Mungkin sudah menjadi lumrah, apabila wanita mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak, segala tanggungjawab berada di bahunya terutama dalam mengasuh anak-anak. Tidak kiralah, isteri itu seorang suri rumah tangga sepenuh masa atau pun berkerjaya.
Maklum sahaja, naluri keibuan itu menebal membuatkan anak lebih selesa bersama ibu. Sehinggakan suami perlahan-lahan melepaskan ‘baton’ dalam mengasuh atau menjaga anak.
Bukan sahaja di Malaysia, boleh dikatakan semua ibu bapa di seluruh dunia menggalas tanggungjawab yang sma. Persoalannya, adakah menjaga anak itu adalah tanggungjawab isteri sahaja. Mengulas lebih lanjut tentang topik ini bersama Abdul Muiez Ruslee, Guru Bimbingan dan Kaunseling Di Sekolah Menengah & Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Sabak Bernam.
Tidak Terabai
Bila difikirkan kembali, tanggungjawab yang digalas oleh isteri yan suri rumah sepenuh masa dan tidak berkerja adalah lebih berat. Contoh, buka sahaja mata, segala tugas sedia menunggu. Bermula dengan menyiapkan keperluan pakaian sekeluarga, menyediakan sarapan, mengemas segala sepah yang ditinggalkan. Tidak cukup dengan itu, tugas isteri ini dengan menyiapkan hidangan tengah hari dan berlarutan hinggalah ke tengah malam. Selagi mata belum terpejam, selagi itulah tugas perlu disiapkan.
Sebagai suami yang prihatin, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan dalam meringankan penat isteri.
Ads
Bantu isteri mengemas meja makan dan membasuh pinggan mangkuk yang telah digunakan.
Tolong bersihkan baju. Paling mudah dengan hanya masukkan ke dalam mesin basuh, letakkan sabun dan selebihnya biarkan teknologi yang mengurusnya.
Kemas permainan yang ditinggalkan anak di ruang tamu supaya mudah untuk isteri bersihkan keesokannya.
Beli barang dapur sebelum pulang ke rumah.
Urutlah isteri dengan belaian kasih sayang.
Dalam mengendalikan tugas menguruskan rumah tangga, suami isteri perlu sepakat sejak dari awal perkahwinan lagi. Contohnya:
Jika isteri memasak, suami yang mengemasnya.
Jika isteri mengemas ruang tamu, suami yang menyapunya.
Jika isteri membasuh baju, suami yang menyidainya.
Jika isteri melipat baju, suami yang menyusunnya.
Ini adalah perjanjian asas yang perlu dimenterai sejak dari awal perkahwinan lagi. Jika ia disepakati, pasti suami yang bersikap raja tidak akan wujud.
Suami Lepas Tanggung Jawab
Kisah suami lepas tangan sering kali dipaparkan di media massa dan turut mengundang kekacauan dalam rumah tangga.
Apabila semua tugas dan kewajipan yang sepatutnya digalas oleh suami dibebankan sepenuhnya kepada isteri, tidak hairanlah akan wujud konflik dalam rumah tangga. Mungkin berpunca dari sikap tidak puas hati, sehingga persefahaman tidak mampu lagi disepakati. Ini menjadikan rasa amarah semakin meluap dan menyebabkan kerukunan rumah tangga menjadi musnah.
Ads
Walaupun apa pun yang berlaku, tugas mencari nafkah sepatutnya berada di atas pundak suami. Isteri hanya sekadar membantu untuk mencukupkan apa yang terkurang dalam keluarga.
Isteri Perancang Utama
Malah, bila difikirkan perkara yang paling suami takuti adalah apabila isteri sakit. Jika ada isteri mengadu tidak sihat atau demam, cepat-cepatlah tolong legakan isteri. Kenapa? Kalau isteri demam atau tidak sihat, lumpuhlah rumah tangga. Apa yang suami lakukan dalam rumah serba tidak kena. Mahu terbalik rumah, rasanya.
Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa isteri adalah tulang belakang kepada kesejahteraan dalam rumah. Apa tidaknya, tugas-tugas memasak, menguruskan anak akan dilaksanakan oleh isteri. Suami? Hanya menghulurkan tangan untuk meringankan beban.
Ads
Tetapi yang peliknya, apabila suami demam, sikap mengada-ngadanya mengalahkan anak kecil. Rasanya, inilah masalah global yang dialami oleh suami di seluruh dunia.
Apa pun, perkara paling penting dalam rumah tangga ialah suami isteri perlu saling membantu menguruskan istana cinta bersama. Insya Allah, hasilnya pasti cinta membawa ke jannah.
Tugas Suami
Membina mahligai rumah tangga bukannya mudah, apatah lagi mahu mempertahankannya. Suami dan isteri perlu berganding bahu untuk menjemput mawaddah dan rahmah bagi mengekalkan kebahagiaan rumah tangga dan mengetatkan rasa cinta buat selamanya.
Kadang-kadang, perempuan ini sukar untuk difahami. Apatah lagi menebak kemahuan dan kehendak mereka. Bila ditanya kenapa muncung, jawapan mereka sangat mudah, “tak ada apa-apalah.” Tetapi di sebalik perkataan tak ada apa-apa itulah tersenarai satu kajang salah laku suami yang tak disedari.
Apa pula tugas suami? Adakah sekadar membiarkan rajuk itu padam sendiri? Sebagai seorang lelaki yang gentlemen satu tindakan drastik perlu dilakukan. Antara perkara yang boleh dicuba ialah,
1. Belikan hadiah kecil buat mereka seperti coklat, kad mahu pun bunga. Tidak perlu mahal-mahal. Asalkan pemberian itu ikhlas dari hati. Apa perasaan kita jika menerima hadiah tanpa disangka? Begitu juga yang akan mereka rasa.
2. Sebelum pergi kerja, selitkan sekeping dua not sepuluh atau dua puluh ringgit di dalam dompet isteri. Sertakan juga sedikit nota cinta seperti “hadiah kecil buat kesayangan” atau “duit ini tidak boleh beli bahagia tetapi dengannya mungkin akan menghangatkan cinta.” Pasti senyumnya lebar sampai ke telinga.
3. Jika kita pulang kerja lebih awal daripada isteri, lakukan kejutan kecil seperti basuhkan baju, kemaskan meja makan, vakum karpet, masak nasi, siang ikan atau siapkan makan malam. Masa itu, kalau nak minta izin lepak mamak dengan kawan-kawan pun, mesti boleh punya.
4. Jika selama ini sang isteri yang menyediakan minuman sebaik sahaja suami pulang ke rumah, apa kata sesekali si suami pula yang mengambil tugas itu. Tak salahkan, jika suami pula yang berbakti kepada isteri?
5. Sebelum tidur, cuba gosok sedikit pinggang atau belakang isteri. Berikan belaian cinta sehingga isteri terlelap. Insya Allah pasti esoknya dia bangun dengan gembira. Cuma gosok itu jangan lebih-lebih pula. Nanti tak jadi kerja.
Perlukah suami buat semua ni? Eh, sudah tentulah perlu. Hubungan cinta ini konsepnya perlu memberi dan menerima. Sebelum menerima, kita perlu juga memberi. Barulah cinta itu akan mekar selamanya.
Setiap kali nak raya, kaum suami kena buat-buat sibuk juga masa isteri kemas pakaian. Jangan bertenang sangat atau paling penting jangan marah. Bila isteri tanya tolong bantu cari. Atau paling kurang buat-buat tanya, bukan tangan asyik pegang phone. Itu pun lebih dari cukup!
Paling takut, kalau masih ada kaum suami yang serah bulat-bulat tugas kemas barang dan hias rumah pada kaum isteri saja. Akhirnya maas nak balik kampung isteri penat dan terlupa bawa barang. Mulalah dia ‘panas enjin’ dan membebel meleret-leret, sudahnya keruhlah keadaan yang awalnya nak gembira pada hari raya. Tetapi andai nak selamat, kaum suami boleh ikut cara saudara Amir Syahir ini…
Kalau Nak Raya…
Ada sekali tu aku pergi shopping barang dapur dengan isteri aku. Aku terpandang suami isteri sedang membeli persiapan raya.
Si isteri dengan dukung anak guna baby carrier, pastu tolak anak dengan stroller lagi sambil belek-belek baju. Mana suami? Si suami sedang berdiri tercegat berhampiran dengan si isteri sambil bermain telefon pintar.
Kesian pun ada. Apa kerja yang penting sangat dibuat oleh si suami. Main telefon sambil tersenyum. Sedang uruskan projek berjuta-juta gamaknya.
Bila nak raya, si isteri lah paling sibuk. Nak uruskan anak lagi, sediakan baju raya anak lagi, kemas pakaian nak bawa balik kampung lagi, bangun masak sahur, masak untuk berbuka lagi. Penat dan sangat memenatkan.
Kau cuba prihatin sikit. Kesian kalau kau serahkan 100% tanggunganjawab kepada isteri kau je. Kau tak boleh bagi nafkah lepastu suruh dia je uruskan segalanya. Dia pun manusia biasa jugak. Uruskan sama-sama kan manis.
Curi Hari Minggu
Hari minggu hari masa untuk keluarga. Luangkan masa yang berkualiti untuk isteri dan anak-anak. Kalau badan je dengan keluarga tapi jiwa kau di lain, tak guna juga. Ada perkara yang lagi penting ke daripada keluarga?
Hari bekerja memang kau busy lah. Hari minggu ni lah kau nak bermesra dengan anak-anak. Simpanlah telefon pintar kau buat sementara. Bagi sepenuh perhatian dengan keluarga jika keluar bersama-sama.
Tolonglah isteri bawa barang atau tolong jagakan anak-anak. Jangan pentingkan diri sendiri. Tu anak kau juga. Tak kesian ke kat isteri tu? Dengan nak pilih barang lagi, jaga anak kiri kanan lagi.
Baik ke teladan macam tu kita tunjuk kepada anak-anak? Kita mungkin fikir anak-anak tak faham. Tetapi mereka memerhati dalam diam. Mereka memerhati apa yang kita lakukan terhadap ibu mereka.
Aku risau nanti. Jika anak kita sudah besar, anak-anak akan ikut sama seperti apa yang kita lakukan kepada mereka. Masa tu jangan pula kita sedih. Kita telah berjaya mendidik anak kita melalui pemerhatian.
Sayangi dan hormatilah isteri kau. Tolong ringankan bebannya. Jangan fikir diri sendiri je. Perkahwinan kan sebuah perkongsian. Jadi, semua perkara mestilah buat bersama-sama.
Semoga raya tahun ini kita sambut dengan lebih rasa bersyukur dan lebih kebahagiaan. Amin.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Isteri, kalau dia marah atau mula tunjuk rasa tak puas hati, dia tak boleh diam. Dia kena luahkan apa yang tak puas hati. Sekurang-kurangnya, dia dapat meredakan apa yang terbuku dalam hati.
Kadang-kadang bila suami tidak bertindak balas atau buat-buat tidak tahu, mahunya makin geram dan sakit hati. Sebenarnya, isteri marah dan membebel bukannya suka-suka. Tapi, dia ingin meluahkan apa yang terpendam dalam hatinya.
Malah, kalau nak pujuk isteri pun, tidaklah mengambil masa yang lama. Kecuai, kalau suami buat tak tahu, memang lama rajuknya. Cara mudah nak pujuk isteri, bukan dengan memberi kata-kata manis, tapi cukuplah dengan perbuatan daripada suami, seperti yang dikongsikan oleh Siti Suryani Yaakob ini.
Kalau kita nampak isteri kita tengah naik marah, tengah membebel, tengah merapu, tengah menjerit, tengah naik angin…..
Tak payah buat benda lain. Jangan tanya atau jangan tegur. Malah, jangan tazkirah. Lebih-lebih lagi, jangan marah dia semula.
Ambil apa saja yang ada di tangan dia, letakkan di tepi. Pimpin tangan dia, bawa di satu sudut. Peluk dia kuat-kuat. Tak payah cakap. Tak perlu pujuk. Cukup dengan peluk.
Dia mungkin menjerit dan marah. Nampak macam tenaga dia banyak sangat. Tapi saat itu sebenarnya dia berada di tahap emosi yang paling lemah.
Kalau ada orang peluk dia waktu ni…. Dia boleh menangis teresak-esak. Sampaikan dia boleh mengadu tersedu-sedu.
Dia taknak jadi begitu. Malah, dia nak jadi anak yang baik. Dia nak jadi isteri yang solehah. Dan dia nak jadi ibu paling sempurna di dunia.
Suami Memahami
Pelukan itu cukup membuatkan dia faham bahawa suami memahami.
Isteri bukan terlahir sebagai orang yang marah-marah dan suka marah. Kalau dia memang jenis baran, dari dulu pun suami takkan berkenan.
Bukan dia dari awal kenal pun jenis yang kokak kepala pekerja kedai kalau makanan lambat sampai. Tidak.
Jangan biarkan dia sendirian memujuk rasa. Perjalanan rumah tangga adalah perjalanan syurga. Tapi perjalanan ini tak semudah yang kita semua sangka. Sokonglah dia sepenuh jiwa.
MW: Sebenarnya hati isteri cukup lembut. Dengan hanya pelukan daripada suami sudah cukup meredakan tekanan dan emosi yang dia hadapi.
Jika di Barat lazimnya mereka membudayakan amalan cerai lampin, sebelum anak kecil berusia tiga tahun. Walau bagaimanapun tidak ada umur spesifik dikhususkan buat anak anda boleh diajar untuk menggunakan tandas pada waktunya.
Lazimnya menggunakan pendekatan dua pemahaman asas yang penting bagi memastikan misi cerai lampin berjaya. Langkah pertama anak anda sudah mampu bertutur manakala langkah kedua pula si dia mampu membezakan buang air kecil dan juga buang air besar.
Jika anak anda sudah mampu menguasai dua asas penting ini, anda sudah boleh perlahan-lahan memulakan misi mega menghentikan pemakaian lampin pakai buang secara berperingkat.
Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan rujukan sebelum anda memulakan misi percubaan cerai lampin.
Cuti PKP dimanfaat sepenuhnya ajar anak bebas lampin
1. Umur
Lazimnya apabila anak di usia dua tahun, dia sudah mampu bertutur dan membina ayat dengan baik. Dalam situasi lain, ada anak-anak yang sudah boleh memahami arahan ringkas seperti mengemas permainan, memasukkan baju kotor ke dalam bakul, minum susu menerusi cawan dan melukis apa-apa sahaja tanpa disuruh di buku contengnya. Mereka juga sudah memahami fungsi tandas untuk apa dan di mana harus dituju sekiranya perlu membuang air kecil ataupun air besar.
2. Mengadu
Anak-anak ini juga sudah pandai meluahkan perasaan mereka seperti rasa tidak selesa apabila lampin pakai buang yang dipakai telah dikotori dengan najis mahupun berat dengan takungan air kencing.
3. Tahu menanggalkan pakaian sendiri
Jika ada perasan, ada masanya anak-anak kecil ini cenderung untuk meniru perbuatan orang lain dan mahu melakukannya sendiri.. Sebagai contoh memakai dan menanggalkan pakaian. Ada diantara mereka yang enggan dibantu dan berusaha memakai pakaian sendiri walaupun ianya tidak sempurna.Ini menunjukkan mereka sudah mengerti fungsi pakaian itu dan tujuannya mengapa ia perlu dipakai.
4. Malu dengan kawan seusia
Situasi ini akan berlaku sekiranya anak-anak ini membesar di persekitaran nurseri. Lazimnya pihak pengurusan menggalakkan anak kecil berusia tiga tahun ke bawah sudah tidak lagi memakai lampin pakai buang. Apabila melihat kejayaan kawan-kawan lain ‘lulus’ ujian memakai seluar dalam tanpa insiden terkencing dan membuang air besar, pasti anak-anak ini teruja mahu melakukan perkara yang sama. Ada waktunya pengaruh kawan sebaya juga memberikan mereka semangat untuk segera meninggalkan lampin pakai buang dan beralih kepada seluar dalam yang sesuai dengannya.
5. Kekerapan ke tandas
Sekiranya anda sedang membuat percubaan cerai lampin, pastikan anda kerap membawanya ke tandas. Contohnya sekitar 20 minit sekiranya melihat dia minum air ataupun susu lebih kerap. Jangan leka dan sebaiknya anda tetapkan masa bagi memastikan anak anda tidak terkencing di tempat yang tidak sepatutnya.
6. Seluar dalam karakter kartun kegemarannya
Jika anda ke pasar raya, apa kata libatkan anak anda ketika membeli seluar dalamnya. Jika ada, belikan seluar dalam yang memaparkan karakter kartun ataupun warna kegemarannya. Mungkin ini menjadikan dia lebih bersemangat untuk meninggalkan lampin pakai buang.
7. Jangan marah
Sabar…sabar dan sabar. Usaha bercerai lampin ini mengambil masa. Akan ada masanya anak anda terkencing tanpa sedar dan tidak memaklumkan kepada anda terlebih dahulu. Jangan marah, elakkan memberi tekanan kepadanya. Maafkan dia, kerana dia sedang cuba menyesuaikan diri dengan perubahan baru dalam hidupnya.
8. Pilih masa yang sesuai
Pastikan anda memilih waktu yang sesuai untuk memulakan sesi latihan cerai lampin ini. Dinasihatkan anda memperuntukkan cuti hari minggu untuk memberi tumpuan kepadanya. Mulakan dengan sesi siang dahulu, setelah nampak dia boleh menyesuaikan diri. Perlahan-lahan kita panjangkan ke sesi malam pula.
9. Jangan dukung
Untuk sesi malam pula, anda digalakkan menetapkan masa di telefon bimbit anda. Jika dia minum susu sebelum tidur, pastikan anda bangun dan menggerak anak anda bangun untuk ke tandas. Elakkan mendukung anak yang sedang tidur dan membawanya ke dalam tandas. Ini kerana anak akan terkeliru dan dia tidak sedar sepenuhnya. Sebaiknya pastikan dia sedar dan pimpin tangannya ke tandas bersama-sama. Cara ini membuatkan anak anda faham, buang air kecil dan juga air besar hanya berlaku di tandas dan bukan di tempat lain
10. Akhirnya…anak anda lulus ujian cerai lampin
Anda akan rasa teruja apabila anak anda mula memaklumkan kepada anda yang dia perlu ke tandas untuk membuang air kecil. Dia juga tidak lagi terkencing di tempat tidak sepatutnya. Sekiranya anak anda mula menguasai perubahan baru itu, dia sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada lampin pakai buang buat selamanya.
Konklusinya, setiap anak berbeza fasa perkembangannya. Sebagai ibu bapa kita perlu memberi ruang dan galakkan kepadanya dalam apa jua cara sekalipun. Selamat mencuba semoga anak anda lulus dengan cemerlangnya!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Selebriti wanita popular, Yana Samsudin rupanya bukanlah berasal dari keluarga senang. Mengimbau kembali perjalanan hidup dari zaman kecil yang penuh kepayahan, ibu kepada tiga...