Jaga solat kerana solat itu adalah tiang agama. Mari kita mulai kehidupan tahun baru ini dengan muhasabah diri. Kita tinggalkan pengalaman tahun lalu dengan keazaman untuk melalukan sesuatu yang lebih baik pada tahun ini.
Mendepani kehidupan yang serba mencabar, kita perlu kembali kepada asas-asas kehidupan yang dituntut dalam Islam. Antara yang sangat diperlukan adalah kesyukuran.
Ibadah Malam Rasulullah
Bercerita mengenai syukur, sirah tentang ibadah malam Rasulullah s.a.w hingga bengkak-bengkak kaki menjadi motivasi untuk dicontohi. Bila Saidatina Aisyah r.a. bertanya kenapa dilakukan sampai begitu rupa, baginda ingin menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa ingin bersyukur (‘abdan syakura).
Keinginan untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur ini perlu meresap di dalam sanubari muslim mukmin. Ia menjadi tuntutan daripada satu ayat dalam surah al-Fatihah yang dibaca saban waktu, “Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan”.
Ikrar ini meletakkan manusia berstatus sebagai hamba kepada Tuhan. Antara tanggungjawab hamba tentunya memiliki perasaan bersyukur kepada-Nya.
Pelihara dan Jaga Kefarduan Solat
Bila Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa amalan pertama yang bakal disoal di hari pembalasan adalah solat, dan ia penentu penerimaan atau penolakan amalan-amalan lain, maka jelas kedudukan solat di dalam kehidupan seseorang muslim.
Justeru itu, kayu ukur tanda bersyukur kepada Tuhan adalah dengan menilai solat yang dikerjakan. Individu perlu bermuhasabah tentang solat yang dikerjakan saban waktu agar solat yang dikerjakan itu benar-benar menjadi tanda kesyukuran kepada Tuhan.
Ads
Muhasabah Tentang Solat
Bagaimana bermuhasabah tentang solat? Bila mengerjakan solat, individu meyakini bahawa solat yang dikerjakan berlaku dengan izin-Nya. Maksudnya, individu merasai bahawa Tuhan beri pertolongan untuk bersolat. Tuhan buka hati untuk menunaikannya. Tuhan memudahkan segala urusan berkaitan solat. Dia meyakini Tuhan kurniakan perasaan khusyuk serta kehadiran hati sewaktu dalam solat.
Mohon juga agar solat yang dilakukannya itu datang daripada kurniaan kasih sayang-Nya. Dengan kata lain, Tuhan menyayangi dirinya dan Tuhan berkehendakkan dirinya menjadi hamba yang pandai bersyukur. Maka dengan sifat kasih sayang-Nya (al-Rahman dan al-Rahim), Tuhan rezekikan kemudahan untuknya bersolat.
Kejayaan Didahului Dengan Jaga Solat
Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kejayaan dan kecemerlangan hidup melalui solat. “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1 – 2)
Dengan memperbanyakkan solat serta memelihara waktu dan kualitinya, seseorang mengukuhkan nilai ketakwaan diri. Nilai ketakwaan bakal menambah rezekinya. Bukankah Tuhan menjanjikan rezeki yang luas melalui jalan yang tidak disangka-sangka kepada orang-orang yang bertakwa!
Maksudnya, cara betul seseorang beroleh rezeki adalah melalui ibadah solat yang dikerjakan demi mencari keredaan Tuhan. Solat dipelihara maka barulah rezeki akan dilimpahkan kepada seseorang sebagai memenuhi janji Tuhan kepada hamba yang bertakwa serta banyak bersyukur.
Bagaimana jika nikmat atau rezeki yang diperoleh itu tidak didahului dengan solat? Nikmat diperoleh dalam keadaan seseorang masih cuai atau meninggalkan solat, atau solat dalam keadaan leka dan lalai. Maka nikmat yang diperoleh itu belum menepati syarat sebagai rezeki Tuhan yang penuh berkat.
Rezeki dalam bentuk sedemikian belum mampu menambah kesyukuran dalam hati. Ia hanya menjauhkan seseorang daripada Tuhan, sambil menambah keegoan dan kesombongan diri. Ia bakal menjerumuskan seseorang ke lembah kebinasaan “al-Istidraj” sebagai tanda kemurkaan Tuhan kepada seseorang hamba.
Jaga Kualiti Solat
Dalam hal ini, maka tidak salah untuk bertanya kepada orang-orang yang sering dilanda masalah hidup tentang solatnya atau tentang kekhusyukan solat yang mereka lakukan. Kita khuatir masalah itu sebagai tanda Tuhan tidak memandangnya dengan pandangan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Ads
Memang masalah hidup itu ujian Tuhan, namun solat yang menjadi keutamaan dalam hidup mampu memberi kekuatan emosi dan spiritual, lantas menyuburkan kesyukuran dalam hati.
Rasa Syukur Ubah Persepsi Masalah
Dengan kesyukuran itu maka persepsi tentang masalah hidup yang dihadapi mampu ditukar menjadi ujian Tuhan yang penuh hikmah untuk disyukuri. Lalu terhindar diri daripada sebarang rungutan, kekecewaan dan berburuk-sangka kepada Tuhan.
Semoga tahun baru ini menjanjikan kebahagiaan dan ketenangan hidup untuk kita. Tidak salah mengejar kejayaan yang dicita-citakan, namun jangan lupa untuk sentiasa bersyukur serta memelihara kefarduan solat. Mudah-mudahan kita dikurniakan rezeki yang berkat oleh-Nya, insya-Allah.
Kasih sayang itu luas. Kasih sayang pada Sang Pencipta malah untuk sesama manusia dan makhluk lainnya. Pernah anda berasa bahawa kasih sayang yang anda berikan kepada orang lain itu tidak memberi makna apa-apa.
Segala curahan kasih sayang hanya sia-sia dan tersasar daripada matlamat yang diharapkan. Anda puas mencuba dengan pelbagai cara tetapi harapan anda masih belum menampakkan hasil.
Kita menyedari bahawa isu-isu kehidupan yang melibatkan hubungan sesama manusia boleh diselesaikan menerusi hubungan perasaan kasih-sayang. Walau apa cabaran hidup, kebahagiaan dan kedamaian boleh dikembalikan bila mana perasaan kasih sayang ini dapat dijelmakan semula.
Persengketaan Tenggelamkan Kasih Sayang
Namun begitu, persengketaan sesama insan sering menenggelamkan perasaan kasih sayang. Persekitaran hidup yang sebelumnya indah, akhirnya dipenuhi dengan perasaan kebencian dan dendam. Segala kebaikan yang pernah dicurahkan, semua terpadam daripada ingatan. Perkara yang berlegar-legar di fikiran hanyalah rancangan-rancangan negatif yang bakal menambah kelukaan hati.
Justeru itu, dalam mengharungi apa jua kemelut yang melanda maka hidupkan dan suburkan kembali rasa kasih dan sayang ini. Nilai kasih sayang ini perlu ditingkatkan ke tahap yang lebih bermakna iaitu kasih sayang yang tidak bersyarat atau kasih sayang tanpa syarat.
Kasih Sayang Tanpa Syarat
Ada kalanya, dalam hidup ini perasaan kasih sayang yang ada itu masih belum mencukupi. Lebih-lebih lagi bila kasih sayang itu dilingkari dengan syarat-syarat tertentu. Ia masih belum mampu mengubah persekitaran yang ada. Apa yang diperlukan adalah kasih sayang yang lebih tulus dan kudus iaitulah kasih sayang tanpa syarat.
Bukankah kasih sayang Allah SWT pada kita tanpa syarat? DIA menjadikan kita dengan sempurna tanpa mengharapkan apa-apa daripada kita. Kalau dihitung segala pemberian Tuhan kepada kita maka tentunya kering air di laut menjadi tinta, tidak habis kalau kita hendak menghitung pemberian Ilahi itu. Demikian lah kasih sayang tanpa syarat daripada-Nya kepada kita.
Prinsip Yang Sama
Begitu juga seharusnya apa yang berlaku cetusan emosi kasih dan sayang sesama insan mengikut prinsip yang sama. Kasih sayang di antara seorang ibu dan anak bukanlah kerana si ibu mengharapkan masa tua anak akan membalas jasa ibu tetapi segalanya dilakukan tanpa syarat, hanya kerana mencari keredaan-Nya.
Begitulah kisah Rabiatul Adawiyah apabila seorang raja masuk meminangnya, maka Rabiatul Adawiyah mengatakan bahawa dalam hatinya sudah tidak ada ruang lagi untuk dimuat perasaan kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT. Begitulah tingginya perasaan cinta Rabiatul Adawiyah terhadap Tuhan.
Hubungan cinta dan kasih sayang tanpa syarat ini juga terpancar dalam kisah keluarga Nabi Ibrahim a.s. Cinta Nabi Ibrahim a.s. kepada Allah tidak dapat digambarkan apabila baginda sanggup mengorbankan Nabi Ismail a.s. apabila turun perintah daripada Allah supaya baginda melakukannya sekalipun Nabi Ismail a.s. merupakan putera yang amat dikasihi setelah menunggu kelahirannya begitu lama sehingga menjangkau usia tuanya.
Inilah tanda kekhalifahan manusia yang Allah SWT tunjukkan kepada para malaikat, kehebatan manusia dalam membuktikan ketinggian cinta dan kasih sayang yang memberikan tenaga yang cukup kuat dalam hubungan dengan Allah SWT dan manusia lain.
Inilah bentuk kekuatan kasih sayang tanpa syarat yang dimaksudkan. Cinta suami kepada isteri, begitu juga sebaliknya, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain daripada syarat untuk mendapat keredaan Allah.
Isteri tidak akan mengeluh kepenatan melayan suami dan anak-anak lantaran apa yang dilakukannya sekadar mencari limpah rahmat dan keredaan Ilahi. Lantas mencari keredaan Allah SWT itu menjadi matlamat akhir sebuah bahtera kasih sayang dan kecintaan dalam keluarga.
Begitu juga cinta ibu bapa kepada anak-anak, tidak harus diletakkan apa-apa syarat selain mendapat keredaan Ilahi di atas anugerah yang penuh bermakna itu. Anak-anak dibelai dan dididik dengan penuh rasa kasih sayang. Biarlah Allah SWT melimpahkan kasih sayang-Nya ke dalam hati dan perasaan mereka lantas menjadi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertakwa di kemudian hari nanti.
Bina Kekuatan Kasih Sayang Tanpa Syarat
Justeru itu binalah kekuatan rasa kasih sayang tanpa syarat dalam jiwa supaya emosi dan spiritual kita semakin mantap dan kukuh.
Sesungguhnya kasih sayang tanpa syarat inilah yang membahagiakan diri dan orang lain sekitarnya. Semoga kasih sayang Allah SWT yang tiada apa-apa syarat itu bakal memayungi segala urusan kehidupan kita sehingga menjadi kehidupan yang diredai-Nya.
Artikel: Dr. Muhammad Jantan, Perunding Motivasi dan Kaunseling.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ini betul… betapa beruntungnya orang yang mampu solat subuh berjemaah, nak-nak pula kalau dapat buat sekali dengan pasangan. In shaa Allah, Allah jaga hubungan dan rezeki dalam keluarga kita.
Lagi manis kalau dapat buat benda baik-baik lain di bulan Ramadan, macam yang Puan Nur Aliah Mohd Nor senaraikan ini. Tak banyak tak apa, tetapi biar istiqomah setiap hari. Selebihnya anda boleh semak sendiri, mampu buat tak?
Salah Satunya Solat Subuh Berjemaah
Jadikan Ramadan tahun ini adalah Ramadan yang paling terbaik dan lain dari lain dalam hidup kita! Macam mana?
1. Buat solat sunat subuh walau kita bangun jam 6.50 pagi sekali pon. Sebab Nabi saw ada bersabda bahawa ganjaran solat ini adalah lebih baik dari dunia dan seisinya.
2. Selepas setiap kali solat 5 waktu, baca zikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, sebanyak 33x. Sebab ini la zikir yang kita boleh istiqamah dan untuk penguat semangat.
3. Paksa diri untuk solat subuh berjemaah sama ada di surau atau di rumah. Sebab ganjaran solat subuh ni sama macam kita berqiamullail waktu malam!
4. Cepat-cepat baca doa selepas dengar azan berkumandang. Sebab waktu ini adalah waktu musjatab untuk kita berdoa.
5. Bukan kerja je kena fokus, solat pon kena fokus. Kalau kita tak boleh nak faham semua bacaan dalam solat kita, sekurang-kurangnya kita hayati setiap bait-bait bacaan dalam surah Al-Fatihah.
6. Berlatih juga untuk ingat bacaan duduk di antara 2 sujud. Tips ingat je keyword ini : ampun, sayang, aib, darjat, rezeki, petunjuk, sihat, maaf.
7. Baca Al-Quran setiap hari terutama selepas solat subuh. Amalkan juga 4 surah di bawah ini setiap hari,
– Waktu Subuh : AL-WAQIAH – Waktu Dhuha : AR-RAHMAN – Waktu Maghrib : YASIIN – Waktu Isya : AL-MULK
8. Amalkan solat-solat sunat seperti Qabliyyah, Ba’diyyah, Witir, Dhuha, Tahajud, Taubat dan Hajat. InshaAllah bertambah redha dan sayang Allah pada kita.
9. Ambil masa 15-20 minit fokus zikir 1,000x atau istighfar 100x. Kemudian berdoalah dengan bersungguh-sungguh. Tips : Sentiasa bawa count stock itu ke mana-mana.
10. Berazam untuk sedekah setiap hari. Atau bantu keluarga terdekat. Sekali-sekala belanjalah adik beradik atau mak ayah kita. InshaAllah rezeki tu datang berganda-ganda!
Semoga dengan 10 amalan ini, kita dapat mencari jalan keluar yang hanya kita sahaja ketahui, kita kuatkan lagi doa serta usaha agar dihadiahkan rezeki dan kita memaafkan semua orang di waktu malam yang sunyi. Barulah tenang hati ini.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Impian setiap wanita untuk memiliki wajah yang cantik dan badan yang kurus ramping bagi meningkatkan keyakinan diri. Ia tak salah. Namun sering terjadi, jika sebelum ini badan pernah berisi, muka kurang cantik jarang berkongsi di media sosial. Sebaliknya bila badan dah CANTIK hari-hari tunjuk muka, bila dah KURUS hari-hari pula tunjuk badan. Mengharapkan pujian manusia, hingga terlupa batasan aurat yang perlu dijaga dan pelihara.
Ada benarnya teguran daripada Firdaus Shakirin ini buat wanita. Mohon hadam dan terima dengan hati terbuka perkongsian ini.
Bila dah cantik, hari-hari tunjuk muka, bila dah kurus, hari-hari tunjuk badan.Masa kurang cantik, masa badan berisi, takde pun buat macam tu, persoalannya kenapa?
It’s not about hak untuk post di social media sendiri. It is about what you try to prove? Cantik dan kurus untuk dapat pujian manusia yang lain? Untuk merasa kagum dan bangga dek pujian dan komen-komen manusia lain?
Dia sedar dia dah cantik, dia sedar dia dah kurus, tapi dia post,
“Ala berisi la, pipi dah naik..”
Pastu orang komen, mana ada, ok ja nampak cantik dan kurus lagi.
“Ye ker. Tq tau…”
Alahai, tak ke namanya UJUB tu.
Bukan Soal Cemburu
Mohon yang follow saya jauhi sikap ni. Masa cantik, rasa kurang yakin dengan diri, gambar pun letak landscape, animasi, gambar kucing. Bila dah cantik, mekap tebal seinci, hari-hari tukar gambar.
Masa berisi, baju elok ja longgar, loose.. tudung pun tutup dada. Bila cutting dah baik, baju jadi ketat dan tudung atas dada. Butang tu tinggal 1 benang ja lagi nak tercabut.
Ini bukan soal cemburu, ini soal awak tu seorang wanita. Aurat perlu dijaga dan dipelihara. Kalau bukan sebab ada suami, maka sebab ada ayah. Mereka ni akan dipertanggungjawabkan kalau tak tegur dan membiarkan awak buat macam tu setiap hari.
Nak dengar, dengar.Tak nak dengar sudah. Nanti jangan menjerit sangat dalam kubur, ganggu orang lain je.
Itu belum cakap yang buat live. Buat live ni, bukan wanita ja yang tengok, laki pun ada jugak yang menumpang sekaki. Live tengok make up, nampk leher semua, live tengok zumba, bergegar goyang semua.
MW: Ada benarnya teguran ini. Semoga bila dah semakin cantik dan kurus, elakkan lah perasaan ‘ujub’, berbangga diri kerap berkongsi gambar berhias berlebih-lebihan dan berpakaian semakin ketat. Semoga wanita pandai menjaga diri dan aurat walaupun dah semakin cantik dan kurus.
Edika berusaha selamatkan perkahwinan 22 tahun, tapi jika isteri masih mahu cerai kita ikut apa dia nak. Hari ini di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan...