
Main telefon sebelum tidur menjadi kebiasaan ramai sehingga tanpa sedar skrin masih menyala sedangkan mata sudah pun terlelap.
Ramai suka ‘scroll’ telefon sebelum tidur. Niatnya sekadar mahu melihat TikTok atau Instagram beberapa minit, tetapi tanpa sedar masa terus berlalu sehingga skrin telefon masih menyala sedangkan mata sudah pun terlelap.
Jika menjadi rutin setiap malam, tabiat ini boleh mengganggu tidur dan akhirnya mempengaruhi fungsi otak. Satu kajian melibatkan lebih 45,000 pelajar universiti berusia 18 hingga 28 tahun mendapati setiap tambahan satu jam menggunakan skrin selepas masuk ke tempat tidur dikaitkan dengan 59 peratus peningkatan kemungkinan mengalami simptom insomnia serta tempoh tidur sekitar 24 minit lebih pendek.
Menariknya, penyelidik mendapati jenis aktiviti skrin bukanlah faktor utama. Sama ada media sosial atau aktiviti skrin lain, tempoh penggunaan skrin selepas seseorang berada di tempat tidur menunjukkan kaitan dengan masalah tidur. Ini bermakna tabiat main telefon sebelum tidur walaupun sekadar menonton video atau membaca hantaran masih boleh menyebabkan waktu untuk melelapkan mata semakin tertangguh.
Kesan Main Telefon Sebelum Tidur Pada Otak
Persoalannya, apabila waktu tidur terus ‘dicuri’ oleh skrin, apa sebenarnya yang berlaku kepada otak?
1. Memori Tak Sempat Diproses Dengan Baik
Tidur bukan waktu otak berhenti bekerja. Ketika tidur, otak membantu mengukuhkan memori dan menyusun maklumat yang diterima sepanjang hari.
Apabila tidur tidak mencukupi, proses ini boleh terganggu. Sebab itu selepas beberapa malam kurang tidur, seseorang mungkin lebih sukar mengingati maklumat, belajar perkara baharu atau terasa seperti otak ‘berkabut’.
2. Fokus Dan Reaksi Menjadi Lebih Perlahan
Kurang tidur turut menjejaskan perhatian dan kewaspadaan. Anda mungkin masih mampu bekerja atau belajar seperti biasa, tetapi lebih mudah hilang fokus, melakukan kesilapan dan mengambil masa lebih lama untuk memberi respons.
Kajian terhadap mahasiswa turut menemukan kaitan antara penggunaan telefon sebelum tidur dengan kualiti tidur yang lebih rendah, konsentrasi yang lebih lemah dan masa tindak balas yang lebih perlahan.
Kesan ini mungkin lebih mudah dirasai pada keesokan harinya apabila seseorang perlu bekerja, belajar atau memandu. Otak yang tidak mendapat tidur mencukupi perlu bekerja dalam keadaan tahap kewaspadaan yang lebih rendah, sekali gus meningkatkan kecenderungan untuk hilang fokus dan melakukan kesilapan. Jika main telefon sebelum tidur menyebabkan anda kehilangan waktu tidur hampir setiap malam, kesannya boleh terkumpul dari hari ke hari.

3. Bahagian Otak Yang Mengawal Emosi Turut Terjejas
Pernah perasan diri lebih cepat marah selepas tidak cukup tidur?
Kajian pengimejan otak menunjukkan kekurangan tidur boleh menyebabkan amygdala, bahagian otak yang terlibat dalam pemprosesan emosi, menjadi lebih reaktif terhadap rangsangan negatif. Pada masa sama, hubungan dengan kawasan prefrontal cortex yang membantu mengawal tindak balas emosi turut berubah.
Sebab itu kurang tidur bukan sekadar membuatkan mata mengantuk. Ia boleh membuatkan emosi terasa lebih sukar dikawal.
4. Otak Lebih Sukar Menerima Maklumat Baharu
Hippocampus memainkan peranan penting dalam pembentukan memori baharu. Penyelidikan mengenai kekurangan tidur menunjukkan fungsi hippocampus boleh terjejas apabila seseorang tidak mendapat tidur yang mencukupi.
Anda mungkin berminat dengan
Mudah kata, berjaga malam untuk melihat lebih banyak kandungan mungkin menyebabkan otak menjadi kurang efektif untuk menerima dan menyimpan maklumat baharu pada keesokan harinya.

Bukan Telefon Yang ‘Merosakkan Otak’
Ini bahagian yang penting. ‘Scroll’ telefon sebelum tidur tidak bermakna telefon secara langsung merosakkan sel otak.
Risikonya datang apabila tabiat tersebut menyebabkan waktu tidur semakin lewat, tempoh tidur semakin pendek dan keadaan itu berulang hampir setiap malam.
Jadi jika telefon sering menjadi benda terakhir yang dilihat sebelum mata terpejam, mungkin sudah tiba masanya untuk menghitung bukan berapa jam anda menghadap skrin.
Tetapi berapa banyak waktu tidur yang sudah diambil daripada otak setiap malam.
Berapa Lama Sebelum Tidur Patut Letak Telefon?
Tidak perlu terus meninggalkan telefon berjam-jam sebelum tidur. Apa yang lebih penting ialah mengelakkan tabiat main telefon sebelum tidur sehingga ia mengambil waktu yang sepatutnya digunakan untuk berehat. Cuba tetapkan waktu berhenti menggunakan telefon dan beri ruang kepada tubuh untuk mula bersedia tidur tanpa gangguan video, mesej atau notifikasi yang berterusan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

