ini. Paling menarik, ada pula yang menikmati masakan mereka itu di atas daun pisang.
Kerana, setiap kali selesai memasak, Pavithra dan suami, M Sugu, 29 malah dua orang anak-anaknya akan makan bersama-sama. Masakan kari ayam Sugu ini lebih enak dinikmati di atas daun pisang. Terasalah nanti feelnya yang berbeza itu.
Dalam channel Sugu Pavithra ini bukan sekadar ada resepi kari ayam, macam-macam resepi masakan India disampaikan dalam Bahasa Melayu yang jelas dan mudah untuk difahami. Paling penting, lemah lembut gaya penyampaiannya.
Kalau tak berapa nak dengar tu.. kenalah kuatkan volume ya. Sebab memang macam tulah gaya Pavithra bercakap; lemah lembut dan nama keikhlasannya nak berkongsi resepi itu. Tak perlu pun nak dibuat-buat.
Walaupun suami isteri ini tiada Instagram dan Facebook, tapi di laman Facebook sendiri ramai yang berkongsi masakan kari ayam ikut resepi Sugu Pavithra ini.
Rata-rata kata “Sedap! satu rumah bau wangi kari”. Malah ada yang planning nak mencubanya waktu sambut Aidilfitri nanti.
Resepi ‘Kari Ayam Pencen Paling Sedap’ yang Sugu Pavithra share pula dah cecah sejuta lebih penonton. Bermakna sampailah ilmu memasak tu dekat ramai orang.
Sedikit info untuk anda ketahui latar belakang YouTuber Sugu Pavithra. Mereka menetap di kuarters ladang swasta, ladang Elphil yang disediakan oleh majikan suami di Sungai Siput, Perak.
Pavithra sendiri merupakan seorang suri rumah sepenuh masa yang berasal dari Buntong, Ipoh dan berbangsa India. Selama ini, suaminya lah yang menyara kehidupan mereka sekeluarga sebagai pekerja ladang kelapa sawit.
Jika selama bersiaran sejak bulan Januari lalu, mereka cuma menggunakan peralatan dapur periuk, kuali malah sudip biasa. Selepas channel YouTubenya mula dikenali, ramai yang mula menunjukkan tanda sokongan.
Ada yang menghadiahkannya peralatan dapur canggih seperti pressure cooker (periuk tekanan), hand mixer (pengadun tangan dan ketuhar. Yang mana, semua itu tak pernah pun dimilik oleh Pavithra seumur hidup.
Dan katanya, dia yang menghargai pemberian itu tak patah semangat, sebaliknya akan berusaha mencuba dan menghasilkan resepi menggunakan peralatan yang diperoleh.
Bila masa Pavithra rakam video YouTube nya ini? Jawapannya, sebaik suami pulang dari tempat kerja atau pada hari cuti.
Kisah Pavithra ini sememangnya memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia dalam pada musim Perintah Kawalan Pergerakan mencegah Covid-19 ini. Lagi-lagi bila ramai #DudukRumah , baik isteri mahupun suami banyak habiskan waktu memasak di dapur.
MW : Semoga Sugu Pavithra terus sukses dan membangga rakyat Malaysia dengan usaha murni mereka.
“Ko kaya Alhamdulillah. Kaya bukan tiket you untuk hina orang lain”. Ini reaksi Azza Elite terhadap individu yang memuat naik status menyindir surirumah yang membeli handbag tiruan untuk bergaya time raya.
Menerusi posting di Instagramnya, Azza mengatakan sepanjang dia melakukan kerja amal di Facebook dan Instagram, wanita yang memakai handbag biasa inilah golongan suka menderma.
“You tau kalau I buat charity dalam FB or IG orang yang mana mula sedekah dulu. Let me tell you sister, orang yang pakai bag biasa ini lah yang keluarkan duit. I selalu tengok orang yang betul kaya, they will never hina orang lain,”ujar Azza.
