https://www.facebook.com/abuiqbalhakim

Bersyukur. Perkataan itu cukup mudah diluahkan di bibir, namun sejauh mana terkesan di hati? Bukan mudah untuk didik hati untuk bersyukur. Ikuti perkongsian ini daripada Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor. FB:  https://www.facebook.com/abuiqbalhakim

Ketika ini saya sedang mengetik komputer riba di perkarangan kampus Universiti Indonesia. Beberapa kali saya didatangi anak-anak kecil. Berusia lingkungan 10 tahun. Mereka menjual tisu muka. Harganya murah. Sebungkus RM1.50 sahaja.

Cari Rezeki Dengan Seragam Sekolah

Sewaktu saya menaiki jejantas, saya temui lagi anak-anak ini. Ada yang berusia remaja. Masih berseragam sekolah. Menjaja tisu juga. Isteri saya berkata, sebelum remaja lelaki berseragam sekolah menjual di situ, ada seorang anak kecil lelaki di tempatnya. Barangkali, mereka adik-beradik. Menjaja tisu demi segenggam rupiah. Demi bisa ke sekolah.

Bukan sekadar itu. Di sini, jika menaiki kereta di jalan yang jem, kita pasti berpapasan dengan para penjual ini. Bukan sekadar tisu, mereka menjual apa sahaja. Dari air mineral sehinggalah makanan ringan. Biar panas, mereka tahan. Ada ibu yang menggendong anak kecil, meraih simpati dengan wajah sayu. Juga nenek tua yang hitam. Ada yang mengecat diri sendiri lalu beraksi bagai ‘patung bernyawa’, sambil menghulurkan kotak minta simpati.

Jadilah Orang Yang Sentiasa Bersyukur, Kita Susah Masih Ramai Yang Sengsara!

Bersyukur Kita Lahir Di Malaysia

Kita mungkin tidak dapat melihat senario berkenaan di Malaysia. Jika ada pun yang mencari derma, mereka bukan anak-anak kita. Wajah mereka wajah Myanmar. Namun, di sini (Indonesia), jauh di sudut hati saya merasa pilu. Ya, anak-anak kecil penjual tisu. Mencari belanja sekolah. Dengan seragam yang kusam. Di tepian jalan berjam-jam.

Di sinilah saya sering berpesan kepada diri, juga anak-anak. Betapa kita bertuah dilahirkan di bumi yang namanya Malaysia. Benar, ada kalanya kita diuji. Riak-riak politik yang menjentik. Pasaran saham yang menukik (menjunam). Harga barangan yang menanjak. Itu dan ini. Namun percayalah, kita masih amat jauh beruntung.

Rezeki Menanti

Kehidupan kita berjalan indah. Tidak ada anak-anak tertinggal sekolah. Benar, kita bising dengan pinjaman pengajian yang tinggi. Namun percayalah. Sehabis belajar, pekerjaan banyak menanti. Asal jangan malas atau memilih. Kita tidak perlu mengintai jauh ke luar negeri. Mencari rezeki, meninggalkan ibu bapa, anak isteri.

Kehidupan kita sedari anak berjalan mulus. Benar semuanya memerlukan fulus. Namun keluar sahaja rumah, pasti sore nanti kita bawa wang. Namun sedarkah kita, beberapa teman saya dari tanah seberang berkata. “Di negara kami, keluar pagi, sore nanti belum tentu saku terisi.”

Kehidupan kita memang mencabar. Namun kita masih mampu tersenyum. Banyak bantuan dihulurkan kerajaan. Khususnya golongan miskin (B40), banyak institusi yang menjamin. Pusat zakat, JKM dan apa sahajalah. Sedangkan ada orang lain, di belahan dunia lain, ada yang terlantar kerana segalanya tiada di sisi mereka. Biar pintar, belum tentu bisa belajar. Natijahnya apa?

Didik Diri Untuk Bersyukur

 Ya, ia mendidik kita untuk bersyukur. Rasa syukur yang wajib dipamerkan. Bukan sekadar disimpan. Zahirkan dengan perbuatan. Menjadi umat yang lebih prihatin. Saling menjaga. Tidak bertelingkah. Menegakkan keadilan. Menjauhi rasuah. Tanpa kecuali. Rakyat atau pemerintah.

Kita boleh mulakan. Ya, dengan langkah paling mudah. Misalnya, tidak membuang sampah merata-rata. Atau tidak merasa malu mengutip sampah di depan mata. Mematuhi lampu merah di jalan raya. Menjimatkan elektrik dan air. Menebarkan senyum dan salam. Membantu membuka pintu. Menolong mengangkat barangan. Hatta mengucapkan terima kasih. Jua senyum di wajah.

Menyumbang Untuk Kebaikan

Ya. Kita hendaklah berusaha menjadi rakyat Malaysia yang membanggakan. Menjadi rakyat Malaysia yang menyumbang. Ia adalah tuntutan. Jangan sampai kita tersedar dengan keamanan, saat bangunan sudah berantakan. Marilah menyintai rasa kesatuan. Menyintai watan. Kata Ibnu Khaldun di dalam kitabnya al-Muqaddimah, itulah pra syarat kemajuan.

Percayalah, kita ditakdirkan menjadi rakyat Malaysia bukanlah sesuatu yang sia-sia. Pasti ada banyak perkara yang patut menjadi tujuan. Menyumbang untuk kebaikan. Membanggakan. Paling tidak pun, tidak menyusahkan. Wallahuallam.

Catatan ringkas di Depok, Indonesia pada 4 Mac 2020.

https://www.mingguanwanita.my/pkp-cuti-kurniaan-allah-swt-renung-diri-dan-tetap-bersyukur/

https://www.mingguanwanita.my/kanta-lekap-pernah-pecah-dalam-mata-lisa-surihani-kini-bersyukur-penglihatan-sudah-terang/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI