Ads

Anak Bukan Sekadar Dibiayai, Apa Kita Ajar Mereka Di Rumah?

ajar anak

Anak bukan sekadar dibiayai, apa kita ajar mereka di rumah?

Bila anak bergaduh, guru dipersoalkan. Bila anak dihukum, cikgu pula diserang. Bila berlaku tragedi di sekolah, menteri diminta meletakkan jawatan. Tetapi dalam segala kemarahan itu, ada satu soalan yang jarang sekali kita berani tanyakan  sebelum anak melangkah masuk ke pagar sekolah, apa sebenarnya yang sudah ibu bapa ajar anak-anak di rumah?

Ajar anak bukan tugas sekolah semata-mata.

Jangan serahkan anak kepada guru dalam keadaan kita sendiri takut hendak berkata “tidak” kepada mereka. Jangan tuntut sekolah mengajar hormat kalau di rumah anak melihat ibu bapanya sendiri merendahkan guru.

Jangan harapkan cikgu membentuk disiplin kalau setiap kali anak dikenakan tindakan, mak ayah datang bukan untuk bertanya apa yang berlaku tetapi mencari siapa yang boleh dipersalahkan.

Hakikatnya ramai ibu bapa hari ini bekerja keras. Keluar pagi, pulang malam. Semuanya kerana mahu memberikan pendidikan, keselesaan dan masa depan terbaik untuk anak.

Tidak ada salahnya mencari rezeki. Tetapi menyediakan segala-galanya tidak semestinya bermaksud kita sedang membesarkan anak.

Ads

Cuba tanya diri sendiri. Kita kenal tak kawan paling rapat anak? Tahu ke mana dia pergi selepas sekolah? Apa yang ditontonnya berjam-jam di telefon? Bila dia ada masalah, kita tahu atau orang lain yang tahu dahulu?

ajar anak
Ada ibu bapa leka mengadap phone tanpa sedar perbuatan itu menjarakkan hubungan ibu bapa dan anak-anak

Kadang-kadang kita tinggal serumah, makan di meja yang sama tetapi sudah lama tidak tahu apa yang sedang berlaku dalam hidup anak. Kita tahu keputusan peperiksaannya tetapi tidak tahu siapa yang sedang menyakitkan hatinya.

Kita tahu berapa duit belanjanya tetapi tidak tahu apa yang dibualkan dalam telefonnya setiap malam. Lebih menakutkan, ketika kita menyangka anak selamat kerana berada di dalam bilik, mungkin ada satu dunia lain dalam telefonnya yang langsung tidak kita kenali.

Kajian Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia terhadap 33,523 remaja sekolah menengah menunjukkan perkara yang wajar membuat ibu bapa berfikir.

Hubungan rapat serta pemantauan ibu bapa dikaitkan dengan kemungkinan lebih rendah remaja terlibat dalam beberapa tingkah laku berisiko termasuk aktiviti seksual, merokok, vape, dadah dan pergaduhan.

Ads

Bukan bermaksud kurang perhatian ibu bapa menjadi satu-satunya punca remaja terjebak. Tetapi dapatan itu cukup untuk mengingatkan kita bahawa kehadiran ibu bapa dalam kehidupan anak bukan perkara kecil.

Sebab itu ajar anak bukan sekadar memberi nasihat atau menyediakan keperluan. Ibu bapa juga perlu tahu siapa kawannya, apa yang dilaluinya dan bila tingkah lakunya mula berubah.

Anak yang diam bukan semestinya tiada masalah. Anak yang duduk di rumah pula bukan bermakna kita tahu segala-galanya tentang kehidupannya.

Jadi sebelum bertanya, “Kenapa cikgu tak tahu?”, mungkin kita sendiri perlu menjawab, “Kenapa aku sebagai mak atau ayah tak tahu?”

Anda mungkin berminat dengan

Ads
Ajar Anak, Bukan Sentiasa Membenarkan Mereka

Ajar anak juga bermaksud berani menetapkan batas. Kalau sekolah menghubungi kerana masalah disiplin, dengar dahulu apa yang berlaku sebelum menyerang guru.

Anak kita tidak semestinya betul hanya kerana dia anak kita. Ada waktunya kasih sayang bermaksud berani berkata, “Tidak” atau “Kali ini kamu salah.”

ajar anak
Tragedi menimpa adik Irene Safiya, kesalahan tidak seharusnya diletakkan di bahu Menteri, guru, sekolah semata-mata. Pergaulan remaja juga boleh membawa kepada tragedi

Tragedi membabitkan pelajar seperti kes Irene Sofiya sememangnya menuntut jawapan tentang keselamatan sekolah. Jika ada kelemahan atau kecuaian, ia mesti disiasat. Sekolah dan kementerian tetap mempunyai tanggungjawab.

Tetapi jangan setiap kali sesuatu berlaku, kita hanya mencari siapa yang salah di luar rumah.

Kerjaya boleh dikejar. Wang memang perlu dicari. Tetapi jangan sampai kita mampu memberikan anak segala-galanya kecuali ibu dan ayah yang benar-benar hadir dalam hidup mereka.

Guru boleh membantu mendidik. Sekolah boleh membentuk disiplin. Tetapi tanggungjawab membesarkan anak tidak pernah berpindah tangan.

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Lain

Pelajar Wanita Ditemui Mati, Perselisihan Faham Dengan Teman Lelaki Berakhir Tragedi

Pelajar wanita berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai berlaku perselisihan faham dengan teman lelakinya di Kuantan.