hukum beri daging

Pernah ambil tahu tentang hukum beri daging pada jiran? Haaa… perkara paling best musim raya haji ini mestilah aktiviti makan daging korban beramai-ramai secara berjemaah. Namun sebelum masak bagi orang makan, eloklah anda ambil tahu bab hukum beri daging pada orang.

Jom baca perkonsgian Ustaz Azhar Tuarno tentang cara pembahagian daging korban dan apa hukumnya memberi daging tersebut kepada yang bukan Islam.

Korban adalah ibadah yang amat digalakkan dalam Islam pada Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijjah dan hari-hari Tasrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Walaupun ibadah korban ini adalah sunat tetapi anda patut tahu cara pembahagian daging terutamanya tentang korban nazar. Dalam pembahagian daging korban ini ia terbahagi kepada dua iaitu Korban Wajib (Nazar) dan Korban Sunat

1. Korban Wajib

Korban Wajib atau Nazar wajib disedekahkan kesemua dagingnya termasuk kulit dan tanduk kepada fakir miskin. Orang yang melakukan korban tidak dibenarkan iaitu haram mengambil walau sedikit pun daripada korban tadi. Orang yang berkorban dan ahli keluarganya tidak boleh memakan walau sedikit pun daripada korban nazar tadi.

2. Korban Sunat

Korban sunat hendaklah dibahagi kepada tiga bahagian, 1/3 untuk dimakan tuan punya korban, 1/3 lagi diberikan kepada fakir miskin dan 1/3 lagi boleh dihadiahkan kepada sahabat termasuk jiran-jiran dan orang-orang kaya.

Para pengurus korban patut memberikan penekanan kepada cara pembahagian yang betul, terutamanya kepada para peserta korban hanya 1/3 bahagian sahaja daripada keseluruhan daging korban tadi, 1/3 daripada keseluruhan daging korban tadi hendaklah dibahagi 7 sebab ada 7 nama atau peserta.

IKLAN

1/3 lagi pastikan sampai kepada fakir dan miskin dalam Qariah tersebut. Ini perlu diberi perhatian khusus sebab ada kedapatan fakir-fakir miskin ini yang tidak sampai daging korban kepadanya walaupun sebenarnya kepada golongan inilah yang sepatutnya sampai daging tersebut.

Ingat, janganlah sambutan Aidiladha dijadikan sebagai pesta makan daging sepatutnya penghayatan korban itu yang patut dihayati.

Ini Pembahagian Afdal

Tuan punya korban mengambil sedikit daripada daging korban tadi dan selebihnya disedekahkan. Ini adalah perbuatan Nabi SAW iaitu Nabi mengambil sedikit daripada daging korbannya untuk dimasak dan Nabi memakannya. Jadi disunatkan kepada kita memakan sedikit daripada daging korban tadi untuk mengambil barakah dan mengikut sunnah Nabi SAW.

Bagi Daging Pada Orang Bukan Islam

Para ulama berbeza pandangan ada yang mengharamkannya dan ada yang mengharuskannya. Pada pandangan Mazhab Syafie yang asal, adalah tidak harus memberikan daging korban ataupun akikah kepada yang bukan Islam.

IKLAN

Para ulama sepakat tidak boleh memberi daging korban dan akikah wajib iaitu yang telah dinazarkan kepada yang bukan Islam. Tetapi perbezaan pandangan ulama adalah tentang pemberian korban sunat dan akikah sunat.

Kalau ikutkan di negara kita yang terdiri daripada jiran tetangga dan rakan sepejabat bukan Islam maka kadang kalau jemputan kenduri diberitahu kepada umum maka tentulah mereka akan datang.

Jadi dalam pembahagian daging korban barangkali ia boleh dielakkan tetapi bagaimana kalau daging korban dan akikah tadi dijadikan masakan dan lauk dalam kenduri dan rakan-rakan serta jiran yang bukan Islam datang?

IKLAN

Sebab itulah ada para ulama yang berpandangan hanya daging korban wajib dan akikah wajib saja yang tidak boleh diberikan kepada yang bukan Islam tetapi korban sunat dan akikah sunat harus diberikan kepada yang bukan Islam.

Ada juga pandangan hendaklah diberikan kepada mereka daging daripada hasil lain maksudnya bukan daripada korban tadi. Kalau kenduri hendaklah beli daging lain dan masak dan jemputlah mereka makan daging akikah tadi tetapi tidak dimakan oleh orang bukan Islam.

Bagi penulis pandangan yang mengharuskan memberi daging korban sunat dan akikah sunat boleh diberikan dan dimakan oleh yang bukan Islam adalah amat praktikal diamalkan di Malaysia ini. Janganlah Islam itu dianggap terlalu ketat sehinggakan ada perbezaan dalam pemberian daging.

Orang bukan Islam pun faham bahawa ibadah korban hanya untuk umat Islam dan mereka perlu faham jika mereka tidak mendapat daging korban tadi. Tetapi jika mereka dijemput dalam majlis yang dianjurkan misalnya kenduri akikah maka saya rasa tidak ada masalah kalau mereka memakan daging tersebut sebab itu adalah akikah sunat.

Oleh: Ustaz Azhar Tuarno
(Imam Masjid Negara merangkap Penolong Pengarah Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara Kuala Lumpur)

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI