
Tiga beranak maut nahas LPT1, sempat sambut Hari Kebangsaan bersama sebelum tragedi.
Tiada siapa pernah bersedia kehilangan seluruh keluarga dalam sekelip mata. Lebih memilukan apabila suami isteri bersama anak lelaki mereka yang baru berusia empat tahun pergi serentak dalam tragedi kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Temerloh, Pahang.
Muhammad Nazatul Nazmi, 32, isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32 serta anak lelaki mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas Proton S70 yang dinaiki terlibat dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.4 LPT1 dalam kejadian jam 10 malam tadi sekaligus mengakibatkan kesesakan luar biasa di lokasi terlibat.

Lebih meruntun hati, hanya beberapa jam sebelum tragedi, tiga beranak itu masih sempat meluangkan masa bersama dengan menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya.
Nur Atiqah turut berkongsi momen anaknya yang dikenali sebagai Armaan, begitu ceria menikmati suasana sambutan sambil memegang Jalur Gemilang di instastoriesnya.
“Wait till you have kid when they say. Armaan happy lah mummy hari ni (Armaan suka hari ni),” tulis Nur Atiqah menerusi perkongsian tersebut.

Allahyarham juga sempat merakam foto bersama suami dan anaknya di kawasan tempat letak kereta selepas sambutan berkenaan.

Siapa menyangka, kegembiraan sebuah keluarga menyambut Hari Kebangsaan itu menjadi antara kenangan terakhir mereka bertiga. Dalam perjalanan pulang, keluarga kecil berkenaan terlibat dalam nahas di LPT1 yang meragut nyawa kesemuanya.
Tiga Beranak Maut Nahas LPT1, Sahabat Luah Rasa Tak Percaya
Tragedi tiga beranak maut nahas LPT1 ini turut mengejutkan Syazana Sharif, sahabat Nur Atiqah yang pernah menjadi teman sebilik, teman serumah dan rakan sekelas Allahyarham.
Menerusi Threads, Syazana meluahkan rasa terkejut sebaik mengetahui berita mengenai sahabatnya itu.
“Ya Allah sumpah tak boleh brain, baru tahu kawan aku meninggal. Ya Allah, suami isteri dengan anak sekali. Astaghfirullah tak sangkanya.
“Semalam pergi tengok perarakan dekat Dataran. Otw balik accident. My roommate, my housemate, classmate,” tulisnya.
Luahan tersebut bukan sahaja menggambarkan betapa dekat hubungan mereka, malah menjadi antara perkongsian yang memperlihatkan sisi peribadi Nur Atiqah di mata seorang sahabat yang pernah melalui banyak fasa kehidupan bersamanya.
“Insya-Allah Panjang Umur Akan Ku Usahakan Datang”
Satu lagi perkongsian Syazana menyentuh hati apabila dia memuat naik tangkap layar perbualan mereka mengenai majlis perkahwinannya yang dirancang pada 5 Jun 2027.
Dalam perbualan itu, Syazana berseloroh meminta Nur Atiqah hadir ke majlis tersebut dan sempat mengusiknya supaya datang untuk berjoget Hindustan.
Nur Atiqah kemudian membalas,
“Insya-Allah panjang umur akan ku usahakan datang.”
Ungkapan yang pada ketika itu sekadar jawapan antara dua sahabat kini membawa makna berbeza apabila hasrat mereka untuk bertemu pada hari bahagia tersebut tidak kesampaian.
Anda mungkin berminat dengan

Nahas 11 Kenderaan Ragut Empat Nyawa
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, seorang lagi mangsa yang maut ialah Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor, yang menaiki Honda CR-V.
Menurutnya, polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira jam 10.55 malam.
Nahas berkenaan membabitkan sebuah lori tangki membawa muatan simen, sebuah bas dan sembilan kereta yang kesemuanya dalam perjalanan menghala ke arah timur.
Antara kenderaan yang terbabit ialah Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CR-V, dua Proton Saga, dua Perodua Myvi, Perodua Aruz serta Proton S70. Empat mangsa disahkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Nur Atiqah turut dilaporkan merupakan pemilik Secangkir Cafe di Sungai Karang, Pahang.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh ketiga-tiga Allahyarham dan memberikan kekuatan kepada ahli keluarga serta sahabat yang ditinggalkan.

download sekarang!
