Bagi mak-mak yang suka berkebun, memang geram bila pokok mahupun tanaman tak sihat dan bermasalah pada bahagian daun dan batang. Seperti diserang kulat/hama/kutu/ulat beluncas dan sebagainya.
Sebenarnya dengan menggunakan bahan-bahan dapur yang semula jadi seperti bawang putih, cili padi dan halia berkesan dijadikan semburan racun organik bagi mengatasi masalah ini.
Untuk faham lebih lanjut, boleh cuba buat sendiri semburan racun organik di rumah seperti yang dikongsikan oleh Puan Aisyah Umaira Binti Othman.
“Alhamdulillah sejak guna racun organik ni tak de dah ulat beluncas ke anak rama-rama ke makan. Kadang depa buat sarang dekat daun tu untuk anak-anak depa makan. Banyak cantik ingat tanam untuk anak-anak ko makan.
Jadi saya pun buat la racun organik ni. Dia patutnya ada sukatan dia tapi saya tak ikut. Alhamdulilah menjadi walau pun tak ikut sukatan tu. Pucuk baru dah tumbuh.
Bahan-Bahan Diperlukan:
5 batang cili api
4 ulas bawang putih
1 buku kecil halia
air Secukupnya
1 sudu sabun basuh pingan
Cara Membuat:
1. Kisar cili api, bawang putih, halia dan air agak-agak macam botol bawah ni. Kalau nak banyak bahan-bahan tadi gandakan la.
2. Selepas itu tapis, gaul sebati dengan sabun basuh pingan, saya guna Glo tu. Gaul sampai sebati, tapis lagi selepas itu simpan dalam tempat gelap 24 jam besok dah boleh guna.
Ads
3. Saya letak tempat gelap sebulan tak ingat ada buat racun organik ni. Alhamdulilah lagi lama simpan lagi kuat bau dia. Mungkin sebab tu ulat/lebah/lalat tak datang dah.
*Bancuhan tu tadi kena campur dengan air paip. Saya tak sukat pun, cuma agak-agak nak kuat kan bau dia je.
Mingguan Wanita: Ada masalah ulat beluncas selalu makan pucuk daun, boleh cuba buat sendiri racun organik ni dah sembur sendiri pada pokok nanti. Boleh lihat hasilnya.
Daun pandan mempunyai aroma wangi yang tersendiri dan sering digunakan dalam masakan harian mahupun pembuatan kuih muih. Tapi selalunya kita nak gunakan daun ni sikit je mungkin sehelai dua, jadi eloklah tanam sendiri pokok pandan ini di rumah. Jimat dan taklah terbuang membazir.
Namun nak tanam pokok pandan ada cara yang betul, barulah ia mudah ‘hidup’, daun lebar dan subur. Boleh gunakan samada keratan berakar atau pucuk pangkal pokok, malah boleh juga ditanam dalam pasu mahupun terus dalam tanah.
Jadi sebelum tanam Pokok Pandan, kena ada ilmu dan asas dalam menanamnya.
Tanaman ini tidak rumit untuk diusahakan kerana ianya mudah tumbuh di atas apa-apa jenis tanah berikutan daripada ciri akarnya iaitu akar udara.
Ianya tidak rumit dari segi suhu, pH, kelembapan, taburan hujan dan sebagainya. Akan tetapi, untuk jaminan kesuburan dan kualiti hasil yang terbaik, ianya perlu diusahakan di kawasan tanah lapang dan mempunyai kadar naungan terhadap matahari yang sederhana.
Ianya sesuai pada pelbagai jenis tanah. Tiada sebarang kekangan untuk mengusahakan penanaman secara terus ke tanah, dalam polibeg ataupun pasu.
a) Tanam Dalam Pasu
Untuk penghasilan yang terbaik, saya mengesyorkan menggunakan tanah campuran yang mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir. Kemudian, penuhkan pasu ataupun polibeg dengan mengisi tanah campuran tersebut sehingga 5cm dari bahagian permukaan sebelum ditanam.
b) Tanam Terus Dalam Tanah
Untuk secara terus atas tanah, sediakan lubang berukuran 25cm x 25cm dan benih pandan sudah boleh terus ditanam.
