Untitled design (25)

Wanita yang bertemu jodoh dengan duda sepatutnya sudah bersedia untuk menerima kehadiran anak-anak tiri. Namun apakah mereka benar-benar ikhlas menerima dan tidak pernah melarang hak anak itu?

Nak Kurangkan Nafkah Anak Tiri

Seorang klien mengemukakan soalan: “Kak Su, boleh tak kalau saya nak suruh suami kurangkan jumlah nafkah bulanan kat anak-anak dia dengan bekas isteri? Dia bayar RM500 untuk dua anak kat sana. Gaji dia tak lah besar. Sekarang ni pun saya kena tolong dia..”

Saya tak tanya berapa umur anak-anak suaminya tapi dengan jumlah RM500 untuk dua orang anak, saya yakin sangat, bekas isteri kepada suami klien saya ini juga perlu menampung perbelanjaan keperluan anak-anak mereka tersebut. Nak kurangkan lagi? Sungguh tak wajarlah kan…

Lagi artikel di sini

https://mingguanwanita.my/panjaram-pandan-tak-kurang-sedapnya-ikut-resipi-mudah-ini-gerenti-jadi-1/

Tergugat ‘Bunga Cinta’ Janda Dan Duda, Gara-gara Godaan Isteri Orang

Wanita Kena Faham Hukum Syarak

Bukan saja tak wajar menurut akal malah hukum syarak menentukan, seorang lelaki perlu mengutamakan keperluan anak atau anak-anak berbanding isteri walau pun isteri dalam perkahwinan yang baru.

Menurut hadis riwayat Abu Daud, telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w bertanyakan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya di sisiku satu dinar, aku suka untuk membelanjakannya. Kepada siapakah perlu aku berikan?” Jawab Rasulullah s.a.w: “Belanjakanlah untuk dirimu..”

Lelaki itu bertanya lagi: “Jika aku ada wang dinar lagi?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Belanjakan wang tersebut untuk anakmu.”

Lelaki itu bertanya lagi: “Jika ada lagi wahai Rasulullah s.a.w?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Belanjakan untuk isterimu..”

Lelaki itu bertanya lagi: “Jika aku ada wang dinar lagi?”
Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Belanjakan untuk khadammu.”

Tanya lelaki itu lagi: “Jika aku ada lebihan lagi?” Jawab baginda Rasulullah s.a.w: “Engkau lebih mengetahui tentang orang yang berhak menerima sedekah di kalangan kaum kerabatmu dan jiranmu dan juga sahabat-sahabatmu.”

Wanita Kena Ikut Keutamaan

Berdasarkan hadis disebut, jelas dan nyata bahawa apabila seorang lelaki mendapat perolehan sama ada gaji atau keuntungan jualan, dia perlu gunakan untuk keperluan dirinya dahulu merangkumi keperluan untuk ulang alik bekerja, keperluan makan minum dan keperluan berkaitan yang tidak sampai memudaratkan dirinya hingga menghalang dirinya daripada terus bekerja.

Tak Ada Hak

Selepas ditolak segala kos bagi keperluan tersebut, dia perlu mengutamakan perbelanjaan bagi keperluan anak atau anak-anaknya terlebih dahulu. Termasuklah anak atau anak-anak yang berada di dalam jagaan bekas isterinya.

Isteri baru apatah lagi bakal isteri sama sekali tidak berhak untuk mengarahkan suami atau bakal suami mengurangkan atau tidak menafkahi langsung anak atau anak-anak hasil perkahwinan si lelaki sebelum ini. Jika anda menghalang atau melarang bermaksud anda menafikan hak yang wajar buat seorang anak, bererti anda menganiayai anak tersebut.

Wanita Kahwin Duda, Jangan Halang Hak Nafkah Anak TiriBukan Miliknya Saja

Lantaran, panduan kepada wanita yang bakal menikahi lelaki berstatus duda dan mempunyai anak, wanita itu jangan berharap pendapatan bakal suami anda itu nanti adalah milik anda sahaja.

Anak atau anak-anak bakal suami anda lebih berhak ke atas pendapatan bakal suami anda. Seandainya anda masih juga mahu berkahwin dengan si duda mempunyai anak, anda perlu faham tanggungjawabnya sebagai seorang ayah merangkumi pemberian nafkah dan juga lawatan.

Langkah yang boleh diambil adalah dengan meminta bakal suami atau suami anda tersebut berusaha untuk menambah pendapatannya sebagai melaksanakan tanggungjawab yang perlu kepada anak-anak sebelum ini dan juga kepada anda dan mungkin anak anda bersamanya.

Pesan Suami…

Anda boleh membantu tapi masih perlu bersuara agar suami berusaha sedaya upaya untuk laksanakan tanggungjawabnya. Kemampuan yang menjadi syarat kewajipan suami dalam melaksanakan tanggungjawab nafkah dijelaskan oleh ulama sebagai perlu berusaha sedaya upaya tanpa menganiayai diri. Bukan sekadar melepaskan batok di tangga.

Buat para isteri yang membantu suami, tak kiralah sebab suami ada tanggungjawab kepada anak hasil perkahwinan sebelum ini atau disebabkan suami kurang berkemampuan, saya mohon agar anda catatkan setiap bantuan yang anda hulurkan. Sebaiknya juga disimpan bukti transaksi, jangan bagi secara tunai, payah nak dibuktikan di belakang hari.

Bukan mengharap yang tak baik tapi tak salah untuk bersedia menghadapi apa jua kemungkinan. Orang tua-tua pun pesan, sediakan payung sebelum hujan!

Sumber: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup dalam Majalah Mingguan Wanita.

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI