Bunga cengkih adalah salah satu rempah-ratus yang sering digunakan dalam masakan dan perubatan tradisional. Dikenali dengan nama saintifiknya Eugenia aromatica, bunga cengkih banyak ditanam di Asia dan Amerika Selatan.

Keseluruhan bahagian pokok ini sangat beraroma. Biasanya ia digunakan bagi dua tujuan iaitu dalam masakan dan perubatan terutamanya perubatan tradisional Cina dan Ayurveda.

Tunas pokok akan dipetik dan dikeringkan sebelum mekar. Dan daripada bijinya ini minyak akan diekstrak. Minyak cengkih tulen adalah eugenol.

Dikatakan hanya satu sudu teh bunga cengkih mengandungi sejumlah mangan, serat, vitamin C dan K. Mangan penting untuk merangsang fungsi otak dan membantu membina tulang. Manakala vitamin C, dan vitamin K merangsang kekebalan dan mencegah pembekuan darah. Vitamin K juga amat penting untuk kesihatan tulang.

Banyak khasiat dan kebaikan bunga cengkih.

Cengkih Bukan Sekadar Ubat Sakit Gigi,  Banyak Lagi Khasiat Perubatannya
.

IKLAN

1-Melawan Keradangan

Eugenol dalam bunga cengkih dikatakan mampu bertindak sebagai agen anti keradangan hebat. Disebabkan itu jugalah bunga cengkih digunakan untuk melawan keradangan pada mulut dan tekak. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh University of Florida, subjek yang mengambil bunga cengkih setiap hari dikatakan mampu mengurangkan tahap prakeradangan cytokine dalam masa tujuh hari. Merendahkan cytokines dikatakan mampu mengurangkan kemungkinan mendapat arthritis dan sakit sendi. Dalam jangka panjang, keradangan boleh membawa kepada arthritis dan dengan mengambil bunga cengkih dikatakan mampu mencegahnya.

2-Membantu Dalam Merawat Diabetes

Bunga cengkih dikatakan mengandungi sebatian yang dikenali sebagai nigericin yang dikatakan mampu memperbaik rembesan insulin dan sel-sel sihat yang menghasilkan insulin. Ini bermakna jika mengambil bunga cengkih sebagai sebahagian dalam pemakanan yang seimbang boleh memastikan tahap gula dalam darah terkawal.

3-Merangsang Kesihatan Pencernaan

Dikatakan sebatian tertentu dalam bunga cengkih mampu mengurangkan ulser perut. Ini kerana minyak daripada bunga cengkih boleh meningkatkan kepekatan mukus gastrik dan sekaligus melindungi lapisan dalam perut dan mencegah ulser peptik. Serat dalam bunga cengkih juga dikatakan mampu membantu pencernaan dan mencegah sembelit.

IKLAN

4-Memperbaik Kesihatan Pernafasan

Minyak bunga cengkih dikatakan boleh digunakan untuk merawat bronkitis, asma dan masalah pernafasan seperti batuk dan selesema. Minyak ini dikatakan mampu melegakan saluran pernafasan kerana ia turut ada kesan antikeradangan. Anda boleh menggosokkan dan menyapu minyak ini pada dada dan bawah hidung bagi membuka laluan pernafasan dan untuk melegakan masalah pernafasan. Selain itu, anda juga menambah beberapa titis minyak bunga cengkih dalam segelas air panas. Minumlah air ini sebagai ubat melegakan masalah pernafasan. Mengunyah putik bunga cengkih juga dikatakan boleh melegakan sakit tekak dan juga membantu merawat selesema dan batuk.

5-Merangsang Peredaran Darah

Terdapat kajian terhadap kesan minyak bunga cengkih terhadap metabolisma tubuh dan mengurangkan suhu tubuh dan mempertingkatkan peredaran. Antioksidan yang terdapat dalam bunga cengkih juga dikatakan mampu membantu dalam membersihkan darah.

6-Melegakan Stres

Dikatakan jika anda menggosok dan menyapu minyak bunga cengkih pada tubuh mampu membantu melegakan stres.

IKLAN

7-Memperbaik Kesihatan Mulut

Eugenol yang terdapat di dalam bunga cengkih dikatakan mampu memberi kelegaan. Ini kerana minyak ini bersifat anesthetik dan mengandungi sifat antibakteria yang sekaligus mampu membantu anda melegakan kesakitan. Salah satu cara untuk mengurangkan sakit gigi adalah meletakkan beberapa biji bunga cengkih dalam mulut dan lembabkannya dengan air liur. Selepas itu anda boleh mengunyah bunga cengkih itu. Minyak yang dilepaskan daripada bunga cengkih itu mampu melawan rasa sakit. Anda boleh membiarkan bunga cengkih ini dalam mulut anda selama 30 minit. Boleh ulang proses yang yang sama jika gigi masih sakit. Bunga cengkih juga dikatakan mampu melawan bau mulut busuk.

8-Melawan Sakit Kepala

Sifat menyejuk dan melegakan kesakitan dalam bunga cengkih amat berguna kepada mereka yang sering sakit kepala. Anda boleh menghancurkan beberapa biji bunga cngkih dan letakkan ia di dalam sapu tangan yang bersih. Hidu bau bunga cengkih ini setiap kali anda mengalami sakit kepala.

9-Merawat Masalah Akne Atau Jerawat

Sifat antibakteria dan antikulat dalam bunga cengkih dikatakan mampu memberikan kesan dalam merawat akne dan memperbaik kesihatan kulit. Eugenol dalam bunga cengkih mampu membunuh jangkitan dan melawan keradangan sekaligus berkesan merawat akne.

.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI