Suami panas baran memang menakutkan. Salah sikit saja dah melenting dan mengamuk. Lebih buruk lagi kalau sampai sanggup pukul isteri! Ikuti luahan hati seorang isteri yang bersuamikan lelaki panas baran.
Kahwin Suami Atas Dasar Cinta
Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada sepasang cahaya mata berusia tujuh dan lima tahun. Saya bertugas sebagai seorang di sebuah hospital manakala suami pula bekerja swasta. Perkahwinan kami atas dasar cinta setelah setahun berkenalan.
Selepas kahwin, suami mula tunjuk perangai sebenar. Segala perbelanjaan rumah terletak di bahu saya. Walau pun bergaji, dia habiskan untuk hobinya saja iaitu motosikal berkuasa tinggi dan memancing. Bahkan kadangkala minta duit daripada saya pula.
Terbeban
Memasuki usia perkahwinan lapan tahun, saya makin terbeban kerana pinjaman perumahan juga atas nama saya dan bayaran secara potong gaji. Malah saya juga terpaksa membayar pinjaman suami yang dibuat atas nama saya. Katanya saya bekerja kerajaan, lagi mudah dapat pinjaman.
Akhirnya, saya yang terbeban kerana perlu bayar itu dan ini. Nasib baik anak hanya dua orang. Segala perbelanjaan anak saya yang tanggung. Jika ada pun, dia akan belikan mainan anak sesekali. Hadiah untuk saya? Seingat saya, dia pernah belikan saya sehelai kain pasang ketika kami baru beberapa bulan berkahwin. Sejak itu, memang tak pernah. Inikan hadiah, duit nafkah bulanan pun tak pernah beri.
Sebagai isteri, lama-kelamaan akan rasa sakit hati juga. Terbit rasa tidak ikhlas dengan pertolongan yang diberikan selama ini. Mengapa saya yang perlu tanggung semua sedangkan dia juga bekerja? Saya tak kisah berapa dia nak bagi tapi sekurang-kurangnya biarlah dia turut menyumbang pada perbelanjaan rumah. Sering kali saya memujuk diri sendiri, sekurangnya dia membenarkan saya bekerja untuk mencari rezeki. Jadi, saya tetap perlu berterima kasih padanya. Saya juga sudah penat membebel dan menasihatinya tapi tidak dipedulikan. Akhirnya saya ambil keputusan untuk redha saja untuk menggelakkan pergaduhan.
Suami Tak Bekerja
Akhir tahun lepas, suami saya berhenti kerja. Katanya dia tidak sekepala dengan bos barunya di tempat kerja. Tapi bila saya risik pada kawan-kawannya, sebenarnya dia diberhentikan kerja kerana asyik ‘hilang’ pada waktu bekerja. Saya hairan, selama ini dia tak pernah pula tidak pergi kerja kecuali memang pada hari dia ambil cuti dan MC. Tapi saya tak berani nak tanya.
Sejak itu, dia hanya makan tidur di rumah. Bila saya perlu bekerja syif malam, anak-anak akan tidur di rumah pengasuh kami kerana katanya dia tak tahu nak jaga anak sedangkan anak-anak kami sudah besar. Bukannya perlu berjaga malam. Memang itu perangainya sejak anak-anak kecil. Apabila dia tidak bekerja, saya minta dia uruskan hal sekolah anak-anak, hantar dan jemput anak dari sekolah. Nasib baik dia sanggup.
Suami Mula ‘Naik Tangan’
Sebenarnya kami kerap bergaduh besar dan setiap kali itu juga pasti ada barang rumah rosak dihempaskan. Dia panas baran orangnya. Dua bulan lepas, dia semakin ganas dan telah memukul saya. Ketika itu kami bergaduh soal duit. Dia meminta duit daripada saya sedangkan ketika itu duit saya hanya tinggal cukup-cukup untuk belanja sebelum tiba hari gaji beberapa hari lagi. Duit itu hendak digunakan membeli umpan pancing.
Ads
Bila saya ungkit mengapa dia tidak bekerja, dia naik angin, saya ditampar dan dipukulnya. Walau pun tidaklah sampai berdarah dan patah, tapi cukup menyakitkan diri saya. Terpaksa saya berikan dan keesokan hari saya tebalkan muka meminjam duit daripada rakan kerana saya langsung tiada duit.
Ikut Rentak Takut Dipukul Lagi
Sejak itu, saya serik dan akan turuti segala kehendaknya kerana takut dipukul lagi. Saya tak dapat bayangkan kalau dia memukul saya dengan teruk kerana tubuhnya jauh lebih besar daripada saya. Jika tidak ada duit, saya rela meminjam daripada rakan. Mujur ada beberapa orang rakan rapat yang tahu kisah saya selama ini dan akan membantu saya.
Puan, apa yang patut saya lakukan? Kesabaran saya makin menipis. Walau pun baru sekali dia ‘naik tangan’ tapi saya risau kalau dia akan mengulanginya lagi. Setakat ini saya masih boleh mengikut kehendaknya untuk menggelakkan dia bertindak ganas. Tapi sampai bila?
Rasa sayang saya juga semakin menghilang. Saya takut untuk terus hidup dengannya dan kehidupan saya makin tersepit kerana dia enggan bekerja. Saya sudah tidak berani hendak menyuruhnya bekerja kerana takut dipukul lagi. Keluarga kami tidak tahu akan perihal ini dan saya malu hendak memberitahu mereka.
Isteri risau, Melaka.
JAWAPAN:
Wanita yang bergelar isteri kepada seorang lelaki dan ibu kepada seorang atau beberapa anak punya peranan dan tanggungjawab yang cukup besar. Ianya menuntut kepada pengorbanan dan kesabaran untuk membina keluarga seperti yang diharapkan.
Wanita yang bergelar isteri dan ibu juga berperanan dalam mendidik keluarga, bukan sahaja untuk anak-anak, malah mendidik diri sendiri, mendidik suami, juga mendidik seluruh ahli keluarga dalam kemampuan yang ada bagi menjamin agar setiap ahli keluarga tahu tentang peranan dan tanggungjawabnya.
Ads
Suami Kena Faham Tanggungjawab Isteri
Tugas dan tanggungjawab isteri seperti yang telah kita sedia maklum. Jika isteri itu bekerja, maka dia membantu menampung belanja dalam pengurusan keluarga. Tanggungjawab menyedia keperluan makanan, pakaian dan rumah adalah tanggungjawab suami. Isteri membantu sahaja, bukan mengambilalih atau menyediakan semua keperluan keluarga, apatah lagi memenuhkan duit poket suami.
Jika puan sebagai isteri mengambil alih semua tanggungjawab itu di mana tanggung jawab dia sebagai suami? Suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri dan keluarga adalah lelaki yang tidak matang. Justeru, siapakah yang perlu memainkan peranan untuk “mematangkan” suami? Nak harapkan keluarganya atau nak harapkan rakannya?
Isteri Yang Kena Main Peranan Didik Suami
Jawapannya puan sendiri tahukan. Puan lah yang perlu memainkan peranan utama dalam mendidik suami untuk menjadi matang dan bertanggungjawab. Sebelum mendidik dan cuba mengubah suami, puan perlu mengubah minda dan tindakan puan terlebih dahulu apabila berhadapan dengan suami. Sedarkah puan cara puan ini memberi satu “peneguhan” tingkah laku suami yang negatif?
Dalam hal ini, puan perlu belajar dan mendidik diri puan agar bertegas dengan suami jika dia tidak memberi nafkah, tidak bekerja, apa tah lagi jika meminta wang dari puan. Jangan takut pada baran suami.
Jangan Takut!
Tahukah puan, kerana takut kepada baran suamilah maka dia menjadi semakin berani untuk tidak bekerja, meminta wang dari puan dan bertindak kasar terhadap puan. Puan perlu ada ketegasan dan jangan malu tidak bertempat.
Beritahu suami jika dia bertindak kasar puan tidak teragak-agak untuk membuat laporan kepada pejabat agama dan laporan polis. Beritahu keluarga agar dia tidak keterlaluan terhadap puan. Sekali lagi saya nyatakan, sebagai isteri, ada hak perlindungan, jangan biarkan diri diperalat dan disiksa emosi dan fizikal oleh suami.
Ads
Belajar Urus Emosi Berdepan Situasi Ini
Puan perlu belajar bagaimana urus diri puan untuk berhadapan dengan sikapnya. Jangan sesekali beri wang bila diminta. Kalau dia tidak mahu bekerja, maka makannya tunggu sehingga dia membeli beras dan ikan. Puan perlu berani, kerana jika puan takut maka selagi itulah dia akan jadi semakin berani memperalatkan puan untuk memenuhi kehendaknya.
Saya ada mengendalikan beberapa kes suami baran ini. Tidak baran sebanyak mana pun jika isteri tahu dan bijak mengendalikan suami, sama ada ada secara lembut tetapi tegas atau cara lain yang difikirkan sesuai untuk mengubah tingkah lakunya.
Jangan Tunjuk Lemah Di Depan Suami
Orang yang baran ni akan menang jika dia tahu orang yang dia berhadapan itu lemah. Maka puan jangan tunjukkan kelemahan seperti takut, mengalaah tidak bertempat. Selagi mana puan mengikut kemahuannya, bermakna puan tidak berusaha mendidik dirinya agar berubah. Untuk berubah bukan perkara yang mudah.
Puan perlu dapatkan panduan mengendalikan orang yang baran dan malas tidak mahu bekerja ini. Dia juga sukar berubah jika kehendaknya puan sering turuti. Selain daripada itu, gunakan orang ketiga yang suami agak hormati jika puan tidak mampu mengendalikannya secara berseorangan.
Campur tangan keluarga adalah perlu, tetapi kepada yang boleh diperoleh pandangan dan nasihat, bukan mengapi-apikan lagi keadaan. Jika puan bijak mengurus, permulaannya mungkin sukar, namun jika sekali buat berani memberi amaran kepada suami agar jangan jatuh tangan atau meminta wang dari puan, maka suami akan lebih berhati-hati. Jika dia bertindak kasar, jangan takut untuk ke pejabat agama. Atau jika lebih serius, jangan takut untuk fail kes ke mahkamah.
Ketahui Hak
Setiap insan ada hak dan perlindungan yang perlu dipertahankan. Buang sifat malu tidak bertempat. Jika puan berani melaporkan kepada pihak berkenaan, insya Allah suami tidak berani berkasar terhadap puan.
Nasihati suami agar berubah. Hidup perlu bekerja untuk menyara keluarga, dan yang paling penting menjalankan tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan yang harus dipenuhi. Banyakkan solat malam, zikir dan mohon agar Allah beri petunjuk kepada suami dan kekuatan kepada puan berhadapan dengan sikapnya itu. Wallahualam.
Sumber: Permasalahan ini telah dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor dan penulis bebas, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Jika seorang isteri itu hendak berbakti kepada kedua orang tuanya sebagai suami, berilah sokongan dan galakan. Untung kalau isteri masih ada orang tuanya dan setia berbakti, itu tanda besar dia anak yang baik dan jenis bertanggung jawab.
Jadi kaum suami kena faham dan tak bolehlah nak halang isteri yang suka balik kampung jenguk mak ayahnya, apatah lagi kalau dia suka memberi apa yang dia punya pada orang tuanya.
Macam situasi saudara Firdaus Shakirin ini, dia sendiri tak pernah halang isterinya melayan ibu mentuanya. Kadang beli stok dapur untuk mak ayah yang sudah tua.
Biarkan Isteri Berbakti Pada Orang Tua
Isteri Bila Dia Nak Berbakti Pada Orang Tuanya Suami Jangan Halang
Pagi tadi lepas balik daripada beli sarapan, nampak isteri sedang urut kaki mak dia. Suasana dan keadaan yang selalu saya nampak bila balik umah mentua.
Ibu mertua saya ini ibu tunggal.
Mertua sakit lutut sudah lama, kesan daripada dia kemalangan dulu. Cecair pada lutut dia pun sudah kurang, bila berjalan banyak, dia akan sakit. Dalam rumah mentua, merata tempat ada kerusi, untuk dia berhenti berehat sekejap setelah berjalan. Dia jalan pun terhincut-hincut. Berdiri lama pun tak boleh.
Memasak guna kerusi, mandi guna kerusi, solat pun guna kerusi.
Doktor nak operate lutut dia tu, dia tak nak sebab dia kata sudah tua, biarlah macam itu sahaja. Saya bawa dia keluar pergi mana-mana, suruh dia duduk atas kerusi roda pun dia tak nak. Malu. Jadi saya pimpin dia sambil berjalan.
Kadang-kadang bila saya baca luahan isteri yang dilarang berbakti kepada orang tua mereka, saya rasa hairan. Kenapa perlu larang isteri dari berbakti kepada orang tuanya? Selagi orang tuanya tidak menyuruh isteri menyekutukan Allah, selagi tu dia juga berhak taat kepada orang tuanya.
Berilah Sokongan
Bagilah peluang isteri untuk jadi anak yang baik.
Walaupun dia perlu taat lebih kepada suaminya, tapi tak perlu kot kita nak menghalang dia daripada berbakti dan balas budi orang tuanya atas alasan tu. Ada juga menantu lelaki yang jarang balik rumah mertua, jarang bawa isteri balik. Kalau balik pun, duduk tak lama dan suka buat muka macam tak seronok duduk di rumah mertua.
Anggap Mertua Macam Ibu Bapa Kita Sendiri
Saya tak pernah anggap mertua saya sebagai orang asing… balik rumah dia, nampak rumah tak terurus, kotor, saya faham. Sebab keadaan dirinya itu tak mengizinkan dia untuk kemas rumah, sapu smpah dan sebagainya. So, bila saya dengan wife balik, kami kemas semua bagi bersih, then beli barang-barang stock untuk sebulan.
Bulan depan balik pula.
Topup lagi barang-barang dia, kemas lagi rumah dia dan bawa dia jalan-jalan, pergi makan sedap-sedap… masa orang tua dia hidup la kita nak isteri kita berbakti, balas budi insan yang membesarkan isteri kita sehingga kita berjumpa dan dapat berkahwin dengan isteri kita.
Berapa lama sangat masa yang isteri kita ada untuk buat semua itu?
Agak tidak adil untuk HANYA menerima isteri dan tidak mahu menerima mertua. Jangan sesekali menghalang isteri daripada berbakti kepada orang tuanya. Selagi diorang masih hidup, selagi itulah diorang menjadi lubuk pahala untuk isteri kita dan juga kita.
Kecil hati isteri jika kita yang jadi suami ni, menjarakkan hubungan dia dengan keluarganya. Itu ibu bapanya, bukan orang lain. Kenapa perlu memisahkan mereka? Layan mereka sama seperti ibu bapa sendiri.
Saya seorang wanita yang berusia 33 tahun, belum berkahwin. Saya buntu kerana dilamar sahabat karib sendiri untuk jadi madunya!
Tunang Meninggal Dunia
Saya mempunyai pengalaman pahit dalam hidup apabila tunang yang saya sayangi telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya hanya beberapa bulan sebelum kami melangsungkan perkahwinan. Ketika itu saya berusia 25 tahun. Arwah cinta pertama saya dan kami berhubungan sejak di universiti.
Kehilangannya teramat saya rasai walau pun sudah lapan tahun peristiwa itu terjadi. Hati saya tertutup untuk menerima cinta lelaki lain walau pun ramai yang cuba mendekati. Saya bersyukur, mak, abah, abang dan kakak-kakak (saya anak bongsu empat beradik) amat memahami dan tidak pernah mendesak soal jodoh.
Walau pun masih bujang, tapi saya tak rasa hidup sunyi, saya ada anak-anak saudara yang umpama anak sendiri dan mak abah yang sentiasa di sisi. Kalau ada cuti, sering kali juga saya bawa mak abah bercuti bersama termasuk ke luar negara. Bagi saya, berbakti kepada mereka berdua sudah cukup buat saya bahagia.
Sahabat Sejak Universiti
Puan, saya ada beberapa orang rakan yang saya anggap umpama adik-beradik. Salah seorang, saya kenalkan sebagai M saja. Kami rapat kerana satu kelas ketika di universiti. Dia sudah berkahwin hampir 10 tahun namun belum dikurniakan zuriat. Saya juga kenal suaminya yang saya panggil abang K, baik dan warak orangnya. Seorang doktor gigi. Saya agak rapat dengannya yang memanggil saya ‘adik’, nama manja saya dalam keluarga. M pula pensyarah seperti saya.
Sejak kebelakangan ini, M kerap mengusik saya, katanya nak jadikan saya madunya. Boleh juga saya lahirkan zuriat untuk suaminya. Saya hanya ketawa besar kerana tahu M memang jenis yang suka bergurau. Pernah saya tanya, tak takut saya nak rampas suaminya? Jawabnya, dia kenal saya macam mana.
Lagi pun katanya, daripada bermadu dengan wanita yang tak kenal hati budinya, baik dia bermadu dengan sahabat baik sendiri. Saya hanya ketawa dan tak pernah simpan dalam hati.
Serius
Sehinggalah baru-baru ini, M tiba-tiba saja berjumpa saya sebaik saya kembali daripada mengerjakan umrah bersama mak dan abah. Kali ini, bersama abang K. Saya tak syak apa-apa kerana mungkin dia nak menziarahi saya yang baru balik umrah. Ternyata kedatangannya mengejutkan saya bila dia dengan serius ‘merisik’ saya untuk dijadikan isteri suaminya!
Saya tak tahu nak cakap apa, apatah lagi abang K ada bersama. Tapi abang K hanya diam. Kata M kalau saya sudi, dia sendiri akan datang merisik dengan mak dan abah saya secara rasmi. Waktu itu, saya hanya mampu minta M beri saya masa. M pula tak memaksa, dia berikan saya sebanyak mana masa yang saya perlukan.
Tertunggu-tunggu
Sudah sebulan lebih berlalu dan saya masih tak tahu nak cakap apa. Saya sedar tak boleh biar M tertunggu-tunggu. Abang K pernah hubungi saya, katanya dia pun tak bersetuju dengan hasrat M tapi dia ikutkan saja kerana dia sedar M sebenarnya stres kerana masih belum dikurniakan zuriat.
Puan, terus terang saya tak pernah termimpi untuk bermadu dengan M. Madu itu manis, tapi ‘bermadu’ itu pahit. Apa patut saya lakukan puan? Apa cara terbaik untuk menolak hasrat M?
Ms J, Ipoh.
Jawapan:
Tidak dinafikan penyeri dalam sebuah perkahwinan adalah kehadiran cahaya mata untuk pasangan suami isteri. Pada saya M adalah seorang yang hebat dan baik, pun memiliki suami yang baik. Seorang isteri yang baik dan memiliki suami yang baik akan cuba membahagiakan suaminya.
Bukan mudah untuk menerima wanita lain untuk dijadikan isteri kepada suaminya yang merupakan madunya. Mungkin satu dalam sejuta. Kebaikan yang ada pada dirinya iaitu mahu membahagiakan suami membolehkan M membuat pengorbanan yang amat jarang boleh dilakukan oleh kebanyakan wanita.
Meskipun mustahil kepada wanita lain untuk mengizinkan suami berkahwin lagi, tetapi M mencari wanita untuk suaminya. Dan dia yakin saudari adalah calon yang sesuai untuk suaminya.
Persepsi
Poligami masih belum menjadi budaya di Malaysia. Malah persepsi terhadap orang yang berkahwin lebih daripada satu kadang-kadang dipandang sinis oleh masyarakat. Kalau budaya di negara seperti Nigeria, kahwin lebih daripada satu adalah lumrah. Ada yang memenuhi kuota, iaitu empat, malah tinggal serumah. Anak-anak seperti adik beradik dan layanan ibu-ibu sama sahaja. Itu yang pernah saya dengar daripada seorang berbangsa Nigeria.
Untuk isteri pertama menerima madu bukan suatu yang senang. Dia mengizinkan, namun hatinya Allah sahaja yang mengetahui. Namun perasaan sedih dan kecewa akan hilang sedikit demi sedikit jika hatinya baik.
Masa Depan
Saudari, dalam hidup ini kita tidak tahu apa yang terbaik untuk kita. Kita juga tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Perkahwinan bukannya statik, kerana manusia boleh berubah, perasaan juga boleh berubah, malah karakter seseorang juga boleh berubah.
Untuk memberi pandangan bagaimana untuk menolak juga sukar kerana hajat seseorang mungkin besar buatnya. Mana tahu jika ditakdirkan saudari berkahwin dengan suaminya akan menjadikan M lebih bahagia? Mungkin saudari boleh memberi beberapa pertimbangan dan jalan penyelesaian.
Pertama, tanya pandangan keluarga, bagaimana pandangan mereka? Kedua, untuk menolak hasratnya perlu bersebab. Maka dalam hal ini saudari perlu mencari jodoh. Mungkin juga saudari boleh minta keluarga yang carikan atau kawan yang carikan selain daripada suaminya.
Mohon Petunjuk
Ketiga, jika benar sahabat saudari mahukan anak, maka carikan anak angkat untuk M. Berapa ramai pasangan yang tiada anak tetapi mengambil anak angkat buat penyeri hidup.
Akhir sekali buatlah solat hajat dan istikharah mohon petunjuk dari Allah. Beri masa pada diri dan sahabat. Jika saudari menolak hasrat M bersesuaian dengan masa dan M pula bersetuju untuk mengambil anak angkat dan saudari pula telah ada jodoh, maka keadaan ini akan lebih harmoni.
Jika sebaliknya, ditakdirkan saudari jadi madunya, maka berserahlah kepada ketentuan Allah. Moga saudari dan M beroleh kebahagiaan dengan apa jua perancangan yang dibuat. Mohonlah petunjuk dan kekuatan daripada Allah.
** Persoalan ini telah dijawab oleh Puan Hajah Maimunah Haji Mohamad, Kaunselor, yang juga penulis tetap ruangan Ya Tuhan di dalam majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baru berkahwin 10 bulan, suami sanggup simbah asid pada isteri hingga meninggal dunia. Bukan saja isteri menjadi mangsa amarahnya, anak tirinya turut menerima nasib yang sama.
Bila amarah menguasai diri, perkara tidak masuk akal pun mampu dilakukan. Tak dapat bayangkan keadaan isteri yang terseksa disimbah asid sebelum meninggal dunia.
Baru Berkahwin 10 Bulan
Polis Jeddah, Arab Saudi, menahan seorang lelaki kerana menyimbah asid pada isterinya sehingga menyebabkan kematian wanita itu dan mencederakan anak perempuan mangsa, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Pusat talian kecemasan polis Jeddah sebelum itu menerima laporan mengenai seorang wanita dan anaknya yang disimbah asid di kediaman mereka di daerah Al-Samir, timur Jeddah.
Sebaik sahaja anggota-anggota polis tiba di lokasi, mereka menemui wanita tersebut dan anaknya dalam keadaan parah akibat melecur disimbah asid.
Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital King Fahd, namun wanita berkenaan meninggal dunia sementara anaknya daripada perkahwinan terdahulu cedera parah dan ditempatkan di unit rawatan rapi.
Polis berkata, suspek melarikan diri selepas menyerang kedua-dua mangsa. Dia bagaimanapun berjaya diberkas tidak lama selepas itu.
Menurut sumber polis, suspek memukul isterinya dan menyimbah asid ke atas mangsa dan anaknya selepas bertelagah mengenai hal keluarga.
Kedua-dua mereka dikatakan berkahwin 10 bulan lalu. – AGENSI
Mingguan Wanita : Emosi jika tidak dikawal dengan baik , buruk padahnya. Nyawa seorang isteri seolah-olah tiada nilai sehingga dia sanggup bertindak sedemikian rupa.
Pelajar tingkatan tiga trauma dipercayai Dirogol dua pelajar senior di dalam kelas dan dirakam video. Seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah dilaporkan mengalami trauma teruk dan enggan ke sekolah selepas dipercayai menjadi mangsa rogol bergilir-gilir oleh dua pelajar lelaki senior.