Pernah terfikir tak? Belum habis bulan tersebut, gaji sudah habis digunakan untuk tampung segala jenis hutang dan pembelanjaan keluarga. Kadang-kadang terfikir, duit yang dapat itu ke mana pergi. Ini belum lagi beri nafkah pada isteri.
Mujurlah isteri bekerja dan tidak meminta apa-apa. Isteri kerja untuk membantu kurangkan bebanan suami dan keluarga. Bab-bab nafkah isteri diketepikan. Jadi, secara tak langsung, suami mula ambil ringan tentang nafkah untuk isteri.
Mungkin dengan tidak menitik berat tentang nafkah isteri membuatkan suami merasa ‘sempit rezeki’. Ini hanya salah satu sahaja, belum lagi tentang perkara-perkara lain yang menyebabkan suami sempit rezeki.
Nak tahu apa yang membuatkan suami sempit rezeki, Imam Muda hassan ada berkongsi tentang sebab-sebabnya.
Suami Jika Suami Berasa Sempit Rezeki, Cuba Check Apa Yang Terkurang
Rezeki ni milik Allah, bukan milik suami mahupun siapa-siapa. Allah boleh berikan apa sahaja pada kita jika Dia mahu.
Banyak keluhan yang teman dengar, rintihan dari suami yang terasa berat sangat rezeki nak masuk.
Ya, teman faham sebab teman pun seorang suami juga. Banyak yang kita fikirkan untuk keluarga. Rasa macam suami yang tidak berguna bila tidak dapat buat yang terbaik untuk keluarga kan?
Ads
Persoalannya, kenapa kita berasa sempitnya rezeki?
Cuba kita sama-sama checklist semula perkara di bawah, adakah kita telah buat yang terbaik?
1. Bagaimana hubungan kita dengan Allah?
2. Bagaimana hubungan kita dengan ibubapa?
3. Bagaimana hubungan kita dengan mertua?
4. Bagaimana hubungan kita dengan adik-beradik dan ipar duai?
5. Apakah kita terlalu berkira-kira soal nafkah dengan isteri?
No. 1 hingga no. 4 tu teman tak nak fokus sangat, kita boleh fikirkan dan buat strategi untuk perbaikinya.
Cuma yang no. 5 tu, kadang-kadang suami terlepas pandang. Rezeki suami akan mudah dijemput bilamana kita berbuat baik terhadap isteri termasuk dalam bab soal nafkah.
Asbab Rezeki
Isteri kita adalah salah satu asbab rezeki untuk suami. Nabi SAW bersabda, sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap ahli keluarganya. Ahli keluarga yang dekat dengan suami ialah isterinya sendiri selain ibu bapa.
Bila kita berasa isteri itu beban bagi kita, begitulah rezeki pun akan terbeban sampai pada suami, sebab salah satu pintu rezeki ada pada isteri.
Bukanlah maksud teman sampai kita melebih-lebih di luar kemampuan kita, cuma jangan sampai kita mengenepikan isteri dalam soal nafkah kerana terlalu ‘berlebih kurang’ dengan isteri disebabkan mereka isteri yang berkerjaya.
Semoga Allah meluaskan rezeki para suami. Aamiin.
Hassan Adli
Perbaiki Diri
MW: Moga ia memberi manfaat kepada suami di luar sana.
Rasanya, setiap mak mesti alami perkara yang sama. Kebanyakan anak memang susah nak mendengar kata mak-mak. Kadang-kadang, boleh ‘naik hantu’ mak bila anak buat tak endah. Sedangkan, ayah hanya bersuara sepatah, mengelupur anak terus buat. Mahunya, naik angin mak-mak.
Sebenarnya dalam perkara ini, anak bukan ambil ringan tentang apa yang mak-mak perkatakan. Mungkin sebab fikiran anak, mak marah macam mana sekali pun dia tetap sayang dan susah untuk ‘angkat tangan’. Kasih seorang mak.
Sedangkan, bila ‘time’ ayah, gaya dan kelakuan yang ayah tunjukkan dah buat kecut perut anak. Silap gaya, boleh dapat tali pinggang, penyakut baju atau rotan. Sebab mak-mak hanya ugut lebih tapi ayahnya akan betul-betul laksanakan. Jangan main-main.
Garang macam mana pun ayah, anak-anak tetap jadikan ayahnya sebagai idola dan super hero di hati mereka. Percayalah.
Buat ayah di luar sana, dengan keadaan zaman yang penuh dengan teknologi moden, buang seketika semua itu dan fokuslah pada anak yang memerlukan kasih sayang. Jangan terlalu ‘menghambakan diri’ pada gajet sehingga lupa peranan seorang ayah.
Ikuti perkongsian daripada Taufiq Razif tentang ruginya seorang ayah yang lebih mengutamakan telefon daripada anak-anak. Selami perasaan anak-anak dan dia membesar dan akan terus membesar. Jangan terlepas mengikuti momen indah dengan anak tersayang.
Last sekali si ayah berdehem satu kali je, semua anak jadi macam askar. Senang pula ikut kata si ayah
Si ayah tak tahu si anak idolakan dia:
Si ayah tak tahu anak anak lebih utamakan dia:
Ruginya si bapa yang utamakan handphone dan utamakan. Rugi sangat.
Dia tak tahu di sekolah si anak banyak bercerita tentang dia. Semua mengaku bapa dia lah paling hebat
Anak bukan tahu sangat ayah kerja apa. Bukan tahu sangat ayah karier ayah dia tapi bila bercerita tentang ayahnya, dengan wajah penuh bangga si anak akan bercerita
Ayah saya paling hebat dan gagah berani.
Malah, ayah saya boleh makan banyak pinggan
Rugi lah ayah yang tak luangkan masa dengan anak-anaknya sebelum anak anak mereka meningkat dewasa.
Sedarlah wahai bapa bapa di luar sana, anda adalah Superhero di mata mereka.
MW: Sebab itulah, garang ayahlah, anak-anaknya jadi ‘orang’ dan mak pula syurga di hati anak-anak.
Tentu cukup memedihkan bila pasangan atau orang yang menjadi tunggak utama dalam keluarga meninggalkan kita kita buat selamanya. Hilang tempat bergantung, apatah lagi bila pasangan yang ditinggalkan itu tidak bekerja. Segala hutang dan wasiat peninggalan suami pula tidak tahu berapa yang ada dan perlu diselesaikan.
Mungkin mudah bagi pasangan yang berpisah hidup terutamanya dari segi tuntutan harta sepencarian atau pembahagian harta yang lain. Tetapi, mungkin agar sukar bagi pasangan yang bercerai mati dalam membuat pembahagian harta sepencarian, faraid atau sebagainya.
Walau bagaimanapun, ada cara yang boleh isteri untuk menuntut harta apabila pasangan /suami meninggal atau lebih tepat bercerai mati. En. Khairul Fahmi Ramli, Peguam Syarie berkongsi tentang apa yang patut isteri lakukan atau tuntut selepas kematian suami.
Selalu kita faham, bila berlaku perceraian yang mana kedua-dua pasangan masih hidup ada beberapa tuntutan yang boleh dituntut oleh seseorang bekas isteri. Cuma, kita jarang ambil tahu, tentang seorang balu (isteri kematian suami) juga mempunyai beberapa hak yang pada saya sangat perlu diselesaikan.
Biasanya orang hanya tahu nak selesaikan Faraid iaitu pembahagian harta pusaka. Sedangkan, pusaka ini adalah peringkat terakhir pengurusan harta si mati. Jadi, saya ringkaskan tentang jenis tuntutan yang wajar dituntut oleh seorang balu ke atas ahli waris si mati yang lain.
Sekiranya, si suami masa dia hidup, pernah meminjam dan menggadaikan barang kemas milik isteri, namun tidak sempat untuk tebus kemudian dia meninggal, isteri tersebut boleh menuntut sebahagian daripada tinggalan pusaka si mati untuk menebus gadaian tersebut.
Mungkin, perkara ini boleh diselesaikan secara baik iaitu meminta kepada ahli waris yang lain untuk bersetuju memberikan sebahagian wang tersebut untuk ditebus. Ini termasuk juga sekiranya si mati ada tunggakan nafkah dan hutang mas kahwin yang belum dilangsaikan.
Umum mengetahui, bahagian faraid bagi seseorang isteri ini akan menjadi kecil sekiranya mempunyai anak. Bahkan, akan menjadi lebih kecil sekiranya si mati mempunyai banyak isteri. Jadi, harta sepencarian adalah salah satu tuntutan yang boleh dituntut sebagai hak seorang bekas isteri yang ada menyumbang dalam kehidupan rumahtangga mereka.
Biasanya, isu ini akan menjadi rumit jika berhadapan dengan ramai ahli waris kerana setiap ahli waris si mati akan menjadi Defendan dalam tuntutan ini. Melainkan, semua ahli waris bersetuju dengan tuntutan tersebut.
Biasanya hak jagaan mungkin kurang berlaku antara bekas isteri dengan ahli waris yang lain. Cuma, ada sesetengah keadaan yang mana ada pertikaian mengenai hak jagaan anak. Khususnya yang sering berlaku adalah antara balu si mati dengan bekas mertua.
Biasanya, ibu akan tetap dapat hak jagaan dan pihak lawan akan dapat hak melawat serta mungkin bermalam. Cuma, jika perkara ini tidak menjadi isu, mungkin tidak akan sampai ke Mahkamah melainkan mana-mana pihak perlukan satu perintah jagaan dikeluarkan.
Memang ada ibu yang dia rasakan dia mampu untuk tanggung perbelanjaan anak-anak. Lebih-lebih lagi zaman ini, banyak ibu yang mempunyai kerjaya bagus serta pendapatan yang stabil. Cumanya, ada yang mungkin tak mampu untuk tanggung perbelanjaan tersebut.
Jadi, seorang balu boleh menuntut Nafkah Anak kepada waris sebelah suami untuk menanggung nafkah tersebut. Formulanya, mengikut senarai perwalian. Jika datuk kepada cucu masih hidup, maka datuk perlu menanggung. Jika tiada, bapa saudara perlu menanggung dan seterusnya. Jadi, jangan cakap bapa saudara tak ada kaitan yer.
Sesetengah pihak ada membuat perjanjian hibah yang kita namakan Surat Ikatan Hibah keatas sesuatu harta. Yang mana, suami semasa hidup pernah memberi hibah hartanya kepada isteri secara sah di sisi undang-undang. Cuma, perjanjian tersebut belum disahkan oleh mana-mana Mahkamah.
Jadi, seorang balu boleh membuat permohonan pengesahan Hibah terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah sekiranya wujud Hibah tersebut. Sekiranya Hibah tersebut disahkan, pastinya harta yang dituntut itu tidak boleh dinamakan sebagai harta pusaka untuk difaraid.
Sekarang faham ke faham? Bukannya jika berlaku sahaja kematian, terus ahli waris lain nak faraid. Sabar, ada beberapa perkara perlu diselesaikan dulu sebelum sampai ke faraid. Hadis Nabi juga mewajibkan hutang diselesaikan Hutang dan Wasiat terlebih dahulu sebelum faraid.
Yang penting jangan terlalu lama untuk buat pengurusan harta si mati ini. Bimbang, akan berlaku kematian berlapis dan lebih menyukarkan proses pembahagian pusaka kelak
Tak perlu pertikai hak seorang bekas isteri, kalau memang haknya ada dalam Hukum.
MW: Sepatutnya kita dahulukan balu dan anak yang ditinggalkan kerana mereka lebih layak dan berhak dalam meneruskan kehidupan yang mendatang.
Impian mak ayah dan anak-anak, kadangkala tak sama. Tapi, janganlah mak ayah cuba penuhi impian sediri hingga anak-anak terpaksa melepaskan impian mereka pula. Ikuti luahan rasa seorang ibu berkenaan dengan harapannya pada anaknya. Kaunselor, puan Hajah Maimunah Haji Mohamad telah memberikan pandangannya.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya mempunyai tiga orang anak yang kini sudah meningkat remaja. Dua perempuan dan seorang lelaki (bongsu). Saya bekerja sebagai akauntan dan suami pula seorang jurutera cari gali. Alhamdulillah kehidupan kami selesa dan kami mampu memberikan keselesaan buat anak-anak.
Namun saya dan suami bukan daripada keluarga senang. Kami berdua berasal daripada kampung dan sama-sama memasuki universiti. Ketika itu kami berjumpa dan jodoh kami berkekalan hingga kini.
Anak sulung saya perempuan, kini berusia 31 tahun, sudah bekerja sebagai seorang pensyarah. Masih bujang kerana fokus pada kerjaya. Anak kedua, lelaki, berusia 29 tahun, bekerja di sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat minyak ternama. Saya bersyukur kerana kedua anak saya itu mampu berjaya di bidang masing-masing. Dari kecil saya dan suami sangat menitikberatkan pendidikan anak-anak dan mahu mereka bekerja sebagai tenaga profesional walau pun mungkin tak mengikut jejak langkah kami berdua.
Kerisauan kami adalah kepada anak bongsu kami yang bakal menduduki SPM. Dia pelajar cemerlang dan belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Saya dan suami memasang impian untuk melihatnya belajar di luar negara. Yang merisaukan kami, dia seolah-olah tidak berminat dan berkata ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari.
Bukan saya hendak menidakkan profesi yang berkaitan dengan bidang kulinari, malah saya tahu ramai yang berjaya dalam bidang ini termasuk menjadi chef selebriti. Namun saya dan suami ada pendapat kami sendiri. Sebolehnya kami ingin dia bekerja di bidang profesional, sama macam kami dan abang serta kakaknya.
Saya yakin keputusan SPMnya cemerlang dan saya masih lagi dalam usaha memujuknya. Lagipun dia anak perempuan. Bagi saya, bekerja di bidang kulinari lebih sesuai untuk lelaki kerana tugas memasak seperti di hotel dan sebagainya bukan mudah. Apatah lagi jika sudah berkeluarga kelak.
Anak bongsu saya ini keras kepala dan sejak kecil dia akan lakukan apa yang dia rasakan betul. Pening kepala saya dan suami memikirkannya. Bagaimana kami dapat memujuknya untuk memilih bidang yang lebih sesuai sebagai wanita?
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihi. Setiap ibu bapa menginginkan anak-anaknya berjaya. Berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. Sejak kecil anak-anak akan diberi penekanan pembelajaran di sekolah dan di pusat-pusat tuisyen. Usia 7 tahun telah dihantar mengikuti tuisyen sama ada selepas persekolahan atau sebelah malam. Malah, “home tution ” disediakan untuk anak dengan bayaran yang tinggi bagi mereka yang mampu.
Sehinggakan kadang-kadang anak terlalu dibebankan dengan akademik yang berorientasikan peperiksaan hingga menyebabkan anak-anak tiada masa untuk meneroka minat dan kerjaya yang mereka minati. Kejayaan ini kadang-kadang menjadi satu pertandingan atau persaingan di kalangan ibu bapa. Anak siapa yang hebat…Terdapat juga ibu bapa yang mahukan kerjaya anak mereka mengikut acuan yang mereka bentuk. Satu segi adalah baik kerana kadang-kadang anak kurang mengetahui apa yang patut diberi keutamaan dan yang terbaik untuk
Namun kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa terbaik itu sebenarnya adalah untuk ibu bapa sendiri. Ada ibu bapa yang mahu anak mengambil bidang kedoktoran, bidang guaman. Profesion yang menjadi kemegahan mana-mana ibu bapa. Ada juga ibu bapa yang tidak dapat merealisasikan impiannya dulu untuk bidang yang dipohon menyebabkan hasrat itu “dijelmakan” dalam diri anak dan mengharapkan anak meneruskan cita-citanya.
Ada anak-anak yang menurut sahaja kemahuan ibu ayah untuk mengikuti jurusan yang ibu bapa cadangkan. Namun saya pernah mendengar ada anaknya yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran tetapi apabila menerima scroll, menyerahkan scroll itu buat ibu ayah.
Bagi anak, dia sudah memenuhi impian ibu ayahnya. Impiannya ditangguhkan dan kini tiba masa untuknya mencari keinginan dan minat kerjayanya. Ada juga anak yang boleh menerima bidang itu setelah meneroka ilmu yang terdapat di dalamnya dan meneruskan kerjaya mengikut perancangan ibu atau ayah.
Setiap anak ada kelebihannya. Pandangan kita sebagai ibu atau bapa memanglah akan memilih yang terbaik buat anak. Puan berpendidikan tinggi dan berkerjaya yang baik, saya pasti cadangan puan itu adalah terbaik untuk anak bongsu seperti yang puan rancang bersama suami.
Namun, yang baik buat puan tidak semestinya yang betul buat anak. Dalam teori pemilihan kerja seperti VPI (Vocational Preference Inventori) menyatakan seseorang itu akan lebih gembira dan bertenaga apabila minat kerjayanya adalah selari dengan bidang kerjaya yang dipilih.
Tidak kira bidang kerjaya apa yang dipilih oleh anak, sebagai ibu dan bapa, puan dan suami boleh mencadangkan dan memberi gambaran realistiknya bidang itu, kebaikannya, peluang kerja dan ilmu yang diperoleh. Walau bagaimanapun jika anak menolak, maka tentu ada justifikasinya.
Minta dia beri alasan kenapa berminat dengan bidang itu. Minta dia buat sedikit kajian tentang bidang tersebut dan prospeknya. Jika anak puan punya minat yang mendalam, dia pasti tahu prospek kerjaya tersebut. Tidak kiralah bagaimana kaedah yang bakal dibuat untuk mencapainya, sebagai ibu, puan boleh memainkan peranan membantu dia bagaimana untuk mencapai cita-cita tersebut. Contohnya beri dia beberapa menu pilihan yang boleh dia ceburi.
Anak mungkin tidak nampak, tetapi puan boleh memberi pilihan-pilihan untuknya seperti menjadi tenaga pengajar, membuka perniagaan sendiri atau kaedah yang lebih canggih yang boleh dia ceburi. Minta dia lakarkan. Jika dia masih mahu, puan boleh meletakkan syarat yang dirasakan munasabah, realistik, boleh dicapai dan ada “time frame’ bagaimana dia mahu capai.
Jadi “coach” atau jurulatih kepada anak dengan sering adakan perbincangan. Anak akan rasa disokong, ada kebersamaan dan akan menjalani kehidupan yang lebih ceria dan bersemangat. Elakkan berkata anak “degil” kerana itu adalah doa dari seorang ibu. Setiap perkataan dari ibu atau ayah adalah doa sebenarnya yang kadang-kadang kita tidak perasan keluar dari mulut kita.
Sebenarnya dia bukan degil. Dia ada prinsip dan ketegasan pada diri. Kalau kita perhatikan, apa yang dia miliki dan bertingkah laku itu adalah daripada acuan kita ibu bapanya. Kita juga ada sifat tu, kalau tidak bagaimana anak mewarisi sifat itu. Hanya ibu bapa kita yang tahu kita ini bagaimana…maka sifat itu anak akan warisi.
Kejayaan seorang anak sebenarnya bukan diukur dari segi kejayaan akademik dan profesion yang disandangnya. Memiliki ilmu agama yang tinggi, boleh membaca al-Quran dengan baik, solat tidak tinggal, sering membantu ibu bapa, akhlak yang baik, ada kehidupannya yang tersendiri adalah antara perkara-perkara yang kita sebagai ibu bapa perlu titik beratkan dan beri didikan hingga dia mampu menjadi anak yang boleh menjadi peneman kita di dunia dan memberi syafaat semasa di alam barzakh nanti…yang akan mendoakan untuk puan dan suami apabila telah tiada di dunia.
Itulah kejayaan sebenar untuk kita sebagai ibu bapa yang tiada bandingan. Biar lah dia menjadi penjual buah atau bekerja yang pada pandangan kita “lekeh’ tetapi dia adalah anak yang mampu menjaga kita di usia tua. Mampu mendoakan dan membaca al-Quran serta sedekahkan untuk puan dan suami al-Fatihah dan bacaan al-Quran ketika di alam barzakh nanti. Berdoalah agar anak puan menjadi insan soleh.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!