
Demi anak-anak tersayang, pelakon wanita, Puteri Sarah Liyana bangkit meneruskan kehidupan selepas melalui pelbagai ujian hidup dalam berumah tangga.
Demi Anak-anak Tersayang

Dia turut mengakui anak-anak banyak menjadi kekuatan yang membolehkannya terus bertahan dan kembali tersenyum.
Menerusi perkongsian bersempena Hari Ibu di Instagram, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, tidak semua orang memahami betapa penatnya menjadi kuat setiap hari ketika berdepan ujian kehidupan.
Menurut Puteri Sarah, suatu ketika dahulu dia pernah merasakan dirinya lemah dan tidak mampu mengharungi segala dugaan yang hadir.
“Dulu saya tak sedar saya punya kekuatan. Saya fikir saya lemah dan tak mampu harunginya.
“Tapi apabila dilanda ujian, barulah saya tahu sebenarnya kita mampu menolak diri semaksimum mungkin,” katanya menerusi perkongsian video dimuat naik.
Puteri Sarah Liyana Bangkit Selepas Lima Tahun Bertahan

Pelakon itu berkata, selama lima tahun dia cuba bertahan walaupun dalam keadaan lemah sebelum akhirnya bangkit demi anak-anaknya, Syaikhul Islam dan Sumayyah.
“Lima tahun saya bertahan walaupun lemah, tetapi selepas itu saya bangkit kerana saya punya anak-anak.
“Merekalah kekuatan bagi saya,” katanya.
Puteri Sarah mengakui dirinya juga insan biasa yang tidak terlepas daripada rasa lelah dan kesunyian.
“Ada waktunya hati terlalu lelah, dunia terasa berat dan air mata jatuh diam-diam tanpa sesiapa nampak.
“Tetapi setiap kali melihat anak-anak, ada satu kekuatan hadir semula dalam diri. Kekuatan seorang ibu lahir daripada pelukan kecil dan senyuman anak yang tidak pernah tahu betapa mereka sebenarnya sedang menyelamatkan hati ibunya,” katanya.
Anda mungkin berminat dengan

Puteri Sarah pernah mendirikan rumah tangga dengan Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014 sebelum sah bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 9, dan Sumayyah, 7.
Sumber: Puteri Sarah Liyana
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!

