Suami isteri saling memerlukan antara satu sama lain. Tak kiralah suami atau isteri biasakanlah diri apabila membuat sesuatu keputusan, beritahu, berbincang dan meminta izin pasangan terlebih dahulu, berbanding membuat keputusan sendiri. Ia membuatkan diri pasangan rasa dihargai, diperlukan dan dipercayai. Ini kerana masa yang ada bersama pasangan adalah terlalu singkat, hargailah dirinya.Kita tak tahu jodoh kita sampai mana, andai ditakdirkan ajal menjemput kita tidak berasa ralat.
“Puan, saya rasa elok saya rujuk puan ke hospital. Puan ke hospital kerajaan atau swasta?”
“Sekejap ya doktor, saya tanya suami saya dahulu,” katanya lalu mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangan.
Kelihatan dia tekan-tekan sesuatu di telefonnya, dan kemudian tak semena-mena merendahkan tangan ke riba dan tertunduk menangis.
Aku jadi cemas.
Wanita, ni datang ke klinik dengan aduan demam 3 hari, makan tak lalu, pening kepala, dan mula muntah-muntah. Aku syak dia kena denggi dan perlukan rawatan segera kerana keadaannya agak membimbangkan.
“Kenapa ni puan?” soal aku.
Selepas tu dia cerita dengan lebih jelas situasi dia.
Suami dia ni kerja oil & gas, dan syarikat di bekerja tu berpusat di KL. Jadi, wanita dah biasalah tinggal di JB seorang diri. Semua dia buat sendiri, uruskan sendiri, memang seorang yang isteri yang boleh berdikari.
Ads
Cuma, ayah dia pesan padanya supaya apa-apa keputusan yang dia buat, dia eloklah beritahu atau minta izin suaminya dahulu. Ayah dia kata, kalau masing-masing buat keputusan sendiri, tinggal sendiri-sendiri, apa yang tinggal dalam pernikahan mereka berdua?
Suami Meninggal Kemalangan
Jadi, wanita ini, sebagai anak dan isteri yang patuh, akan menelefon suaminya setiap kali dia membuat sesuatu keputusan. Sehari biasanya 5 kali dia telefon.
“Kenapa puan tiba-tiba menangis? Suami tak benarkan pergi hospital ke?” tanya aku.
Wanita tu mengesat airmatanya dengan lengan baju dan dengan teresak-esak dia jawab “Suami saya dah tak ada, doktor.”
Rupa-rupanya 2 hari lepas, semasa dalam perjalanan pulang ke JB, suaminya terlibat dalam kemalangan dan meninggal di tempat kejadian.
Ads
Rasa Suami Masih Ada
“Saya masih tak dapat yakinkan diri saya dia dah tak ada. Saya rasa macam dia masih ada.” ujarnya lalu meletakkan telefonnya di atas meja, kemudian menekup muka dengan kedua-dua belah tangan.
“Bila saya lihat nama dia dalam telefon, baru saya teringat dia dah tak ada.” ujarnya disebalik tekupan tangan di muka.
Aku jeling telefon dia di atas meja. Terpapar aturan buku telefon, dan nama yang dipilih adalah “Arwah Hubby”. Aku tak pasti sama ada dia sengaja set nama suaminya dalam telefon dengan nama awalan Arwah atau bagaimana.
Aku tak tanya lanjut. Dalam keadaan begini, sukar untuk aku bertanya banyak soalan kerana bimbang ia akan menyakiti dia lebih lagi. Jadi aku terpaksa panggil waris yang mengiringi dia ke klinik.
Dia datang dengan ayahnya. Saya terangkan situasinya dan ayah wanita itu faham keadaan tersebut dan berhasrat bawa wanita itu ke hospital. Saya difahamkan, di rumah dia asyik menelefon nombor arwah suaminya dan bercakap seorang diri.
Selepas wanita itu keluar, aku terus menelefon isteri aku. Padahal aku nak makan burger yang dia tinggalkan untuk aku di dalam peti ais. Aku telefon dia untuk minta izin makan burger tu.
Aku telefon tu lebih kepada nak redakan hiba di hati aku sendiri. Betapa bertuahnya aku masih boleh telefon isteri aku. Masih boleh bercakap dengan dia. Dengar suaranya.
Hargailah pasangan kita ketika mereka masih ada. Bila buat apa-apa keputusan, berbincang. Bila nak buat sesuatu, minta izin. Kerana akan datang suatu hari, yang kita dah tak boleh buat itu semua.
Ketika itu, tinggallah kita sendiri untuk tentukan haluan kita.
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Masih ada hiba bersisa di hati
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Hargailah pasangan selagi mereka masih ada.
Jadi wanita yang berstatus isteri orang tak akan sama dengan lelaki berstatus suami. Dunia isteri cuma ada suami dan anak-anak, malah sepenuh jiwa dan raganya memang mendahulukan keluarga.
Andai ada yang ajak keluar ke mana-mana pun, dia tetap memikikan tentang suami dan anak-anak. Itu yang jadi macam tak bergaul sangat dengan kawan-kawan yang pernah tidur sebantal waktu zaman bujang.
Berbeza dengan lelaki, walau dah kahwin kadang tetap dapat peluang lepak-lepak minum di kedai. Perempuan kalau nak buat juga, terpaksa seret anak-anak dan kadang siap ajak suami teman. Risau suami terbiar.
Bak kata saudara Firdaus Shakirin, dunia seorang isteri memang tak luas, ditakuk itulah kalau dia jenis suri rumah.
Dunia seorang isteri itu tersangatlah kecil… kiri kanan, depan belakang, atas bawah hanya ada suami dan anak-anaknya sahaja.
Ini dunianya, inilah segala-galanya bagi seorang isteri.
Berbeza dengan kita yang dah jadi suami, kita masih ada kawan-kawan, masih dapat berjumpa kawan-kawan, lepak dengan mereka, buat aktiviti-aktiviti dengan kawan-kawan.
Tapi bagi seorang isteri, tak banyak kawan-kawan yang ada or masih available untuk mereka. Kebayakan daripada kawan-kawannya juga merupakan seorang isteri yang terikat dengan keizinan seorang suami untuk keluar, untuk berjumpa, untuk ada aktiviti bersama-sama.
Dan tuntutan tanggungjawab terhadap keluarga itu melebihi tuntutan-tuntutan lain dalam hidupnya. Jadi teramatlah sempit, kecil dan terhad dunia seorang isteri.
Sebab tu mana-mana isteri akan bagi segala-galanya untuk mengelakkan dunianya daripada hancur. Dia akan berjuang mempertahankan dunianya, ini dunianya dan dia tidak ingin berkongsi dunianya ini dengan orang lain. Dia tak rela.
Kalaulah si suami memahami akan perkara ini, nescaya si suami akan mewarnai dunia si isteri dengan kebahagiaan, kegembiraan dan keceriaan sebab dia tahu, hanya ini dunia yang si isteri ada dan dia layak untuk rasa perasaan-perasaan yang indah di dalam dunianya.
“She always busy in her own world, with her own people in her heart and her mind.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Berbuat baik dengan jiran tetangga sangat digalakkan. Tapi kena tahu batasan, jangan sampai terjadinya skandal dan jatuh cinta dengan jiran sendiri!
Puan Hajah Maimunah Haji Muhamad, kaunselor dan penulis bebas serta kolumnis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, menjawab permasalahan daripada seorang wanita yang terjebak dalam hubungan cinta terlarang dengan jiran sebelah rumahnya sendiri.
Assalamualaikum puan yang dihormati. Saya seorang isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan sembilan tahun. Bekerja sebagai seorang guru dan begitu juga dengan suami. Tinggal di sebuah kawasan perumahan di pinggir kota.
Kebanyakan yang tinggal di situ adalah ibu bapa muda yang usianya lebih kurang saya dan suami. Saya juga jenis yang gemar mengikuti apa-apa kegiatan di kawasan perumahan tak kira anjuran surau atau sebagainya. Manakala suami pula agak ‘culas’, pada masa terluang lebih dengan hobi memancingnya hingga saya sering kali ‘naik angin’.
Tapi bagi saya, perlu untuk mengenali jiran tetangga kerana jika ada kecemasan, boleh juga meminta pertolongan.
Pada masa terluang, saya gemar memasak kerana bagi saya itulah terapi untuk melepaskan tekanan bahkan minat itu memang hadir sejak kecil kerana suka membantu mak yang merupakan pengusaha kantin.
Memandangkan anak-anak masih kecil dan tidak terlalu banyak makan, saya sering kali berkongsi makanan yang dimasak dengan jiran tetangga. Maklumlah, dah terbiasa masak dalam kuantiti yang agak banyak. Daripada membazir, lebih baik sedekah pada jiran tetangga. Secara tak langsung makanan itu penyambung silaturahim antara jiran. Di sebelah kiri rumah saya tinggal keluarga berbangsa Cina dan suka dengan masakan saya terutama kek keju hasil air tangan saya. Malah acap kali mereka menempah jika ada keraian di rumah atau di pejabat mereka.
Manakala jiran sebelah kanan rumah pula pasangan Melayu dan punya tiga orang anak. Dengan mereka saya paling rapat malah anak-anaknya yang berkawan dengan anak-anak saya sering ke rumah. Malah kata mereka, seronok bila ke rumah saya kerana boleh makan macam-macam.
Pasangan jiran saya itu, isterinya, saya kenalkan sebagai K juga guru seperti saya manakala suaminya, M, seorang pensyarah. Namun si isteri memang jarang masak, itu pun saya ketahui menerusi anak-anak mereka. Malah M pula yang suka memasak dan sering kali memasak.
Dipendekkan cerita, saya dan M sering bertukar resipi menerusi whatsApp. Entah bila bermula, kami juga mula berkongsi tentang masalah masing-masing seperti masalah kerja, dan anak-anak. Dan tanpa disedari, kami telah menjalinkan kemesraan di luar batas antara jiran!
Puan, kami berdua saling menyayangi. Pernah kami cuba tepis perasaan itu namun tak berjaya. Ia tidak diketahui oleh pasangan kami. Bahkan tak dapat dibayangkan apa akan jadi kalau mereka tahu.
Saya sendiri sedar saya berdosa kerana menduakan suami. Tapi bagaimana saya boleh tepis perasaan ini sedangkan setiap hari kami akan bersua muka? Perlukah saya berpindah tapi saya tak mampu untuk membeli rumah lain ketika ini. Saya ingin keluar dari perangkap cinta terlarang ini tapi tak mampu…
Isteri Berdosa.
Jawapan:
Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Imam Ghazali pernah bertanyakan lima persoalan kepada anak muridnya, antara satu soalan yang ditanya apakah yang paling besar dalam dunia ini? Pelbagai jawapan diberikan oleh anak muridnya.
Tiada satu jawapan yang betul. Maka Imam Ghazali memberitahu jawapannya kepada anak muridnya bahawa yang paling besar dalam hidup ini adalah nafsu. Apakah yang dimaksudkan dengan besar?
Besar di sini bermaksud manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada…apa yang Allah telah kurniakan senantiasa rasa tidak cukup. Mungkin pada ketika itu manusia rasa cukup dan tiada kekurangan dalam dirinya, namun apabila ada sesuatu yang menarik di mata dan di hatinya, atau lazat atau menimbulkan kesukaan dan kegembiraan yang teramat sangat, maka dia akan mudah terpaut dengan apa yang sedang dirasainya dan keinginan memilikinya amat tinggi. Tidak kira dalam apa jua bentuk sehingga dia terlupa adakah kenikmatan dan kegembiraan yang sedang dirasainya ketika itu memberi kebaikan atau keburukan kepada dirinya.
Apabila kenikmatan yang sedang dikecap itu dibiarkan untuk sekian lama tanpa berusaha secara bersungguh-sungguh mengatasinya, melayan perasaan dan fikiran ketika itu dengan apa yang dikecap, maka lama kelamaan kenikmatan itu menjadi “ketagih” yang apabila tiadanya benda, item, manusia, perkara atau peristiwa itu menjadikan hidupnya tidak tenteram, tidak boleh fokus, perasaan yang tidak tenang, fikiran yang kacau, hidup kurang bermaya, tiada motivasi, malah sebahagian besar aktiviti seharian akan terjejas.
Bercinta juga merupakan nafsu yang susah dikawal, walaupun bercinta itu indah dan jika dikuti dengan landasan yang betul dari segi adat dan agama maka ianya akan menjadikan hidup ini lebih bermakna. Bermakna dalam erti kata ia menyambung hubungan dengan manusia lain yang boleh dikongsi masalah dan hidup serta melahirkan zuriat yang perlu dididik dengan baik hingga berjaya.
Namun jika sudah lari landasan yang sebenar, ianya bukan lagi cinta tetapi nafsu syaitan yang dituruti. Bercinta yang melampaui batas adat dan agama juga antara nafsu yang tidak dibendung. Disebabkan asyik dan indahnya berada dalam alam khayalan fatamorgana yang dinamakan “cinta” itu, sebenarnya telah ditipu oleh syaitan hanya kerana nafsu yang tidak dikawal. Nafsu yang tidak boleh dikawal, tidak diurus dengan baik, malah dibiarkan sehingga melampaui batas akan memberi kesan yang amat buruk, kepada diri, keluarga dan masyarakat, apatah lagi terhadap Pencipta.
Keburukan mungkin tidak nampak ketika itu, tetapi dalam jangka masa panjang ianya akan memudaratkan diri, malah mendatangkan kemurkaan Allah. Manusia tidak mampu berfikir apakah kenikmatan yang dirasai itu diredai Allah atau mendatangkan kemurkaan Allah. Malah kesannya nanti azab yang bakal diterima di neraka kelak. Nikmat yang dirasai tidak sepadan dengan azab yang bakal diterima di akhirat kelak…nauzubillah….
Manusia sering kali pendek akalnya…hanya memikirkan keseronokan yang dirasai ketika itu sahaja. Dia tahu bahawa itu sesungguhnya tidak baik untuknya, untuk keluarganya, malah mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia belum berusaha bersungguh-sungguh untuk “meninggalkan” keindahan dunia yang sedang dikecapinya
Puan yang dirahmati Allah. Cuba tanya pada diri, adakah puan bercinta seperti yang saya nyatakan di atas, atau puan mengikut hawa nafsu hingga sudah tidak boleh membezakan antara dosa dan pahala? Tidak boleh membezakan mana yang baik dan mana yang buruk?
Jika puan sudah menyedari ianya dosa besar yang puan lakukan terhadap diri puan sendiri, terhadap suami, terhadap anak-anak dan keluarga puan, malah manusia lain iaitu isteri kepada jiran puan dan anak-anaknya, maka mahukah puan berusaha bersungguh-sungguh untuk “membasuh” dosa yang puan lakukan? Dosa yang belum tentu diampunkan Allah hanya dengan tidak lagi berhubung dengannya?
Puan tahu kan besarnya dosa isteri yang berzina dengan lelaki lain? Nauzubillah… Puan seorang guru…seorang pendidik…perlu berusaha keras untuk “membasuh” dosa itu, tidak kira sama ada ianya akan jadi bersih atau tidak, namun usaha puan mesti berlipatkali ganda untuk membasuh dosa itu, mesti berusaha…ada kesungguhan, komitmen, ketahanan dan sanggup mengawal nafsu yang senantiasa mengajak kepada tuntutan syaitan.
Sebagaimana puan mendidik para pelajar puan agar belajar bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam peperiksaan, malah cemerlang akhlak dan cemerlang dalam kehidupan, maka puan juga perlu ada keinginan dan keazaman yang kuat. Saya rasa puan sendiri tahu caranya…namun saya hanya mengulangi petua dan panduan untuk membantu puan melupakan sejarah hitam yang memberi kemurkaan kepada Allah dan kedukacitaan kepada ahli keluarga puan, khususnya suami puan.
Pertama, putuskan terus hubungan dengannya. Tukar no telefon. Kedua, jika ada keramaian dengan keluarganya atau masyarakat setempat, seboleh mungkin elakkan. Elakkan bertentang mata dengannya, walaupun berselisih atau terserempak dengannya. Jika puan tahu dia berada di luar rumah dalam waktu tertentu, cuba jauhi daripadanya.
Jika dia minta untuk berjumpa buat kali terakhir untuk jelaskan segalanya, lupakan…itu adalah ajakan syaitan…. bukannya kebaikan. Setakat nak bertukar-tukar masakan dan berkongsi hobi, banyak lagi cara yang dibolehkan. Ketiga, tumpukan kepada kerjaya membina anak-anak. Kerjaya puan adalah kerjaya yang murni. Tugas seorang pendidik mendidik manusia untuk jadi lebih baik.
Jangan hanya kerana mengikut nafsu, maka puan sanggup “mencalarkan” kerjaya seorang pendidik. Seterusnya bina cinta dengan suami, bukan lelaki lain. Belajar mencintai suami dan anak-anak. Penuhi masa dengan perkara yang berfaedah untuk melupakan apa yang puan telah lakukan yang menimbulkan kemurkaan Allah. Bertaubatlah sementara pintu taubat masih diterima Allah. Banyakkan solat malam mohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Banyakkan membaca Quran, ikuti majlis ilmu agama. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa puan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Apa anda fikir jika saya cadangkan setiap pasangan yang berkahwin diwajibkan mengukur tahap EQ masing-masing? Saya pasti rasa yang terangkat kening sekarang.
Apa pula EQ ini? Kalau IQ itu mungkin ramai yang tahu, bukan?
Dalam kata mudah, IQ ialah ukuran kepintaran akal seseorang itu. Jika orang itu IQnya tinggi maka dikatakan orang itu pandai. Jika IQ rendah maka dikatakan kurang pandai.
Namun sejak kebelakangan ini, IQ didapati tidak begitu tepat menentukan kejayaan seseorang itu dalam hidup. Ada orang yang IQnya tinggi tetapi hidupnya berterabur dan tunggang langgang. Keluarga hancur dan kerjaya hanya setakat sederhana sahaja.
Sekarang semakin ramai beralih daripada IQ kepada EQ iaitu Kepintaran Emosi. Laporan World Economic Forum terbaru menunjukkan EQ berada di tangga keenam yang dicari oleh majikan menjelang tahun 2020.
Bagaimana pula dengan rumah tangga? Jika majikan mahu tahu tahap EQ pekerjanya, mengapa anda tidak mahu tahu EQ sendiri dan EQ pasangan anda?
Apa faedahnya mengetahui EQ dengan potensi kebahagiaan rumah tangga? Saya berikan contoh berikut. Jika anda dibesarkan dalam persekitaran yang baik, ada tahap pendidikan yang memuaskan, ibu bapa penyayang, adik beradik yang saling tolong menolong maka besar kemungkinan anda memiliki tahap EQ yang baik.
Orang yang membesar dalam persekitaran yang perit dan keras biasanya mempunyai EQ yang tercalar.
Yang pertama dan semakin menjadi isu sekarang ialah ketidakmampuan mengawal emosi. Antaranya orang yang cepat marah dan tidak segan menunjukkan kemarahannya tidak kira tempat, tidak kira masa dan tidak kena cara.
Ini adalah faktor penyebab penderaan dalam rumah tangga. Selain itu orang yang berfikir negatif, mudah tersinggung atau jiwa sensitif juga termasuk dalam kategori ini.
Mereka ini terlalu mudah membenarkan kata-kata itu masuk dan merobek perasaan sendiri. Mereka ini sangat terdedah kepada ‘stress’ yang tidak berfaedah.
Kategori kedua ialah orang yang begitu percaya yang dia boleh ‘membaca perangai’ orang lain. Mereka ini selalu menemui kesilapan dan kesalahan pasangan tetapi tidak nampak kelemahan sendiri.
Orang yang memiliki EQ tinggi bukan sahaja boleh membaca emosi orang lain tetapi juga mengawal emosi sendiri. Jika pasangannya ada kelemahan tertentu dia ada dua pilihan.
Pertama; memaksa pasangannya berubah. Kedua; mempengaruhi pasangannya untuk berubah.
Sikap pertama ialah sifat orang EQ rendah sementara sifat kedua ialah orang yang mempunyai EQ yang tinggi.
Dia boleh mengawal emosinya dengan melihat masa hadapan dan memilih tindakan terbaik untuk mengubah pasangannya menjadi lebih baik.
Yang terakhir ialah bahasa badan. Mulut dan lidah boleh berkata dusta tetapi tidak lirikan mata dan nada suara. Keikhlasan adalah salah satu frekuensi gelombang dalam EQ.
Hanya orang yang pintar mengawal emosi boleh menukar sudut pandang untuk mendapatkan keikhlasan dalam perbuatan.
Dengan cara itu kita akan mampu memancarkan frekuensi keikhlasan itu sehingga masuk ke dalam perasaan pasangan.
Sentuhan fizikal, pandangan mata dan nada suara yang ikhlas itu hanya datang dari lubuk hati manusia yang mempunyai EQ tinggi.
Sebagai contoh anda tahu yang dia ada perempuan di luar sana. Anda boleh isytihar perang terbuka. Saya tidak kata salah sebab itu memang hak anda! Tapi apa jadi selepas perang itu?
Menang jadi abu, kalah jadi arang, bukan?
Bagaimana jika pilih cara berbeza?
Nyatakan dengan tenang perasaan anda untuk bersama dengannya masuk ke Jannah bersama dengan anak-anak. Pandang matanya.
Pastikan hati anda ikhlas (bukan seperti rasa mahu menelan dia hidup-hidup!) dan pegang hujung jarinya. Saya jamin, esok pagi pasti dia akan tinggalkan perempuan itu!. Cubalah.
Penulis : Dr Syed Yusaini Yahya, Relationship Coach, Promind Training And Consultation. Beliau juga merupakan kolumnis ruangan Nota Untuk Isteri di majalah Mingguan Wanita
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Sebak mendengar luahan pengasas dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah tentang apa yang dikongsinya bersama ibu tersayang yang kini sudah uzur menggunakan kerusi roda, berusia 86 tahun.