Tiada siapa antara kita mahukan pasangan yang dikahwini itu ditimpa masalah kesihatan
Diharapnya pasangan kita sihat dan kekal bersama selamanya, baik susah atau senang. Namun, tidak semua yang diharapkan itu berkekalan dan pastinya ada ujian yang Allah ingin duga, mungkin juga dengan masalah kesihatan yang harus dilalui oleh pasangan.

Apakah yang harus dilakukan oleh pasangan bila diuji begini. Kupasan lebih lanjut bersama Abdul Muiez Ruslee tentang topik ini.

Galas Amanah

Menjaga orang sakit tidak semudah yang disangka. Banyak yang perlu diuruskan. Bukan sekadar memberi makan ubat, kemudian tinggalkan. Maksud jaga itu sendiri membawa pengertian yang spesifik.

Jika orang yang sakit itu adalah ibu bapa sendiri, mungkin antara adik-beradik boleh
berkongsi tanggungjawab. Tetapi bagaimana pula jika si isteri atau pasangan yang diuji?
Mungkinkah, ada orang lain yang boleh menggalas amanah itu bersama? Jawapannya sudah tentu tidak. Ini kerana tanggungjawab menjaga isteri terletak pada pundak sang suami.

Kata orang, isteri diuji ketika suami susah, suami pula diuji ketika mempunyai segalanya.
Memang benar. Tetapi dalam konteks kehidupan berumah tangga, pasangan suami isteri akan benar-benar diuji ketika salah seorang ditimpa sakit.

Kehendak & Tanggungjawab

Mungkin pada pandangan kita, menjaga pasangan yang sakit itu mudah. Hakikatnya, pada waktu itulah suami isteri akan berada dalam gelanggang pertarungan yang sebenar. Pertarungan antara kehendak dan tanggungjawab. Pertarungan antara ingin terus berada dalam zon selesa dengan pengorbanan yang merumitkan.

IKLAN

Jika kita mampu mengharungi perlawanan ini, nescaya kita telah hampir melangkah ke garisan kemenangan. Kejayaan melawan nafsu yang menuntut keselesaan dalam hidup berumah tangga.

Benar. Ujian ini sebenarnya menggoyahkan hati. Sebagai seorang suami, perasaan rasa terbeban itu sedikit sebanyak akan timbul di lubuk hati yang paling dalam. Tetapi, apakah kita tegar untuk membiarkan sahaja perasaan itu terus bergelut di dalam jiwa? Tidak? Kerana yang sakit itu adalah isteri kita. Isteri yang patut kita jaga dan sayangi.

Muhasabah Diri

Bila pasangan ditimpa dengan ujian kesakitan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah:

1. Stabilkan Emosi Sendiri Dan Pasangan – Tidak ada orang yang berharap untuk sakit. Sebagai orang yang pernah merasai nikmat sihat, sudah pasti ujian kesakitan itu akan menimbulkan rasa resah dan gelisah bukan sahaja kepada pasangan tetapi kepada diri kita juga.

Sebab itu, emosi perlu dipupuk dengan sifat positif. Ini kerana, jika kita mulakan langkah
pertama dengan rasa malang dan sedih, nescaya perkara negatif akan sentiasa memeluk erat kehidupan kita.

Hidup tidak tenang, tidak mampu terima hakikat yang sebenarnya kita sedang diuji dan akan menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Itulah yang kerap berlegar di fikiran. Sebab itu, kita perlu muhasabah diri.

2. Rasional Di Tahap Yang Tertinggi – Tenangkan diri dengan mengatakan bahawa satu hari
nanti pasti pasangan kita akan sembuh. Nabi s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, “tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan ubatnya.”

Susun Semula Kehidupan

Ujian kesihatan yang menimpa, tentu akan mengundang tekanan akibat tidak mampu bekerja atau menguruskan rumah tangga. Sebagai suami, perkara utama yang perlu dibuat ialah menyusun semula kehidupan seharian.

Benar, biasanya tugas harian di rumah akan dilakukan oleh isteri. Tetapi, jika hal ini
berlaku, mahu atau tidak, suami perlu menggalas tanggungjawab untuk menguruskan rumah tangga sendirian. Bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Susun setiap tugasan agar semuanya berjalan lancar.

Jika sebelum ini urusan anak-anak diuruskan oleh isteri, kini servis bertukar tangan.
Suamilah yang perlu uruskannya. Bangun awal pagi, kemudian siapkan semua keperluan
persekolahan seperti menggosok baju, memandikan mereka, memakaikan pakaian yang bersih serta mengisi perut anak-anak sebelum bertolak ke sekolah.

Bab makan, mungkin suami mempunyai talian hayat. Zaman sekarang, makanan boleh dihantar ke rumah dengan hanya satu panggilan. Dobi juga tiada masalah. Dengan wujudnya perkhidmatan dobi layan diri 24 jam, urusan membersihkan pakaian mungkin tidak lagi membebankan.

Wahai Suami!

  • Sebagai suami, elak daripada menunjukkan rasa tidak senang, penat dan tidak puas hati di hadapan isteri. Ini kerana bahasa tubuh itu akan membuatkan pasangan hilang keyakinan diri. Dalam hatinya, akan terbit rasa bersalah sehingga menyebabkan kesihatan semakin memburuk.
  • Suami boleh menaikkan semula semangat isteri dengan menunjukkan rasa senang dan berkata yang baik-baik di hadapan pasangan. Walaupun hakikatnya, rasa penat itu ada, tetapi pandai-pandailah disorok.
  • Suami boleh memberi sokongan dengan cara mengurut badan, menepuk belakang jika batuk, sediakan keperluan ubat-ubatan, teman ke hospital dan beri peluang isteri berehat dengan menjauhkan anak-anak.
  • Memang betul, pasangan kita tahu yang kita tidak mampu untuk merawat mereka, tetapi dengan sedikit perhatian yang kita curah pasti akan membuatkan mereka berasa senang.

Tip Untuk Pasangan

Ada dua tip untuk suami atau isteri apabila pasangan diuji jatuh sakit yang dapat dikongsi.
1.Cara yang terbaik ialah hadapi sahaja ujian yang menimpa. Mudah-mudahan Allah akan berikan jalan terbaik.

2.Pasakkan dalam diri yang kita tidak akan selamanya sihat. Satu ketika, kita juga akan
diuji dengan sakit. Mungkin lebih teruk daripada apa yang dialami oleh pasangan. Sekiranya, kita mengabaikan pasangan ketika mereka diuji dengan kesakitan, tidak mustahil, satu hari nanti, kita pula akan diperlakukan dengan cara yang sama.

Kesimpulannya, untuk diri kita disayangi, kita perlu menyayangi. Berikan yang terbaik kepada pasangan kita di saat mereka sedang diuji. Satu hari nanti, kita juga akan dijaga mungkin dengan lebih baik saat kita pula ditimpa musibah.