Berjemaah Menuju Kecemerlangan Hidup Dunia Dan Akhirat

Berjemaah menuju kecemerlangan hidup sama ada di dunia mahu pun akhirat. Dalam menjalani kehidupan harian, individu perlu ada niat dan usaha untuk hidup secara berjemaah.

Walau wujud pelbagai watak atau personaliti manusia yang berbeza, ia tidak sepatutnya menghalang budaya hidup sebegini berkembang secara positif di persekitaran hidup ini.

Individu ingin membudayakan suatu amal mulia yang penuh dengan hikmah demi mencari kecemerlangan hidup duniawi dan ukhrawi.

Allah Ada Sebut 

Allah SWT sebagai pemilik dan penguasa alam ini, yang mampu mengurus semua hal makhluk-Nya, namun Dia masih menyebutkan usaha-usaha hidup secara berjemaah yang  dilakukan bersama-sama para malaikat dalam mengurus kehidupan manusia di atas muka bumi ini.

Sebagai bukti, dalam al-Quran Allah SWT menggunakan kata ganti nama “Kami” (gabungan diri-Nya dan para malaikat) sebagai gambaran tentang usaha-usaha secara berjemaah yang berlaku di alam ghaib tersebut.

Begitu juga bila kita kembali kepada sirah Rasulullah s.a.w, budaya hidup sebegini terbukti menjadi penyumbang besar kepada kejayaan dakwah Islam. Para pengikut baginda diberi gelaran “Muhajirin” (orang-orang yang berhijrah) dan “Ansar” (orang-orang yang menolong) oleh Allah SWT sebagai pengiktirafan di atas sumbangan mereka membantu dakwah Rasulullah SAW secara berjemaah serta istiqamah.

Saling Bantu Membantu

Bila kehidupan secara berjemaah ini begitu besar pengaruhnya maka sudah tentu ia menjadi prasyarat penting dalam usaha dan ikhtiar ke arah kecemerlangan hidup. Maksudnya, dalam apa juga kehidupan yang individu lalui maka fikirkan tentang berjemaah, perlu melibatkan orang lain bersama kita. Tidak boleh bersendiri atau secara solo.

Dalam urusan kerjaya atau bisnes misalnya, berjemaah itu sangat penting. Kekurangan individu boleh dibantu oleh kelebihan individu lain.

Berjemaah Menuju Kecemerlangan Hidup Dunia Dan Akhirat

IKLAN

Ruang Penyelesaian Boleh Diteroka

Dalam situasi lain, individu yang dilanda tekanan hidup hingga sukar keluar daripada belenggu hidup yang dilalui, maka budaya ini boleh membantu. Dengan cara individu terbabit bertemu dengan orang yang boleh membantu, berkongsi masalah dengan orang lain dan sebagainya maka ruang-ruang penyelesaian akan mudah diteroka.

Sebenarnya banyak lagi hikmah yang bakal tersingkap apabila budaya  ini dihayati dalam kerangka gerak kerja yang positif serta berpegang kepada prinsip ‘tolong-menolong dalam perkara takwa, tidak tolong-menolong dalam perkara keji dan mungkar’.

Jemaah yang membina

Cabaran besar untuk menjayakan matlamat berjemaah yang dianjurkan Islam ini adalah bagaimana untuk mendapatkan kelompok individu yang menghayati kefahaman Islam yang sebenar serta beramal dengan akhlak Islam dalam kehidupan mereka. Memang di luar sana terdapat berbagai jemaah diwujudkan tetapi mana yang patut disertai serta beristiqamah dengannya.

Mungkin apa yang pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w apabila baginda mengarahkan golongan lelaki untuk solat berjemaah di masjid dan membakar rumah orang-orang yang mengingkari arahan itu, boleh kita jadikan panduan.

Baca artikel lain menarik di sini:

IKLAN

Mak Ayah Kena Bertegas Dengan Anak Soal ‘ Top Up’ Saham Akhirat

 Anak-Anak Amanah Akan DIAUDIT Akhirat, Mak Ayah Jangan Ambil Mudah!

Berjemaah Ke Masjid Dan Surau

Maksudnya, bagi individu yang ingin melazimi kehidupan sebegini, langkah terbaik adalah dengan mengunjungi masjid atau surau untuk menunai solat secara berjemaah. Kalau sudah biasa berjemaah dengan “group” lain, usah dilupakan amalan solat ini. Lebih baik lagi, ditambah dengan menghadiri majlis-majlis ilmu (taman-taman syurga) yang berkembang meriah di persekitaran masyarakat hari ini.

Ibadah solat itu ada hubungan dengan hati. Bila ibadah solat selesai dalam diri, hati mampu dibersihkan. Bila hati setiap anggota jemaah telah bersih maka segala permasalahan hidup yang berpunca daripada hati-hati yang kotor akan dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.

Dengan kesucian hati yang bersumberkan pengabdian diri kepada Allah SWT itu, individu membawa dirinya ke dalam “group” yang lain, maka sudah tentu budaya yang positif yang bertunjang mencari keredaan Ilahi akan kembali subur dalam masyarakat.

IKLAN

Berjemaah Mengikut Acuan Islam

Sebenarnya walau apa nama atau slogan jemaah yang ada, individu perlu memastikan kehidupan berjemaahnya itu mengikut acuan Islam yang berpaksikan ajaran al-Quran dan al-Sunnah. Buka kehidupan glamour atau ramainya “followers” yang dicari dalam kehidupan berjemaah ini tetapi matlamatnya adalah keredaan Ilahi.

Kehidupan berjemaah ini jauh perjalanannya. Inidvidu bukan hanya berjemaah di dunia tetapi kesan kehidupan berjemaah itu akan dibawa ke akhirat. Bukankah manusia akan dibangkitkan di akhirat bersama-sama dengan ketua-ketua mereka? Fikir-fikirkan, jemaah mana yang patut disertai!

Sumber: Dr. Muhamad bin Jantan, Perunding Motivasi & Psikologi

Jangan lupa follow kami di:

Facebook Mingguan Wanita

Instagram Mingguan Wanita

Twitter Mingguan Wanita