“Zara Qairina memang terjun sendiri,” doktor buat kenyataan melulu, keluarga bakal saman. Tindakan seorang pakar perubatan membuat kenyataan tanpa usul periksa dipercayai bakal membawa kepada tindakan undang-undang oleh keluarga Allahyarham Zara Qairina.
“Zara Qairina Memang Terjun Sendiri,” Doktor Buat Kenyataan Melulu, Keluarga Bakal Saman
Difahamkan, individu tersebut memuat naik satu hantaran di media sosial yang mengandungi kenyataan seolah-olah membuat ‘konklusi’ bahawa Allahyarham terjun sendiri dari bangunan sekolah.
Hantaran tersebut kemudian menjadi tular dan menimbulkan pelbagai spekulasi serta kemarahan dalam kalangan warganet.
Ads
Susulan itu, orang ramai diingatkan agar tidak mengeluarkan atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung kes kematian pelajar sekolah agama berkenaan, Adik Zara Qairina Mahathir.
Ads
Penyebaran berita yang tidak disahkan bukan sahaja berpotensi mengganggu proses siasatan pihak berkuasa, malah boleh menambah derita keluarga mangsa yang sedang melalui saat sukar.
“Ingatlah, setiap kenyataan yang dimuat naik di media sosial meninggalkan kesan, dan jika palsu, ia boleh mengundang tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau peruntukan lain yang berkaitan.”
Kisah ini menjadi peringatan bahawa berhati-hati ketika berkongsi sebarang maklumat adalah tanggungjawab semua, terutama apabila melibatkan kes sensitif seperti kematian.
Kes tragis yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus mendapat perhatian seluruh negara.
Selepas beberapa minggu siasatan, seramai lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, pada Rabu ini berhubung insiden buli membabitkan arwah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan semua remaja terbabit berusia bawah 18 tahun akan dibawa ke mahkamah untuk proses pertuduhan. Semua remaja akan dibawa ke Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu bagi proses pertuduhan.
“Seramai lima orang akan dituduh pada Rabu ini di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu kerana kesalahan berkaitan kes buli Allahyarham Zara Qairina. Mereka berusia di bawah 18 tahun,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan rasmi menyatakan pihaknya meneliti kertas siasatan polis dan memutuskan untuk menuduh beberapa individu terbabit berdasarkan keterangan yang diperoleh.
AGC turut menegaskan bahawa walaupun pertuduhan kesalahan buli dilakukan, siasatan berhubung punca kematian Zara Qairina tetap diteruskan termasuk prosiding inkues yang kini sedang berjalan di mahkamah.
Kes ini bukan sekadar angka di mahkamah, tetapi luka yang membekas di hati seorang ibu yang kehilangan anak. Arwah Zara Qairina pergi pada usia yang terlalu muda di kala sepatutnya sibuk mengejar pelajaran, membina persahabatan dan menikmati zaman remaja.
Buli Zara Qairina, isu “nama sama” jadi kecoh. Rakan sekampung jelaskan YB Arifin tiada anak nama Farisha. Isu buli melibatkan allahyarham Zara Qairina terus menjadi perhatian apabila isu “nama sama” terusan menarik perhatian orang ramai.
Timbul kekecohan di media sosial berhubung dakwaan seorang individu bernama Farisha atau Farisya dikaitkan dengan keluarga YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif.
Namun, seorang penulis e-book yang juga rakan sekampung kepada YB Arifin tampil memberikan penjelasan berkaitan isu ini. Malah dirinya turut berkongsi ucapan selamat hari raya dari YB Arifin pada tahun 2023 sebagai bukti yang mana nama anak YB tidak sama dengan nama pembuli seperti didakwa.
“Hari ini, banyak berita palsu yang tersebar kononnya (Farisya Maisara binti Ariffin) adalah anak kepada YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Haji Mohd Arif.
“Untuk makluman semua, YB ini hanya ada dua orang anak hasil perkahwinan dengan isterinya, Datin Hajah Lenny Natasha binti Tan Sri Musa.
SOFIA RAIHANA BINTI ARIFIN
SAFA ARIFAH BINTI ARIFIN
YB ini sekampung dengan saya di Kampung Pimping, Membakut. Ejaan namanya “ARIFIN”, bukan “ARIFFIN”. Semoga penjelasan ini dapat menghentikan spekulasi dan fitnah yang tersebar dengan sangat meluas pada hari ini.
Dalam masa yang sama, teruskanlah berdoa agar kes Allahyarhamah Zara Qairina mendapat keadilan yang sewajarnya. J U S T I C E F O R Z A R A,” kongsinya di media sosial miliknya.
Semalam semasa sidang Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan siasatan polis mendapati kes kematian Allahyarham Zara Qairina sama sekali tiada kaitan dengan golongan VVIP seperti didakwa sebelum ini.
Perkara tersebut berdasarkan hasil siasatan membabitkan 195 saksi yang dipanggil sebelum ini. Semasa memberikan penjelasan berkaitan buli ini, Saifuddin turut menyebut “nama sama sehingga binti pun sama”.
Walau telah dinyatakan tiada anak VIP mahu pun cucu TYT Sabah terlibat namun ada netizen membuat spekulasi sendiri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif yang terkait dengan insiden ini hanya kerana “nama seakan sama” turut pernah mengeluarkan kenyataan dan menafikan hal tersebut.
“Saya ada baca di media berhubung dakwaan yang menyatakan ada seorang bernama Farisha, anak kepada saya. Sebenarnya saya tidak ada anak yang bernama sedemikian dan tiada anak saya yang belajar di sekolah menengah berkenaan,” katanya memetik laporan Sabah Media.
Pada tahun 2022, YB Arifin turut berkongsi nama isteri dan dua anaknya dan ianya sama seperti tahun 2023 dalam ucapan selamat hari rayanya. Dan jelas tiada nama Farisya Ariffin seperti disangka.
Zara Qairina iaitu pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.
Rakyat bangkit memberikan tekanan mahukan keadilan buat arwah dan jelas ia membuahkan hasil bila seramai 5 pelajar akan dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu selain inkues menyiasat punca kematiannya akan didengar pada 3 September depan.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Gali semula kubur Zara Qairina untuk bedah siasat, mahkamah ada kuasa arahkan jika perlu. Mahkamah di Malaysia mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah menggali semula kubur bagi mengeluarkan jenazah, khususnya untuk tujuan menjalankan bedah siasat semula, selaras dengan peruntukan dalam Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut Peguamcara dan Peguambela, Nor Zabetha Muhamad, walaupun mayat yang telah lama dikebumikan tidak lagi mempunyai tisu lembut yang boleh dinilai kerana proses pereputan, namun kecederaan pada tulang masih boleh dikesan dan menjadi bukti penting.
Katanya, perkara ini pernah dijelaskan oleh Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh ketika memberikan keterangan dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.
“Saya ambil keterangan Ketua di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh dalam kes kematian kadet Zul Farhan (PP lwn. Muhammad Akmal Zuhairi Akmal & Ors [2024] 1 CLJ 795).
“Bagi orang Islam perlu mendapatkan keizinan khas Jabatan Agama Islam Negeri. Bagaimanapun, sudah tentu jika mayat mangsa dikeluarkan, keadaannya tidak sama tetapi banyak kecederaan tulang akan kelihatan.
“Sebenarnya terdapat banyak kes di Malaysia, jenazah yang ditanam telah digali semula ‘exhume’ atau ‘exhumation’ untuk bedah siasat,” katanya menerusi Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, tular kisah seorang ibu, Noraidah Lamat yang memohon bantuan guaman untuk memulakan proses menggali semula kubur anaknya, Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap kematiannya.
Nor Zabetha turut berkongsi satu lagi kes melibatkan kematian Dr Sebastian Joseph, di mana bapa mangsa, Joseph Anthony telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengebumikan semula mayat anaknya bagi menjalani bedah siasat kali kedua pada 7 Januari 2015.
Beliau menjelaskan bahawa hasil bedah siasat kedua mendakwa bedah siasat pertama dilakukan secara cuai dan tidak mengikut piawaian profesional, manakala siasatan polis pula dikatakan tidak dijalankan dengan teliti.
“Jadi Plaintif sebagai bapa menyaman pegawai perubatan, polis, pengarah hospital, Ketua Polis dan Kerajaan Malaysia.
“Dalam kes ini terdapat isu-isu tentang kedudukan undang-undang antaranya kewajipan pegawai perubatan adalah untuk kepentingan masyarakat dan bukan pada keluarga, terdapat isu had masa.
“Berdasarkan Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948, tindakan terhadap pegawai awam atau pihak berkuasa Awam mestilah dalam tempoh tiga tahun dari perbuatan. Memandangkan tindakan ini diambil melebihi tiga tahun, jadi tuntutan plaintif ditolak,” jelasnya.
Selain itu, Nor Zabetha juga mengulas kes Zahidah Ahmad dan adik tirinya Maznah, di mana pihak polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk menggali semula jenazah ibu tiri mereka, Tanziah Zainuddin, yang telah dikebumikan tanpa sebarang bedah siasat.
Ketika memandikan jenazah, keluarga menyedari adanya kesan lebam namun urusan pengebumian tetap diteruskan. Namun kemudian, gelang emas milik Allahyarham didapati hilang dan ditemui telah digadai oleh teman lelaki Zahidah, menyebabkan keluarga mengesyaki unsur jenayah dan membuat laporan polis.
“Sewaktu memandikan jenazah, ahli keluarga nampak kesan lebam tetapi meneruskan urusan pengebumian.
“Selepas kejadian, gelang emas mangsa hilang dan dijual di kedai pajak oleh teman lelaki Zahidah.
“Ahli keluarga mula syak terdapat unsur jenayah, laporan polis dibuat. Setelah mayat digali, bedah siasat dijalankan namun punca kematian tidak dapat dipastikan kerana pereputan,” katanya.
Kedua-dua tertuduh dalam kes ini akhirnya dijatuhi hukuman. Maznah dikenakan perintah tahanan di bawah Yang di-Pertuan Negeri disebabkan statusnya sebagai remaja semasa kejadian. Zahidah pula disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun.
“Keputusan untuk menggali semula mayat bukan mudah tetapi ahli keluarga akan cuba mencari keadilan sewajarnya kerana mereka mahukan jawapan,” tambah Nor Zabetha.
Kes bunuh isteri Seberang Jaya menggemparkan penduduk apabila seorang penganggur direman tujuh hari selepas dipercayai menyimpan mayat isterinya di sebuah pangsapuri.