Suami bila terlalu kedekut dengan isteri tapi dengan kawan-kawan jadi pemurah memang akan buat isteri rasa tawar hati. Isteri mana yang tidak rasa sedih bila suami jadi kedekut dan berkira dengan isteri dan anak-anak.
Dengan kawan-kawan bukan main baik lagi. Boleh pula berbelanja sakan dengan kawan. Sementelah suami kedekut dan berkira bila tahu isteri bekerja dan ada pendapatan sendiri Mulalah minta isteri bayarkan keperluan rumah. Sedangkan itu tanggungjawabnya.
Suami Jangan Biar Isteri Tawar Hati Bila Pemurah Dengan Kawan
Sebagai isteri, tentulah tidak berkira tapi kalau dah suami kedekut dan lebih utamakan kawan-kawan, inilah yang membuatkan isteri tawar hati. Lama-kelamaan, boleh buat isteri tawar hati.
Inilah kisah benar yang dikongsikan oleh Syahr Musafir dalam perkongsiannya tentang suami kedekut dengan anak isteri tapi sangat pemurah dengan kawan-kawan.
“Bang, bil air bulan lepas belum bayar lagi..” ujar si isteri (bukan isteri saya).
Dijawab oleh si suami, “Tak payah beritahu saya pun, bayar guna duit awak je la….”
Kisah benar.
Ada suami yang cukup berkira duit dengan isteri atas alasan isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Disebabkan itu, pelbagai jenis bil ditolak kepada isteri.
Ads
Bil elektrik, bil air, yuran tadika anak-anak, ada masanya sewa rumah pun tolak kepada isteri.
“Abang tak boleh bayarkan?” soal si isteri.
Dijawab oleh si suami, “Duit habis. Bagi pinjam Salleh (kawan si suami, bukan nama sebenar), dia nak beli motorsikal baru…”
Kalau berkira dengan semua orang, itu satu hal. Masalahnya suami sebegini kedekut dengan isteri dan anak-anak tetapi pemurah gilerrrrr apabila melibatkan orang lain.
Contohnya, kawan atau sepupu nak beli kereta baru, banyak pula duit boleh dihulur.
Ads
Ataupun habis dengan benda-benda lain macam merokok, beli aksesori motor mahal-mahal, belanja mewah kat kawan-kawan dan adik-beradik. Bukan tak boleh langsung, tetapi sebagai suami perlu tahu prioriti.
Apabila isteri minta duit untuk urusan rumahtangga, dapatlah saki baki duit yang ada atau kena guna duit sendiri. Janganlah begitu!
Jangan Layan Isteri Begini
Saya bukan apa, sudah selama ini si suami ‘layan’ isteri cara sebegini. Apabila isteri mengeluh, si suami pula kata isteri tak bersyukur, materialistik dan minta macam-macam. Alkisahnya isteri minta duit bayar bil dan nak beli lauk-pauk, bukannya nak beli beg tangan berjenama atau barang kemas pun.
Tapi Kedekut Dengan Isteri
Dua hari lepas si suami pergi makan-minum di cafe hipster mahal siap belanja kawan-kawan lagi, isteri dok rumah je. Semalam tak pergi mana-mana, isteri pun dok rumah je.
Hari ini isteri ajak ke kedai makan sebab tak ada bahan mentah nak dimasak, ehhhh si suami marah-marah pula. Aduh.
Ads
Itu belum cerita suami pergi aktiviti seharian atau berhari-hari dengan geng basikal ke, konvoi motorsikal atau kereta ke, bla bla bla. Yang pergi atas urusan dakwah pun ada. Tak pasti kenapa apabila isteri minta bayar bil rumah, selalu sangat tak ada duit suruh isteri guna duit sendiri je…. Dan kes si suami asyik beraya dengan kawan-kawan pergi situ sini berhari-hari, si isteri terpaksa beraya sendiri/sorang-sorang je pergi rumah sanak-saudara pun ada juga.
Saya ada kenal lelaki sebegini. Silap saya, tak pernah saya nasihatkan apa-apa. Tiba-tiba dapat tahu si isterinya minta cerai, kalau saya nasihat sekarang pun dah tak guna. Nasi sudah jadi bubur, si isteri tu dah tawar hati.
Begitulah, muhasabah diri.
Menombor-satukan keluarga, ini sangat penting. Kita perlu tahu prioriti dan perkara yang lebih penting. Utamakan perkara yang lebih penting daripada perkara yang penting kerana perkara yang lebih penting itu lebih penting daripada perkara yang penting.
Suami buatlah ‘suprise’ kalau tak reti tunjuk kasih sayang pada isteri. Isteri mana yang tidak gembira bila suaminya bagi hadiah, romantik dan guna ayat yang berbunga-bunga cinta dan kasih sayang.
Namun bagaimana pula kalau jenis suami yang tak pandai nak buat semua itu. Isteri belajarlah untuk terima dengan hati yang terbuka. Mungkin suami tak pandai berkata-kata tapi ada kelebihan lain yang boleh membuatkan hati isteri terpikat.
Tapi, kalau tak reti sekalipun nak tunjuk kasih mesra atau romantik dengan isteri, cuba sesekali buatlah suprise. Mesti hati isteriberbunga-bunga. Buatlah suprise untuk isteri tak perlu nak bermewah-mewah, dengan beli barangan mahal, bercuti dengan naik kapal atau sebagainya. Cukup dapat makan kat kedai kopi, teman shopping pun dah seronok buat isteri.
Antara perkongsian menarik daripada Khairul Anuar Basri ini untuk suami. Sekurangnya dengan suprise ini boleh menjadi memori indah buat isteri.
Sekali sekala, buatlah surprise kepada pasangan. Isteri yang nak marah boleh bertukar menjadi senyum. Yang kecik hati, boleh terubat dengan sendiri. Ada isteri yang tawar dan hambar, boleh jadi manis dan ceria kembali.
Surprise tu bukannya apa-apa pun. Itu tandanya ambil berat dan sangat
menyayangi. Walaupun apa yang dibuat untuk surprise tu tak berapa ringgit pun.
Saya tak pandai nak main-main kata. Saya tak pandai nak hantar-hantar bunga.
Saya bukan yang jenis macam tu kalau nak tunjuk sayang dan kasih mesra.
Sekadar yang saya boleh buat, saya buat. Macam ada hari tertentu saya culik isteri saya di sekolahnya. Tinggal keretanya kat sana, naik kereta dengan saya. Kami keluar makan tengah hari.
Isteri ni kadang-kadang bukan nak apa pun dari suami. Mereka nak perhatian saja. Mereka suka kalau dibelai dan dimanja. Mereka suka kalau kita bagi sesuatu dekat mereka.
Yang duit lebih, boleh la bagi hadiah mahal-mahal. Yang duit banyak, boleh la bawa melancong merata tempat. Yang skoda-skoda macam saya ni, berilah ikut kemampuan. Nasi goreng, telur mata dan keropok keping pun jadilah tanda ingatan.
Cipta Memori Bersama
Sebenarnya yang penting bukanlah pemberian tu. Tapi saat bersama tu. Enjoy the moment orang putih cakap.
Makan makanan best dan melancong tempat menarik. Apa yang best? Apa yang menarik?
Makanan itu ke yang best? Tempat itu ke yang menarik?
Bukan. Bukan makanan itu yang best. Bukan tempat itu yang menarik.
Makanlah makanan paling mahal di restoran paling eksklusif sekalipun, tapi makan seorang diri saja, tak best mana pun.
Makan roti kosong dengan wife jadi best. Berjalan ke pasar pagi dengan kekasih hati jadi best. Takde apa sangat pun kan?
Tapi dia jadi sangat best. Kerana orang yang kita sayang dan kasih itulah akan menjadikan segala di dunia ini jadi best.
Para suami dan para isteri sekalian.
Hargailah setiap masa pasangan kita masih hidup. Sesibuk mana sekalipun kita, carilah masa untuk pasangan kita. Jika tak sempat nak rancang, secara mengejut pun boleh la.
Ciptalah memori bersama pasangan sementara nyawa masih dikandung badan.
Sikap mengungkit isteri kepada suami bukan bermakna isteri tidak ikhlas dalam membantu suami tapi mungkin kerana isteri terlalu penat mental dan fizikalnya. Bagi pihak suami pula apabila sang isteri telah berkorban membantu meringankan beban kewangan suami, pandai-pandailah mengimbangi semula bantuan yang diberikan oleh isteri.
Bagi isteri yang bekerja, bukan sahaja penat di tempat kerja tapi boleh bertambah penat lagi dengan kerja-kerja rumah yang harus dibuat. Sementelah kalau suami tidak membantu langsung membuat kerja rumah.
Mulalah isteri ‘mengungkit’ dalam hati. Maklum sahaja, dia bekerja untuk membantu dan mengurangkan beban suami. Hakikatnya, suami tidak langsung mahu membantu isteri dalam hal-hal ruamh tangga.
Bab-bab ‘mengungkit’ ini bukan bermakna isteri tidak iklhas dalam membantu suami. Ini berlaku mungkin kerana isteri penat tetapi suami pula buat tidak tahu dan langsung tidak mahu membantu.
Inilah yang ingin dikongsi oleh Firdaus Shakirin tentang apa yang membuatkan isteri mula mengungkit bantuan yang diberikan olehnya.
Bukan Tidak Ikhlas
“Mengungkit” sebagai tanda peringatan supaya jangan rasa selesa…
Bukan tak ikhlas dalam memberi pertolongan…bukan tak ikhlas dalam meringankan bebanan…
Lelaki susah nak figure out this situation…bila isteri cakap,
“Barang dapur saya beli, nurseri anak saya bayar, bil-bil utiliti pun saya tanggung, abang boleh pulak beli moto baru, tukar kereta, tambah komitmen keluarga?” Suami: “Nampak sangat awak tak ikhlas, hilang pahala awak bila awak ungkit macam ni…”
Isteri Bayar
Dalam rumah tangga, persetujuan bersama itu perlu sebelum melakukan apa-apa keputusan walaupun guna duit sendiri. Ini kerana, mungkin si suami ada duit lebih hasil daripada apa yang tidak perlu dibayarnya kerana sudah pun dibayar isteri.
Kewajipan suami tetap menjadi kewajipan suami bila dia MAMPU.
Bila ada duit lebih, maka jangan fikir lagi hendak tukar motor, upgrade kereta, beli handphone dan sebagainya…tapi ambik balik apa yang isteri sedang bayar setiap bulan, di mana kewajipan itu bukanlah terletak dibahunya…tapi dibahu kita yang menjadi suami…
Kita kena ambil semula apa yang tak sepatutnya isteri bayar sebab kita sudah mampu bayar.
Buat Perjanjian
Jangan terus pejam mata sebab sudah buat perjanjian, rumah dengan kereta suami bayar, yang lain-lain isteri bayar dan perjanjian itu pula dibuat di awal usia perkahwinan dahulu.
Apabila anak sudah tiga, belanja dapur yang isteri keluarkan masa berdua tak sama jumlahnya dengan belanja dapur masa berlima. Sama juga dengan bil-bil utiliti dan sebagainya. Kita seronok sebab selesa dengan komitmen bulanan rumah dan kereta yang mana sudah tetap untuk 9 tahun dan 30 tahun akan datang.
Ingat, kita akan dikira ‘berhutang’ dengan isteri kalau kita biar dia bayar apa yang kita patut bayar dalam ketika kita sendiri mampu untuk bayar.
Isu menantu perempuan dan mak mentua satu ‘masalah’ yang seolah tiada kesudahan. Bila sama-sama keras kepala maka yang jadi mangsa adalah si lelaki. Situasi akan menjadi lebih buruk bila si lelaki tidak tahu memainkan peranan bagi mendamaikan antara isteri dan juga ibunya.
Kisah pergolakan antara menantu dan mak mentua sangat sulit untuk diselesaikan. Isu mak mentua mentua dengan menantu perempuan memang tidak akan habis sampai bila-bila pun. Jika tidak ditangani secara bijak maka akan rosaklah rumah tangga yang dibina.
Hubungan mak mertua dan menantu perempuan seringkali tidak harmoni. Pendek kata ada-ada sahaja yang tidak kena. Hal ini bukanlah sekadar mitos. Kajian membuktikan konflik memang sering ‘tumbuh’ di antara mak mentua dan juga menantu perempuan.
Berikut perkongsian Akhtar Syamir
MENANTU BUKAN PILIHAN DAN MENTUA PEROSAK RUMAH TANGGA
Aku cintakan kamu, kamu cintakan aku. Hari ini, kita bergelar suami isteri. Kita akan bersatu dan hidup bahagia hingga ke akhirnya.
Ringkas dan mudah bukan? Ini perkara yang berada di dalam kepala pasangan yang baru sahaja bernikah.
Tapi ianya sering tidak semudah itu. Kerana ada anasir luar (baca : dalam) yang mempengaruhi kehidupan suami isteri. Anasir luar yang dimaksudkan ialah ibu-bapa mentua. Ibu dan bapa pasangan itu sendiri.
Apabila anak sudah meningkat dewasa dan bersedia untuk berkahwin, sudah pastinya anak itu sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Betul, ibu dan bapa mempunyai pendapat dan boleh memberi pendapat tentang pilihan hati anak. Ini dipanggil menjadi ibu-bapa. Pastinya ibu dan bapa mahukan yang terbaik untuk anaknya.
TERLEBIH MELINDUNGI
Tidak salah sebenarnya, kadang-kala kerana cinta, mata yang celik pun boleh menjadi buta. Ada yang jatuh cinta dengan penagih yang tidak berniat untuk berhenti. Ada juga yang jatuh cinta dengan wanita liar yang tidak mahu berubah. Di sini, ibu-bapa memang patut memainkan peranan membawa kembali pandangan mata anak kepada realiti dan akibatnya nanti.
Masalah tiba apabila bila ibu-bapa pula yang terlebih melindungi anak hanya kerana hatinya tidak berkenan dengan bakal menantunya. Di sini bermulalah segala jenis masalah yang dikaitkan dengan menantu bukan pilihan.
“Kalau kau aku tak suka, dengan keturunan kau pun aku tak suka”. Ya, memang ada yang sampai ke tahap itu. Benci, menyampah, buruk, huduh, tak layak, murahan dan macam-macam lagi perasaan yang bermain di minda mentua apabila anaknya berkahwin dengan yang bukan pilihan hatinya.
Bermacam alasan diberi, pilihan anak itu tak cantik, belajar tak pandai, kerja tak bagus atau tidak bekerja, keturunan tak kaya dan tak sama taraf. Kadang-kala sehingga kehabisan sebab, tetapi masih lagi tidak boleh terima. Di carinya lagi sebab lain yang boleh teruskan kebencian di hati.
Biasa dengar mentua yang tak suka negeri itu ini?
“Jangan kahwin dengan orang Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur”
Habis semua negeri tak boleh kahwin, itu tak boleh, ini tak boleh.
Masakan menantu sentiasa tidak kena dengan selera. Asam pedas tak cukup masam, kari tak cukup pekat, masak lemak tak cukup pedas, ikan goreng tak garing, nasi lembik, sambal belacan tak pedas, rendang tak sedap, ayam goreng tak garing, masakan terlalu manis, masin, pahit, tawar sampai air kosong pun tak cukup sejuk.
Hidangan pula tak menarik, pinggan tak tersusun rapi, mangkuk tak guna yang sama tema, sumbing sikit tak boleh, pinggan basah pun kena lap bagi sempurna semua.
Pakaian menantu bukan pilihan sentiasa tidak kena. Terlalu singkat, terlalu labuh, tidak menarik, tak cantik, warna kelam, tudung senget dan macam-macam lagi.
Alasan untuk tidak menyukai dah habis. Walapun menantu dah ikut semuanya tetapi sangat susah mulut untuk memuji apa yang menantu buat. Seperti satu kesalahan yang besar jika mentua memuji menantu yang tidak disukainya itu.
JADI BAHAN UMPATAN
Menantu bukan pilihan juga sering jadi mangsa umpatan mentua dengan orang lain. Sama ada dengan ipar atau orang terdekat. Kadang-kala dengan sengaja membiarkan menantu itu dengar.
Antara yang menyakitkan hati, mentua sentiasa berkias-kias apabila bercakap dengan menantu bukan pilihannya. “Kedutnya baju anak aku, kenapa la tak bergosok?”, “Makin kurus anak aku ni sejak kahwin, tak cukup makan la tu”, “cucu aku semua putih, yang ini sahaja hitam legam”.
Menantu bukan pilihan juga akan sentiasa dipantau. Paling mentua tak suka apabila anaknya melebihkan isteri sendiri. Memang tak senang duduk dia. Sentiasa ingatkan anak yang ibu lebih penting dari isteri. Tengok isteri berpakaian baru, diperli-perlinya, tengok isteri ada cincin baru, cepat sungguh kena tegur, membazir la, tak cantik la.
Ada juga yang membanding-bandingkan menantu. Yang disukai sentiasa disebut-sebut, diangkat tinggi, dipuji selalu. Menantu yang itu kerjanya bagus, bukan suri rumah. Menantu yang ini belajar sampai PhD, bukan takat SPM je. “Bodoh tu nanti berjangkit kat anak” katanya.
Bila ada menantu yang selalu beri duit, dicanangnya satu kampung. Saudara mara yang datang pun habis dicerita semua. Menantu ini bagi gelang, menantu itu bagi duit, menantu yang ini tak pernah bagi apa pun. Setakat bagi tudung, apalah sangat. Tak penting pun untuk diceritakan.
Yang menyedihkan, anak kepada menantu bukan pilihan menjadi mangsa diskriminasi. Cucu yang itu la yang selalu dimarahi. Cucu yang itu la yang tidak dilayan berbanding cucu menantu yang disukainya.
Tidak cukup dengan itu, anak akan dihasut dengan pelbagai perkara yang tak elok. Kadang-kala sehingga mereka-reka cerita, diburuk-burukkan dan difitnah. Tujuannya supaya anaknya itu membenci isteri sendiri.
Seperti tidak masuk akal juga apabila perkara yang di luar kawalan dan kemampuan disentuh. Menantu yang masih tidak mempunyai anak akan sering diperli dan diperlekehkan kononnya itu semua salah menantu.
Yang pastinya, menantu bukan pilihan ini jika mahu mengambil hati, perlulah patuh dan mengikut 100% seperti apa yang dimahukan, barulah hatinya puas.
Itulah serba sedikit apa yang dilalui menantu bukan pilihan dan perangai ibu mentua yang merosakkan. Memang sangat menyedihkan.
DENGAR RAYUAN DAN ADUAN PASANGAN
Anak perlu sedar mengenai perangai ibu atau bapanya sendiri. Dengarlah rayuan dan aduan pasangan. Jika perlu bertegas, bertegaslah. Pasangan andalah yang akan bersama dengan anda, membesarkan anak anda dan melayan anda hingga ke akhirnya. Hati mereka amat penting untuk dijaga.
Janganlah menjadi anak emak yang membutakan mata serta memekakkan telinga apabila ada ketidakadilan berlaku dari ibu-bapa sendiri terhadap pasangan. Pasangan perlu dibela, pasangan perlu dipujuk. Mereka amat tertekan. Nak marah tak boleh, nak menangis pun tidak dilayan. Jadilah suami atau isteri yang bertanggungjawab. Jangan biarkan anasir luar mempengaruhi kegembiraan hidup berkeluarga.
Hargai pasangan anda, itu pilihan hati anda. Jangan biarkan mereka menghadapi semua ini seorang diri. Berdiri di hadapan mereka. Bela mereka bila diperlukan, jangan biarkan pasangan dilukai sewenang-wenangnya.
Ini adalah situasi yang benar. Terlalu ramai menantu bukan pilihan yang sedang menderita. Bukalah mata dan lihat serta dengar sendiri. Jangan abaikan masalah ini.
Kepada menantu bukan pilihan, bersabarlah. Jangan berhenti berkongsi masalah ini dengan pasangan. Mereka patut tahu apa yang ibu atau bapa mereka sendiri sedang buat. Teruskan tabah, dan buatlah sebaik mungkin. Fokus kepada keluarga sendiiri, jangan biarkan orang yang tidak menyukai kita menentukan kebahagiaan rumah tangga kita.
Menantu perempuan dan mak mentua, usahlah sama-sama ‘keras kepala’ dan ego. Ingatlah bahawa jika persengketaan itu terus menerus berlaku yang menjadi mangsa adalah seorang lelaki yang bergelar suami dan anak.
Sumber kredit: Akhtar Syamir
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seramai 5.5 juta ahli mengeluarkan RM19.87 bilion daripada Akaun Fleksibel KWSP setakat 31 Mei lalu. Pengeluaran digunakan untuk keperluan harian manakala sebahagian ahli tidak dapat membuat pengeluaran kerana baki simpanan terlalu rendah.