Berat Hati Ku Lafazkan Talak Tapi Demi Zuriat, Ku Relakan

Berat hati tika perlu melakukan sesuatu yang bukan kehendak kita. Sedih kerana kebahagiaan yang diimpikan selama ini musnah di tengah jalan. Terkilan kerana aku rasakan aku tak mampu menjadi seorang suami yang terbaik.

Kenalkan diriku sebagai Zif saja. Berusia awal 30-an. Aku berkahwin dengan Sue pada saat usiaku sudah mencecah 30 tahun. Ikutkan agak lewat juga aku bertemu jodoh. Mungkin kerana sikapku sendiri yang memang tidak berhasrat untuk berkahwin awal.

Belajar Di Jepun

Aku menyambung pelajaran hingga ke peringkat Ijazah Sarjana di sebuah universiti di Jepun. Aku memang suka akan negara tersebut. Aku sukakan keindahan negaranya, keunikan budayanya, makanannya.

Hinggakan kalau dilihat sekali imbas, sudah persis orang Jepun. Bahkan, aku pernah bercinta dengan gadis Jepun. Namun kerana perbezaan budaya dan pemikiran, cintaku kandas di tengah jalan. Ya, tak mudah menjalin hubungan dengan orang yang berlainan kepercayaan dan budaya.

Berat Hati Ku Lafazkan Talak Tapi Demi Zuriat, Ku Relakan

Fokus Karier Dulu

Sekembalinya ke Malaysia, aku bekerja di sebuah syarikat swasta, dengan gaji yang boleh dikatakan lumayan. Aku fokus untuk mengembangkan karier.

Masuk umur tiga puluh, keluarga mula bising bila aku masih lagi tidak berkahwin. Waktu itu, aku memang tak ada calon pun.

Majlis Reunion Sekolah

Ditakdirkan, aku menghadiri satu majlis reunion teman-teman sekolah menengah. Itu kali pertama ku hadir. Memang seronok bila jumpa ramai kawan-kawan lama. Waktu itu aku berjumpa dengan Sue yang merupakan rakan sekolah tapi berlainan kelas.

Aku suka dengan penampilannya yang berambut panjang lurus, berkulit putih mulus dan tinggi lampai. Macam gadis Jepun. Dia memang cantik sekolah tapi dulu dia bercinta dengan orang lain.

Rupanya Sue juga masih belum berkahwin dan ramai rakan yang sengaja ‘keneng’kan kami yang dikatakan serasi dan sepadan. Kadangkala rasa hairan juga, kenapa gadis secantiknya masih belum berpunya?

IKLAN

Lagi artikel menarik di sini:

Titisan Air Mata Bahagia, 21 Tahun Suami Isteri Menanti Kelahiran ANAK PERTAMA

Pasangan Suami Isteri TERTUA Di Dunia, Usia Perkahwinan Cecah 79 Tahun!

Jodoh Tak Berat

Mungkin kerana waktu itu aku dan Sue sama-sama ‘terdesak’ untuk cari jodoh, hanya beberapa bulan bercinta, kami melangsungkan perkahwinan. Aku juga membawa Sue honeymoon ke negara Jepun. Bawa dia melihat universiti tempatku belajar. Bahagia ku rasakan.

Aku sangat bahagia dan rasa beruntung kerana memiliki Sue sebagai isteri. Terasa akulah lelaki paling bertuah di dunia ini.

Berat Hati Teruskan Bila Isteri Tak Nak Anak

Dua tahun usia perkahwinan, aku mula punya keinginan memiliki anak. Rasa seronok bila tengok orang lain dengan anak-anak mereka. Lagi pula, cukuplah rasanya dua tahun kami beri ruang untuk berdua. Tibalah masa untuk menambah ahli keluarga.

Yang memeranjatkan aku, Sue tolak keras bila aku menyatakan hasratku. Mulanya aku ingatkan dia bergurau tapi ternyata tidak. Dia memang tidak berhasrat untuk memiliki anak. Bila ku tanya sebabnya. Katanya dia tak suka kanak-kanak dan tak tahu layan anak. Kata Sue, dia terima aku kerana dia melihat aku seorang yang mementingkan kerjaya. Sama sepertinya. Sangkanya aku juga tak ingin punya zuriat. Anak angkat pun Sue tak nak.

IKLAN

 Pilih Berpisah Walau Berat Hati

Perasaanku? Tentu rasa kecewa dan sedih. Tak terfikir ada juga orang yang tak nak punya zuriat sendiri sedangkan orang lain sanggup berusaha keras memiliki anak.

Waktu itu, aku telah berkongsi masalahku ini dengan salah seorang rakan baikku yang kebetulan isterinya rakan baik Sue juga waktu di sekolah. Menurut isteri rakanku itu, sebelum Sue bertemu dan bercinta denganku, dia pernah menjalinkan hubungan dengan tiga orang lelaki tapi semuanya putus bila Sue berterus terang tak ingin zuriat.

Ini adalah keputusan paling berat pernah kubuat sepanjang hidupku. Tapi terpaksa ku lakukan kerana pemikiran kami berbeza. Kami bercerai secara baik bahkan aku hadiahkan rumah yang kami tinggal selama ini untuknya. Aku masih sayangkan dia namun aku juga punya keinginan untuk punya zuriat suatu masa kelak.

Bertemu Jodoh Lain

Syukur, sudah dua tahun aku bertemu jodoh dengan seorang wanita lain, yang dicari oleh mak dan ayahku sendiri. Anak rakan mereka. Alhamdulillah kami telah dikurniakan seorang cahaya mata. Inilah kebahagiaan yang ku cari selama ini. Mempunyai keluarga yang sempurna bagi diriku. Aku serahkan pada isteri untuk memiliki berapa anak, yang penting aku sudah ada zuriat.

Sue? Aku dengar dia berkahwin dengan seorang lelaki Australia dan kini menetap di sana. Moga dia bahagia dengan jalan hidup yang dipilihnya itu.

Jangan lupa follow kami di:

IKLAN

Facebook Mingguan Wanita

Instagram  Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

 

 

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI