Kuali Tak Lekat (Non Stick) merupakan antara peralatan memasak kesayangan mak-mak. Selain memudahkan kerja memasak didapur, kuali sebegini boleh tahan mahal harganya, nak-nak kalau jenis yang berjenama dan diimport daripada luar negara. Namun satu perkara yang mak-mak perlu tahu, walau macam mana sayang sekalipun dengan kuali non stick tersebut, awas iya elak daripada menggunakannya sekiranya lapisannya telah bercalar, kerana ia boleh membahayakan kesihatan.
Penggunaan Kuali Non Stick yang telah calar adalah tidak bagus
Saya adalah antara penggemar kuali tahan lekat atau kuali non stick yang memudahkan untuk kerja-kerja memasak di dapur. Andai nak goreng telur tak melekat, andai nak sauté bahan-bahan pun mudah.
Namun satu perkara yang perlu kita ambil berat sekiranya kita menggunakan kuali non stick ini, adalah untuk elakkan daripada ianya tercalar.
Ya CALAR yang merbahaya.
Calar pada permukaan kuali non stick ini akan menyebabkan lapisan yang digunakan untuk menjadikan permukaan kuali itu tidak melekat akan terdedah ke dalam masakan yang kita ingin masak.
Bermakna, ada bahan-bahan yang tidak sesuai untuk kita makan, akan bercampur dengan masakan yang kita masak, tanpa kita sedar.
Ads
Adalah penting untuk kita gunakan peralatan yang sesuai seperti sudip kayu atau sudip yang tidak mencalarkan permukaan kuali ini.
Andai telah tercalar? apa perlu kita buat adalah untuk melupuskan sahaja kuali tersebut walaupun mungkin ianya kuali kesayangan kita.
Atau bolehlah buat hiasan di dinding-dinding bukannya untuk digunakan sebagai peralatan memasak.
Jika sebelum ni kita belum tahu, mungkin kita akan terus gunakan, selepas ini, silalah tukar kepada kuali baru.
Kesihatan kita lebih berharga. Rugi kiranya kita sediakan bahan-bahan berkualiti tinggi untuk memasak, tetapi kesudahannya menggunakan kuali yang berbahaya.
Sekadar berkongsi untuk manfaat bersama.
Ads
6 Tip Guna Kuali Non Stick
Untuk elakkan kuali non stick daripada calar balar mahupun rosak permukaannya dan tahan lebih lama, sebenarnya mak-mak boleh ikut 6 tip ini.
1. Jangan Biar Kuali Terbiar Panas
Sebaik meletakkan kuali diatas dapur, tuang minyak dengan segera dan jangan biarkan kuali panas sehingga berasap. Ini kerana jika kuali non stick dibiarkan panas begitu, ia akan menghasilkan toksik yang boleh membahayakan kesihatan.
Menurut Professor Robert L. Wolke, dari University of Pittsburgh kuali non-stick selamat digunakan selagi ia tidak dibiarkan terlalu panas.
2. Masak Guna Api Sederhana
Gunakan api perlahan atau api sederhana jika menggunakan kuali jenis ini. Elakkan menggunakan api besar dan masak dalam jangka masa yang lama. Pastikan suhu kuali anggaran dibawah 500C bagi mengelakkan lapisan non stick yang menyadur kuali rosak.
3.Jangan Keringkan Air Dalam Kuali
Jangan biarkan air dalam kuali tersejat ketika panaskan kuali. Sebaiknya selepas kuali dicuci, lap menggunakan kain lembut bagi mengeringkan air didalam kuali tersebut.
Ads
4. Elak Guna Peralatan Logam
Perlu tahu satu ‘kepantangan’ bagi kuali jenis non stick ini menggunakan senduk, sudip atau sudu sekalipun yang diperbuat daripada logam. Ini kerana bila bergesel, ia akan menghakis permukaan kuali dan mengakibatkan kuali bercalar. Sebaiknya gunalah alatan memasak yang diperbuat daripada kayu atau plastik tahan panas.
5. Cuci Guna Span Lembut
Salah satu kelebihan kuali non stick ialah ia cukup mudah dicuci tak perlu disental dengan kasar. Memadai menggosok perlahan permukaan kuali dengan span lembut, kotoran cukup mudah ditanggalkan. Jangan sesekali menggunakan berus dawai besi pulak iya!Rosak kuali nanti.
6. Elak Susun Secara Berlapis
Sewaktu mahu menyimpan kuali jenis ini, elakkan daripada menyusun kuali non stick ini secara bertindan-tindan atau berlapis-lapis. Sebaiknya gantung atau biarkan tanpa ada benda lain yang disusun diatasnya.Jika mahu susun berlapis juga, pastikan alas dahulu permukaan kuali dengan tuala lembut atau apa-apa sahaja lapi agar permukaan non sticknya tidak tercalar.
Pernah ambil tahu tentang hukum beri daging pada jiran? Haaa… perkara paling best musim raya haji ini mestilah aktiviti makan daging korban beramai-ramai secara berjemaah. Namun sebelum masak bagi orang makan, eloklah anda ambil tahu bab hukum beri daging pada orang.
Jom baca perkonsgian Ustaz Azhar Tuarno tentang cara pembahagian daging korban dan apa hukumnya memberi daging tersebut kepada yang bukan Islam.
Korban adalah ibadah yang amat digalakkan dalam Islam pada Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Walaupun ibadah korban ini adalah sunat tetapi anda patut tahu cara pembahagian daging terutamanya tentang korban nazar. Dalam pembahagian daging korban ini ia terbahagi kepada dua iaitu Korban Wajib (Nazar) dan Korban Sunat
1. Korban Wajib
Korban Wajib atau Nazar wajib disedekahkan kesemua dagingnya termasuk kulit dan tanduk kepada fakir miskin. Orang yang melakukan korban tidak dibenarkan iaitu haram mengambil walau sedikit pun daripada korban tadi. Orang yang berkorban dan ahli keluarganya tidak boleh memakan walau sedikit pun daripada korban nazar tadi.
2. Korban Sunat
Korban sunat hendaklah dibahagi kepada tiga bahagian, 1/3 untuk dimakan tuan punya korban, 1/3 lagi diberikan kepada fakir miskin dan 1/3 lagi boleh dihadiahkan kepada sahabat termasuk jiran-jiran dan orang-orang kaya.
Para pengurus korban patut memberikan penekanan kepada cara pembahagian yang betul, terutamanya kepada para peserta korban hanya 1/3 bahagian sahaja daripada keseluruhan daging korban tadi, 1/3 daripada keseluruhan daging korban tadi hendaklah dibahagi 7 sebab ada 7 nama atau peserta.
1/3 lagi pastikan sampai kepada fakir dan miskin dalam Qariah tersebut. Ini perlu diberi perhatian khusus sebab ada kedapatan fakir-fakir miskin ini yang tidak sampai daging korban kepadanya walaupun sebenarnya kepada golongan inilah yang sepatutnya sampai daging tersebut.
Ingat, janganlah sambutan Aidiladha dijadikan sebagai pesta makan daging sepatutnya penghayatan korban itu yang patut dihayati.
Ini Pembahagian Afdal
Tuan punya korban mengambil sedikit daripada daging korban tadi dan selebihnya disedekahkan. Ini adalah perbuatan Nabi SAW iaitu Nabi mengambil sedikit daripada daging korbannya untuk dimasak dan Nabi memakannya. Jadi disunatkan kepada kita memakan sedikit daripada daging korban tadi untuk mengambil barakah dan mengikut sunnah Nabi SAW.
Bagi Daging Pada Orang Bukan Islam
Para ulama berbeza pandangan ada yang mengharamkannya dan ada yang mengharuskannya. Pada pandangan Mazhab Syafie yang asal, adalah tidak harus memberikan daging korban ataupun akikah kepada yang bukan Islam.
Para ulama sepakat tidak boleh memberi daging korban dan akikah wajib iaitu yang telah dinazarkan kepada yang bukan Islam. Tetapi perbezaan pandangan ulama adalah tentang pemberian korban sunat dan akikah sunat.
