wanita

Bukan calang-calang penerima Anugerah Hari Orang Kurang Upaya Kebangsaan 2017 bagi kategori Anugerah Majikan Prihatin Sektor Swasta sempena Bulan Kebajikan Negara 2017 yang berlangsung di Pusat Latihan Perindustrian Dan Pemulihan, Bangi semalam.

Penghargaan yang telah disampaikan oleh YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ini telah dianugerahkan kepada Puan Arni Najihah Mea Binti Abdullah, 34, yang merupakan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) berjaya yang juga pemilik Berjaya Reflexology Centre, yang terletak di Kuantan, Pahang.

Ibu kepada tiga orang anak ini, ternyata seorang wanita yang cekal dan kuat semangat.Meskipun buta penglihatan namun hatinya celik dalam urusan perniagaan.Minat mendalam dalam bidang perniagaan mendorong beliau untuk menceburkan diri dalam bidang urutan refleksologi ini.

“Ketika memulakan perniagaan saya baru berumur 22 tahun. Hampir RM10,000 modal permulaan digunakan untuk memulakan perniagaan ini dengan bantuan suami yang merupakan seorang guru di Sekolah Pendidikan Khas dan juga sokongan keluarga,” jelas Arni yang mengalami masalah penglihatan sejak lahir, manakala suaminya Hazizul Md Yusof, 40 memiliki masalah rabun yang teruk.

Miliki 8 Pekerja, Raih Pendapatan RM15,000-RM18,000 Sebulan, Bukti Wanita OKU Juga Mampu Berjaya

Ketika ditanya perasaan terpilih mendapat anugerah ini, Arni berkata;

“Saya rasa gembira dan bersyukur dengan anugerah yang diberikan.Saya tak sangka dan tak terfikir sebenarnya menerima anugerah ini kerana melihat persaingan dan ramai lagi yang layak menerima penghargaan ini.Namun saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Tenaga Kerja Dan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada perniagaan saya,” jelasnya terharu.

IKLAN

Berkongsi pengalaman perjalanan awal perniagaan beliau sehingga mampu bertahan sehingga kini.Menurut Arni, dua tahun pertama perniagaan beliau agak mencabar dan tidak berjaya.Pengalaman pernah ditipu dengan duit palsu,dibayar separuh daripada caj perkhidmatan,mahupun pelanggan melarikan diri antara ‘asam garam’ didalam perniagaannya.

Namun berkat kesabaran dan semangat tidak berputus asa, setelah 5 tahun beroperasi dan perniagaannya semakin stabil, Jabatan Tenaga Kerja turut membantu memberikan suntikan modal RM40,000 untuk membeli kelengkapan dan mengembangkan lagi perniagaan beliau. Lebih istimewa, Puan Arni juga mempunyai 8 orang pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) yang memiliki masalah penglihatan yang teruk. Lima lelaki dan tiga perempuan dikalangan golongan belia berumur 21 sehingga 30 tahun yang mahir dalam urutan kaki dan badan.Setiap pekerjanya merupakan pekerja terlatih, sama ada diberikan latihan sendiri mahupun dihantar mengikuti latihan refleksologi di Malaysian Association for the Blind (MAB) di Brikfields.

Perancangan Masa Depan

Terbaru, setelah 12 tahun terlibat dalam perniagaan refleksologi ini,  Berjaya Reflexology Centre, sekali lagi terpilih dan mendapat suntikan modal RM50,000 daripada Jabatan Tenaga Kerja untuk melakukan ubahsuai pada premisnya bagi meluaskan lagi perniagaan.Bukan itu sahaja, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut memberikan elaun pekerja kepada pekerja-pekerjanya sebanyak RM350 setiap orang setiap sebulan. Bahkan, Puan Arni juga berhasrat menambah lagi perkhidmatan bagi urutan selepas bersalin pula sebagai perancangan masa akan datang.

Hampir 12 tahun melibatkan diri dalam perniagaan refleksologi iaitu pada 2005 sehingga sekarang, Puan Arni kini mampu tersenyum bangga apabila beliau mampu menggajikan 8 orang pekerja yang juga orang kurang upaya di premisnya malah mampu meraih pendapatan kasar lumayan, lebih RM15,000-RM18,000 sebulan!

IKLAN

Syabas dan tahniah. Semoga, pengiktirafan anugerah yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini mampu dijadikan inspirasi buat golongan OKU yang lain, bahawa tiada halangan untuk OKU untuk turut berjaya.

Info Ekstra!
1.Bulan Kebajikan Negara 2017 merupakan sambutan yang mengiktiraf dan menghargai sumbangan kumpulan sasar dan sekaligus memberikan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat menerusi pelbagai Agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

2.Sebanyak 23 anugerah telah diberikan kepada kumpulan sasar KPWKM bagi menghargai pencapaian dan sumbangan mereka dalam pelbagai bidang.

3.Pelbagai aktiviti disediakan pada sambutan tersebut antaranya pameran perkhidmatan, pertandingan nasyid dan bakat JKM, perkongsian ilmu serta Dialog TN50 bersama Warga Emas, Orang Kurang Upaya dan Sukarelawan.

IKLAN

4.Bagi memastikan negara bersedia menghadapi status negara tua menjelang tahun 2030 apabila penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas mencapai 15% daripada jumlah penduduk di Malaysia, portal Beautiful Life For Seniors (BLFS) turut dilancarkan bagi memberi hebahan dan perkongsian maklumat kepada warga emas termasuk penyertaan di dalam pelbagai aktiviti termasuk kesukarelawanan dan kemasyarakatan di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru (NBOS).

 

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI