
Keganasan rumah tangga bukan sekadar isu yang berlaku di sebalik pintu rumah. Bagi mangsa, ia boleh memberi kesan kepada keselamatan, emosi, kewangan dan kehidupan seharian.
Justeru, usaha membantu mangsa tidak sepatutnya berhenti selepas mereka diselamatkan daripada situasi berbahaya.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lim Hui Ying, terdapat empat pendekatan utama dalam menangani keganasan rumah tangga, iaitu pencegahan, perlindungan, intervensi dan pemulihan.
Baca artikel: Bahaya Cold Violence Dalam Hubungan Suami Isteri, Ini Keganasan Rumah Tangga Bentuk Emosi
4 Pendekatan Tangani Keganasan Rumah Tangga

Menurut beliau, setiap pendekatan mempunyai peranan tersendiri, daripada usaha mencegah keganasan sehingga membantu mangsa membina semula kehidupan.
“Untuk memperkukuh institusi kekeluargaan, program yang kita tekankan ialah pencegahan. Selepas itu, bila sudah berlaku, melindungi. Kita mesti ada intervensi dan lagi satu yang amat penting adalah pemulihan.”
Fasa pemulihan dilihat penting kerana mangsa bukan sahaja memerlukan keselamatan fizikal, tetapi juga sokongan emosi dan kewangan supaya dapat kembali berdikari.
Ini bermakna usaha menangani keganasan rumah tangga perlu melihat keadaan mangsa secara menyeluruh, bukan hanya ketika mereka berada dalam situasi bahaya.
Ada 3 Jenis Perintah Perlindungan
Bagi mangsa yang memerlukan perlindungan undang-undang, terdapat tiga bentuk perintah perlindungan yang boleh digunakan.
Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tidak memerlukan laporan polis.
Sementara itu, Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) dikeluarkan oleh mahkamah dan memerlukan laporan polis.
Maklumat ini penting untuk diketahui kerana mangsa keganasan rumah tangga mungkin memerlukan perlindungan segera apabila keselamatan diri atau anak-anak terancam.
Masalah Rumah Tangga Boleh Dibincangkan, Bukan Dengan Keganasan

Dalam masa sama, Lim mengingatkan bahawa keganasan bukan cara untuk menyelesaikan konflik dalam keluarga.
Sebarang perselisihan faham perlu ditangani melalui komunikasi yang sihat, saling menghormati dan perbincangan secara terbuka.
Jika keadaan mula mengancam keselamatan diri atau anak-anak, mangsa disarankan supaya tidak berdiam diri dan mendapatkan bantuan.
Jangan Anggap Ini Urusan Keluarga Orang Lain
Masyarakat juga mempunyai peranan dalam menangani keganasan rumah tangga.
Jiran, ahli keluarga atau orang terdekat tidak sepatutnya menganggap apa yang berlaku sebagai sekadar masalah peribadi yang tidak boleh dicampuri.
Anda mungkin berminat dengan
Seperti yang ditegaskan KPWKM, keganasan rumah tangga adalah satu jenayah dan laporan boleh dibuat apabila terdapat kebimbangan terhadap keselamatan seseorang.
Perlukan Bantuan? Hubungi Talian Kasih
Jika anda atau seseorang yang anda kenali berdepan keganasan rumah tangga, bantuan boleh dicari.
Talian Kasih 15999 beroperasi 24 jam untuk memberikan nasihat, khidmat kaunseling psikososial serta rujukan kepada pihak berkaitan.
Rumah sepatutnya menjadi tempat untuk berasa selamat. Apabila keselamatan itu hilang, mangsa tidak sepatutnya dipaksa menghadapinya seorang diri.
Baca juga artikel: Isteri Meninggal Dunia Akibat Keganasan Rumah Tangga, Kepulangan Ke Pangkuan Suami Atas Desakan Ibu Berakhir Tragedi
Sumber: Bernama
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

