Curang itu pilihan, masalah yang sering berlaku pada pasangan suami isteri. Kadang-kadang ia berlaku bukan kerana tidak sayangkan pasangan tapi ada yang anggap sebagai suka-suka.
Inilah daripada suka-suka terus bertukar menjadi sayang dan wujud orang ketiga sehingga berlaku pergolakan dalam rumahtangga. Mula perkatakan curang itu satu kesilapan dan lebih teruk menyalahkan takdir sehingga berlaku perkara seperti ini.
Curang boleh berlaku, baik pada suami mahu pun isteri. Hanya sekadar suka-suka atau nak ‘test market’ tapi akhirnya boleh memberi bahan pada rumahtangga sendiri.
Tak mustahil juga curang kerana meraskaan rumahtangga yang dibina dengan pasangan tidak lagi berseri, pasangan mula berubah dan hidup rasa kosong.
Janganlah begitu, kenapa perlu memilih curang, sedangkan pasngan sudah berkorban seluruh hidupnya untuk bersama suah dan senang. Tak perlulah nak salahkan orang lain atau takdir bila berlakunya keadaan ini.
Masalah yang boleh kita lihat bila, salah seorang melayan, akan wujudkan keadaan ini. Sedangkan kalau kita tak melayan, perkara ini tidak akan berlaku. Seperti apa yang dikongsikan oleh Rohana Saad ini.
Sahabatku sekalian, amatlah penting untuk kita memastikan diri kita dan pasangan, gembira dalam rumahtangga kita. Mungkin bagi diri kita, semuanya lengkap dan sempurna.
Ads
Namun, perkara yang sebaliknya dirasakan oleh pasangan. Jadi, pasangan akan mencari seseorang untuk mengisi kekosongan jika dia rasa terabai atau terasing.
Biasanya perempuan payah nak curang, setia dah sebati dalam diri. Bila dah jadi isteri tak kuasa dah nak pandang lelaki lain kecuali sesekali terpegun dengan artis lelaki yang hensem di kaca tv.
Tapi tidaklah sampai menggedik, kalau terjadi juga isteri berlaku curang mungkin bersebab, cuba tenguk apa suami dia dah buat pada hubungan mereka.
Hidup Susah Bersama
Impian seorang isteri hidup susah senang dengan suami. Bukanlah kekayaan dan kemewahan.
Cinta dan sayang yang ikhlas. Bukan curang yang menyakitkan. Jangan mulakan perbuatan curang, sebab sekali curang ia menyebabkan pasangan terluka.
Hati yang terluka tak mungkin kembali seperti asal, beringatlah. Kalau nak setia, bila berjauhan pun boleh setia. Kalau nak curang duduk sebelah pun boleh curang. Yang penting hati.
Curang tak akan berlaku jika si dia tak melayan. Bila si dia melayan barulah orang ketiga mengayat.
Ads
Jadi jangan salahkan orang yang ketiga sahaja. Salahkan kedua-dua sekali.
Tak Perlu Salahkan Takdir
Curang itu pilihan, bukan kesilapan. So, jangan salahkan orang lain dan jangan salahkan takdir. Kalau dah pilih untuk setia tak akan sanggup nak mendua.
Sesiapa yang tercurang atau sedang tersondol suami orang, jangan sampai nasi dah jadi bubur. Bawak-bawaklah bertaubat.
Ingatlah, jangan pernah bina kebahagian atas kelukaan, penderitaan orang lain. Jangan buat orang lain menangis kerana memenuhi keinginan kita.
Betul, bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Hati tidak akan bertaup andai tidak dilayan.
ALLAH itu Maha Adil. Kifarah, what you give you get back. Nafsu kadang-kadang menidak logik akal. Jadi berpandukanlah akal setiap dari tindakan kita.. Insya Allah.
Ads
MW: Jangan mulakan dan lukakan perasaan pasangan, Luka itu akan menjadi parut yang tidak akan hilang.
Group khas buat semua wanita B40 dan M40 yang mahu bangkit maju dari kehidupan sekarang menerusi perkongsian tip, promosi kursus anjuran Mingguan Wanita, perkongsian kisah inspirasi wanita. #langkahyakinlakarkejayaan
“Marhaban Ya Baby Girl, Izinkan Papa Mencium Bau-Bauan Syurga..” itu luahan kegembiraan pelakon Norman Hakim,42 ketika mencium bayi perempuan mereka yang baru sahaja dilahirkan jam 12.52 tengahari semalam. Bayi dengan berat 3.35 kg yang masih belum diberikan nama ini merupakan puteri pertama hasil perkongsian hidup dengan pelakon Memey Suhaiza,30 selepas mendapat 2 orang putera.Sekaligus ia merupakan anak ke-enam Norman Hakim, termasuk anak hasil perkahwinan terdahulu.
Norman mengumumkan kelahiran dan mengucapkan kesyukuran atas kelahiran bayi tersebut didalam statusnya di Instagram.
“ALHAMDULILLAH SYUKUR TERIMA KASIH YA ALLAH…
“Alhamdulillah isteri saya dah selamat lahirkan baby girl seberat 3.35 kg secara normal jam 12.52pm tadi”
“Terima kasih diatas doa kalian yang tak putus-putus..Aamiin Ya Rabb”
Didalam posting yang lain pula, Norman memberitahu bahawa isterinya telah mengalami mild contraction sejak dari pagi. Pelakon ini juga ada meminta para peminat dan pengikutnya mendoakan keselamatan dan proses kelahiran yang dilalui isterinya berjalan lancar.
“Masa ‘macam dah time’..a mild contraction from this morning.Mohon doakan jugak untuk wifey SUHAIZA BINTI SUHAIMI semoga dilancarkan dan dipermudahkan proses kelahiran.Baby tunggu abang @danishhakim_243 balik,tu yang dia tak sabar nak keluar…BISMILLAH”
Sementara itu, terdahulu dalam posting di Instagram Memey Suhaiza pula, ibu kepada Muhammad Darwisz Hakim, 5, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3 ini ada memohon maaf sekiranya dia ada membuat kesalahan sama ada dalam keadaan sedar atau tidak.Malah Memey turut meminta pengikutnya di laman sosial Instagram mendoakan dirinya dan bayi dalam kandungannya dapat dilahirkan dengan selamat.
“Saya minta maaf ya kalau saya ada salah silap sama ada sedar atau tidak. Doakan saya dan baby selamat.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Semoga Allah membalasnya.
“Okey, sah nak bersalin hari ini. Sampai hospital, Dr Zarina Bibi periksa rupanya (bukaan) dah 5 cm,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Norman Hakim dan Memey Suhaiza. Semoga kelahiran bayi ini menambah kebahagiaan dan memberikan rezeki yang melimpah ruah buat keluarga.
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bulan puasa ini bukan main berbelanja sakan, lepas raya jatuh sengkek. Alasannya sambut raya setahun cuma sekali, maka yang sekali itulah mak mak kena raikan dengan sakan.
Persiapan raya kena paling tip top, belanja sakan asalkan kita jadi makhluk paling meriah Aidilfitri nanti. Tukarlah segalanya serba baru. Tak ada pun yang tertinggal. Baju baru, kasut baru, dekor rumah baru, segalanyalah serba baru.
Hujung-hujung.. kita melopong sebab duit makin susut. Jadilah kita makhluk paling sengkek walaupun gaji baru je masuk beberapa hari.
Walaupun ini kaedah lama, tapi keberkesanannya masih tersangatlah relevan untuk mak-mak. Bahagikan kepada sampul bajet hari raya.
Dalam bajet hari raya bahagikan lagi kepada sampul duit raya, belanja dapur, balik kampung dan sebagainya. Sediakan untuk sambutan selama beberapa hari.
Asingkan juga sampul untuk perbelanjaan lepas raya. Yang itu tak boleh usik isinya melainkan telah habis anda beraya sakan.
Siap-siap Sediakan Barang Dapur
Bermakna anda sudah membeli untuk advance lepas raya. Misalnya beras, telur, sardin tin, bawang, ikan bilis dan sebagainya. Yang mana, ini untuk kegunaan lepas raya.
Jika terover belanja sekali pun anda sudah ada makanan kering yang boleh menampung keperluan harian selepas raya. Tak perlu lagi susah hati ketakcukupan bahan makan.
Tahan Hati, Nafsu Dan Emosi
Tiga benda ini kalau orang perempuan tak jaga ikutkan kehendaknya memang boleh ‘meletop’. Sebab itulah kena belajar tahan keinginan. Hish! Kalau ikutkan memang semualah nak dibeli.. Kesian anak tak pernah rasa.
Lagipun bukan selalu beli. Setahun sekali je. Haa.. fikiran macam inilah yang paling bahaya. Boleh jadi punca belanja sakan tak hengat nanti. Kena ingatkan diri, belanjalah seadanya. Tuhan sayang orang yang tak membazir.
Walaupun tip ini ringkas, namun jika mak-mak tak kawal belanja tu dari awal.. ia boleh jadi amat menyakitkan lepas raya nanti. Jangan pulak set kat kepala nak guna duit raya anak. Sebab ustaz kata, kalau dah terpakai mak ayah wajib ganti tau.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
6 tahun jaga suami terlantar parah akibat kemalangan, isteri diuji pasangan berkahwin lain. Pengorbanan seorang isteri menjaga suami yang terlantar akibat kemalangan jalan raya...