Dalam posting itu juga, Azza menegaskan dia sengaja menconteng nama individu yang memuat naik posting itu kerana tidak mahu pengikutnya pergi ke page tersebut.
“Orang dah tak buat marketing sampah macam ni. Orang pergi page you, orang kecam you. You boleh hidup kena macam tu. I is kenot brain…What a cheap marketing.
“Kaya tu biar budiman. Sister kita hidup makin berisi makin tunduk ke bumi ok. Jangan mendongak ke langit kalau jalan, takut jatuh ke bumi sakit nanti,”tegas Azza.
Azza sempat berpesan agar individu tersebut tidak berlagak kerana katanya orang yang pakai hand bag biasa itulah yang selalu bantu peniaga.
Posting itu bukan sahaja menarik perhatian Azza Elite malah turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Rata-rata netizen menyelar tindakan individu yang tidak bertanggung jawab tersebut yang dikatakan terdesak menjual produk dengan menggunakan strategi pemasaran ‘murahan’.
Sumber Instagram azzaelite
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mufti Perlis, Professor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkongsi tegurannya tentang sikap malas segelintir masyarakat Melayu yang menjadi punca kemiskinan. Dan kemalasan itulah yang membuatkan kemiskinan sukar dibanteras dalam kehidupan mereka.
Menerusi akaun facebooknya, yang lebih dikenali dengan panggilan Dr Maza, beliau berkongsi catatan.
Hari ini, saya kembali mengiringi DYTM Raja Muda Perlis dalam kayuhan MAIPs Peduli. Disebabkan PKPB, maka jumlah kami tidak ramai dan in sha ALLAH telah mematuhi SOP yang ditetapkan. Tujuan kayuhan seperti biasa ialah untuk menyantuni asnaf, mengambil tahu perkembangan dan keperluan mereka.
Mohon maaf, kali ini saya ingin meluahkan rasa yang terpendam selama ini dalam coretan kali ini. Dukacita dan sedih, terdapat rumah asnaf yang miskin yang kami lawati begitu kotor halaman dan kawasan rumah mereka. Padahal, untuk mencuci atau membersihkan sampah sarap tersebut, tidak memerlukan belanja, cuma perlu sedikit kerajinan.
Bayangkan, walaupun mereka tahu bahawa rombongan bersama DYTM Raja Muda akan ke rumah mereka untuk memberikan wang sumbangan, tapi tiada sedikit pun usaha untuk membersihkan kawasan rumah sendiri. Padahal tubuh masih sihat. Lebih daripada itu, tempoh PKP dan PKPB sekitar 2 bulan mereka sentiasa di rumah, gagal dimanfaatkan untuk kemaslahatan diri sendiri. Ini bukan kes terpencil. Sering kami saksikan.
Satu perkara yang sering saya luah dalam ucapan dan kuliah saya sejak dahulu, bahawa salah satu punca utama kemiskinan, iaitu kemalasan. Orang utara sebut dalam bahasa pasar yang agar kasar balo’. Lebih keras lagi disebut bolo’ liat. Ertinya, pemalas yang amat. Walaupun, kita sedar terdapat mereka yang miskin tapi rajin berusaha, cuma peluang belum muncul.
Golongan miskin tapi rajin tidak termasuk dalam apa yang hendak saya bicara di sini. Harap jangan ada yang tersalah sangka. Mereka terkecuali dari perbincangan. Ini terutama anak-anak yang miskin disebabkan keadaan keluarga, mereka yang ditimpa bencana, kekurangan peluang dan seumpamanya. Golongan ini, -in sha ALLAH- jika mereka rajin berusaha, suatu hari nasib mereka akan berubah.
Saya kembali ingin membicarakan golongan yang miskin disebabkan kemalasan ini. Sesiapa yang pernah berpengalaman berurusan dengan golongan ini, akan faham apa yang saya coretkan ini. Golongan ini seakan-akan selesa dengan kemiskinan yang membolehkan mereka mendapat bantuan orang lain tanpa perlu bekerja keras.
Gambaran kehidupan yang miskin itu seakan mahu mereka jadikan identiti diri bagi membolehkan segala bantuan yang diminta diperolehi dengan mudah. Di Perlis, MAIPs telah membina ribuan rumah untuk golongan miskin. Bukan sedikit, berjuta-juta telah dibelanjakan. Ada yang berusaha ke arah yang lebih baik, namun ada yang mengecewakan. Ada yang menerima rumah yang cantik dan teratur, namun apabila kita datang semula beberapa bulan, rumah bertukar menjadi kotor. Lalang dan rumput di keliling rumah tidak dipotong.
Sampah-sarap menghiasi dalam dan luar rumah. Kerjanya hanya bersandar menunggu bantuan. Tubuh masih sihat, tapi mempunyai pelbagai alasan. Demikianlah kemalasan mencengkam kehidupan mereka.
Kediaman kita sekalipun lama dan tidak mewah, jika ada kerajinan boleh dibersih dan dikemaskan. Bahkan boleh bercucuk tanam sayur-sayuran asas yang sekurang-kurang dapat menjimat sebahagian belanja dapur. Hari ini, dalam pasu dan tin kosong pun boleh diusahakan tanaman. Tapi, kalau pemalas, kerjanya hanya tidur dan duduk saja menunggu bantuan orang menjelma.
Bukan sahaja malas berusaha untuk kehidupan dunia, bahkan malas untuk akhirat juga. Pada wajah mereka tidak terlihat tanda dan sinar insan yang bersujud pada Tuhannya. Jika dijemput mereka datang untuk bantuan di masjid, kita meminta bersolat dahulu, mereka datang selepas solat jamaah selesai lantas terus duduk. Jika kita beri bantuan dan meminta selepas menerima bantuan tunggu solat berjamaah bersama, mereka lari selepas wang diberikan.
Kalau diminta datang bantuan di masjid pada Hari Jumaat, ada pula yang mewakilkan isteri, atau anak perempuan untuk ambil bantuan. Si bapa ‘kabur’ dari Solat Jumaat. Walaupun, bukan semuanya begitu, tapi jumlah yang sebegitu juga bukan sedikit.
Saya percaya MAIPs akan mengambil langkah memerangi kemalasan sebelum cuba mengatasi kemiskinan. Insan kurang upaya, orang tua yang uzur, orang yang ditimpa bencana, anak-anak yang masih kecil dan seumpama mereka, yang hidup dalam lingkungan kemiskinan, mereka mempunyai keuzuran dan alasan. Golongan ini patut diutamakan. Adapun yang berbadan sihat yang meminta-minta atas alasan tiada kerja, golongan ini mesti disemak. Mereka ini sering menjadikan anak-anak kecil mereka alasan kukuh untuk mereka mendapat bantuan. Malangnya, sebahagian mereka mengambil kesempatan untuk bertambah malas dengan bantuan yang diberikan.
MAIPs sebenarnya telah menyediakan terlalu banyak program untuk memajukan asnaf dengan membekalkan mereka kemahiran dan modal. Ratusan juta dibelanjakan untuk pelbagai latihan dan pendidikan supaya kehidupan asnaf berubah dan mampu berdiri sendiri. Alhamdulillah, banyak juga yang berjaya. Ramai yang sudah tidak miskin lagi, khususnya yang muda. Namun, golongan pemalas juga masih banyak. Peluang pekerjaan dicari dan diberikan.
Seminggu dua mereka bekerja, kemudian mereka lari. Saya masih ingat, kami bermesyuarat menghantar sejumlah golongan miskin mengikuti kursus menjadi pemandu lori kontena canggih. Elaun kursus MAIPs berikan, pihak syarikat juga bantu. Selepas itu, akan diserap terus bekerja yang pendapatannya sekitar 4 ribu ringgit sebulan. Malangnya, sebahagian besar lari balik rumah. Atas alasan tak biasa duduk luar lama-lama. Itulah syaitan kemalasan yang menguasai urat nadi sebahagian manusia.
Hal ini sebenarnya, bukan sahaja di Perlis, tapi di semua tempat dan negeri. Meriwayatkan hal ini memang merobek perasaan kita sendiri. Namun, suka atau tidak suka, kita kena akur bahwa bukan sedikit ‘melayu yang malas’. Dalam masa yang sama, juga memang akur ramai juga Melayu yang rajin dan berjaya. Namun, kita tidak boleh nafikan masih ramai orang kita sangat pemalas. Inilah juga sebabnya, kita gagal dalam bersaing dengan pihak lain. Akhirnya, kita hanya menyalahkan pihak lain semata, lalu melupakan penyakit malas yang ada dalam masyarakat kita.
Kemalasanlah yang menyebabkan ramai orang kita kerja ‘lebih-kurang’. Produknya tidak berkualiti. Sehingga masyarakat kita sendiri kadang-kala terpaksa mengutamakan produk pihak lain di sudut kualiti dan kesungguhan. Natijahnya, peniagaan orang kita tidak berdaya saing di sudut kualiti, ataupun di sudut kesungguhan kerja. Dengan saya akur, ada banyak juga produk orang Melayu-Muslim yang berkualiti dan sangat bagus.
Berjihad menentang kemiskinan tidak akan berjaya jika kita tidak berjihad menentang kemalasan. Saya melihat, -dengan izin ALLAH- harta dunia ini dapat diperolehi dengan pemikiran yang bijak walaupun usahanya tidak begitu hebat. Jika akalnya hebat dan usahanya juga hebat, dengan izin ALLAH pasti banyak rezekinya. Kedua, harta dunia diperolehi dengan kesungguhan usaha walaupun kebijaksanaan tidak begitu tinggi. Dengan kerajinan akan membina pengalaman. Dengan pengalaman, orang kurang bijak akan membuat keputusan yang bijak. Akhirnya, dengan kerajinan dan pengalaman, rezeki yang banyak -dengan izin ALLAH- hadir ke dalam kehidupan.
Sebenarnya, memerangi kemalasan itu adalah tanggungjawab kita dalam beragama. Sabda Nabi s.a.w: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ، فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ، فَيَبِيعَهَا، فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ “Jika seseorang kamu mengambil talinya, kemudian membawa satu ikatan kayu api di atas belakangnya lalu menjualnya, -dengan sebab itu ALLAH memelihara maruahnya- maka itu lebih baik daripada dia meminta-minta kepada manusia, samada mereka memberikannya atau tidak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Anas bin Malik r.a فَكُنْتُ أَسْمَعُهُ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَنِ، وَالعَجْزِ وَالكَسَلِ، وَالبُخْلِ وَالجُبْنِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ “Aku mendengar Nabi s.a.w sering berdoa: “Ya ALLAH sesungguhnya daku berlindung denganMU daripada kerisauan dan dukacita, daripada lemah dan malas, daripada kebakhilan dan kebaculan, daripada bebanan hutang dan daripada ditewaskan oleh orang” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Maafkan coretan ini. Namun, ia sesuatu yang terpaksa diluahkan demi kepentingan kita semua. Masyarakat muslim kita ramai yang berharta dan suka membantu. Alhamdulillah. Namun, jika kita tidak teliti dalam strategi kita membantu, saya bimbang kita bukan berjaya menghapuskan kemiskinan tapi meramaikan lagi golongan pemalas. Untuk memberikan bantuan dengan gambar yang gah mungkin mudah. Namun, untuk mencabut akar masalah, mungkin tidak semudah sekadar menghulurkan bantuan wang ringgit. Kita perlu gembeling tenaga mengubah mentaliti dan sikap ‘malas’. Inilah -in sha ALLAH- usaha yang mesti kami di MAIPs laksanakan.