Setiap orang diberi ujian hidup yang berbeza-beza. Mungkin rezekinya, hidup senang, kaya raya dan bahagia. Ada pula diberi ujian dengan kehidupan yang susah, kais pagi makan pagi. Tak kurang juga diberi ujian dengan kesihatan yang tidak baik dan sebagainya. Semuanya berbeza dan tidak sama setiap orang.
Namun, tak perlulah menyesal atau sedih sebabnya semua ini adalah daripadaNya untuk melihat ketabahan dan ketenangan dalam menerima ujian ini. Semuanya telah diatur olehNya. Cuma, kita kena terima dengan redha.
Perkongsian daripada Imam Muda Hassan memberi panduan untuk kita dalam menerima ujian yang diberikan Olehnya. Kita kena redha dan anggap ini sebagai satu rahmat daripadaNya.
Waktu umur 20 hingga 29 tahun, waktu ini kita sibuk belajar, sibuk nak cari jodoh, kalau dah berkahwin baru merasa menimang cahaya mata. Waktu usia ni banyak yang enjoy, menikmati kehidupan. Baru nak merasa nak ada rumah, nak ada kereta sendiri.
Bila memasuki usia 30-an, ujian berat mula menerpa, anak makin dewasa macam-macam perangai, gaji semakin besar dah sibuk dengan kerjaya sampai tak ada masa dengan family.
Ada yang dibuang kerja sebab tak perform. Hidup mula tertekan sebab anak nak sekolah, nak bayar duit ansuran rumah dan macam-macam hal:
1. Kereta mula meragam
2. Rumah mula nak bocor sana sini
3. Yuran sekolah anak makin naik
4. Mula banyak orang benci kita
5. Hubungan dengan mertua
6. Isteri mula merungut tak cukup makan
7. Suami stress gaji kena potong
8. Rumah tangga mula goyang
9. Badan mula sakit sana sakit sini
10. Badan dah tak fit
11. Bawa kereta cepat mengantuk
12. Hutang keliling pinggang
13. Ah Long mula kejar
14. Hubungan adik-beradik mula renggang
Cukuplah tu, nak disenaraikan tak habis cerita.
Ads
Sebab Apa?
Kenapa sebelum umur 40 macam-macam ujian kena tempuh ya?
Sebenarnya Al-Quran dan Hadith dan menjawab soalan ni. Ini adalah fasa Tarbiah Allah pada hambaNya supaya kuat rohani untuk menempuh hidup pada usia 40 tahun. Ujian tu sebab ALLAH SAYANG, supaya kita menang untuk menempuh usia 40 tahun.
Lihat surah Al-Ahqaf ayat 15. Ayat ini menjelaskan umur 40 tahun iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Ini adalah umur di mana Nabi SAW diangkat menjadi Rasul.
Ads
Ibn Abbas r.a. meriwayatkan, “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”
Jadi memang sungguh ALLAH SAYANGKAN kita, Dia tak nak kita kalah dengan ujian supaya kita tak diheret ke Neraka, wal’iyazubillah min zalik.
Pandanglah ujian itu sebagai Rahmat dan Kasih Sayang Allah pada kita, sebab Dia nak bagi kita Syurga.
Bertenanglah wahai jiwa yang diuji!
MW: Redha dan tenang sebab Dia lebih tahu segalanya.
Setiap umat Islam pasti berhajat untuk jadi tetamu Allah suatu hari nanti. Tak dapat bayangkan betapa syukur dan seronoknya bila dijemput untuk tunaikan haji. Itu rezeki yang paling istimewa.
Namun, jika belum rezeki dan tidak terpanggil untuk jadi tetamu Allah, jangan sedih. Ada cara yang boleh kita lakukan. Inilah yang dikongsikan oleh Ustazah Asma’ Harun.
Seseorang yang telah bersungguh-sungguh melakukan persediaan dan menanam azam yang tinggi untuk jadi tetamu Allah namun tidak dipanggil menjadi tetamu-Nya, sesungguhnya Allah SWT menerima niat mereka untuk melaksanakannya dengan ganjaran pahala yang sempurna
Di dalam satu hadis qudsi, ada menyebutkan bahawa Allah SWT telah berfirman:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka siapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat untuk berbuat kebaikan lalu ia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika ia berniat melakukan kejahatan, tetapi ia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika ia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan”
(HR Bukhari & Muslim, hadis sahih)
SubhanAllah, mudahnya Allah SWT nak berikan kita pahala, hanya dengan niat melakukan kebaikan sudah diberikan ganjaran. Tak semua yang kita hajatkan itu baik untuk kita, namun akhirnya takdir Allah jualah yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Firman Allah SWT: وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ Maksudnya: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah Al Baqarah: 216)
Benarlah, kita hanya mampu merancang, tapi Allah yang menentukan segalanya. Berbaik sangkalah kepada-NYA. Pasti ada hikmah di sebaliknya.
Amalan Umpama Pahala Haji
Walaupun tak dapat ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, tapi sebenarnya ada banyak amalan yang ganjarannya umpama pahala haji yang boleh kita lakukan. Antaranya adalah:
1. SOLAT SUBUH BERJEMAAH
Daripada Anas bin Malik beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Siapa yang solat subuh berjamaah kemudian duduk berzikir sehingga matahari terbit kemudian diikuti dengan solat dua rakaat, maka dia mendapatkan pahala seperti pahala haji dan umrah.” Beliau (Anas r.a.) berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sempurna, sempurna, sempurna.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)
Maksudnya: “Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad SAW berkata: “Aku ingin berjihad tetapi aku tidak mampu.” Baginda SAW bertanya kembali: “Adakah ibu bapamu masih hidup?” Lelaki itu berkata: “Ya, ibuku.” Lalu, baginda SAW berkata: “Berbuat baiklah kepada ibumu kerana ALLAH, engkau akan dapat pahala haji, umrah dan jihad jika ibumu redha kepadamu. Bertakwalah kepada Allah dan berbuat baiklah kepadanya.”
(HR at-Tabrani, hadis hasan)
3. MENGHADIRI MAJLIS ILMU DI MASJID
Daripada Abu Umamah r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ لَا يُرِيدُ إِلَّا أَنْ يَتَعَلَّمَ خَيْرًا أَوْ يَعْلَمَهُ، كَانَ لَهُ كَأَجْرِ حَاجٍّ تَامًّا حِجَّتُهُ
Maksudnya: “Siapa yang pergi ke masjid dengan tujuan untuk mempelajari sesuatu kebaikan atau mengajarkannya, maka baginya pahala seperti orang yang menunaikan haji dengan sempurna.”
(HR al-Thabrani di dalam al-Mu’jam al-Kabir, hadis sahih)
4. MEMBACA UCAPAN TAHMID, TAKBIR DAN TASBIH SELEPAS SOLAT FARDHU
Maksudnya: “Pernah datang sahabat yang miskin kepada Nabi SAW lalu berkata, “Orang-orang kaya, dengan harta benda mereka itu, mereka mendapat kedudukan yang tinggi, juga kenikmatan yang abadi. Mereka melaksanakan solat seperti juga kami melaksanakan solat, mereka puasa sebagaimana kami juga puasa. Namun, mereka memiliki kelebihan disebabkan harta mereka, sehingga mereka dapat menunaikan ibadah haji dengan harta tersebut, dapat melaksanakan umrah bahkan dapat berjihad dan bersedekah.” Maka Rasulullah pun bersabda: “Mahukah aku sampaikan kepada kamu sesuatu yang apabila kamu ambil (sebagai amal ibadah) kamu akan dapat mengatasi (darjat) orang yang sudah mengalahkanmu. Dan tidak akan ada yang dapat mengalahkanmu dengan amal ini sehingga kamu menjadi yang terbaik di antara kamu dan di tengah-tengah mereka, kecuali apabila ada orang yang mengerjakan seperti yang kamu amalkan ini. Iaitu kamu membaca tasbih (Subhanallah), membaca tahmid (Alhamdulillah) dan membaca takbir (Allahu Akbar) setiap selesai solat sebanyak tiga puluh tiga kali.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
5. SOLAT FARDHU JEMAAH DI MASJID
Daripada Abu Umamah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang keluar dari rumah dalam keadaan suci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti menunaikan haji.”
(HR Abu Daud, hadis hasan)
Semoga dengan melakukan amalan ini dapat memberikan ganjaran serta memujuk hati para jemaah yang telah bersedia menunaikan haji namun tidak direzekikan untuk menjadi tetamu Allah SWT pada tahun ini.
Mingguan Wanita : Sentiasa pasanga niat moga suatu hari mampu jejakkan kaki ke rumah Allah. Aamiin.
Tahun ini, bermulanya 18 Mac 2020 kita melalui fasa yang tak pernah terjangka dalam fikiran kita. Kehidupan kita berubah 180 darjah. Saya juga tidak terlepas daripada melalui fasa tersebut.
Tahun Ini Banyak Belajar Hal Baru
Jika sebelum ini saya tidak memberatkan hal-hal online tetapi kini saya sangat sedar bahawa ianya satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan. Tempoh berkhalwat dalam rumah yang dikurniakan Allah SWT saya gunakan sepenuhnya untuk mempelajari hal-hal baru dalam menempuh kehidupan yang mendatang.
Pada awal tahun ini saya telah diajak oleh seorang teman untuk menyertai satu perniagaan pendidikan. Katanya tahun 2020 ini adalah tahun pendidikan. Tahun yang mana mereka yang berada dalam industri pendidikan akan mengaut keuntungan yang banyak.
Katanya lagi, sangat rugi orang seperti saya mengabaikan peluang yang datang entah berapa tahun sekali. Saya tidak menyatakan apa-apa persetujuan dan tidak juga memberi sebarang komen tentang perniagaan yang diceritakan itu. Dalam banyak hal saya lebih senang untuk mendiamkan diri dari memberi pandangan tanpa diminta.
Tahun Penuh Dugaan
Dua minggu selepas PKPP diumumkan, beliau kembali menghubungi saya. Namun kali ini nadanya sangat berbeza. Katanya beliau telah meletakkan modal yang tinggi demi memastikan keuntungan yang lumayan dalam perniagaan yang pernah disarankan kepada saya.
Beliau tidak pernah menjangkakan PKP akan berlaku hingga menyebabkan semuanya rancangannya terencat. Justeru, sekarang beliau sedang mencari-cari peluang baru yang dapat menebus kembali kerugian yang ditanggungnya sejak beberapa bulan yang lalu. Sesuatu yang menarik dari semua kata-katanya ialah “untung tuan tak masuk, kalau tidak jadi macam saya.”
Masih Beruntung
Benar, mungkin saya beruntung.Tetapi dia juga masih beruntung kerana masih boleh meneruskan kehidupan. Ramai teman-teman saya yang berniaga bukan sahaja berkeluh kesah tetapi ada yang menangis memikirkan perniagaan yang tidak berupaya untuk bergerak ke hadapan walau seinci.
Sewaktu orang bercerita tentang tahun Pendidikan dan pentingnya untuk berada dalam industi pendidikan pada tahun ini, saya berkongsi pemahaman saya terhadap tafsiran angka dan tahun yang saya pelajari sejak tahun 2004.
Pada saya numerologi tetap mempunyai angka yang sama, 0 hingga 9. Apa yang membezakan bukanlah formula kiraannya tetapi tafsirannya.Setiap ilmu itu bergantung orang yang menfsirkan dan orang mengamalkan. Jika tafsirannya kurang tepat makan amalannya juga akan kurang efektif.
Tahun 2020 ini adalah tahun pendidikan yang perlu kita lalui. Kita akan diberi didikan oleh Allah SWT. Mahu tidak mahu kita perlu melalui semuanya. Sama seperti saya, biarpun sebelum ini saya tahu pentingnya hal-hal online tetapi saya tidak memberatkannya.
Nah, apabila datang didikan dari Allah SWT, saya tiada alasan lagi. Saya perlu melalui fasa pembelajaran ini. Saya pernah memberitahu seorang sahabat saya sewaktu kami berbual di telefon mengisi waktu terluang semasa PKP. Saya katakan padanya inilah waktu yang terbaik untuk mengubah diri. Inilah waktu terbaik untuk mendisiplinkan masyarakat.
Tahun Penuh Perubahan
Hasil dari PKP, kita dapat melihat perubahan disiplin pada masyarakat. Biarpun segelintir dari masyarakat masih cuba melanggar peraturan yang ditetapkan tetapi pada saya tiada apa pun dalam dunia yang sempurna 100%. Jika wujud kesempurnaan itu maka kita tidak memerlukan undang-undang dan penjara.
Biarpun kini kita sudah melepasi fasa PKPP, kita perlu sentiasa mengekalkan disiplin yang ada. Biar kita hidup seperti zaman ayah dan ibu kita. Hidup di zaman mereka tiada banyak tekanan kerana kita tidak terlalu sibuk mengejar hal-hal dunia. Kedai-kedai dahulu semuanya mula tutup jam 10 malam. Rancangan televisyen juga akan berakhir selepas berita tengah malam. Mereka hidup sihat,berfikiran positif dan sentiasa berdisiplin menghadapi hari esoknya.
Didikan Untuk Dekatkan Diri Pada-Nya
Kini kita kembali ke zaman itu. Aktiviti selepas jam 12 malam tidak lagi seperti dahulu. Masuk sahaja jam 11 malam masing-masing sudah mula sibuk untuk pulang ke sangkar. Kita sentiasa ada masa yang berkualiti untuk bersama keluarga. Ketakutan kita pada musuh yang tidak nampak mengubah hubungan kita dengan Allah SWT.
Akhirnya kita semakin rapat dengan Allah SWT. Kita semakin ingat dengan Allah SWT dan kita semakin patuh segala suruhan-Nya. Bukankah ini satu didikan. Manusia adalah makhluk yang degil. Makanya didikan itu tidak boleh sehari dua atau seminggu dua mahupun sebulan dua.
Kita perlu dididik untuk masa yang panjang agar kita sentiasa ingat dan patuh kepada jalan yang telah ditunjukkan oleh para rasul. Kita memang perlu dididik kerana kita sudah mula lupa jalan untuk pulang biarpun kita selalu bercerita tentangnya. Semoga kita berhasil menjadi hamba yang taat dan dicintai Allah SWT.
Artikel: Dato’ Dr. Azhar Haji Surip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP, USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak-anak memang digalakkan pergi ke masjid mahupun surau, untuk membiasakan diri solat secara berjemaah. Namun demikian, dilema bagi mak ayah yang ada anak-anak kecil terutama belum baligh, dari segi kedudukan saf. Seringkali, anak-anak ini ‘dihalau’, ‘dihalang’ solat atau berada pada saf orang dewasa, kerana dianggap nanti putus saf, batal solat mahupun tak dapat pahala berjemaah.
Namun hakikatnya, TIADA DALIL yang mengatakan putus saf kalau kanak-kanak ada dan solat di saf orang dewasa. Hukum berkaitan perkara ini ada dijelaskan oleh PU Azman didalam laman instagramnya baru-baru ini.
Berikut perkongsian tersebut sebagai rujukan;
TIDAK ADA dalil langsung mengatakan putus saf kalau kanak-kanak ada di saf orang dewasa. Samada mereka sudah baligh atau belum baligh. .
Tetapi memang ada dalil tentang siapa yang perlu diutamakan untuk saf paling depan. Iaitu orang yang berakal dan berilmu.
Maksud :“Hendaklah yang dewasa dan berakal paling dekat denganku. Kemudian diikuti orang-orang berikutnya (tiga kali)”. (Muslim).
Tapi itu tidak bermakna kanak-kanak dilarang untuk berada saf bersama orang dewasa. Apatah lagi kalau di saf dewasa itu ada kekosongan.
Kalau terdapat ramai dewasa dan ramai kanak-kanak, maka dewasa saf depan, dan kanak-kanak saf belakang. Susun mereka dengan rahmat. Jangan diherdik dan dihalau.
Kalau kanak-kanak datang dahulu dan memilih saf depan, maka tak wajar mereka ditolak ke belakang. Hal ini semua adalah stategi dakwah dan pendidikan agar mereka lunak dengan masjid dan tak terasa hati.
Pandangan Ulama Mazhab Syafie
MAZHAB SYAFIE sendiri ada di kalangan ulamanya yang bersetuju bahawa kanak-kanak diletakkan di kalangan orang dewasa sebagai pendidikan.
Ibu bapa atau penjaga mesti bertanggungjawab untuk mengawal kanak-kanak agar tidak berlaku gangguan yang dahsyat. Mereka sendiri memilih untuk membawa anak-anak mereka ke masjid berdasarkan keaktifan anak-anak yang mungkin memberi risiko kepada jemaah.
Jadi tidak putus saf dan tak batal solat makmum kalau di celah-celah makmum dewasa ada kanak-kanak samada dah khatan atau belum, dah baligh atau belum.
Kesimpulannya, kalau ada dalam satu saf itu imam, dua kanak-kanak dan bilal, maka tak putus saf.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat, memberi pencerahan buat mak ayah yang dalam dilema nak bawa anak-anak kecil solat jemaah di masjid atau surau. Jadi tak perlu lagi risau, tak putus saf dan tak batal solat makmum kalau di celah-celah makmum dewasa ada kanak-kanak.
Bayi 3 bulan maut dipercayai tertindih lengan bapa yang tidak bernyawa. Allahu isteri mana tidak sedih apabila mendapati bayi bongsu dan suaminya telah meninggal...