Dalam hidup ini, pasti kita tertanya-tanya kenapa kita tidak diberi sama seperti orang lain yang nampak cukup senang dengan kehidupannya. Malah, kita sering nak bandingkan dengan orang lain apa yang dia ada.
Kalau kita selalu bandingkan dengan orang lain, memang hidup kita tak akan tenang. Mulalah timbul perasan dengki, cemburu dan iri hati. Tak kiralah tentang pekerjaan, duit, rumah tangga mahupun kehidupan mereka.
Cuma satu yang boleh kita hidup tenang tanpa ada perasaan ini adalah dengan memikirkan rezeki yang Allah bagi tidak sama pada semua orang. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Mungkin, kita kurang di sini tetapi ada kelebihan lain di sana. Percayalah.
Perkongsian daripada Khairul Hakimin Muhammad ini ada benarnya, tak perlu rasa semburu atau iri hati dengan apa yang orang ada.
Berhenti bandingkan orang boleh beli rumah awal, berhenti bezakan diri orang muda boleh beli kereta sedap. Tak semua orang tanggungjawabnya sama. Ada orang umur 17 sudah menjaga ibu, ada orang umur 20 sudah diminta bernikah dan jaga mentua.
Rezeki kita tak sama. Boleh jadi kita kahwin awal, boleh jadi kita dapat anak awal. Mungkin boleh jadi rezeki kita dapat keluarga yang saling tanya khabar hari-hari, rezeki kita dapat cium tangan emak juga hari-hari.
Kita boleh fikir nak jadi seperti itu seperti ini, tak pernah jadi masalah untuk ada cita-cita. Namun bersyukur dengan rezeki yang ada itu akan menambah lagi rezeki kita.
Kadang kita tak nampak kita ada anak berderet, walau hanya ada Myvi belum habis bayar, kita ada isteri yang bijak jaga anak. Yang kita pandang orang itu ada Honda baru sedang dia dah kahwin 10 tahun belum punya zuriat.
Ads
Kawan-kawan, yang mengatur rezeki inikan Allah. Kita ini hamba yang suka meminta.
Kadang kita lupa, nak memohon itu ini kita tak tengok diri kita punya apa. Lalu kita beriya nak apa yang kita sendiri tak boleh nak jaga. Kita tak perasan begitu begini. Jadi Allah tak beri sekarang boleh jadi ajar dulu dengan ujian badai sampai berjaya harung baru boleh terima.
Yang penting kita tahu hidup kita bagaimana. Ada orang dia mewah dengan ibadah. Lapangnya masa dapat duduk di sejadah. Namun itu sahaja sekeping kain yang dia ada.
Ada orang sibuknya melayan keluarga sampai lupa diri sendiri sudah berusia, belum nikah belum juga pernah ada dalam kepala mahu hidup berdua.
Ads
Kita tak sama dan tak pernah sama.
Yang kita ada sekarang adalah cinta yang Allah beri dalam banyaknya cara. Lalu Allah suruh kita bersyukur. Momen itu adalah untuk kita fikir, masukkan dalam kepala yang kita sudah cukup. Jika belum, minta bukan untuk diri kita sahaja. Ia mesti untuk sekeliling supaya yang sikit dikongsi, yang banyak diagih kanan kiri.
Begitulah.
MW: Hidup kita nie tak akan dapat memuaskan hati orang dan kita sendiri pun tak akan puas dengan apa yang ada. Bersyukurlah.
Berjemaah menuju kecemerlangan hidup sama ada di dunia mahu pun akhirat. Dalam menjalani kehidupan harian, individu perlu ada niat dan usaha untuk hidup secara berjemaah.
Walau wujud pelbagai watak atau personaliti manusia yang berbeza, ia tidak sepatutnya menghalang budaya hidup sebegini berkembang secara positif di persekitaran hidup ini.
Individu ingin membudayakan suatu amal mulia yang penuh dengan hikmah demi mencari kecemerlangan hidup duniawi dan ukhrawi.
Allah Ada Sebut
Allah SWT sebagai pemilik dan penguasa alam ini, yang mampu mengurus semua hal makhluk-Nya, namun Dia masih menyebutkan usaha-usaha hidup secara berjemaah yang dilakukan bersama-sama para malaikat dalam mengurus kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
Sebagai bukti, dalam al-Quran Allah SWT menggunakan kata ganti nama “Kami” (gabungan diri-Nya dan para malaikat) sebagai gambaran tentang usaha-usaha secara berjemaah yang berlaku di alam ghaib tersebut.
Begitu juga bila kita kembali kepada sirah Rasulullah s.a.w, budaya hidup sebegini terbukti menjadi penyumbang besar kepada kejayaan dakwah Islam. Para pengikut baginda diberi gelaran “Muhajirin” (orang-orang yang berhijrah) dan “Ansar” (orang-orang yang menolong) oleh Allah SWT sebagai pengiktirafan di atas sumbangan mereka membantu dakwah Rasulullah SAW secara berjemaah serta istiqamah.
Saling Bantu Membantu
Bila kehidupan secara berjemaah ini begitu besar pengaruhnya maka sudah tentu ia menjadi prasyarat penting dalam usaha dan ikhtiar ke arah kecemerlangan hidup. Maksudnya, dalam apa juga kehidupan yang individu lalui maka fikirkan tentang berjemaah, perlu melibatkan orang lain bersama kita. Tidak boleh bersendiri atau secara solo.
Dalam urusan kerjaya atau bisnes misalnya, berjemaah itu sangat penting. Kekurangan individu boleh dibantu oleh kelebihan individu lain.
Ruang Penyelesaian Boleh Diteroka
Dalam situasi lain, individu yang dilanda tekanan hidup hingga sukar keluar daripada belenggu hidup yang dilalui, maka budaya ini boleh membantu. Dengan cara individu terbabit bertemu dengan orang yang boleh membantu, berkongsi masalah dengan orang lain dan sebagainya maka ruang-ruang penyelesaian akan mudah diteroka.
Sebenarnya banyak lagi hikmah yang bakal tersingkap apabila budaya ini dihayati dalam kerangka gerak kerja yang positif serta berpegang kepada prinsip ‘tolong-menolong dalam perkara takwa, tidak tolong-menolong dalam perkara keji dan mungkar’.
Jemaah yang membina
Cabaran besar untuk menjayakan matlamat berjemaah yang dianjurkan Islam ini adalah bagaimana untuk mendapatkan kelompok individu yang menghayati kefahaman Islam yang sebenar serta beramal dengan akhlak Islam dalam kehidupan mereka. Memang di luar sana terdapat berbagai jemaah diwujudkan tetapi mana yang patut disertai serta beristiqamah dengannya.
Mungkin apa yang pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w apabila baginda mengarahkan golongan lelaki untuk solat berjemaah di masjid dan membakar rumah orang-orang yang mengingkari arahan itu, boleh kita jadikan panduan.
Maksudnya, bagi individu yang ingin melazimi kehidupan sebegini, langkah terbaik adalah dengan mengunjungi masjid atau surau untuk menunai solat secara berjemaah. Kalau sudah biasa berjemaah dengan “group” lain, usah dilupakan amalan solat ini. Lebih baik lagi, ditambah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu (taman-taman syurga) yang berkembang meriah di persekitaran masyarakat hari ini.
Ibadah solat itu ada hubungan dengan hati. Bila ibadah solat selesai dalam diri, hati mampu dibersihkan. Bila hati setiap anggota jemaah telah bersih maka segala permasalahan hidup yang berpunca daripada hati-hati yang kotor akan dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Dengan kesucian hati yang bersumberkan pengabdian diri kepada Allah SWT itu, individu membawa dirinya ke dalam “group” yang lain, maka sudah tentu budaya yang positif yang bertunjang mencari keredaan Ilahi akan kembali subur dalam masyarakat.
Berjemaah Mengikut Acuan Islam
Sebenarnya walau apa nama atau slogan jemaah yang ada, individu perlu memastikan kehidupan berjemaahnya itu mengikut acuan Islam yang berpaksikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Buka kehidupan glamour atau ramainya “followers” yang dicari dalam kehidupan berjemaah ini tetapi matlamatnya adalah keredaan Ilahi.
Kehidupan berjemaah ini jauh perjalanannya. Inidvidu bukan hanya berjemaah di dunia tetapi kesan kehidupan berjemaah itu akan dibawa ke akhirat. Bukankah manusia akan dibangkitkan di akhirat bersama-sama dengan ketua-ketua mereka? Fikir-fikirkan, jemaah mana yang patut disertai!
Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi
“Tidak salah ingin menjadi kaya, namun jadilah orang kaya yang beriman dan bertaqwa” begitulah antara petikan dari ayat yang dikongsi dari Ustazah Asma’ Harun yang meninggalkan kesan yang cukup mendalam.’
Sememangnya setiap insan mahu jadi yang terbaik dan mengumpul harta dunia. Namun janganlah dilupakan juga harta atau bekalan kita untuk dibawa pulang ke akhirat kelak.
“Tidak Salah Ingin Menjadi Kaya, Namun Jadilah Orang Kaya Yang Beriman Dan Bertaqwa”
Seperti mana yang dikongsi, Ustazah Asma’ Harun mengajak kita berusaha untuk menyeimbangkan di antara kehidupan dunia dan akhirat.
“Ada orang, yang begitu seronok dengan kehidupan dunia. Mindanya sibuk berfikir apa lagi cara yang boleh dilakukan untuk mengekalkan kuasa, untuk jadi ternama, untuk menambah harta atau bahkan untuk merebut pesona wanita sehingga tidak mengambil kira halal haramnya. Dunia telah menjadi tujuan utama. Semua ingin dijadikan miliknya.
Tidak Kaya Tak Mengapa, Asalkan Bahagia Ikut Cara Agama
“Ada juga orang, hidupnya sederhana sahaja. Tidak kaya tak mengapa, tidak terkenal tak mengapa, asalkan bahagia dengan ikut cara agama. Akhirat menjadi keutamaannya. Dia sanggup buat apa saja asalkan Allah redha.
“Teringat kepada sepotong kata-kata hikmah oleh Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah;
“DUNIA INI IBARAT BAYANGAN. KALAU KAMU BERUSAHA MENANGKAPNYA, IA AKAN LARI. TETAPI JIKA KAMU MEMBELAKANGINYA, IA TIDAK PUNYA PILIHAN SELAIN MENGIKUTIMU.”
“Hakikatnya, dunia ini hanya seolah bayang-bayang. Ia tidak akan mampu untuk dikejar mahupun diraih. Semakin kita ingin menggapai kenikmatan kehidupan dunia, sekuat itulah dia akan pergi meninggalkan. Malah, yang hanya akan kita dapatkan adalah kepenatan.
“Namun, ketika kita berusaha mengalihkan fokus kepada matlamat akhirat, maka dengan sendirinya dunia akan mengejar dan mengikuti.
“Usahalah untuk menyeimbangkan di antara kehidupan dunia dan akhirat agar segala usaha yang dilakukan tidak menjadi perbuatan yang sia-sia di hadapan Allah SWT kelak.
“Tidak salah ingin menjadi kaya, namun jadilah orang kaya yang beriman dan bertaqwa. Tidak salah untuk menjadi ternama dan dikenali semua, namun jadilah teladan yang membawa akhlak baik saat pengaruh mula meluas. Tidak salah untuk mendapatkan kuasa, namun jadilah pemimpin yang berusaha menegakkan hukum Islam saat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.
Maksudnya: “Barangsiapa menjadikan dunia sebagai tujuan utamanya, maka Allah akan mencerai-beraikan urusannya, dan Allah akan meletakkan kefakiran di hadapan kedua matanya. Tidaklah dia akan mendapatkan dunia kecuali apa yang telah ditetapkan baginya. Dan barangsiapa menjadikan akhirat sebagai tujuan utamanya, maka Allah akan menghimpun semua urusan untuknya dan Allah akan meletakkan rasa cukup di dalam hatinya, serta dia akan diberi dunia sekalipun dunia memaksanya.”
(HR Ibnu Majah, hadis sahih)
Allahuakbar.
Mudah-mudahan akhirat yang kekal abadi menjadi cita-cita utama kita dalam menjalani kehidupan yang sementara.
Mari bersama amalkan doa ini agar kita dijauhkan rasa cinta kepada dunia.
Maksudnya: “Ya Allah, janganlah Engkau jadikan dunia ini sebagai cita-cita terbesar kami dan puncak dari ilmu kami, dan jangan Engkau jadikan orang-orang yang tidak menyayangi kami berkuasa ke atas kami.”
Waktu raya memang memerlukan banyak duit. Bila dah habis cuti raya, ramai mak ayah yang kesempitan duit. Salah satu, ‘peluang’ yang nampak depan mata adalah guna duit raya anak bagi menampung perbelanjaan keluarga pada bulan tersebut.
Pesanan buat mak ayah, jangan sewenang-wenangnya guna duit raya atau duit simpanan anak-anak. Ketahui hukum dan baca penjelasannya yang pernah dikongsikan oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.
HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN HARTA ANAK-ANAK
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.
Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka WAJIB ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berhemahlah dalam merancang perbelanjaan di musim perayaan.Jangan menggunakan duit anak-anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.Malah jangan lupa menggantikannya kembali.
Doa ibu dan jaga hati isteri, rahsia lelaki menang 3 biji kereta dalam setahun. Dalam dunia peraduan, ramai percaya kemenangan ditentukan oleh nasib dan...