Waktu raya memang memerlukan banyak duit. Bila dah habis cuti raya, ramai mak ayah yang kesempitan duit. Salah satu, ‘peluang’ yang nampak depan mata adalah guna duit raya anak bagi menampung perbelanjaan keluarga pada bulan tersebut.
Pesanan buat mak ayah, jangan sewenang-wenangnya guna duit raya atau duit simpanan anak-anak. Ketahui hukum dan baca penjelasannya yang pernah dikongsikan oleh Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, bekas Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini.
HUKUM IBU BAPA MENGGUNAKAN HARTA ANAK-ANAK
Dalam kehidupan harian yang kian mencabar, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Ini mendorong kepada masyarakat untuk mencari alternatif dan menjadi lebih kreatif demi kehidupan yang lebih baik.
Di antara soalan yang sering diajukan kepada kami adalah berkenaan dengan penggunaan harta anak-anak seperti wang simpanan mereka oleh ibu bapa untuk memenuhi keperluan harian. Di sini kami kongsikan pandangan dan perbahasan ringkas para ulama’ bagi menjawab persoalan ini.
Jumhur (majoriti) fuqaha’ di dalam mazhab asy-Syafie, Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa ayah tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali dalam keadaan yang memerlukannya sahaja. Lihat Mughni al-Muhtaj (3/446), Hasyiyah Ibn ‘Abidin (4/513), Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/522)
Mereka berhujah berdasarkan keumuman hadith Nabi SAW bahawa tidak boleh diambil harta seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
Maksudnya: “ Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan di antara kamu adalah haram bagimu sepertimana kemuliaan pada harimu ini, di negerimu ini” Riwayat at-Tirmizi (2159)
Al-Mubarakfuri Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu dan kehormatan kamu haram bagimu iaitu haram untuk diambil sebahagian daripada kamu ke atas sebahagian yang lain pada hari-hari lain sepertimana kehormatan pada hari ini iaitu pada hari Arafah (pendapat lain: hari raya korban), di negeri ini iaitu Mekah” Lihat Tuhfat al-Ahwazi (8/382)
Ads
Para fuqaha’ dalam mazhab Hanbali pula berpendapat bahawa seorang ayah berhak untk mengambil harta anaknya secara mutlak, sama ada anaknya masih kecil mahupun sudah besar, namun dengan 2 syarat, iaitu:
Tidak memberi mudarat kepada anaknya dan tidak mengambil sesuatu yang menjadi keperluannya.
Tidak mengambil harta daripada salah seorang daripada anaknya dan memberikannya kepada anak yang lain.
Lihat al-Mughni (6/62)
Mereka berhujah dengan hadith Nabi SAW:
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رضي الله عنه, أَنَّ رَجُلا قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّه, إِنَّ لِي مَالا وَوَلَدًا وَإِنَّ أَبِي يُرِيدُ أَنْ يَجْتَاحَ مَالِي, فَقَالَ رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak, dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu” Riwayat Ibn Majah (2291)
Mengenai hadith ini, selepas menukilkan pandangan muhadithin seperti ad-Daruqutni, Ibn Qattan dan al-Munziri Rahimahumullah, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah telah memberi komentar: “Maka gabungan daripada jalan-jalan periwatan hadith ini tidak akan melemahkannya dan harus berhujah dengannya” Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih Bukhari (5/211)
Ads
Al-Hafiz as-Suyuti Rahimahullah telah berkata: “Hadith ini sanadnya sahih, perawi-perawinya thiqah (dipercayai) atas syarat-syarat Imam al-Bukhari dan mempunyai syahid[1] daripada hadith riwayat ‘Aisyah RA” Lihat Misbah az-Zujajah fi Zawaid Ibn Majah (3/37)
Ulama’ juga berbeza pandangan adakah ibu dibolehkan untuk menggunakan harta anaknya jika keadaan memerlukan dan adakah ibu termasuk dalam makna hadith: “أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ” ataupun tidak.
Sebahagian ulama’ berpendapat bahawa ibu tidak termasuk dalam makna hadith tersebut. Telah berkata Ibn Qudamah al-Maqdisi Rahimahullah: “Tidak boleh selain daripada ayah untuk mengambil harta anaknya tanpa meminta keizinannya. Ini kerana hadith yang diturunkan telah ditujukan kepada ayah (أنت ومالك لأبيك), maka tidak sah untuk mengqiyaskan selain kepada ayah kerana ayah mempunyai kekuasaan ke atas anak serta hartanya jika anak tersebut masih kecil” Lihat al-Mughni (5/397).
Sebahagian ulama’ pula berpendapat bahawa ibu termasuk dalam makna hadith tersebut. Mereka bersandarkan kepada kata-kata sahabat, Abdullah bin Jabir RA:
Maksudnya: “Ayah dan ibu boleh mengambil harta anaknya tanpa perlu meminta keizinan daripadanya, dan tidak boleh anak lelaki dan anak perempuan mengambil harta kedua ibu bapanya tanpa mendapat keizinan daripada mereka berdua” Lihat al-Muhalla (6/385)
Ads
Mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Atho’ bin Abi Rabah dan az-Zuhri yang membenarkan ibu mengambil harta anaknya sepertimana dibenarkan ke atas ayah. Lihat al-Mudawwanah (2/264)
Kesimpulan
Kami berpendapat bahawa pendapat jumhur (majoriti) ulama’, iaitu ayah tidak boleh mengambil harta anaknya dengan sewenang-wenangnya dan hanya dibenarkan jika dalam keadaan yang memerlukannya sahaja adalah lebih tepat dari segi penghujahan dan objektif syara’. Hukum ini juga terpakai untuk ibu kepada anak tersebut. Mengenai hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ), para ulama’ menjawabnya dengan dua jawapan:
Huruf lam pada perkataaan (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan penuh, tetapi ia membawa makna keharusan mengggunakannya. Ibn al-Qayyim al-Jauziah Rahimahullah telah berkata: “Huruf lam pada hadith (أَنْتَ وَمَالُكَ لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak, sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut” Lihat I’lam al-Muwaqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin (1/116)
Seorang anak apabila meninggal dunia, hartanya akan diwarisi oleh isteri, ibu, anak-anaknya serta ahli keluarga lain. Bukan hanya ayahnya sahaja yang mewarisi harta tersebut. Jika harta seorang anak dimiliki sepenuhnya oleh seorang ayah, maka waris lain tidak memiliki hak untuk mewarisi hartanya.
Imam asy-Syafie Rahimahullah telah berkata: “Sesungguhnya ketika mana Allah mewajibkan bagi seorang ayah mewarisi harta anaknya, Dia menjadikan ayah tersebut seperti waris-waris yang lain, iaitu berkemungkinan seorang ayah memperoleh bahagian yang lebih sedikit berbanding waris-waris yang lain. Ini menjadi bukti bahawa seorang anak memiliki sepenuhnya hak ke atas hartanya, bukan orang lain” Lihat ar-Risalah (hlm. 468)
Kesimpulannya, ibu bapa tidak boleh menggunakan duit anak-anak mereka dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja. Jika ibu bapa sudah menggunakan harta anak-anak dalam perkara yang tidak menjadi keperluan, maka WAJIB ke atas ibu bapa untuk menggantikannya kembali.
Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amiin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat mak ayah, berhemahlah dalam merancang perbelanjaan di musim perayaan.Jangan menggunakan duit anak-anak dengan sewenang-wenangnya kecuali dalam keadaan yang memerlukan sahaja.Malah jangan lupa menggantikannya kembali.
Siapa kita untuk mengadili kebaikan dan keburukan orang. Sebab kita pun tidak tahu macam mana orang mengadili cara kita. Sepanjang hidup, kita solat atau tahu membaca al Quran, hanya Dia yang mampu mengadilinya.
Sesetengah orang sanggup berkata, kubur masing-masing, tak perlulah nak ambil tahu. Memang betul, tetapi rasanya tidak salah untuk kita menegur dan memberi nasihat, walaupun kita tidaklah sehebat mana. Menegur sesama kita demi kebaikan bersama.
Begitu juga yang baru belajar solat atau membaca al Quran, jangan mencerca atau perli tapi berikan galakan untuk dia terus belajar. Kita tidak tahu, mungkin dengan ini, kita diberi asbab kesenangan di ‘sana’ nanti.
Perkongsian daripada Nasihat Ustaz ini boleh dijadikan panduan terutamanya dari segi amalan yang kita lakukan sepanjang hidup. Jangan sesekali putus asa dengan kebaikan yang kita lakukan.
Seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan di suatu malam yang kelam dan sunyi.
Tiba-tiba dia terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur, dan terus menjulang ke langit. Dia merasa sedikit ketakutan dan berdebar.
Terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Dia terfikir kemungkinan kubur ini adalah kubur seseorang yang sangat istimewa. Sama ada ia seorang wali Allah atau ulama atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Allah. Diambilnya sebatang kayu lalu dipacak di atas kubur yang bercahaya itu.
Keesokannya, lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu dengan ditemani orang kampung. Beliau ingin menyelidik dan ingin mengetahui kubur siapakah yang sangat ajaib itu.
Apakah seorang tuan guru atau wali Allah atau alim ulama atau orang soleh yang terkenal?
Bila bertanya kepada orang kampung, mereka kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti ini adalah kubur seorang lelaki tua, yang pernah mendiami sebuah pondok di hujung kampung bersama isterinya.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung kerumah simati dan bertemu dengan isterinya lalu menceritakan keajaiban yang dilihat di kubur suaminya.
Hanya Orang Biasa
Anehnya isteri si mati terkejut dan kehairanan. Dia sangat mengenali suaminya. Suaminya bukan siapa-siapa. Suaminya seorang petani. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukan orang soleh, bukan juga imam, bukan muazzin, bukan guru Al-Quran.
Malah suaminya tidak pandai membaca Al-Quran dan dia tidak pernah mendengar suaminya membaca Al-Quran. Perkara ini benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri si mati.
Akhirmya lelaki itu bertanya, apakah perkara-perkara pelik yang si mati selalu lakukan dalam kehidupan hariannya.
Isteri arwah tersebut teringat suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidur pada setiap malam, suaminya akan mengambil wuduk.
Kemudian masuk di dalam suatu bilik lalu diambilnya Al-Quran di atas rak, lalu dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang.
Ia akan duduk dan membelek Al-Quran itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan dia seorang yang buta. Dia akan meraba-raba ayat-ayat Al-Quran itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi.
Tambah isteri si mati lagi, dia pernah mendengar rintihan dan esakan tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan.
“Tuhanku! Ampunkanlah aku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-Mu. Janganlah Engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.”
“Wahai Kalam Allah, maafkan kesalahanku. Aku tidak mampu membaca kalimah mu, tidak dapat bersahabat dengan mu dan tidak dapat memahami mu. Tapi aku sangat mengasihi mu. Aku sangat mencintaimu“.
Cerita isteri si mati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani Al-Quran, buah hati kesayangannya.
Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur. Lelaki itu meminta untuk melihat Al-Quran kesayangan suaminya itu.
Benar dan sangat mengharukan apabila dia melihat naskhah yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan selalu dibelek berkali-kali. Ada bekas-bekas air mata di kertasnya, tanda seseorang sering menangis berjurai air matanya tatkala membuka lembaran yang maha suci ini.
Pastinya lelaki ini sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh Al Quran. Dia sangat mengasihi kalimat Tuhan dengan sesungguhnya. Bererti ia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya.
Marilah kita menghidupkan Al Quran di dalam masjid kita, di dalam rumah kita, di dalam diri kita, sepanjang masa.
MW: Moga ia memberi manfaat dan pengajaran kepada semua. Marilah kita sama-sama menghidupkan al Quran, taki kisah, satu hari satu muka surat pun dah ok. Moga istiqamah.
Ikutkan mulut memang sedap mengata itu dan ini lagi-lagi kesalahan orang lain. Cuba bayangkan suatu hati dengan kuasa Allah apa yang berlaku itu terjadi pada kita, barulah hilang kata-kata.
Oleh sebab itu bila nampak salah orang jangan mengata sebaliknya berdoa, hidup umpama roda nanti akan berpusing pada kita. Beringatlah sebelum menuding dan menghina kesalahan orang itu dan ini.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam betul-betul:
Nampak Salah Orang Jangan Mengata
Kalau nampak satu kesalahan di depan mata, ingatlah kita, anak-anak dan cucu cicit kita boleh jadi terlibat kesalahan yang sama.
Jika nampak satu kesusahan di depan mata, ingatlah kita pun boleh berada dalam keadaan itu nanti.
Kalau nampak satu kesenangan di depan mata yang bukan kita punya, ingatlah nanti Tuhan boleh beri yang sama buat kita.
Setiap yang kita nampak, semuanya boleh berlaku pada kita juga. Hidupkan macam roda. Kadang yang berlaku pada orang lain, berpusing dan berlaku pada kita pula.
Maka,
1. Elakkan mengata atau menghina mereka yang bersalah tetapi doakan. Doakan juga kita dan keluarga tidak terlibat dosa yang sama akan datang. Ketenangan akan hadir dalam doa kita.
2. Bantulah sekali pun kita dalam keadaan tak cukup. Bahagia itu datang setiap kali kita membantu orang lain.
3. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Kerana apa yang ada inilah yang sangat sesuai untuk kita buat masa ini. Berbahagialah.
Begitulah hidup ini. Kena sentiasa bersederhana. Selamat pagi kawan-kawan semua.
MW: Lumrah manusia mengata tanpa sedar, jadi sebaiknya setiap kali tersedar daripada kesilapan cepat-cepat bertaubat dan memohon ampun. Hiduplah dengan cara bersederhana, bersyukur dengan setiap kurniaan-Nya. Insyallah bahagia dunia dan akhirat.
Nak lembutkan hati anak ada caranya. Tapi, kalau jenis mak yang tak sabar, mahunya boleh dapat ‘sakit’, maklumlah lagi di larang lagilah dibuatnya.
Sebenarnya, nak lembutkan hati anak tak susah, mak ayahlah kena jadi contoh yang baik. Kalau mak ayah sendiri yang buat ‘perangai’, itulah yang akan dibuat oleh anak-anak.
Inilah yang diterangkan oleh Ustaz Muhaizad Muhamed Al Yamani yang boleh dijadikan panduan bersama.
Nak ajar anak sabar tapi mak ayah tak buat. Perangai bukan melalui perkataan tapi diwarisi. Anak-anak lebih suka ikut perbuatan mak ayah.
Ada 4 petua yang dikongsikan oleh beliau.
1. Banyakkan tunjuk perbuatan baik, sabar dalam mendidik.
2. Letakkan tangan kanan di kepala anak dan baca ayat. Hembus ketika anak sedang sedut nafas. Niatkan supaya anak jadi lemah lembut, dengar kata.
3. Ibu ambil air wuduk untuk solat zohor dengan ambil air basuhan muka dan tangan kanan. Ambil air kedua dan ketiga. Jangan tukar waktu solat lain. Bagi minum.
4. Sebut perkataan baik-baik ketika anak tidur. Elakkan perkataan ‘Jangan’. Sebut, ‘jadi anak yang baik dan taat’.
Mingguan Wanita : Moga ia memberi panduan buat mak ayah.
Founder wanita antara ditahan terlibat pengedaran pil kuda di Kelantan, nilai rampasan RM6.16 juta. Memaparkan gaya hidup mewah termasuk menayang kenderaan mewah antara trend...