mak-mak

Tiada pasangan sempurna wujud di muka bumi ini, kecuali mereka yang berumah tangga atas landasan iman, dengan bahtera ketakwaan menuju jalan kebahagiaan yang diredhai-Nya. Namun kalau ikutkan aura wanita bergelar mak-mak memang hebat, semua benda boleh handle sendiri.

Malah dalam sibuk mencari rezeki, ada wanita mampu uruskan hal rumah tangga dengan lebih teratur. Nak tahu lebih kuasa wanita, baca perkongsian cikgu Mohd Fadli Salleh ini…

Wanita. Ajaib. Sungguh!

Usah ceritalah kehebatan mereka waktu membawa perut selama 9 bulan 10 hari. Tak perlu cerita hal itu.

Tak payah ceritalah keajaiban mereka menahan sakit demi melahirkan anak-anak kita. Tahun ini katanya serik, tahun depan mengandung lagi. Usah cerita hal itu.

Cukup kita bercerita seputar di bulan Ramadhan sahaja. Itu pun keajaiban mereka tidak terkira.

Anak-anak penuh diriba. Yang menyusu pun ada juga. Yang tengah demam, yang sakit itu biasa. Tapi dengan tenang mereka hadapi semua. Sedangkan mereka juga berpuasa!

Sedang si suami ralit mengeteh diluar, sang isteri berperang di rumah. Anak itu sakit perut, anak ini nak menyusu, yang lagi seorang pula minta basuhkan berak. Satu persatu dihadap tanpa keluh kesah. Siang berpuasa, malah malamnya terawikh tidak ditinggalkan.

Penat? Memang.

IKLAN

Mengeluh? Jarang.

Itukan keajaiban.

Si suami pulang jam 1 pagi. Anak-anak semua tidur elok dah. Diselimutkan anak, yang menyusu botol, botol susu dah tersedia. Hanya tunggu anak meminta sahaja. Malahan, tempat tidur suami tersusun rapi. Bantal dan selimut elok kemas disisi.

Jam 5 pagi, suami dikejutkan. Masuk ke dapur, semua dah tersedia. Yang masak sendiri ada, yang panaskan pun ada juga. Air teh masih berasap. Air kosong juga dah digelas. Nasi elok dah dipinggan. Hanya menunggu si suami makan.

Pukul berapa makhluk ajaib itu bangun dan sediakan semua ini?

IKLAN

Anak yang kecil turut bangun sama. Sambil meriba, dia menyuap dirinya. Bersahur katanya. Si suami selepas makan pinggan ditinggalkan. Keluar ke beranda, menyucuh rokok. Sedang makhluk ajaib itu masih didapur berperang lagi.

Membersihkan apa yang patut, membuang sisa makanan. Ajaib mereka tidak terkata. Seolah tenaga tiada putusnya.

Selepas solat Subuh, si suami sambung tidur. Si isteri membasuh baju pula. Jemur dan lipat sedang suami masih berdengkur. Satu-persatu anak-anak mulai bangun, dia persiapkan. Mandi, makan dan pakai, semuanya dia urus seorang. Suami kan masih di peraduan!

Dalam sibuk, dalam kalut si isteri masih mampu membelek sehelai dua ayat Quran. Sayang katanya; inikan Ramadhan. Entah jumpa entah tidak tahun depan. Eloklah diambil semua peluang.

Selepas Asar dia masuk berperang lagi didapur. Memasak masakan permintaan suami yang mengidam. Peluh menitis bermain api. Dahaga tekak didiamkan sahaja. Kan puasa!

IKLAN

Begitulah rutin sehari-hari. Hampir menjelang raya, makin ajaib kaum wanita. Yang pandai menjahit, menjahitlah mereka. Yang pandai membuat kuih, mem’baking’lah mereka. Sedang tugasan lain tidak pernah terkecuali.

Itu semua ajaib wahai kaum Adam. Kita sahaja tidak perasan.

Maka, jika raya ini puan isteri minta kain baju yang sedikit elok dan mahal, jangan dimarah. Cubalah penuhi sekadar mampu.

Tidak tertulis segala pengorbanan mereka. Usah cerita pengorbanan besar sepanjang usia. Cukup perihal keajaiban mereka dibulan puasa.

Sesekali, gembirakanlah mereka. Sesekali, penuhilah hasrat dan impian mereka. Apa salahnya? Entah berapa banyak keajaiban yang mereka cipta. Maka, angguk la sekali sekala.

Hakikatnya, apa yang ada didepan mata jarang kita rasa berharga. Payah kita nak hargai segala pengorbanan dan jasa. Bila hilang, bila tiada lagi disisi, saat itu semuanya menerpa minda. Jangan sampai sesal dihari muka.

Wanita. Teruslah ajaib. Kerana ajaib dan kalian berpisah tiada.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI