“Marhaban Ya Baby Girl, Izinkan Papa Mencium Bau-Bauan Syurga..” itu luahan kegembiraan pelakon Norman Hakim,42 ketika mencium bayi perempuan mereka yang baru sahaja dilahirkan jam 12.52 tengahari semalam. Bayi dengan berat 3.35 kg yang masih belum diberikan nama ini merupakan puteri pertama hasil perkongsian hidup dengan pelakon Memey Suhaiza,30 selepas mendapat 2 orang putera.Sekaligus ia merupakan anak ke-enam Norman Hakim, termasuk anak hasil perkahwinan terdahulu.
Norman mengumumkan kelahiran dan mengucapkan kesyukuran atas kelahiran bayi tersebut didalam statusnya di Instagram.
Ads
“ALHAMDULILLAH SYUKUR TERIMA KASIH YA ALLAH…
“Alhamdulillah isteri saya dah selamat lahirkan baby girl seberat 3.35 kg secara normal jam 12.52pm tadi”
“Terima kasih diatas doa kalian yang tak putus-putus..Aamiin Ya Rabb”
Didalam posting yang lain pula, Norman memberitahu bahawa isterinya telah mengalami mild contraction sejak dari pagi. Pelakon ini juga ada meminta para peminat dan pengikutnya mendoakan keselamatan dan proses kelahiran yang dilalui isterinya berjalan lancar.
Ads
“Masa ‘macam dah time’..a mild contraction from this morning.Mohon doakan jugak untuk wifey SUHAIZA BINTI SUHAIMI semoga dilancarkan dan dipermudahkan proses kelahiran.Baby tunggu abang @danishhakim_243 balik,tu yang dia tak sabar nak keluar…BISMILLAH”
Sementara itu, terdahulu dalam posting di Instagram Memey Suhaiza pula, ibu kepada Muhammad Darwisz Hakim, 5, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 3 ini ada memohon maaf sekiranya dia ada membuat kesalahan sama ada dalam keadaan sedar atau tidak.Malah Memey turut meminta pengikutnya di laman sosial Instagram mendoakan dirinya dan bayi dalam kandungannya dapat dilahirkan dengan selamat.
“Saya minta maaf ya kalau saya ada salah silap sama ada sedar atau tidak. Doakan saya dan baby selamat.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan yang baik-baik untuk saya dan keluarga. Semoga Allah membalasnya.
“Okey, sah nak bersalin hari ini. Sampai hospital, Dr Zarina Bibi periksa rupanya (bukaan) dah 5 cm,” katanya.
Mingguan Wanita mengucapkan tahniah buat Norman Hakim dan Memey Suhaiza. Semoga kelahiran bayi ini menambah kebahagiaan dan memberikan rezeki yang melimpah ruah buat keluarga.
Ibarat berada di England sebaik memasuki laman kediaman Ruzaina Mat Som yang terletak di Shah Alam, Selangor ini. Walau dalam keadaan cuaca tropika, pilihan konsep kedesaan Inggeris yang dipersembahkan ini kelihatan cukup sesuai dengan persekitaran sekeliling.
Konsep laman rumah ini adalah kesinambungan dengan konsep dekorasi dalaman rumah pemilik Zeeta De Beaute Salon & Spa. Ruzaina juga adalah pemilik Homestay Twin Villa Guest House yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.
“ Konsep kedesaan Inggeris ini jadi pilihan kerana sesuai dengan jiwa saya. Tak hairanlah jika saya selaraskan dekorasi dalaman dan luaran kediaman dengan konsep yang sama. Taman kedesaan Inggeris yang saya buat di laman rumah ini sudah berusia lebih 15 tahun.
“ Saya buat peringkat demi peringkat. Mula-mula buat dahulu saya ada buat taman herba di bahagian belakang. Tanaman yang jadi pilihan adalah pokok berbunga. Ada pokok bunga petunia, ros Jepun dan beberapa tanaman hijau lain. Saya juga ada menanam pokok anggur. Pokok anggur ini telah berusia 13 tahun. Kami dapat juga makan buah anggur hijau ini,” ujar Ruzaina bercerita tentang lamannya itu.
Bagi memastikan lamannya sentiasa berseri dengan kehadiran pokok-pokok bunga, Ruzaina akan pastikan dia menggantikan pokok-pokok bunga yang telah mati dengan pokok-pokok bunga baru.
“ Berkaitan dengan penjagaan pokok-pokok bunga, saya menggunakan baja yang bersesuaian. Sebagai contohnya saya guna baja ‘peat grow’, baja tahi ayam dan baja penggalak bunga.
“ Setiap pokok bunga memerlukan cara penjagaan yang berbeza. Sebagai contohnya jika mahu bubuh baja perlu letakkan sebelum matahari terbit. Pokok bunga petunia ini hanya mampu bertahan lebih kurang 4 hingga 6 bulan. Gantikan dengan pokok yang baru bagi memastikan taman sentiasa berseri dengan kehadiran bunga-bunga yang warna-warni,” tambahnya.
Laman rumah Ruzaina tidak hanya sekadar dihiasi dengan tanaman dan pokok bunga. Wanita yang pernah berkhidmat sebagai pramugari ini turut menghiasinya dengan barangan hiasan yang bersesuaian. Paling ketara tamannya ini mempunyai pelbagai tanda nama tempat-tempat menarik di England yang digantung pada setiap sudut menarik.
“ Semasa saya masih bekerja sebagai pramugari dahulu, saya akan beli tanda-tanda nama dan barangan hiasan yang saya rasa sesuai dengan taman. Saya akan pastikan cenderamata yang dibawa pulang itu sesuai dengan konsep taman di laman rumah saya.
“ Selain tanda nama, barangan hiasan lain yang jadi pilihan saya adalah basikal anak. Anak saya suka aktiviti rekreasi. Saya fikir jika anak letak basikal dalam satu tempat dan berlonggok, rasa sakit mata. Apa kata saya jadikan basikal anak sebagai salah satu barangan hiasan dekorasi laman.” Tambahnya.
Bagi melengkapkan konsep kedesaan Inggeris, Ruzaina meletakkan Pergola di taman mininya itu. Sepasang buaian gantung juga jadi pilihan. Disebabkan tidak ada pokok besar untuk menjadi tempat menggantung buaian tersebut, Ruzaina telah menggantung buaian tersebut pada bawah bumbung rumah.
Ternyata laman kediaman Ruzaina ini menepati cita rasanya. Walau laman rumah ini boleh dikategorikan sebagai taman matang, Ruzaina akan sentiasa memastikan tamannya segar dengan idea dekorasi yang baru dengan peredaran zaman.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.
Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.
Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.
Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pandangan umum bagi wanita untuk menjadi supermodel, haruslah memiliki pakej lengkap iaitu sempurna keadaan fizikalnya, memiliki ketinggian yang sewajarnya serta bertubuh badan langsing.
Namun siapa sangka, ketidaksempurnaan fizikal iaitu dilahirkan dengan kudung tangan kiri merupakan satu kelebihan buat Kelly Knox, 38, apabila mampu menjadi model rebutan jenama antarabangsa.Wanita ini mampu menjadi cantik dengan cara tersendiri.
Knox yang dilahirkan tanpa lengan kiri menjadi popular selepas menjuarai program Badan Penyiaran British (BBC) iaitu Britain’s Missing Top Model pada tahun 2008.Pada mulanya Knox tidak mahu menjadi seorang model. Dia menyertai pertandingan tersebut bertujuan untuk memberi inspirasi pada orang-orang yang memiliki kekurangan seperti dirinya.Namun akhirnya jatuh cinta dengan dunia modelling ini.
Knox kini telah hampir 14 tahun melibatkan diri dalam bidang modelling dan sebaris dengan supermodel antarabangsa lain seperti Kate Moss, Gisele Bundchen, Adriana Lima, dan lain-lain.
Kehadiran model berstatus orang kelainan upaya (OKU) ini, kian mampu membuka mata jenama antarabangsa dalam menggayakan produk mereka. Antara projek terbaru Kelly Knox adalah menggayakan pakaian dari gedung peruncit fesyen mampu milik, Primark. Lantaran memilih Knox menjadi modelnya, Primark menerima beratus-ratus komen positif dan pujian berhubung kempen terbaharunya yang memaparkan seorang model berstatus orang kelainan upaya (OKU).
Kempen menerusi laman Instagram itu memaparkan model Knox memakai baju sejuk berwarna kuning dan skirt cetakan corak harimau bintang. Paparan menerusi laman media sosial gedung berkenaan menerima hampir 97,000 ‘Likes’ dalam tempoh kurang daripada 24 jam. Primark mempunyai seramai 5.9 juta pengikut.
“Terima kasih kerana menunjukkan kepelbagaian model. Jenama-jenama lain harus mencontohi anda,” kata seorang pengguna Instagram.
Seorang OKU meninggalkan komen: “Terima kasih Primark. Saya juga model OKU dengan kerusi roda yang cuba membawa kepelbagaian kerana ia satu misi penting.
“Ini adalah cara sebenar yang harus dilakukan semua jenama pakaian lain. Setiap insan berbeza bentuk (anggota badan) dan saiz. Teruskan usaha terbaik ini,” kata netizen lain.
Jadi buat wanita lain yang merasakan diri tidak sempurna dari segi fizikal, jangan mudah rasa rendah diri.Setiap wanita adalah cantik dan ‘sempurna’ dengan cara yang tersendiri. Jadikan kisah Kelly Knox ini sebagai satu kisah inspirasi. Siapa sangka kekurangan yang ada merupakan satu kelebihan dalam diri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!