Kadang-kadang tanpa kita sedar apa yang berlaku dalam hidup kita hari ini adalah hasil keputusan yang kita ambil lima atau sepuluh tahun dahulu.
Jika senang kehidupan kita kini maknanya benarlah keputusan yang diambil. Namun jika bermacam masalah timbul, cuba renung kembali apa yang mak, ayah lakukan selama ini.
Barangkali mungkin ada kesilapan di mana-mana. Ikuti perkongsian Ustaz Khairul Anuar Basri ini dan hadam baik-baik nasihat yang cuba beliau sampaikan:
Jika Bermacam Masalah Timbul
Apa yang kita ada dan alami hari ini adalah hasil daripada keputusan yang kita buat 5 ke 10 tahun lepas.
Jika kita tiada masalah sangat pada hari ini, lebih-lebih lagi musim orang hilang pendapatan, hilang kerja dan sebagainya ni, ia adalah hasil daripada keputusan betul dan amalan baik yang kita lakukan dulu.
Sebaliknya jika kita ada macam-macam masalah pada hari ini, tengok balik keputusan apa dan tindakan macam mana yang telah kita buat suatu ketika dahulu.
Kita nak jadi apa atau kita nak kehidupan yang bagaimana 5 ke 10 tahun akan datang, semuanya bergantung kepada keputusan apa yang kita buat dan pelan tindakan apa yang kita ada pada hari ini.
Cuba Renung Kembali Apa Yang Mak, Ayah Lakukan Selama Ini
Rancangan apa yang kita tengok. Buku apa yang kita baca. Manusia jenis apa yang kita buat kawan. Usaha macam mana yang kita ambil. Semua-semua itulah.
Itu baru 5 ke 10 tahun akan datang. Itu kita masih atas muka bumi ni lagi.
Bayangkan pulak macam mana keadaan dan hal kita di akhirat kelak? Lebih-lebih lagilah kita kena tengok dan perhatikan sekarang.
Sakit macam mana sekalipun, susah macam mana sekalipun, sedih macam mana sekalipun. Semuanya akan berakhir bila kita mati atau bila dunia dah kiamat.
Ads
Rancang Yang Terbaik Dunia, Akhirat
Tapi di akhirat…
Kalau senang, senanglah tak sudah-sudah. Kalau susah, susahlah tak habis-habis.
Kerana akhirat itu pasti. Syurga dan neraka itu kekal abadi.
Selamat pagi kawan-kawan…
Kalau kita boleh rancang apa yang saja terbaik untuk diri dan keluarga kita untuk hidup senang di dunia, kenapa tidak kita rancang juga kehidupan kita yang terbaik di akhirat?
MW: Jika mak,ayah telah merancang yang terbaik untuk kehidupan di dunia. Jangan lupa untuk merancang yang terbaik juga untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Sepanjang minggu lepas, entah berapa kali kita mengeluh. Ada kalanya kita tidak perasan yang kita mengeluh, mungkin kerana kita sudah terbiasa dengan mengeluh hingga kita tidak pasti adakah baru sahaja mengeluh.
Perbezaan
Saya suka membezakan antara mengeluh dan keluhan. Pada saya, mengeluh adalah kata kerja dan keluhan adalah kata nama. Biar pun datang daripada akar yang sama namun perbezaan yang nampak kecil ini memberi impak yang berlainan dalam hidup.
Keluhan melambangkan ketidakpuasan hati dan perlu diluahkan agar orang lain mengerti apa yang kita rasakan. Meskipun begitu, ia perlu diluahkan dalam emosi yang stabil dan bukan dengan cara yang boleh membawa kerosakan silaturahim.
Manakala mengeluh pada saya adalah satu perasaan yang bercampur baur antara tidak puas hati, kecewa, letih, bosan, marah dan sebagainya yang dizahirkan bukan melalui kata-kata tetapi hanyalah dengan satu hembusan nafas.
Pendorong Utama
Biar pun banyak perasaan yang ada ketika seseorang itu mengeluh, namun yang menjadi pendorong utamanya adalah perasaan kecewa. Aktiviti mengeluh terdiri daripada dua bahagian.
Bahagian pertama adalah menarik nafas yang panjang dan bahagian kedua adalah melepaskan nafas yang panjang. Bahkan ada juga yang menghembuskan nafas berserta dengan bunyi kecewa.
Jika dipendekkan cerita, pada saya mengeluh hanyalah permainan nafas yang dapat melegakan seseorang yang sedang dibebani dengan pelbagai perasaan negatif. Namun kelegaan itu hanya berlaku pada ketika itu sahaja.
Doa
Pada saya, mengeluh itu lebih besar impaknya daripada keluhan dari sudut perjalanan hidup. Orang yang meluahkan keluhan akan mencari jalan agar dapat keluar daripada permasalahan yang sedang membelenggunya. Tetapi mengeluh pada saya adalah satu bentuk doa. Ia bukan doa biasa-biasa tetapi doa yang tajam.
Lebih tajam lagi jika mengeluh itu dilakukan pada waktu-waktu makbul doa. Lihat sahajalah waktu petang, berapa ramai yang mengeluh kerana takut terperangkap dalam kesesakan jalan raya tetapi akhirnya tetap sahaja terperangkap. Cuba kita renung berapa banyak perasaan yang ada ketika kita mengeluh menjadi satu kenyataan. Nah… ini jelas menunjukkan yang mengeluh itu adalah satu bentuk doa.
Ianya lebih tajam dan mustajab kerana sewaktu kita mengeluh, kita akan satukan perasaan, gambaran, suara-suara dalaman menjadi satu. Setelah itu semuanya disebatikan dan dialirkan dengan satu nafas. Ini akan mencipta satu bentuk doa yang sempurna.
Ganti
Mengeluh adalah proses pemusatan segalanya pada satu nafas. Justeru, nafas yang kita keluarkan ketika mengeluh itu akan memberi tenaga kepada setiap perasaan negatif yang berserta dengannya untuk terus kuat dan kukuh dalam minda kita hingga ianya dapat menjadi satu kenyataan.
Bagi mereka yang mengerti atau mendalami tenaga dalam yang betul, mereka akan cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluh. Mereka menggantikan elemen-elemen negatif dengan yang positif baru dipusatkan seluruhnya kepada satu nafas. Mengeluh hanya membawa kerugian besar dalam perjalanan hidup seharian.
Persoalannya bagaimana caranya untuk berhenti mengeluh. Langkah awal bukanlah berhenti mengeluh tetapi mengurangkannya dengan latihan-latihan pernafasan. Jika dahulu harganya amat mahal tetapi hari ini semuanya ada di Youtube. Pelajarilah hal itu dahulu baru melangkah kepada yang lain.
** Artikel ini telah dikongsi oleh Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer, juga penulis tetap ruangan MUNAJAT di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap orang menginginkan hidup bahagia bersama pasangan masing-masing. Meraih kebahagiaan menjadi impian setiap pasangan. Kebahagiaan itu tidak akan datang bergolek tanpa usaha.
Pilihan di tangan anda sendiri sama ada untuk merasa bahagia atau sebaliknya. Peguam Syarie, Amirul Akmal ini berkongsi tip yang boleh dijadikan panduan buat anda dan pasangan untuk hidup bahagia.
Suami Isteri Ciptalah Bahagia Elak Bercerai
Kongsi Amirul Akmal;
Peguam Syarie, Amirul Akmal
“Sedih apabila melihat statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysiaini yang menunjukkan jumlah penceraian agak tinggi dan membimbangkan. Tidak dinafikan setiap pertemuan pasti ada perpisahan,
“Itulah lumrah dalam sesebuah pertemuan kita dengan seseorang. Namun begitu, tiada siapa yang menyangka bahawa mereka akan bercerai dan berpisah dengan pasangan sama ada penceraian hidup atau penceraian mati.
“Realiti harini ramai pasangan yang tidak dapat mempertahankan rumahtangga mereka dek kerana kekurangan ilmu pengurusan rumahtangga mahupun kerana faktor lain.
“Terdapat beberapa kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan berlakunya penceraian di kalangan pasangan.
“Para sarjana telah mengariskan beberapa faktor yang perlu senantiasa di tambah baik dari semasa ke semasa bagi mengutuhkan sesebuah hubungan rumah tangga.
Sumber Foto: Canva
Konflik Rumah Tangga Sentiasa Wujud
“Tidak dinafikan sedangkan kita sendiri akan tergigit lidah dan terluka sekali sekala. Bahkan kita pula sesama insan yang melayari bahtera rumah tangga konflik dan permasalahan ini senantiasa akan muncul sepanjang pelayaran bahtera perkahwinan kita.
“Para sarjana telah meletakkan faktor-faktor asas ini sebagai faktor yang penting dalam untuk mengekalkan sesuatu perkahwinan iaitu komunikasi, toleransi dan kesabaran.
“Komunikasi dalam perkahwinan merujuk kepada interaksi yang sihat di dalam perhubungan suami isteri dan ianya merupakan suatu faktor yang penting dalam membina keharmonian di dalam rumahtangga serta dapat meningkatkan kesejahteraan hidup sesuatu pasangan. Komunikasi ini dipanggil sebagai sebagai komunikasi yang positif.
Sumber Foto: Canva
7 Elemen Kukuhkan Perkahwinan
“Menurut Gottman dan Silver sarjana barat yang telah membuat kajian mengenai komunikasi yang positif ini, mereka telah menjelaskan secara terperinci bahawa suatu komunikasi yang positif itu perlu mempunyai elemen-elemen ini bagi memperkukuhkan perkahwinan iaitu:
1) Meningkatkan peta cinta. 2) Menanamkan rasa kasih dan cinta kepada pasangan. 3) Saling bergantungan di antara satu sama lain. 4) Membenarkan pasangan mempengaruhi diri. 5) Menyelesaikan masalah yang boleh diselesaikan. 6) Mengatasi segala kesukaran yang dihadapi. 7) Membina satu makna dalam perkahwinan yang dapat dikongsi bersama pasangan suami dan isteri.
“Oleh yang demikian, elemen komunikasi yang positif ini merupakan satu elemen yang kritikal dalam mewujudkan perkahwinan yang sihat.
“Komunikasi yang positif juga penting kerana ia juga memberikan impak yang positif terhadap tumbesaran anak-anak dalam sesebuah keluarga.
“Disebabkan itu, kemahiran komunikasi di dalam sesuatu perhubungan jangka panjang itu teramat penting kerana ia menjamin kestabilan sesuatu perhubungan itu.
“Elemen toleransi dan sabar dalam sesuatu perhubungan itu antara salah satu faktor yang penting bagi menjamin kestabilan perkahwinan.
“Jika semasa kita bujang mungkin gaya hidup kita lebih bebas dan kita boleh membuat apa sahaja tanpa ada halangan.
“Akan tetapi, keadaan berubah apabila kita sudah berkahwin keadaan sudah berubah 360 darjah apabila kita perlu bertoleransi dalam hampir kesemua aspek kehidupan apabila kita telah berkahwin.
“Tanpa elemen toleransi yang berpanjangan ini sudah pasti konflik akan tercetus. Oleh yang demikian, para sarjana yang telah mengkaji elemen ini telah menyatakan bahawa di dalam toleransi boleh dipecahkan kepada elemen-elemen berikut bagi mewujudkan sebuah perkahwinan yang penuh dengan mawaddah rahmah dan kasih sayang.
“Antara elemen bertoleransi ialah bertoleransi dalam pembahagian kerja rumah, kebanyakan pasangan tidak sedar aspek ini dan hanya melepaskan semua tanggungjawab kepada isteri bagi membuat kerja rumah, menurut kajian pembahagian kerja rumah sama rata dapat mengeratkan dan membahagiakan para pasangan.
“Kerana sama-sama penat dan sama-sama saling bantu membantu akan mewujudkan keharmonian rumahtangga. Selain itu, pasangan juga perlu sentiasa berbincang bagi mewujudkan persefahaman dan tolak ansur dan dengan cara ini kita dapat lebih mengenali pasangan kita sedalamnya.
“Ini adalah kerana kita sama-sama pasangan perlu menyesuaikan diri dengan cara hidup pasangan masing-masing dan mengelakkan melakukan sesuatu yang tidak disukai pasangan kita supaya tidak berlaku konflik.
“Disamping itu, bertoleransi dalam pengurusan kewangan juga merupakan salah satu elemen penting dimana pasangan saling bantu membantu meringankan beban kewangan pasangan mereka bagi menanggung perbelanjaan rumah tangga. Pengurusan kewangan yang baik akan melancarkan serta mengukuhkan kesejahteraan rumah tangga.
“Selain itu, kita juga memahami peranan masing-masing serta dapat menerima segala kekurangan pasangan. Manusia itu penuh dengan kekurangan tetapi bagaimana kita ingin menukarkan kekurangan kepada kelebihan itu merupakan peranan kita dalam kehidupan perkahwinan.
“Akhir sekali pasakkan keimanan terhadap pemilik hati kita serta menjadi orang yang senantiasa sabar dan pemaaf kerna dengan cara itu, kita dapat mengekalkan dan mengutuhkan sesuatu perhubungan jangka panjang,” kongsi Amirul Akmal dan peguam ini juga berharap semoga perkongsiannya ini akan dapat memberikan manfaat kepada sidang pembaca.
Hidup adalah rentetan masalah yang tak akan pernah selesai. Berpuluh tahun kita dihempas ujian, letih, sedih, risau, takut dan sakit.
Sakit jasmani, sakit hati, sakit emosi, sakit akal berhadapan dengan pelbagai karenah manusia. Namun begitu Allah SWT memberi harapan pada yang menderita, letih dan risau:
“Cubaan akan menimpa mukmin dan mukminah, pada dirinya, anaknya, hartanya sehingga dia bertemu dengan Allah tanpa dosa sedikit pun.” (Hadis sahih Sunan Al-Tirmizi).
Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga penulis ruangan KELUARGA SAKINAH di dalam MAJALAH MINGGUAN WANITA.
Luar Jangkaan
Siapa sangka lelaki yang begitu sempurna menyayangi tiba-tiba menjadi amat menyakitkan isterinya. Tiada siapa tahu wanita yang pendiam dan taat akan berubah menjadi pengkhianat.
Anak yang kita doakan dan beri kehidupan mungkin akan tinggalkan kita tua sendirian, sakit, mati dalam rindu dendam. Harta dan pangkat yang kita jaga dan simpan demi waktu susah, akhirnya membuat kita tak percaya pada teman, saudara, keluarga. Kerana ada jenis manusia yang berperangai udang di sebalik batu, rupa-rupanya mengharap ‘sesuatu’ bila tak dilayan dia pun tak mahu berkawan.
Apabila garis takdir kita bermula daripada kemiskinan ,sesekali kita meraung kenapa aku yang dipilih. Terpaksa perut dihiris lapar, hati juga dihiris rasa malu dihina orang.
Beza Bahagia Dan Sedih
Berbicara tentang kesedihan dan kebahagiaan, bagai saudara kembar yang kadang tak mampu kita fahami perbezaan keduanya. Ada anak kita rasa susah tak ada anak pun susah, ada pasangan susah tak ada pun susah, bila kaya susah tak kaya pun susah, bila terkenal susah tidakpun susah.
Oh lemahnya manusia yang serba tidak sempurna, Maha Suci Allah dari sifat ketidaksempurnaan. Diciptakan kita yang lemah ini supaya kita bergantung pada Allah Yang Maha sempurna!
Jadi, akurlah apapun yang terjadi pada diri kita hari ini, esok dan selama-lamanya kita terima garis takdir kita sebagai sahabat!
Jangan Lari Daripada Masalah
Nak lari kemanapun masalah pasti mengejar kita, mahu tak mahu kena hadapinya. Kalau anda pilih menyerah padanlah muka terima segala derita, tetapi jika anda sudah berusaha setidak-tidaknya anda tidak menyesal bila tak berjaya. Seandainya suami anda bercinta dengan bekas teman sekolah, bagaimana anda menerima takdir ini?
Merajuk dan mengamuk kemudian anda berlagak suci sendiri dan sibuk dengan Tuhan? Silap, anda bukan memecahkan masalah tapi membiarkan ia semakin besar!
Buruk Bertukar Baik
Ikhtiarlah guna akal fikiran, belajar mencari punca masalah, bersemuka dengan suami jangan lari, berbincang sebagai manusia yang beriman, dapatkan bantuan kaunselor, orang alim yang amanah. Jika proses ini berjalan dengan baik tak satupun tertinggal dan anda sentiasa dalam keadaan positif tidak mustahil keburukan akan berubah menjadi kebaikan.
Tetapi jika takdir Allah menentukan suami bukan jodoh anda setelah bersusah payah berjuang, setidak-tidaknya anda berpuas hati dengan pencapaian terbaik yang Allah putuskan. Allah tetap membalas usaha baik itu dengan pahala. Usaha menyelamatkan perkahwinan adalah jihad, menang atau gagal bukan urusan kita, ia kuasa Allah! Jangan lari dari medan perang, sungguh ia ladang pahala anda, ikhtiarlah sampai habis kudrat dan biarkan Allah penentunya.
Bertenang, Berdialog Dengan Suara-Suara Positif
Kenapa Allah datangkan ujian? Sebab ia syarat masuk syurga, disamping itu ia mengajar manusia mengenal kelemahan dirinya, belajar bersabar, belajar akur dan taat pada Allah walau apa jua rintangan sekalipun. Beginilah cara kita berdiaolog dengan hati kemudian kita cuba berdialog dengan buku, dengan ulama bijak pandai, dengan Al-Quran, dengan hadis, dengan doa-doa kepada Allah. Berdialoglah, berfikir positif, kawal diri jangan biarkan orang-orang yang negatif mengawal diri anda. Allah berfirman: “Pada diri kalian sendiri, apakah kamu tidak memperhatikan?” (Surah al-Zariyat ayat: 21)
Mungkin selama ini kita tak kenal diri kita sendiri, tetapi apabila ada masalah datang baru kita belajar memahami emosi. Nikmatilah setiap tangisan yang anda tumpahkan, nikmatilah kesedihan dengan indah iaitu menghadirkan sangka baik pada Allah, hanya sangka baik saja yang dapat menekan luapan marah. Segala tentang takdir Allah adalah baik, kita hanya dipersilakan mengutip pahala di sepanjang jalan ini sampai akhirnya mendapat kepuasan hati yang reda bertemu Allah SWT.
Betapa kita telah lama terluka oleh ujian dan musibah dalam perjalanan penjang menuju kematian, masihkah lagi kita mengeluh oh anakku menyakitiku, suamiku mengkhianatiku, hartaku menyusahkanku, pekerjaanku membebankanku? Ya Allah jadikanlah kami bersahabat dengan takdir-Mu!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...