‘Hanya tinggal sendirian, tak berdaya.’ Sambutan aidilfitri sudah tidak bererti lagi. Benarlah apa lagi maknanya syawal bila kita tinggal sendiri tanpa keluarga di sisi.
Apatah lagi hidup dalam serba daif, pasti hari raya tidak jauh bezanya dengan hari-hari suram yang ditempuh setiap hati.
‘Akui cuai, abaikan carseat, tali pinggang.’ Ibu ini syukur suami, anak selamat. Tiada kata selain syukur alhamdulilllah apabila keluarga kecil ini terselamat daripada kemalangan yang berlaku.
Namun dari rakaman video dashcam ramai netizen berkongsi rasa berdebar dengan kemalangan yang berlaku. Mujurlah keluarga Nur Diyana ini selamat semuanya dan hanya mengalami keceraan ringan.
Tetapi trauma yang dialami tentu saja akan dikenang sampai bila-bila. Ikuti perkongsian Nur Diyana ini dan hadam baik-baik peringatan yang disampaikan:
Saya mungkin akan kehilangan anak dan suami malah nyawa saya sendiri semalam. Syukur, Maha Baiknya Allah, kami bertiga terselamat.
Semalaman saya muhasabah diri. Terkebil-kebil sehingga lewat malam. Badan sakit sana, sini cuma mungkin masih terkejut, saya tidak mampu tidur.
Satu-satu ingatan datang.
Saya bukan isteri dan ibu yang baik. Bahkan masih belum mampu berbakti sebaiknya pada ibu ayah dan adik beradik saya. Saya juga bukan kawan yang baik.
Paling teruk, saya sedar saya bukan hamba yang taat, yang menjadi wajib bagi saya seperti solat dan aurat juga masih lompang, apatah lagi menghidupkan amalan-amalan lainnya.
Saya kira, “aku masih muda. Belum 30 pun…” jadi mestilah umur saya masih panjang sehinggalah saya sendiri berdepan dengan detik detik yang mengingatkan saya kematian itu begitu hampir.
Misal kata ada bas mahupun lori treler meluncur laju di laluan tersebut semalam, ataupun suami merempuh penghadang jalan, pasti kami bertiga sudah menjadi sekujur tubuh yang sudah sejuk, dibalut kain kafan saat ini, menanti detik detik untuk ditalkin dan disemadikan. Saya tidak mungkin lagi mampu mengarang panjang tulisan ini.
Pemandangan di wad kecemasan hospital semalam benar-benar menginsafkan saya. Beberapa minit sebelum ambulans yang membawa saya dan anak tiba, ada kes kemalangan juga.
Ketika kami sampai, darah mangsa membasahi lantai hospital dan akhirnya saya sendiri menjadi saksi sekujur tubuh yang parah tadi dibawa keluar ke rumah mayat menjelang waktu senja.
Kalau tidak kerana Allah SWT mengizinkan peluang bernafas buat kami, tentu saja yang terbaring di troli itu adalah salah seorang dari kami atau boleh jadi kami bertiga.
Saya dan anak terpelanting dalam kereta dan menghempap suami, dalam keadaan terkejut, suami terus tanya “ayang okay?” dan saya hanya mampu mengangguk laju. Sepertinya bingung.
Ditolaknya saya dan anak keluar dari tingkap sedangkan dia sendiri masih berusaha keluar dari tempat duduk pemandu. Beberapa minit selepas kejadian, saya mula rasa nafas menjadi pendek, seperti sesak nafas.
Kawasan perut dan dada mula sakit, suami minta supaya kami dibawa pergi dengan ambulans. Syukurlah, semuanya baik-baik saja. Saya dan suami masing-masing cuma mengalami luka dan cedera ringan di beberapa bahagian otot, sepertinya terkehel.
Apa yang saya ingat, saya dengar ada suara dari orang ramai yang turut membantu kami “tolong ada baby, ada baby”. Mereka segera bantu kami keluar dari kereta tanpa bimbang kereta kami mungkin akan meletup. Ada insan berhati mulia yang menarik saya dan anak untuk duduk di kereta mereka sedang langit masih renyai.
Bimbang katanya anak saya terkena hujan. Disuruhnya saya bertenang. Tapi sayang, “Kereta apa ? Bagaimana rupa orangnya?”..Saya gagal ingat dengan jelas.
Cuma kalau sampai tulisan ini kepada tuan, puan yang membantu kami sekeluarga semalam, cuma Allah SWT sahajalah yang mampu membalas budi baik kalian kepada kami.
Diharapkan dengan ujian yang sedikit ini, moga moga ia menjadi satu permulaan baru untuk kami meniti usia yang tersisa. Menjadi suami dan isteri yang sentiasa menghargai kehadiran satu sama lain, menjadi ibu bapa yang penyabar, menjadi anak yang berbakti, menjadi kawan kawan yang menyenangkan dan yang paling utama menjadi hamba yang patuh pada Illahi.
Entah esok atau lusa, tidak ada lagi peluang untuk saya bernafas lagi, mungkin sudah sampai masa untuk saya benar-benar pergi tak kembali.
Izinkan saya simpan tulisan ini di sini untuk memori.
Lebuhraya KL-Karak,
KM 71.5 Arah Barat.
16 Mei, 2:07 petang.
Manakala di ruangan komen, Nur Diyana turut berkongsi keadaan terkini anaknya.
Alhamdulillah terima kasih semua atas kasih sayang dan doanya. Moga-moga doa kalian Allah terima.
Bagi yang bertanya tentang anak saya Maryam, alhamdulillah Maryam baik-baik saja. Waktu kejadian, Maryam baru selesai menyusu.
Khilaf saya, saya tak letakkan Maryam di car seat dan saya juga tak pakai tali pinggang. Pada percaturan saya, “kan lagi senang nak menyusu”. Selang beberapa minit selesai menyusu, kejadian ini berlaku…
Saya cuma sempat peluk erat kepala dan badan anak dan membongkokkan badan saya menutupi anak, pegang anak sekuatnya kerana bimbang dia terpelanting ke jalan, sebelum saya bersama anak terpelanting dan terguling dari tempat duduk kami.
Saya akui ini salah saya, saya cuai, mengabaikan car seat dan tali pinggang…
Moga ibu bapa lain sama sama ambil iktibar dari apa yang terjadi pada saya..biarlah anak saya menangis di car seat lepas ni dari saya menangis kalau apa apa terjadi pada dia.
Saya sangat yakin kalau saya tak peluk erat anak semalam, sudah tentu dia yang paling teruk terpelanting, terhantuk malah mungkin terhempap dengan badan saya sendiri atau barang barang lain dalam kereta
Dari sini selain tali pinggang dan carseat, kita dapat faham betapa pentingnya :
Saya sangat sangat sarankan semua kawan kawan untuk pasanglah dashcam. Harganya siap pasang sekitar RM 700 juga tapi percayalah memang berbaloi.
Masa kejadian, ramai juga yang datang marah-marah kepada suami dan cakap “Macam mana ko boleh langgar kereta depan???”
Eh, bila diingatkan balik, jadi sakit hati sendiri sebab dah lain pula ceritanya. Sudahlah kami sendiri pun masih terpinga-pinga dengan apa yang jadi, badan pun sakit, tiba-tiba disalahkan pulak.
Malah, ada yang cakap suami saya bawak kereta laju sedangkan saya sangat yakin kelajuan kereta kami di tahap yang selamat, beberapa km saja lagi kami sudah sampai pun ke susur keluar Bentong.
Kami bawa juga rakaman dashcam ini ke balai, biarlah ia diadili dengan sebaiknya.
Mingguan Wanita : Pantang maut sebelum ajal, alhamdulillah ketiga-tiganya selamat. Semoga keluarga kecil ini dipermudahkan urusan dan kembali pulih seperti sediakala.
DJ Lin berkongsi rezeki dengan saudara mara, mahu anak teruskan amalan bersedekah. 1 Syawal pasti memahat detik indah pada setiap umat Islam.
Malah ibu tunggal yang juga pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid atau lebih popular dengan panggilan DJ Lin juga bermurah hati dengan mengamalkan sedekah ketika menziarahi sudara mara yang uzur.
Malah penyampai radio Suria FM ini juga mahu anak-anaknya juga meneruskan amalan bersedekah akepada mereka yang kurang bernasib baik. Wanita yang kuat bekerja itu mahu anak-anaknya tahu, amalan berkenaan sememangnya dituntut agama.
Ketika bertemu dengan DJ Lin baru-baru ini, ibu kepada Nureen Aresya, 21, dan Nazren Asyran, 19, seperti mana orang lain begitu teruja untuk pulang ke kampung menziarahi sanak saudara yang telah lama tidak bertemu.
“Tahun ini saya agak sibuk dengan urusan kerja dan hanya dapat cuti raya beberapa hari sahaja. Namun saya mahu mengambil kesempatan itu untuk melawat sanak saudara yang sudah uzur dan berusia dengan berkongsi sedikit rezeki serta kegembiraan bersama mereka.
“Saya mahu jejak mereka yang sudah lama tidak berjumpa, sekali gus memberikan contoh pada anak-anak saya agar meneruskan amalan tersebut sampai bila-bila,” luah DJ Lin yang bakal berangkat ke Eropah pada minggu kedua Syawal bagi mengikuti Persidangan Radio Eropah yang berlangsung di Sweden.
Seperti mana yang diketahui ramai, ibu kepada DJ Lin kurang sihat. Kesempatan pulang berhari raya bersama bonda tercinta sangatlah ditunggu-tunggu.
“Keadaan kesihatan ibu sekarang tidak begitu baik di mana dia kini mengalami strok, selain menjalani rawatan dialisis sejak empat tahun lalu.
“Saya dan adik-beradik yang lain memainkan peranan sendiri membuat pelbagai persiapan untuk menyambut raya seperti keperluan ibu, kelengkapan rumah, juadah dan sebagainya.
“Apatah lagi ibu lebih suka anak-anak menyediakan sendiri juadah berbanding membeli yang telah siap.
“Jadi kami akan masak dan anyam ketupat sama-sama setiap kali menjelang raya, tidak kiralah sibuk macam mana sekali pun,” kata DJ Lin yang tetap meluangkan masa bersama ibu tersayang walaupun dirinya terlalu sibuk bekerja.
Siapa sangka bertahun-tahun telah menjalani rawatan kesuburan, berkali-kali juga telah gagal, namun rezeki wanita ini hamil dan dikurniakan anak pada usia 50 Tahun! Ternyata perancangan dari Tuhan adalah yang terbaik dan jangan sesekali pernah berputus asa.
Seorang wanita yang mempunyai masalah kesuburan akhirnya hamil pada usia 50 tahun selepas beberapa kali gagal dalam rawatan kehamilan yang dijalani selama bertahun-tahun, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Christine Boama, yang baru menyambut ulang tahun kelahiran pertama anaknya pada minggu lepas berkata, dia telah mencuba pelbagai rawatan kesuburan termasuk gagal dalam rawatan persenyawaan in vitro (IVF) berkali-kali.
Wanita yang berasal dari Lancashire, England itu berkata, selepas berkahwin pada usia 42 tahun, dia menyangka akan hamil dalam masa setahun.
“Saya membesar dalam sebuah keluarga yang besar. Ibu saya mempunyai sembilan adik beradik selain salah seorang ibu saudara mempunyai enam anak.
“Bagaimanapun, selepas setahun berkahwin, saya masih belum hamil dan pada 2015, saya membuat keputusan untuk melakukan rawatan IVF,” ujarnya.
Tambah Boama, disebabkan terlalu ingin mempunyai anak, dia menjalani rawatan IVF dengan penuh komitmen dan berasa sedih apabila kitaran pertama menemui kegagalan.
“Saya menjalani begitu banyak ujian, saringan dan mengambil ubat-ubatan. Emosi saya amat rapuh dan saya tidak pernah diberitahu oleh doktor tentang mengapa saya sukar untuk hamil,” katanya.
Tambah Boama, selepas dua minggu usianya mencecah 50 tahun, dia menyedari tidak didatangi haid seperti biasa dan menyangka sudah mengalami menopaus.
“Namun, apabila melihat terdapat dua garisan muncul pada kit ujian kehamilan, saya hanya mampu merenungnya kerana berasa amat terkejut .
“Selepas bertahun-tahun menjalani rawatan sehinggakan sudah terlupa bilangan rawatan yang dilakukan, akhirnya saya disahkan hamil enam minggu oleh doktor,” jelasnya.
Pada 18 Mei tahun lalu, Boama selamat melahirkan anaknya. Dia berharap agar pendedahan kisah tersebut dapat memberi semangat kepada wanita lain di luar sana yang mempunyai masalah sepertinya.
Mingguan Wanita: Tahniah buat wanita ini akhirnya hamil dan mempunyai anak sendiri. Paling penting tetap berusaha dan jangan sesekali berputus asa.Semoga menjadi inspirasi buat wanita lain yang mengalami nasib yang sama.