Kemudian boleh terus tanam pada tanah, polibeg ataupun pasu seperti yang dinyatakan tadi dengan memasukkan pada lubang yang berukuran 25cm x 25cm.
Seterusnya, timbus dan padatkan tanah keliling bersama dengan benih pandan. Akhir sekali, siram benih yang ditanam pada kadar yang mencukupi sehingga kelihatan basah dan lembap.
Siram tanaman sebanyak 2 kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang. Keperluan air perlulah mencukup bagi memastikan daun yang terhasil lebih lebar dan kekal subur.
Bagi mengelakkan serangga perosak, haiwan berbahaya dan penyakit serius pada pokok pandan, penting mencantas daun kering dengan kerap. Sekiranya tidak dilakukan, berkemungkinan kawasan tanaman akan mengundang kehadiran haiwan tidak diingini seperti ular, tikus dan sebagainya.
Jika telah tumbuh tunas baru pada rumpun yang sama, potong sahaja rumpun yang lama dan pindah untuk penanaman baru.
Sebagai langkah kawalan rumpai, cabut dan buang rumpai yang tumbuh di keliling pokok. Sebaiknya gunakan kaedah manual samada menggunakan tangan ataupun mesin rumput. Ini bagi mengelakkan tempias semburan racun secara terus yang boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap pokok pandan.
Tabur baja dengan menggunakan baja NPK (21:21:21) yang dikhaskan untuk pertumbuhan daun. Baja perlu digunakan sebanyak 5g sepokok bagi tanaman dalam pasu ataupun polibeg dan 10g sepokok bagi tanaman di atas tanah.
Daun boleh dipetik selepas 12 bulan ditanam dengan memotong bahagian pangkal rumpun menggunakan pisau yang tajam. Untuk pemprosesan yang lebih baik, sebaiknya pangkal tersebut dibuang terlebih dahulu.
Apabila melibatkan penjagaan luaran dan cat kereta, ramai sebenarnya yang kurang pasti waktu sesuai untuk polish dan wax kereta. Malah tak kurang juga yang sering terkeliru fungsi di antara kedua-duanya. Lebih-lebih wanita, biasanya hanya tahu hantar cuci, isi minyak dan bawa kereta sahaja. Jarang sangat ambil peduli bab penjagaan luaran seperti polish dan waxing ini. Biarlah kereta calar balar, cat kusam, terkopek pun. Janji boleh bawa kereta ke sana sini, kereta tak meragam.
Perlu tahu, ada masa tertentu dan sangat sesuai untuk polish dan wax kereta ini. Malah kedua-duanya sama penting serta memaoinkan peranan yang berbeza untu penjagaan kereta jangka panjang. Polish untuk ‘mencuci’ manakala wax untuk perlindungan dan mengilatkan kereta.Oleh sebab itu ramai memilih itu yang memadankan polish kereta dengan wax terus. Tidak hanya memilih salah satu.
Untuk faham lebih lanjut fahamkan perkongsian daripada Ketuk Cat Keretaini sebagai panduan.
Jangan terkeliru dengan waxing kereta. Polish ini sebenarnya dilakukan sebelum wax kereta.
Fungsi Polish adalah untuk:
Menghilangkan kesan minyak, gris, lecah tanah, lumpur, calar.
Analogi mudah; polish kereta adalah seperti facial muka.
Ada beberapa jenis bentuk polish.
Ada yang jenis krim, cecair dan semburan yang ada sebatian bahan pelarut untuk menghilangkan kotoran menjadikan cat bersinar.
Polish akan mengeluarkan kotoran tetapi tidak dapat memberikan sebarang perlindungan pada permukaan kereta.
Wax digunakan selepas kereta dibasuh dan kereta yang dah dipolish. Fungsinya adalah untuk menambahkan lapisan berkilat pada kereta dan sebagai lapisan perlindungan.
Kebaikan waxing kereta:
Kereta anda akan dilindungi dari sinaran UV.
Mencegah kereta anda daripada pencemaran dan habuk lain.
Lapisan wax akan mengurangkan lembapan daripada terkena cat. Lembapan inilah yang akan menyebabkan air terkena cat dan cat akan terhakis.
Oleh sebab itu ramai yang padankan polish kereta dengan wax terus.
Polish untuk cuci manakala wax untuk perlindungan dan mengilatkan kereta.
Jadi bila perlu polish kereta? Ini jawapannya. Teruskan membaca.
#1 Kereta Baru Lepas Kemalangan
Jangan silap sangka. Kalau kereta kemik teruk, perlu cari bengkel ketuk kereta dan tukar bahagian kereta. Tapi kalau ‘luka’ calar-calar sikit, boleh dibiarkan.
Bila selepas berlaku kemalangan, kesan calar balar pada kereta amat jelas dan menjengkelkan. Jadi bolehlah menuju ke bengkel nak polish kereta tu. Kalau buat wax sekali, akan berkilatlah kembali kereta itu.
#2 Selalu Bergesel Dengan Kenderaan Lain
Kadangkala berlaku kereta bergesal dengan kereta orang lain. Ada kala juga kenderaan lain pula bergesel dengan kereta anda.
Ini selalu berlaku apabila kereta menyelit dan motor mencelah dalam kesesakan lalu lintas.
Gilapkan kereta dengan segera untuk menghilangkan kesan geseran itu. Ia lebih berbaloi daripada dibiarkan sebegitu sehingga mendatangkan masalah lain pula.
#3 Bawa Kereta Dekat Kawasan Bertanah
Jika mempunyai kereta berwarna putih mesti kurang gemar kalau terpaksa memandu di kawasan tanah berlumpur. Ia mudah nampak kotor.Tambahan pula, campuran tanah itu bukan sahaja ada batu kecil, malah mungkin ada batu yang besar serta ranting kayu.
Jadi kebarangkalian kereta bercalar amatlah tinggi.
Tapi jangan ingat kereta warna lain juga selamat. Walaupun kesan calar agak kurang jelas pada kereta berwarna, ini tidak bermakna anda tak perlu polish kereta.
#4 Untuk Menjaga Kereta
Di antara fungsi polish adalah untuk mengekalkan keadaan cat kereta supaya tak kering, merekah atau terkopak.
Kalau rasa cat kereta dah mula merekah atau terkopak sedikit, jangan kupas dengan jari anda. Nanti makin ‘tona tak sekata’ kereta anda. Kena cat lagi.
Nak tukar kereta atau cat baru mungkin agak mahal.Namun kalau rajin polish kereta, senanglah nak maintain warna cat itu.
#5 Kereta Selalu Masuk Hutan
Bila anda memandu kereta di dalam hutan, ada beberapa kebarangkalian yang akan terjadi kepada kereta anda.
Antaranya:
Bawa kereta atas jalan tanah merah
Jalan di kampung yang tidak diturap tar dengan sekata
Jalan tar banyak yang berlopak
Kereta yang dipandu jarang masuk bengkel
Kereta anda jenis heavy duty
Selalu pemilik kereta jenis heavy duty tidak kisah tentang kesan calar dan tahap kekotoran luar kereta. Lagi-lagi yang selalu buat trip ke dalam hutan, jadi renjer hutan dan sebagainya.
Tetapi kalau nak kembalikan ‘kegarangan’ kereta anda, bolehlah polish kereta tersebut. Gabungkan sekali dengan wax untuk kesan yang terbaik.
Sebenarnya terdapat banyak kebaikan daripada menggilap kereta. Tidak kira apa jenis kereta yang anda pakai, penjagaan kereta amat penting dari sudut kebersihan, keselamatan dan juga ketrampilan.
Sekarang ini cara paling mudah nak jaga kereta adalah dengan menjaga service dan luarannya. Sayang kereta tu, janganlah sebab calar sedikit, sudah mula nak cari yang baru.
Mingguan Wanita: Jadi jika ada kereta sendiri, ambil tahu juga perbezaan polish dan wax ni. Barulah tak kena tipu dan kereta juga tetap cantik berkilat serta cat tahan lama bila menjaganya dengan baik.
Bagi yang pernah alami kemalangan atau terlihat kemalangan di depan mata, sedikit sebanyak akan rasa trauma. Terbayang-bayang dan mula fikirkan, mungkin kalau tak ada orang selamatkan kita, belum tentu kita ada lagi di dunia ini. Minta dijauhkan. Perkara yang kita sendiri tidak jangka.
Kita tahu, jodoh, ajal, maut dan rezeki semua di tangan Allah. Tapi, kalau belum sampai masanya dan untuk kita diberi ‘peringatan’, kita akan lebih berhati-hati lagi terutamanya bila berlaku kemalangan.
Boleh dikatakan, setiap hari pasti ada kemalangan yang berlaku di jalan raya. Masalah yang utama tentulah jalan raya akan menjadi ‘jem’ dengan ramai yang berhneti di tepi jalan dan tak kurang juga yang perlahan kereta untuk melihat apa yang berlaku.
Tak kisah apun, kita sebagai orang yang melihat atau pernah terlibat, apakah tindakan kita bila mengalami situasi begini. Apa yang patut kita buat. Inilah yang dikongsikan oleh Dr Kamarul Ariffin apabila kita terlihat kemalangan dan apa yang perlu kita elakkan.
Apabila kita terlihat kemalangan berlaku, lakukan 3S ini.
1. SELAMAT
Pastikan tiada di sekeliling anda apa-apa yang boleh anda, mangsa atau sesiapa berhampiran. Jika ada bahaya, alihkan penyebabnya. Jika bahaya tidak boleh dialihkan, maka elakkan berada di kawasan berkenaan.
2. SEDAR
Periksa keadaan pesakit. Lihat sama ada mangsa sedar atau tidak. Sapa, tepuk bahu atau goyang tubuh sedikit mangsa. Jika pesakit memberi respon, tanya sama ada dia OK atau tidak. Jika tidak sedar, dapatkan bantuan.
3. Hubungi 999
Ini untuk dapatkan bantuan. Anda akan disambungkan ke pusat Khidmat Respon Kecemasan Malaysia. Beritahu operator tentang butir diri anda, kecemasan, lokasi dan keadaan mangsa. Ikut arahan operator di talian.
Jika pesakit tak sedarkan diri dan anda tahu serta yakin untuk lakukan bantuan kecemasan(CPR), maka berilah bantuan sewajarnya. Jika tidak, serahkan pada yang mampu.
1. SANGSI
Elakkan sangsi dan buruk sangka pada mangsa. Ia akan mempengaruhi pertimbangan serta tindakan kita sebagai penyelamat/pembantu/saksi. Tindakan pantas kita pula boleh mengubah nasib mangsa atau nasib kita.
2. SEBAR
Elakkan merakam keadaan mangsa kerana ia melibatkan privasi dan kehormatan mereka. Jauhi juga perbuatan menyebarkan rakaman yang paparkan keadaan mangsa melalui media sosial tidak kira tas niat apa sekali pun.
3. SONGLAP
Elakkan cubaan mengambil apa-apa dari kawasan kemalangan. Kawasan kemalangan adalah kawasan siasatan. Mengambil kesempatan ke atas kesusahan orang lain boleh menyusahkan mangsa dan diri sendiri.
Jika tak elakkan 3S ini, maka anda berisiko mendapat S keempat, iaitu SESAL.
Mingguan Wanita : Bukan setakat ‘jem’ dan jalan sesak. Bimbangnya kalau leka kita pula yang terlibat. Berhati-hatilah.
Usah menambahkan kesedihan kepada ahli keluarga mangsa nahas konvoi RXZ, mereka sedang melalui ujian yang sangat berat. Tragedi ini telah meragut nyawa dan meninggalkan luka yang mendalam kepada banyak keluarga.