Kalau ikutkan di negara kita yang terdiri daripada jiran tetangga dan rakan sepejabat bukan Islam maka kadang kalau jemputan kenduri diberitahu kepada umum maka tentulah mereka akan datang.
Jadi dalam pembahagian daging korban barangkali ia boleh dielakkan tetapi bagaimana kalau daging korban dan akikah tadi dijadikan masakan dan lauk dalam kenduri dan rakan-rakan serta jiran yang bukan Islam datang?
Sebab itulah ada para ulama yang berpandangan hanya daging korban wajib dan akikah wajib saja yang tidak boleh diberikan kepada yang bukan Islam tetapi korban sunat dan akikah sunat harus diberikan kepada yang bukan Islam.
Ada juga pandangan hendaklah diberikan kepada mereka daging daripada hasil lain maksudnya bukan daripada korban tadi. Kalau kenduri hendaklah beli daging lain dan masak dan jemputlah mereka makan daging akikah tadi tetapi tidak dimakan oleh orang bukan Islam.
Bagi penulis pandangan yang mengharuskan memberi daging korban sunat dan akikah sunat boleh diberikan dan dimakan oleh yang bukan Islam adalah amat praktikal diamalkan di Malaysia ini. Janganlah Islam itu dianggap terlalu ketat sehinggakan ada perbezaan dalam pemberian daging.
Orang bukan Islam pun faham bahawa ibadah korban hanya untuk umat Islam dan mereka perlu faham jika mereka tidak mendapat daging korban tadi. Tetapi jika mereka dijemput dalam majlis yang dianjurkan misalnya kenduri akikah maka saya rasa tidak ada masalah kalau mereka memakan daging tersebut sebab itu adalah akikah sunat.
Oleh: Ustaz Azhar Tuarno (Imam Masjid Negara merangkap Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara Kuala Lumpur)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pembentangan belanjawan negara untuk tahun 2020, diumumkan oleh YB Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat baru-baru ini bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan Dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’.
Sempena pembentangan belanjawan ini ramai pihak termasuk golongan wanita tidak terkecuali ingin mengetahui manfaat dan kepentingan yang bakal diperolehi.
Mingguan Wanita ringkaskan antara inti pati PENTING belanjawan buat golongan wanita dan mak-mak;
1. Sedia Lebih Banyak TASKA
Kerajaan akan tingkat peruntukan kepada RM30 juta untuk menyediakan lebih banyak lagi TASKA di bangunan kerajaan terutamanya di hospital dan sekolah untuk ringan bebanan ibu bapa.Ibu bapa yang menghantar anak untuk pendidikan awal ke TASKA dan Taman Didikan Kanak-Kanak (TADIKA) berdaftar, pelepasan cukai individu bagi yuran yang dibayar akan dinaikkan daripada RM1 ribu kepada RM2 ribu.
2. Cuti Bersalin 90 Hari
Kerajaan kaji untuk tingkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021.
3. i-Suri KWSP, PERKESO
Program i-Suri ditambah baik dengan beri peluang suami menyumbang 2% daripada 11% carumannya ke dalam akaun KWSP isteri.Kerajaan juga bercadang untuk memanjangkan manfaat di bawah i-Suri melalui perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO. Peruntukan sebanyak RM20 juta akan disediakan pada tahun hadapan kepada PERKESO bagi tujuan ini.
4. Perlindungan mySalam
Perlindungan mySalam dipanjangkan mulai 1 Januari 2020 kepada 45 penyakit kritikal, individu yang berumur sehingga 65 tahun dan mereka yang mempunyai pendapatan kasar tahunan sehingga RM100,000.
5. Insentif RM500 Kembali Bekerja
Bagi wanita yang telah berhenti kerja selama 12 bulan atau lebih, berumur 30 hingga 50 tahun, jika kembali bekerja semula akan menerima insentif gaji RM500 sebulan selama DUA tahun.Majikan yang mengambil wanita yang kembali bekerja akan menerima insentif sebanyak RM300 sebulan selama dua tahun.Pengecualian cukai juga akan diberikan kepada wanita yang kembali bekerja sehingga tahun 2023.
