Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Ads
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Ads
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Ads
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Hari ini media sosial tular dengan kisah ibu kelar anak sendiri yang berusia 2 tahun di Jengka. Sedih dan kasihan dengan nasib anak kecil itu. Namun segalanya berlaku sekelip mata.
Dari apa yang dikatakan si suami, isterinya yang berusia 31 tahun ada mempunyai simptom depression atau halusinasi dan tidak pernah mendapat rawatan di mana-mana pusat kesihatan mental.
Halusinasi yang dialami si ibu merupakan salah satu tanda bahawa si ibu mempunyai kecelaruan mental yang mana sering tidak dipandang berat dan diremehkan atas alasan si ibu mengada-ngada ataupun sengaja mencari perhatian.
Apa yang pelik, suaminya sendiri tak sangka anaknya yang sudah sedap tidur tetiba boleh jadi mangsa kelar ibu sendiri. Allahurabbi… inilah yang kita takut.
Cerita Dari Pihak Suami
Kalau ikutkan cerita dari pihak suaminya berusia 42 tahun, dia sempat menidurkan mangsa, anak bongsunya yang berusia setahun tujuh bulan di ruang tamu rumahnya sebelum kejadian tragis itu berlaku.
“Saya menidurkan anak sambil menonton perlawanan bola sepak di televisyen manakala isteri berada di dalam bilik tidur kerana mengaji selepas selesai menunaikan solat maghrib.
“Memang menjadi kebiasaan, saya akan menidurkan anak dan isteri akan membawa anak masuk ke bilik selepas solat. Saya berasa curiga apabila mendengar suara rengekan anak kerana setahu saya, dia sudah tidur.
Sebenarnya ada beberapa tanda yang menunjukkan seseorang itu berkemungkinan mengalami gejala kemurungan selepas bersalin tetapi anda tidak perasan. Jadi untuk lebih dekat dengan isu ini, jemput baca perkongsian Bonda Nor ini…
Ibu Kelar Anak
Jangan main-main dengan emosi wanita.
Kes ibu kelar anak. Kes ibu campak bayi dari rumah flat tingkat atas. Kes meroyan. Kes isteri lari dari rumah. Kes ummul mukminin cemburu hingga pecahkan mangkuk di depan Rasulullah.
Kes emosi seorang wanita.
Saya mohon, masyarakat – khususnya suami dan keluarga terdekat jangan pandang remeh bila seorang wanita kelihatan sudah mula beremosi.
Bantu dia. Ratibkan zikir dan doa di dalam hati kita. Peluk. Pujuk.
Wanita ketika sedang penat atau tidak sihat sangat mudah beremosi. Wanita yang sedang emosi sangat perlukan perhatian. Jangan ditinggalkan. Kalau dia mahu luah perasaan, biar dia luahkan. Dengar saja. Jangan bantah apa-apa.
Wanita ketika sedang beremosi hanya perlu melepaskan apa yang terbuku di dadanya. Dia ingin keluarkan rasa sesak yang mengganggu. Ketika ini, otaknya tepu. Jiwanya beku!
Maka jangan masukkan apa-apa lagi. Ini bukanlah masa yang tepat untuk memberikan nasihat, apatah lagi untuk berdebat.
Waktu seorang wanita sedang diamuk perasaan, syaitan berkerumun di sekelilingnya. Waktu ini, setinggi mana pun ilmunya, mungkin terbang entah ke mana. Sekukuh mana pun imannya, mungkin dia akan tewas juga.
Peluk Dan Pujuklah Isteri
Jadi jangan marah seorang wanita ketika dia sedang marah. Bantu dia melepasi saat sukarnya. Jangan umpan lagi kemarahannya hingga dia buat kesilapan yang akhirnya dia sendiri sesali. Tenangkan saja seorang wanita yang sedang dirasuk emosi. Peluk. Pujuk.
Nanti bila dia sudah tenang, bila fikirannya sudah kembali rasional, bila apa yang tersumbat di dadanya sudah keluar, sudah lega, nasihatilah dia. Insya-Allah ketika ini, nasihat kita masuk macam air. Cair dan mengalir.
Seorang wanita itu dianugerahi Allah sifat yang sangat teliti. Kerana teliti, dia boleh menguruskan banyak hal-hal rumahtangga secara terperinci. Namun kerana teliti juga, adakalanya dia menyusahkan diri sendiri. Hal-hal yang kecil bagi seorang lelaki mungkin dianggap besar baginya.
Tegurlah jika dia tersalah. Tapi tegurlah pada masa yang betul.
Sungguh sifat seorang wanita dan lelaki tidak sama. Kemampuan mengawal emosi juga tidak sama. Maka cubalah fahami perbezaan ini. Insya-Allah, banyak masalah dan musibah dapat dijauhi.
“Wanita itu dijadikan dari tulang yang bengkok. Kalau dibengkokkan, semakin bengkok. Kalau diluruskan, ia patah. Kalau dibiarkan, ia terus bengkok. Maka nasihatinya dengan kata-kata yang baik.”
Ini Rasulullah yang pesan. Saya cuma sampaikan. Pesanan yang sudah cukup menggambarkan betapa tidak mudahnya mengendalikan emosi seorang wanita. Justeru, berhikmahlah.
Lelaki, jangan cuma mahu terima seorang wanita dalam keadaan cantik manisnya saja. Belajarlah juga menerima dia ketika ribut melanda jiwa rapuhnya.
Terima orang lain seadanya seperti mana dia juga menerima kita seadanya kita. Insya-Allah, mudah melentur bahagia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami curang, isteri sudah maafkan tapi susah nak lupa, ini nasihat perunding keluarga dan guaman syarie. Isteri sudah memaafkan suaminya yang curang namun pada masa sama masih gagal untuk melupakannya. Bagaimana caranya untuk meyakinkan hati, mempercayai kembali suami yang pernah curang?
Walaupun si isteri telah memaafkan segala perbuatan curang suami terhadap dirinya namun ‘mimpi ngeri’ itu tetap menghantui. Si isteri sedaya upaya cuba untuk mempercayai suaminya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.
Suami Curang, Sudah Maafkan Tapi Susah Nak Lupakan
Mungkin ada isteri yang dalam diam mengakui, sedang berada dalam situasi ini, pernah dicurangi oleh suami tercinta. Aduh, remuk hati. Namun demi sayang dan kasih yang masih bersisa, si isteri ambil jalan untuk memaafkan kecurangan tersebut.
Tapi, bercakap tak semudah untuk melakukan. Jadi, mungkin perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Keluarga & Guaman Syarie dan kolumnis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita, boleh membantu anda yang sedang berada dalam situasi sebegini.
Ini Nasihat Perunding Keluarga & Guaman Syarie
Minda Manusia
Ingin saya menarik perhatian anda semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak, boleh delete dan masuk recycle bin, kemudian delete terus. Langsung payah nak dicari semula.
Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan. Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.
Usaha
Realitinya, usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda. Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.
Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut. Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.
Peluang
Memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya memberi ruang dan peluang kepada sesiapa saja apatah lagi kepada pasangan sendiri.
Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup – cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh edah yang tertentu. Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra. Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumah tangga.
Memaafkan
Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas berikan kemaafakn kepadanya. Anda dan pasangan anda adalah insan biasa,sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain.
Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut. Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.
Rasulullah SAW seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat. Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.
Biarkan Berlalu
Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali. Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insya-Allah.
Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah Anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang. Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda.
Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula. Mohon juga agar anda membiarkan pengalaman perit yang lepas, berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.
Dengan keadaan cuaca yang panas terik, semua orang boleh kena demam dan selesema tanpa disangka-sangka. Tambahan pula selesema ini suatu penyakit berjangkit virus salur pernafasan atas yang boleh menjejaskan hidung.
Bukan sekadar telan ubat, mak-mak boleh pulihkan selesema secepat mungkin dengan 7 langkah mudah yang dikongsikan oleh Dr. Ezairy M.Sallih ini…
Cara Hentikan Selesema
Anak anda selalu alami hidung berair? Bersin-bersin?
Jom kita perhati rawatan di rumah berikut untuk mengurangkan gejala selsema dan hidung berair.
1. Minum banyak air
Minum air masak dan pastikan sentiasa cukup. Ia dapat membantu jika anda juga mengalami gejala kesesakan hidung.
Ini memastikan bahawa lendir di dalam sinus anda mengalir konsisten dan mudah untuk anda mengeluarkannya. Jika tidak, ia mungkin lebih pekat, dan susah untuk dihembus keluar.
2. Minuman panas
Minuman panas biasanya lebih berguna daripada yang sejuk. Ini adalah kerana haba dan wap mereka, yang membantu saluran udara terbuka dan decongest.
Buat secawan minuman panas (sebaiknya tidak berkafein) dan nafas stim sebelum minum.
3. Wap muka
Menghirup wap panas telah terbukti untuk membantu merawat hidung berair. Ia dapat mengurangkan masa pemulihan penyakit sekitar satu minggu berbanding dengan tiada penyedutan wap sama sekali.
Panaskan air bersih di dalam periuk bersih di atas dapur anda. Panaskan ia cukup sehingga stim terhasil.
Letakkan wajah anda di atas stim selama 20 minit pada satu masa. Ambillah nafas panjang melalui hidung anda. Ambil rehat jika wajah anda menjadi terlalu panas.
Hembus lendir dan hingus anda selepas itu untuk menghilangkan lendir.
4. Mandi panas
Perlu bantuan cepat? Cuba mandi panas. Sama seperti minuman panas atau wap wajah, air mandi boleh membantu meringankan hidung berair.
5. Elak Makan makanan pedas
Makanan pedas boleh membuat hidung berair lebih teruk. Walau bagaimanapun, jika anda juga mengalami gejala kesesakan hidung, makan makanan pedas ada kalanya boleh membantu. Boleh lakukan ikut keperluan anda.
6. Elak segala punca alahan
Ini juga penting. Penting sebab segala makanan dan persekitaran yang boleh menyebabkan gejala selsema lebih teruk seperti penghawa dingin, makanan laut dan sebagainya perlu dielak. Jika tidak, masalah anda tidak akan selesai.
7. Bantuan doktor
Apabila semua langkah sudah dilakukan masih gagal mengurangkan masalah, jangan teragak-agak untuk mendapatkan nasihat doktor. Lakukan pemeriksaan dan cari punca sebenarnya. Dapatkan ubat yang terbaik.
SHARE kepada orang yang anda sayang. Moga semua beroleh manfaat.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Saharul Ridzwan diuji sakit di hari jadi isteri, Saharul Ridzwan syukur keikhklasan pasangan menjaganya "aku nampak kasih sayang Allah. Pelakon Saharul Ridzwan memuat naik...