Tidak dinafikan, dalam bab-bab menguruskan rumah tangga, boleh dikatakan isteri yang banyak memainkan peranan. Hargailah pengorbanannya sebab jika ada suami yang pandai uruskan pun, mungkin tidaklah sebaik isteri. Walau bagaimanapun, suami yang ingin membantu itu sudah satu bonus buat pasangan.
Dalam menguruskan rumah tangga, jangan fikir hanya mengemas rumah, memasak, menjaga anak dan lain-lain lagi. Sebaik isteri, bukan itu sahaja pengorbanan yang dia lakukan untuk memastikan rumah dalam keadaan baik.
Sebenarnya, ia cukup luas bila bercerita tentang pengorbanan isteri. Sanggup bersusah payah, tidak berkira dan paling penting sama-sama mencari rezeki untuk memastikan kehidupan lebih selesa bersama keluarga.
Ini belum lagi kalau suami jenis yang panas baran dan hanya pentingkan diri sendiri. Semuanya mengharapkan isteri yang melakukan segalanya dan tidak ada rasa tanggungjawab langsung.
Ingat, dia pun ada perasaan. Jika bukan kerana sayangkan anak-anak, rasanya sudah lama dia bawa diri. Sekarang mampu tak suami itu uruskan rumah tangga seperti isteri lakukan. Fikirlah sendiri!
Mungkin kisah Khairul Anuar Basri ini mampu membuka mata suami tentang pengorbanan yang telah isteri berikan. Moga menjadi ikhtibar dan panduan buat suami di luar sana.
Berhutang Hantaran
Tahun 2004 saya ambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan girlfriend saya Cik Yuhana Abdul Rahman.
Masa tu saya di tahun akhir ijazah pertama di UIA. Kami tak bertunang pun sebab dah 7 tahun bercinta. Takkan tak kenal lagi hati budi masing-masing ye!
Paling best masa tu isteri saya dah kerja dah pun lepas habis belajar di UPM tahun 2002. Gaji kecil dan bolehlah nak tanggung suami yang masih belajar.
Saya nak cerita kat sini ialah, masa kami kahwin tu mas kahwin kami ialah wang tunai RM77.77 saja. Hanya itu saya bayar cash.
Hantaran pulak RM7,777.77. Tahun 2004 kira reasonable banyaklah rasanya RM7k hantaran kan..
Cumanya masa tu saya guna cek syarikat ayah saya dan tak ada pun duit sebanyak itu. Jadinya saya berhutang dengan isteri saya.
Isteri Penyabar
Alhamdulillah isteri saya seorang yang sangat penyabar. Dah la hantaran tak dapat masa akad nikah, banyak pula pakai duit sendiri untuk persiapan perkahwinan.
Ads
Lepas kahwin dia kerja dan saya belajar. Sewa rumah nak kena bayar. Installment kereta nak kena bayar. Maknanya ikat perut betul la kami masa tu.
Kat sini la biasanya banyak rumah tangga gagal. Tak tahan dan tak kuat dengan cabaran di awal perkahwinan. Lebih-lebih lagi kalau bersangkut-paut dengan duit.
Kena pulak suami tak kerja. Ada suami pemalas. Asyik tidur je. Masa couple bukan main nampak macam banyak duit. Tapi semua tu palsu belaka.
Hakikatnya, sangat banyak pasangan yang berkahwin akhirnya bercerai sebab takde duit lepas kahwin. Yang baru kahwin sama, yang dah lama kahwin pun macam tu jugak.
Sebab tu la sabar itu kunci kebahagiaan dalam rumah tangga. Kena banyak bertolak ansur. Saling bertanggungjawab dan saling lengkap-melengkapi. Bukannya ambil kesempatan atas satu sama lain.
Allah tu maha adil. Dia maha penyayang dan pasti tak akan sia-siakan kesabaran setiap hambaNya.
Sebulan lepas saya grad tahun 2005, saya terus dapat tawaran kerja di salah sebuah bank antarabangsa yang sangat terkemuka. Syukur sangat saya. Dapat la bernafas saya dan isteri.
Tambahan lagi, kami bakal menerima cahaya mata yang pertama pada bulan Jun 2005. Bulan Mei saya masuk kerja, bulan Jun datang anak pertama.
Rezeki Anak
Memang betul la orang cakap. Anak-anak datang dengan rezeki masing-masing. Kita ibu bapa ni yang sebenarnya menumpang rezeki anak-anak yang lahir tu.
Lahir je anak pertama, isteri saya pulak buat keputusan untuk berhenti kerja. Alamak! Dulu dia kerja seorang. Dia banyak sabar. Sekarang saya pula kena kerja seorang. Maksudnya giliran saya pula wajib banyak sabar.
Selama lebih kurang 2 tahun isteri saya sabar menjadi ibu dan suri rumah sepenuh masa. Tahun 2005 lahir Miqdad, 2006 Allah hadiahkan pula kami, Nuha.
Ads
Pada tahun 2008, Allah Ta’ala murahkan lagi rezeki saya. Saya dapat tawaran kerja di bank lain dengan gaji yang lebih tinggi.
Masa tu la saya fikir, sudah sampai masanya saya balas sedikit kesabaran isteri saya dengan sebuah penghargaan. Masa tu jugak saya fikir saya mesti ganti balik duit hantaran yang saya hutang dulu.
Bayar Hutang Hantaran
Mungkin tak boleh nak bandingkan dengan kesabaran dan kasih sayang dia. Mungkin tak boleh nak bayar la segala susah payah, keperitan dan kesabaran dia selama ini. Tapi , sekurangnya mampu menggembirakan hatinya.
Maka, saya beli sebuah kereta Toyota Altis sebagai hadiah kepada isteri saya. Masa tu anak-anak pun dah besar sikit. Isteri saya pun dah nak mula masuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) lepas dah berehat panjang selama lebih kurang 4 tahun.
Tak cukup dengan kereta, saya bayar balik hutang duit hantaran tu. Bukan RM7,777.77 macam dalam cek tu, tapi RM10,000. Terlebih sudah.
Masa tu, kesabaran dan ketaatan seorang isteri terhadap suaminya selama 4 tahun terbalas. Itu baru nikmat dunia. Belum lagi nikmat akhirat.
Hargai Isteri
Itulah kawan-kawan…
Isteri ni makhluk yang wajib kita hargai dalam rumah tangga. Bukan tempat melepaskan hawa nafsu dan amarah kita semata-mata. Tapi dia tempat untuk kita curahkan kasih sayang dan penghargaan yang tak berbelah bagi kita.
Tanpa seorang isteri, siapalah kita. Mungkin hidup pun tak terurus. Suami-suami tak akan mampu untuk menguruskan rumah tangga sebaik seorang wanita.
Kerja dia sendiri dia boleh urus. Makan pakai suami dia boleh jaga. Hal ehwal pendidikan dan kebajikan anak-anak dia mampu ambil peduli. Keadaan tunggang-langgang dalam rumah pun dia sempat fokus.
Pendek kata serba serbi dia la.
Ads
Jadi, apa sangat la kalau nak dibandingkan semua pengorbanan dia tu dengan sedikit kelemahan yang dia ada.
Apa sangat la kalau setakat dia berleter atau marah-marah ngan kita, suka merajuk tak tentu pasal ngan kita atau dia selalu moody dan tak layan kita?
Malah, apa sangat la kalau dia tidur nyenyak sekali sekala tak sempat nak masak untuk kita?
Itu belum kira sakit yang dia tanggung demi nak lahirkan anak-anak untuk kita. 9 bulan membawa perut yang berat dan makin membesar ke hulu dan ke hilir. Tak pernah pulak dia merungut.
Lepas tu masa nak bersalin, itu antara hidup dengan mati tu. Banyak darah yang hilang, urat putus.
Bila dah lahir anak, kita kadang-kadang boleh tidur nyenyak tengah malam. Tapi isteri kita tak. Menyusu anak lagi. Terkejut sebab anak menangis lagi. Kalau anak tak sihat, dia yang jadi doktor, dialah yang jadi nurse.
Superb sungguh pengorbanan seorang isteri. Cemerlang sungguh kesabaran seorang isteri.
Pesanan /Ingatan Semua suami kat luar sana, ingat pesan saya ni betul-betul. 1. Hargai seorang isteri. Jangan take for granted. 2. Reward seorang isteri mengikut kemampuan kita. Janji mesti reward. 3. Beri sepenuh kasih sayang kepada isteri yang kita ada. Kita tak akan sedar betapa besar nilainya sehinggalah kita kehilangannya.
Kalau tak mampu buat semua tu, jangan sesekali kita : 1. Tinggikan suara dengan isteri. 2. Marah yang melampau-lampau dengan isteri. 3. Angkat tangan atau kaki untuk menyakiti isteri.
Saya dengan anak-anak memang saya menjerit. Tapi alhamdulilah sepanjang 16 tahun hidup bersama isteri saya, tak pernah jerkah isteri saya. Apatah lagi nak naik tangan atau kaki untuk menyakitinya.
Semoga ini jadi pengajaran berguna buat yang menulis. Semoga ini juga jadi panduan yang bermanfaat buat yang membaca.
Kunci kebahagiaan sebuah rumah tangga adalah kesabaran. Kerana sabar itu indah. Kerana Allah akan memberi ganjaran yang tidak terhitung untuk orang-orang yang sabar.
#KAB
Isteri yang penyabar adalah bidadari syurga dalam rumahtangga.
Nak isteri jadi bidadari syurga di rumah, kita pun kena la usaha jadi bidadara syurga jugak ye tak?
MW: Kadang-kadang, isteri tak perlu pun hadiah mewah sebagainya, cukup dengan suami sama-sama ringan tulang dalam menguruskan rumah tangga dah cukup. Dapat jaga anak atau tolong jemur baju pun rasa gembira buat isteri.
Lumrah apabila berkahwin,segalanya berkongsi dengan pasangan. Terutamanya melibatkan penggunaan barang-barang dan keperluan rumah. Apalah guna perkahwinan jika segalanya dilakukan secara berasingan dan sendirian bertahun-tahun lamanya.Agak pelik tapi itulah yang berlaku bagi pasangan suami isteri ini.
30 Tahun Berasingan
Sepasang suami isteri di Tianjin, China yang sudah berumah tangga selama 30 tahun masih mengamalkan kehidupan seperti ‘orang bujang’ walaupun tinggal serumah.Ini kerana kedua-duanya menguruskan diri sendiri secara berasingan termasuk pembahagian makanan dalam peti sejuk.
Mereka juga tidak tidur di bilik yang sama dan membahagikan kediaman mereka kepada dua bahagian. Malah, mereka bergilir-gilir menggunakan dapur dan memakai peralatan memasak berasingan.
Asingkan Segalanya
Menurt laporan Odditycentral, pasangan itu mengasingkan segalanya termasuk telur ayam di dalam peti ais namun itu menjadi kebiasaan mereka sejak berkahwin. Kehidupan mereka yang sebelum ini tidak diketahui masyarakat umum kini menjadi tular awal minggu ini di laman sosial disebabkan kelainan yang diamalkan pasangan berkenaan.
Berdasarkan media negara berkenaan, pasangan itu juga tidak berkongsi katil kerana si suami tidur di satu sudut di rumah mereka.
Contoh lain yang memaparkan kelainan pasangan itu apabila lampu di rumah mereka terbakar, si isteri perlu memanggil pekerja pembaikan untuk menukar lampu.Si suami hanya akan berbuat demikian sekiranya kerosakan lampu itu di ‘kawasan miliknya.’
“Kami perlu menunggu giliran untuk memasak dan perlu menggunakan dapur sendiri. Ada satu ketika isteri saya mengesyaki saya mencuri telur ayamnya selepas selesai memasak,” kata si suami.
Sikap Pentingkan Diri
Si isteri memaklumkan kepada wartawan, tindakan pengasingan dalam kehidupan mereka berlaku disebabkan sikap pentingkan diri suaminya sejak muda yang menyimpan barangan peribadi tanpa mahu berkongsi dengan sesiapa.
“Sejak muda lagi suami tidak mahu berkongsi barangan dengan saya dan sampai satu waktu, saya juga membuat tindakan sama,” katanya.
Bagaimanapun, dari sudut lain, peraturan yang dilaksanakan pasangan ini menyebabkan kehidupan mereka lebih aman dan tidak berlaku sebarang pertelingkahan.
MW: Pelik sungguh kehidupan suami isteri macam ni. Apalah guna berkahwin jika tak mahu berkongsi.
Ibu bapa sering saja susah hati bila anak mula buat bermacam alasan bila dikejut bangun ke sekolah. Nampak sangat kaki anak itu macam diseret ke pintu pagar sekolah. Punyalah tak happynya nak melangkah ke sekolah.
Buat hati mak tertanya-tanya, ‘kena bulikah anak aku kat sekolah ini? Cikgu marahkah kerja sekolah tak siap?’ Macam-macam.. bila diselidik puncanya anak bosan ke sekolah. Cuba loceng balik dibunyikan, cergasnya anak lain macam. Siap boleh saie 3 bangunan sekolah sebab seronok boleh balik.
Subjek darjah satu dan buku teks yang berat, buat anak bertambah-tambah terbeban. Bukan anak saja, mak ayah pun hairan. Macam mana anak yang kecil ini kena bawa punyalah banyak buku sampai senget bahu.
Membaca perkongsian ibu dua orang anak yang menyambung pengajian Doktor Falsafah di Hankuk University of Foreign Studies, Dr Ummuhani Abu Hassanakan membuka mata mak ayah.
Ketika keluarga kecil ini menetap di Korea, anak sulung mereka, Darda telah di sekolahkan di Korea. Bermula tadika sampailah menjejakkan kaki ke darjah satu di Korea. Dan ini catatan yang sangat menarik tentang sistem pembelajaran di negara maju, Korea Selatan.
Ini 10 Perkara Tentang Sistem Darjah Satu Di Korea
Darda’ sudah masuk darjah satu di sekolah kerajaan Korea. Sedikit perkongsian tentang sistem darjah satu di sini. Saya catatkan 10 perkara dulu.
1. Tiada pakaian seragam. Semua pelajar pakai pakaian harian sehingga masuk sekolah menengah baru ada pakaian seragam.
2. Waktu sekolah bermula jam 9 pagi sehingga 1 petang. Ada kelas petang untuk anak yang ibubapanya sibuk. Kelas petang lebih merupakan kelas aktiviti seperti seni, kemahiran diri dan permainan. Waktunya dibuka sehingga jam 10 malam. Darda’ hanya sampai jam 4.30 petang.
3. Tiada yuran sekolah. Percuma untuk semua termasuk warga asing macam Darda’
4. Satu kelas dengan satu guru. sekitar 22 orang pelajar. Guru ajar semua subjek untuk kelas yang dipegangnya.
5. Bahasa utama adalah bahasa Korea. Ramai guru tidak tahu bahasa asing termasuk Bahasa Inggeris. Jadi ketika bertemu guru, saya bawa kawan Korea jadi penerjemah.
6. Kantin hanya sediakan makanan percuma. Tidak dijual makanan lain. setiap menu sudah diberitahu kepada ibubapa setiap hari. Menu selalunya nasi, sayur yang banyak, protein dari haiwan spt ayam, daging lembu atau babi dan ikan, telur, buah dan susu. Juga diberitahu khasiat makanan kepada ibubapa. Saya bekalkan makanan untuk Darda’ setiap hari.
7. Tiada peperiksaan untuk darjah 1 hingga 3. Sistem pembelajaran serius bermula darjah 4 ke atas. Anak darjah satu hanya didedahkan dengan aktiviti yang melatih disiplin, kemahiran diri, seni, Sains dan teknologi.
8. Setiap pelajar darjah satu diberikan alatan kelas yang sama dan percuma seperti bakul kecil, gunting, penyapu meja, pensil warna dan pensil. Semua barang perlu letak nama dan disimpan baik-baik dalam kelas. Hal ini melatih anak supaya pandai jaga barang dan tidak iri pada kawan kerana barangnya sama.
9. Ibubapa perlu install aplikasi Classting di hp kerana dari aplikasi itu guru akan memberitahu apa yang diajar dan hasil pembelajaran setiap hari. Guru juga akan masukkan gambar pelajar dan makanan yang mereka makan pada hari itu. Dalam bahasa Korea.
10. Sesi kaunseling guru dan ibubapa secara personal diadakan setelah sebulan anak mulai kelas mereka pada setiap semester. Guru memberitahu apa kelebihan dan kekurangan anak dalam kelas juga meminta pandangan ibubapa untuk anak mereka lebih fokus dan seronok datang sekolah.
Alhamdulillah, setakat ini Darda’ seronok ke sekolahnya. Saya kongsikan gambar yang cikgu hantar setiap hari, jenuh simpan. Tak susah cari Darda sebab boleh kenal ‘lebai’nya.
Aktiviti Di Sekolah Outdoor Indoor
Cara Ini Boleh Didik Jiwa Murid Cintakan Alam Sekitar
Belum pun seminggu Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, mula kedengaran rungutan tak kira daripada lelaki atau wanita, berat badan dah makin naik! Mak ai! Siapa tak risau?
Bagi mak-mak yang terpaksa bekerja dari rumah, cabaran besar juga sebab dalam masa yang sama perlu uruskan anak-anak dan kerja rumah. Takkan dah duduk rumah, masak pun tak nak kan? Dalam hal ini, pandai-pandailah bahagikan masa agar tanggungjawab dan amanah majikan dapat dipenuhi.
Asyik Masak Jer!
Bila anak-anak memerap di rumah, dapur adalah ‘destinasi’ wajib mereka. Sekejap-sekejap jengah dapur… buka peti ais, buka tudung saji. Baru sudah sarapan, dah tanya tengah hari nanti nak makan apa? Aduh. Macam mana mak-mak tak garu kepala! Rasanya kebanyakan mak-mak mengalaminya bukan?
Bila anak asyik bagitahu lapar, tak sampai hati mendengarnya. Jadi, mesti akan masak ‘complete’; sarapan, makan tengah hari, minum petang, makan malam bahkan sekali dengan ‘supper’ (makan lewat malam).
Penat Tapi Bahagia
Bila macam-macam makanan ada, anak-anak (dan juga suami) mesti seronok kan? Mak-mak pula…bukannya tak seronok, kata orang, gembira bila tengok anak dan suami kenyang makan air tangan kita. Hilang rasa penat. Tapi, yang jadi kerisauan, bila kita masak, kita pun akan makan juga. Akhirnya tanpa sedar, baju dan seluar makin mengetat bila berat makin naik!
Inilah yang mak-mak paling risau sebenarnya. Mintalah masak apa saja, tak jadi masalah. Yang jadi masalah bila badan kita makin berat.
Ada beberapa tip mudah yang boleh diikuti untuk kawal supaya berat badan tak mencanak naik.
1 – Puasa
Tak lama lagi Ramadan bakal menjelma. Puasa dah ganti belum? Jika belum, inilah waktu tepat untuk kita ganti puasa. Atau kalau pun dah selesai ganti, boleh puasa sunat. Pahala dapat, berat badan pun terkawal.
2 – Bersenam Dengan Buat Kerja Rumah
Tak ada masa nak bersenam? Tak perlu khuatir. Kalau rasa hari itu terlebih makan, cepat capai mop dan sila mop lantai rumah atau sental bilik air, gerenti kita banyak berpeluh. Cuma, larat atau tak saja. Yelah, dah penat masak.
3 – Elak Masak Makanan Kesukaan Sendiri
Cuba ingat, mungkin ada masakan kegemaran anak-anak dan suami, tapi kita kurang menggemarinya. Ha..apa kata masak hidangan itu lebih kerap? Bila kita masak masakan yang kita sendiri tak berapa suka, dengan cara ini akan membantu kita tidak makan dengan banyak.
4 – Masak Secukupnya Saja
Kadangkala sudah terbiasa sikap mak-mak yang suka masak lebih. Takut tak cukup. Tapi kena ingat, kalau kita masak sepanjang hari, tak akan timbul isu tak cukup makanan. Yang jadi kerisauan, bila makanan tak habis, kita yang akan habiskan walau pun jam menunjukkan angka 10 malam! Sikap ini juga boleh menyumbang pada kenaikan berat badan.
5 – Atur Menu
Mak-mak kena bijak untuk susun menu harian. Kalau boleh, seimbangkan. Jangan hari-hari masak berlemak dan berminyak saja. Bukan anda saja yang bertambah berat badan, takut nanti anak-anak dan suami pun ikut ‘bambam’. Variasikan hidangan. Masakan yang lebih sihat seperti singgang dan asam rebus pun sedap. Selain itu, jangan lupa buah-buahan sebagai snek sihat untuk keluarga.
Dalam situasi sekarang, tak ada salahnya jika kita ‘catu’ sedikit makanan. Jadi bekalan makanan pun taklah cepat habis. Ia juga menggelakkan kita kerap keluar membeli barang dapur. Bermakna, kita juga meminimumkan risiko kita untuk terkena jangkitan virus Covid 19 yang sangat ditakuti sekarang ini!
Selamat mencuba!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
RM175 sebulan belanja barang basah, isteri kongsi tip jimat makan sekeluarga. Di kala ramai yang mengeluh harga barang dapur naik melambung, seorang isteri, Nabila ...