Membesar di kawasan kejiranan kediaman yang dikelilingi masyarakat Melayu, sedari kecil pemilik nama sebenar Sandhyalini a/p Subramaniam atau kini nama Islamnya, Nur Sandhyalini Sumayyah binti Abdullah, 26 sudah terbiasa dengan aktiviti masyarakat Islam setempat. Anak bongsu dari dua orang adik beradik ini berasal dan membesar di Ampang.
“Saya membesar di kawasan perumahan yang dipenuhi dengan masyarakat Melayu dan Cina. Keluarga saya satu-satunya berbangsa India pada ketika itu. Jadi rakan-rakan sepermainan saya orang Melayu semuanya.
“Kami membesar bersama-sama dan masih berhubung sehingga kini. Jadi saya dah biasa dengan aktiviti harian mereka terutamanya keagamaan seperti contoh saya akan berdiam diri ketika azan, baca doa sebelum makan, baca ayat Al-Qursi kalau takut, berpuasa, bersahur, berbuka puasa, cara solat dan menyambut hari raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama rakan yang beragama Islam,” bicara anggota Sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang berpangkat Lans Koperal ini.
Wanita yang mesra di sapa dengan panggilan Sumayyah ini juga akui tidak berasa kekok selepas memeluk Islam.
“Pergaulan dengan orang Muslim sudah sebati dengan diri saya sejak dilahirkan dan tidak kekok untuk membawa diri sebagai seorang Islam. Saya fasih berbahasa Melayu membuatkan ramai orang ingatkan saya memang keturunan Melayu atau Mamak,” sambung Sumayyah.
Berkongsi kisah bagaimana dia tertarik untuk memeluk agama Allah ini, Sumayyah meneruskan perbualan bersama penulis.
“Saya tertarik memeluk Islam ketika menonton sebuah video banjir besar di Kelantan pada tahun 2014, saya merasakan seperti mahu mengambil wudhu dan solat bagi mendoakan mangsa banjir iaitu seorang ayah yang tenggelam timbul demi menyelamatkan anaknya dan akhirnya lemas. Saya tidak tahu kenapa rasa demikian sedangkan saya tak pandai solat.
Ads
“Video seterusnya ialah video rakaman semula bagaimana Rasulullah SAW wafat, video dengan muzik yang sedih dengan ayat-ayat cinta. Selepas habis menonton video yang ditunjuk oleh rakan sebilik rumah sewa itu, saya terus menyatakan bahawa saya mahu ke pejabat agama untuk memeluk Islam.
“Sebenarnya sejak zaman sekolah lagi saya sudah pandai membaca surah al-Fatihah, doa belajar, doa makan, mengucap, istighfar, tasbih, takbir, selawat kerana sering terikut-ikut dengan perbuatan kawan-kawan Islam saya,” ujar Sumayyah.
Gigih belajar mengaji
Menangis Selepas Mengucap Dua Kalimah Syahadah
Memeluk Islam pada 29 Disember 2014 di Jabatan Agama Islam Wilayah, Sumayyah mendalami Islam melalui pelbagai buku yang dibeli. Selain itu dirinya juga sering mendengar ceramah-ceramah di youtube dan mendengar kisah-kisah para Nabi dan Rasul dari rakan-rakan.
“Perjalanan hidup saya sebelum Islam adalah sangat sosial dan berpakaian agak kurang sopan. Tetapi sejurus memeluk Islam, saya menangis selepas mengucap dua kalimah syahadah dan pada pagi sebelum ke JAWI saya sudah mulai bertudung. Saya menangis kerana merasakan aman,tenang dan selamat akhirnya. Ramai kawan-kawan yang marah dan tidak mahu berkawan dengan saya, tetapi ramai juga yang masih berkawan dengan saya kerana mereka memang sedia maklum dengan persekitaran saya membesar dahulu.
“Saya juga merasakan sangat tenang, tidur lena, aman, selamat, syukur, terharu, gembira dan bahagia. Ini kerana beberapa bulan sebelum memeluk Islam, saya mengalami jiwa kacau seperti sering bermimpi buruk, tidak boleh tidur lena, dan telah lama lupa pada cara sembahyang.
Ads
“Gaya hidup saya sebagai seorang muslimah dengan kehidupan lama jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi, kalau dulu saya berpakaian ketat dan tidak sopan pakaian saya yang menutup aurat sekarang lebih membuatkan saya rasa selamat dan selesa untuk bergerak ke mana-mana dan tidak dipandang serong. Pergaulan lebih kepada menjaga batasan, adab dan tutur kata,” luah Sumayyah.
Di Sebalik Nama Sumayyah
Mahu berkongsi kisah di sebalik nama Sumayyah yang dipilih, wanita ini sebenarnya telah mencari agak lama nama Islam yang sesuai untuk dirinya.
“Pada malam sebelum saya ke JAWI untuk mengucap dua kalimah syahadah, saya telah mencari nama-nama Islam di carian internet tetapi tidak berkenan. Kemudiannya saya menutup data internet dan melelapkan mata, dalam mimpi saya ketika itu cukup gelap kedengaran satu suara lelaki yang memanggil Sumayyah lalu saya terjaga dari lena. Saya pun terus sambungkan semula data internet dan mencari maksud nama Sumayyah. Keesokkannya di JAWI apabila ustaz bertanyakan nama, lalu saya terus menyebut Nur Sandhyalini Sumayyah,” kongsi Sumayyah.
Aktif Belajar Agama
Selepas memeluk Islam, Sumayyah mula mendalami ilmu agama di PERKIM BAHAGIAN WILAYAH pada tahun 2015 tetapi tidak dapat memberi komitmen kerana terlalu sibuk dengan kerjaya.
“Bermula pada bulan Ogos 2018, saya tertanya pada diri sendiri “sampai bila aku nak terkontang-kanting tanpa ilmu agama ni, cemburu tengok budak kecil yang sudah pandai mengaji al-Quran sedangkan aku belum”.
Ads
“Selepas itu saya mula aktif semula memberi komitmen sepenuhnya dalam pelajaran agama suci ini. Selain itu, bermula pada bulan Januari 2019 saya telah mendaftar dan mula belajar di Kompleks Darul Hidayah yang terletak di Jalan Sentul Pasar pada waktu pagi dan masih belajar di Perkim pada waktu petang. Selain itu,saya juga banyak melibatkan diri dengan menghadiri program-program agama seperti yang terbaru Ceramah Ustaz Abdul Somad dari Indonesia di Masjid Wilayah dan pada menyertai Bengkel Belia : Generasi Pelapis Pendakwah siri 1 oleh Penceramah Profesional iaitu Ustaz Mohd Fadli Yusof.
“Setelah lima tahun memeluk agama Islam dan tidak komited dalam pelajaran agama akhirnya dibuka hati untuk mula belajar dengan serius Iqra. Banyak hikmah kehidupan saya sekarang di mana jauh lebih tenang dari sebelumnya. Ini kerana saya banyak menghadirkan diri ke majlis ilmu agama, saya juga berharap dapat menjadi seorang pendakwah atau ustazah suatu hari nanti,” akurnya.
Berazam mahu jadi pendakwah atau usatazah
Baiki Diri
Sebagai insan biasa Sumayyah akui tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Dan kini dia masih dalam proses memperbaiki diri sebagai seorang muslimah sejati.
“Saya juga tidak tercicir dari melalukan kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang lain dan masih lagi dalam proses untuk membaiki diri bagi menjadi seorang muslimah yang solehah. Dugaan datang dari pelbagai bentuk dan cara, soalnya tinggi mana keimanan dalam diri kita, bagaimana menjaga akhlak agar akidah tidak terpesong, semuanya atas pada diri kita sendiri. Bagi saya setiap agama ada larangan dan suruhan, cuma dalam agama Islam ni saya rasa lebih ketat peraturan yang kita perlu ikut. Contohnya dulu jika tidak sembahyang sehingga terlupa bagaimana caranya dan tiada apa-apa perasaan, kini saya akan berasa tidak tenteram dan serba salah jika meninggalkan solat disebabkan kelalaian sendiri atau kerja.
“Saya juga sangat bersyukur dengan bantuan dari buku panduan solat yang dihadiahkan oleh sahabat yang saya kenal selama 26 tahun iaitu Fitri Suraya. Alhamdulillah sy telah menghafal bacaan-bacaan dalam solat dan pernah juga mengimamkan solat bersama kawan-kawan saya beberapa kali,” akhiri Sumayyah.
Hehe… Kelakar tak tajuk kat atas. Ada pulak Tahajud untuk beginner. Tip ni mungkin tak sesuai untuk otai tapi beginner suka sangat tip ni sebab mereka perlukan tip untuk istiqamah buat tahajud.
Inilah uniknya tip yang dikongsikan Rafiza Idayu. Yang mana idea ini diperoleh semasa bulan puasa dan dipraktikkan secara konsisten malah buat dirinya terus istigamah bangun bertahajud.
Cara Bangun Solat tahajud Ini Lebih Praktikal
Sekali lagi ni ilham dari Allah, kemudian saya share tip ini pada kawan saya. Kemudian dia suka tip ini sebab dia kata agak praktikal. Mungkin dah ada yang amalkan tapi ramai juga belum tahu.
Dulu kalau saya bangun tahajud selalu set alarm pukul 3 atau 4 pagi. Liat jugalah nak bangun. Buat tahajud pun tak konsisten. Lepas tu siap fikir ngantuk kot esok pagi sebab waktu tidur dah short sikit sebab cilok untuk tahajud.
Dah la solat tahajud celam celum, terus buat yang extreme. Baca surah sampai 7 kali setiap rakaat. Lepas tu, sujud lama baca 40 kali doa Nabi Yunus. Lepas itu tambah lagi solat taubat dan solat witir. Saya buat tapi tak istiqamah.
Kemudian saya tukar. Saya dapat idea ni masa tu bulan puasa.
Saya bangun awal 4.30 pagi siapkan sahur dahulu. Sebelum nak makan sahur, dalam pukul 5 pagi saya cilok buat tahajud dua rakaat dengan basic solat sahaja. Kemudian saya makan sahur. Kemudian solat Subuh. Hasilnya, bulan puasa tersebut saya dapat istiqamah buat tahajud.
Wow! Masa ni seronok sangat sebab dapat buat tahajud setiap hari.
Tip Untuk Beginner
1. Bangun solat tahajud dalam pukul 5 atau 5.15 pagi. Atau setengah jam sebelum masuk waktu Subuh. 2. Buat solat sunat basic dahulu. Tak perlu extreme buat solat dengan bacaan surah sampai 7 kali. Buat solat macam kita solat sunat sebelum atau selepas solat fardu. Pendek dan ringkas.
Selepas dapat istiqamah, sikit sikit kita boleh tambah :
+ panjangkan bacaan surah 3 kali ke 7 kali + tambah rakaat tahajud dari 2 kepada 4 + tambah sujud lebih lama dengan bacaan Doa Nabi Yunus + tambah solat witir 3 rakaat + tambah solat sunat taubat + tambah solat hajat
Sementara tunggu Subuh bolehlah baca Al Mathurat (dalam lebih kurang 20 min). Baca Al Quran atau baca Yaasin.
Nak Istiqamah Kena Pasangkan Niat Untuk Konsisten
Semoga kita istiqamah. Bukan senang kita nak bangun Solat Tahajud. Bila kita start nak berubah menjadi lebih baik, syaitan hantar General Perang dia yang asyik bisik “ko bangun tahajud, nanti esok ngantuk. Lagipun ko muda lagi, tunggulah esok dah pencen, anak anak dah beso barulah engkau buat.”
Kemudian setan setan prebet akan bergayut kat bulu mata kita suruh mata kita berat! Kemudian setan setan ini tarik selimut sambil bisik “selimut ni kalau tarik… Syok tido.”
Akhirnya kita kalah lagi.
Syaitan menang!
Kita niat lagi nak Tahajud konsisten. Dia hantar lagi Panglima Perang!
Kita dah bangun ni setan bisik apabila kita off alarm dalam smartphone kita “tengoklah facebook dulu, update status kita bangun awal. Nanti ko boleh tengok kawan kawan ko yang bangun awal, siapa update status.” Skrol punya skrol, azan Subuh pun berkumandang.
Syaitan menang lagi!
Sahabat… Begitulah kita. Bukan mudah nak didik hati sendiri melakukan perubahan. Nak lawan nafsu dan nak lawan syaitan.
Saya doakan kita istiqamah. Semuanya bermula dari langkah pertama. Mari kita rebut ganjaran Allah untuk mereka yang kuat dan istiqamah.
Syurga menanti kita di hadapan. Gambateeeee! Tahajud! Haip!
Memang ada benarnya, terbukti badan yang lesu disiang hari akan lebih cergas apabila mengamalkan Qailulah ini. Iaitu antara amalan sunnah, tidur sekejap dalam 15 hingga 30 minit pada siang hari sebelum masukkan waktu Zohor.
Bukan apa ketika ini, di waktu tengahari badan berada pada tahap paling lemah. Selepas menggunakan tenaga separuh hari dengan melakukan pelbagai aktiviti.
Maka Islam menggantikan ibadat solat sunat dengan tidur sunat yang namanya Qailulah untuk tujuan kecergasan fizikal dan juga rohani.
Qailulah 15-30 minit sebelum Zohor. Itu yang terbaik.
Bukan itu sahaja, Qailulah juga antara cara untuk awet muda. Kerana ketika tidur, segala tekanan kerja dan kehidupan di siang hari dilepaskan secara semulajadi.
Bila waktu paling sesuai untuk amalkan Qailulah ?
Mengikut pengalaman mereka yang istiqamah mengamalkan Qailulah, waktu paling baik ialah antara pukul 12 tengahari sehingga sebelum Zohor. Namun boleh juga dilakukan selepas Zohor.
Kelebihan Qailulah:
Antara Kelebihan atau Kebaikan Mengamalkan Qailulah ini ialah mengikut kajian, 1 minit Qailulah kualitinya bersamaan dengan 45 minit waktu tidur kita di waktu malam.
Jadi, cukup sekadar dapat 15 minit Qailulah, kita sudah boleh bangun solat malam tanpa rasa mengantuk, insyaAllah.
Qailulah @ tidur sekejap waktu tengahari akan memudahkan kita untuk bangun malam dan berqiamulail.
Orang barat memanggil Qailulah sebagai “nap”. Di negara barat biasanya “nap” dilakukan dari pukul 2-4 petang. Hasil kajian menunjukan amalan “nap’ waktu tengahari dapat mengelakkan penyakit jantung.
Menurut kajian lagi, manusia perlu berehat setelah 6-8 jam berjaga. Kita orang Islam akan bangun seawal jam 5.30 pagi untuk solat subuh. kalau dikira dari waktu subuh hingga pukul 12-1 tengahari, ia sudah cukup 7-8 jam kita berjaga. Jadi Qailulah @ nap ini adalah sangat-sangat berpatutan untuk dilakukan pada masa itu. Ia sangat sesuai denga fitrah badan manusia.
Menurut mereka yang istiqamah mengamalkan Qailulah, sebaik bangkit dari Qailulah, kita mungkin akan pening sedikit selama 5-20 minit. Tetapi selepas itu, kita akan mendapati perubahan mendadak dari segi emosi, kecerdasan dan fokus.
Pengertian Hailulah, Qailulah dan A’ilulah
1.Hailulah ialah tidur selepas solat Subuh (orang yang tak bangun solat Subuh juga termasuk) Hailulah menyebabkan rezeki kita terhijab dan menjadi tidak murah rezeki.
2.Qailulah ialah tidur sekejap sebelum solat Zohor sekadar 26 minit, ianya amat bermanfaat (sumber kekuatan solat malam).
3.A’ilulah ialah tidur selepas solat Asar, ianya mengundang penyakit pada badan dan jiwa serta perasaan gundah gulana, kecewa dan gelisah.
Mingguan Wanita: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Sama-samalah kita mengamalkan Qailulah atau tidur sebentar pada siang hari sebelum masuk waktu zohor ini. Semoga kita mendapat semua kelebihan yang dinyatakan.
ZAMAN DAHULU BOLEH LAH NAK PERMAINKAN WANITA. SEKARANG ‘BIG NO’ Wanita hari ini PANTANG DICABAR!
Pernah diperlekehkan? Dipijak kepala? Buli atau takut berdepan masalah hidup? Dengar apa nasihat pakar. Jom sertai webinar sehari, AURA: Wanita Pantang Dicabar ini.
Kadang-kadang jadi hairan, mak ayah dirikan solat lima waktu tanpa culas, namun masih terasa kosong dan hati terasa tidak tenang. Terfikir di mana salahnya.
Malahan, mak ayah sudah solat tapi masih lakukan maksiat, itu tandanya kita belum solat dengan sempurna, jadi perlu perbaiki. Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan fahami mesej yang cuba dia sampaikan:
Solat Tapi Tiada Hasil
Pada hari ini, ramai antara kita yang solat tapi hasilnya tiada. Maksud hasil ini ialah kita jadi manusia yang penuh akhlak dan adab. Namun sebaliknya yang banyak berlaku.
Betul kita solat tapi masa kita bersendirian kita berbuat dosa. Layan pornografi. Iya solat 5 waktu tak tinggal tapi kita keluar makan dengan makwe berpegangan tangan.
Kita solat siap ajak kawan-kawan, tapi keluar daripada surau tudung tak pakai.
Jika kita sudah solat tapi kita masih lakukan maksiat tanpa ada rasa bersalah, itu tanda kita belum solat dengan sempurna. Masih banyak kekurangan. Atau boleh jadi kita solat tanpa ilmu yang betul.
Kita Solat Tapi Masih Lakukan Maksiat
Rasulullah s.a.w kata solat ini tiang agama. Maksudnya tertegaknya agama dalam diri kita adalah kerana solat kita. Makanya mudah kita faham kalau kita solat, maka kita adalah manusia yang ada agama. Tapi sebaliknya berlaku, kita ahli maksiat. Allahu.
Antara sebab utama adalah ilmu tentang solat kita masih ditahap rendah. Buktinya makna bacaan dalam solat pun kita tak faham.
Mulut terkumat-kamit baca semua bacaan solat, tapi haram sepatah pun tak faham apa kita sebut. Belum cerita yang baca tak betul. Main ikut hafalan waktu kecil bawa ke besar. Bila periksa rupanya ya ampun banyaknya salah bacaan.
Solat tapi penuh lalai, langsung tak fokus. Pun jadi sebab juga solat kita sia-sia. Ini yang Allah sebut dalam Quran surah Al-Ma’un, ayat 4 dan 5;
“Maka kecelakaan besar bagi mereka yang bersembahyang. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada sembahyangnya.”
Allahu. Sebab lalai sahaja terus solat kita Allah tak terima. Jadi celah mana kita nak berjaya dengan solat kita? Tak ada tuan-tuan, tak ada.
Kena Baiki Solat
Maka atas sebab itu mari kita baiki solat kita bersama. Ini yang perlu kita buat dulu.
1. Pastikan setiap satu bacaan dalam solat kita betul. Cari bahan baca, semak balik. Cari guru juga untuk semak betul ke tidak kita sebut. Iyalah, bacaan dalam solat ini bukan bahasa Melayu. Ini yang pertama.
2. Hafalkan maksud setiap bacaan tadi. Supaya kita jadi hamba yang faham apa yang kita cakap dengan Tuhan dalam solat kita. Kita tak nak kita jadi burung kakak tua depan Tuhan. Bercakap tapi tak tahu apa yang kita sebut.
3. Belajar lahirkan rasa dalam solat kita. Cuba bangkitkan rasa kehambaan. Rasa diri kita hina. Kita cuma hamba yang lemah dan kerdil. Punyalah banyak dosa yang tak putus-putus. Mengaku salah depan Tuhan.
Seterusnya bangkitkan rasa bertuhan. Rasa kita ada Tuhan yang Maha Baik. Maha Mendengar. Maha Tahu segala-galanya tentang kita. Dia yang menghidupkan dan memberikan kita semua yang kita ada.
4. Belajar adab dalam solat. Ada banyak adab yang kita kena jaga. Antaranya solat dengan pergerakan yang perlahan dan teratur. Bukan terkejar-kejar. Laju macam kena kejar hantu.
Pandangan mata yang dijaga. Sekarang ada handphone, lagi lah. Letak dalam poket, kejap lagi handphone bergetar, kita mula lah terfikir siapa yang telefon.
Ini semua merosakkan adab dalam solat kita. Haa.. hal ini kena teliti juga ya. Moga kita semua jadi hamba yang pandai menyembah Allah.
Tidak sambil lewa. Kerana yang kita harapkan solat kita mampu untuk membentuk diri kita dengan akhlak yang terpuji.
Juga supaya kita kembali ke akhirat nanti, kita tidak kecewa dengan hidup yang Tuhan beri buat kita di dunia ini. Amin.
Firdaus Mokhtar, Masih belajar.
MW: Bukan mudah untuk dirikan solat dengan sempurna, namun mak ayah lakukan langkah pertama sekarang. Jangan bertangguh, insyallah akan dipermudahkan.