6.Insentif Kesuburan
KWSP akan memperkenalkan kategori pengeluaran baru bagi pasangan yang menjalani rawatan kesuburan seperti IVF.Selain itu, pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6 ribu yang diberikan ke atas perbelanjaan rawatan perubatan untuk penyakit serius akan diperluaskan untuk merangkumi kos rawatan kesuburan.
Sementara itu, kerajaan memperuntukkan RM297 bilion untuk Belanjawan 2020, tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion. Lim Guan Eng berkata, ia adalah peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion tahun lalu tanpa mengambil kira peruntukan secara ‘one-off’ bagi bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan tertunggak. Katanya, peruntukan ini termasuk RM241 bilion untuk perbelanjaan mengurus, manakala bakinya RM56 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Tomyam antara menu kegemaran keluarga. Rasa masam, pekat, pedas secukup rasa. Jika selalu kita beli je pes tomyam, sebenarnya boleh buat sendiri je di rumah. Lebih puas hati, jimat, sedap, bersih dan terjamin status halalnya. Ikut sukatan ini, boleh dapat 3 botol kecil. Rahsia untuk dapatkan warna pes tomyam yang cantik ialah menggunakan gula kabung dan rasa pes ini akan lebih sedap apabila ditambah sedikit udang kering.
Boleh cuba resipi pes tomyam yang dikongsikan oleh Puan Shamliah Ibrahim ini sebagai rujukan;
Buat siap nanti senang nak masak. Sesuai untuk;
Tomyam seafood dan ayam
Nasi goreng tomyam
Macaroni tomyam
Dan semua jenis masakkan yang menggunakan pes tomyam
Bahan-Bahan:
4 senduk cili kering kisar
1 senduk minyak masak
1 keping gula kabung
4 sudu makan sos ikan
3 sudu makan asam jawa
1/2 cawan kecil air
Bahan Kisar:
3 biji bawang besar
12 ulas bawang putih
5 inci lengkuas
3 inci belacan
12 batang serai
15 helai daun limau purut – buang uratnya
Cara Membuat:
1. Satukan semua bahan-bahan kisar dan kisar halus. Ketepikan.
2. Panaskan minyak masak dalam kuali. Kemudian tumis cili kisar terlebih dahulu.
3. Masukkan bahan kisar tadi. Tambahkan juga gula kabung, sos ikan, asam jawa dan air.
4. Gaul semua bahan hingga sebati dan masak menggunakan api perlahan selama 45 minit hingga 1 jam sehingga pes pecah minyak.
5. Bila sudah siap, sejukkan pes tomyam dan masukkan ke dalam botol.
6. Simpan pes tomyam di dalam peti sejuk dan bolehlah digunakan dalam masakan harian anda.
7. Nak masak tomyam guna pes ini mudah sahaja. Hanya perlu tambahkan isi ayam, makanan laut dan sayuran. Jangan lupa masukkan serai, lengkuas, daun ketumbar, perahan limau nipis dan daun limau purut untuk rasa lebih enak dan beraroma.
Info Ekstra:
Sukatan di atas akan dapat 3 botol kecil pes tomyam. Jika nak buat dalam jumlah sikit, kurangkan jumlah bahan yang digunakan.
Pes akan rasa lebih sedap jika guna udang kering. Jika suka, boleh tambah 2 sudu makan udang kering dalam bahan kisaran.
Urat tengah daun limau purut perlu dibuang bagi mengelakkan pes rasa pahit.
Selain jus asam jawa, boleh juga menggunakan jus limau nipis.
Terpulang nak letak gula apa. Ikut apa yang ada di dapur rumah sendiri. Saya letak gula kabungsebab nak bagi warna pes yang cantik dan tak rasa manis pun di pes.
Mingguan Wanita: Puas hati bila buat sendiri pes tomyam ni di rumah. Bila nak masak dah senang. Lebih jimat, terjamin halal dan bersih bila buat sendiri.