Buka Taska Di Tempat Kerja, Mudahkan Ibu Bekerja, Jauh Sekali Bebankan Majikan, 1 Januari 2019 Nanti Wajib Ada

Pemergian adik Rayqal Mohd Sufi Naeif di rumah pengasuhnya dekat Batu Caves selasa lalu memberi impak yang besar kepada ramai pihak terutama mak-mak yang bekerja dengan agensi kerajaan.

Kesedihan dan peristiwa besar itu mendapat respons segera daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang kemudiannya mengumumkan semua agensi kerajaan akan dilengkapi pusat penjagaan kanak-kanak berkuatkuasa 1 Januari 2019.

 

Buka Taska Di Tempat Kerja, Mudahkan Ibu Bekerja, Jauh Sekali Bebankan Majikan, 1 Januari 2019 Nanti Wajib Ada
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh

 

Tentunya ia memberi satu kelegaan yang besar buat mak-mak yang bekerja. Yang mana, waktunya banyak dihabiskan di pejabat mahupun tempat kerjanya.

Sebenarnya, bukan saja agensi kerajaan seharusnya perkara yang mengundang kebaikan terutama pekerja wanita ini perlu disambut baik oleh syarikat-syarikat swasta. Dan tidak memandang penyediaan taska mahupun cuti bersalin mak-mak sebagai satu beban kepada mereka.

Berkongsi pandangan mengenai kewujudan taska di premis kerja ini turut disuarakan oleh Abdul Muiez Ruslee, Guru Bimbingan dan Kaunseling, SMK Sungai Besar dan penulis buku Pantang Menyerah (Galeri Ilmu).

IKLAN

Lama dahulu, saya telah menyarankan agar diwujudkan taska di premis kerajaan. Saya pernah menghantar mesej kepada timbalan menteri, juga membuat hantaran di Facebook agar kerajaan memberi peluang kepada pejabat kerajaan untuk mengendalikan taska mereka sendiri.”

4 Sebab Taska Di Tempat Kerja Akan Mudahkan Ibu Bekerja

Beberapa tahun lalu, saya juga pernah meminta kepada pengetua agar rumah guru yang tidak diguna supaya ditukar menjadi taska.”

Atas sebab-sebab tertentu, saranan saya dipandang sepi.

Dalam konteks guru, kewujudan taska berbayar di sekolah sedikit sebanyak mampu menyelesaikan banyak perkara.

IKLAN

1. Antara alasan guru datang lewat ialah menghantar anak. Dengan mewujudkan taska di tempat kerja, isu lewat dapat diminimakan.

2. Bagi sekolah 1 sesi, kebiasannya pentadbir akan gunakan masa petang untuk aktiviti mesyuarat, taklimat, program latihan dalam perkhidmatan, urusan sukan dan sebagainya. Jika wujud taska di sekolah, saya yakin, guru tidak keberatan untuk pulang sedikit lewat kerana tidak perlu lagi runsing untuk mengambil anak mereka lambat.

3. Jimat. Bagi taska swasta, mereka akan mencaj bagi setiap jam tambahan. Hal ini menyebabkan guru-guru tergesa-gesa untuk pulang bagi elak dikenakan bayaran lebih. Jika menjaga hujung minggu, lain pula harganya. Ini menjadikan guru agak keberatan untuk bertugas pada hari Sabtu dan Ahad kerana tidak ada orang yang boleh menjaga anak.

IKLAN

4. Memudahkan guru baru lepas bersalin untuk memantau anak mereka. Bagi guru-guru yang baru masuk kerja selepas cuti bersalin, mudah bagi mereka untuk memantau anak. Apa yang lebih penting, jika ada masa terluang, mereka boleh menyusukan anak mereka secara terus tanpa mengepam dan simpan stok susu di sekolah.

Ini hanya sedikit, mungkin banyak lagi alasan yang boleh diutarakan.

Saya berharap agar pentadbir atau pihak-pihak di PPD mahupun JPN memandang isu taska berdaftar ini sebagai satu keperluan insani kepada para guru.”

Beri kebenaran kepada PIBG untuk menguruskan taska berbayar ini. Malah pihak Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan memberi latihan kepada penjaga untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

*Saya menulis dalam konteks guru di sekolah kerana saya seorang guru. Cadangan ini iuga boleh diguna kepada jabatan kerajaan lain mengikut kesesuaian mahu pun pihak swasta.

Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI