Mayat tiga beranak ditemui mereput di dalam rumah, anak lelaki autistik. Tiga mayat yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan ditemukan dalam sebuah rumah di Jalan Bukit Kristal di sini pada Selasa.
Mayat Tiga Beranak Ditemui Mereput Di Dalam Rumah, Anak Lelaki Autistik
Difahamkan, laporan mengenai kejadian diterima daripada salah seorang jiran mangsa sekitar jam 5 petang selepas terhidu bau busuk di kawasan perumahan berkenaan.
Pemeriksaan lanjut oleh sepasukan polis ke rumah tersebut menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan telah meninggal dunia.
Seorang jiran yang ditemui memaklumkan bahawa rumah itu didiami oleh pasangan suami isteri dan seorang anak lelaki autistik berusia lingkungan 30-an.
“Jumaat lepas dia datang ke rumah saya untuk beri makan anjing. Selepas itu saya tidak nampak dia lagi. Saya sangka mereka tiada di rumah atau berada di luar kawasan. Kali terakhir berjumpa dengan mereka ialah pada Jumaat lalu.
“Hinggalah petang tadi, jiran sebelah rumah mereka menghubungi polis selepas menghidu bau busuk dari rumah berkenaan,” katanya.
Ads
Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata pihaknya menerima maklumat orang awam berkaitan bau busuk dari rumah berkenaan yang berkunci.
“Bertindak atas maklumat itu, pihak polis dan bomba telah ke rumah berkenaan dan memotong kunci mangga pagar rumah terbabit. Pemeriksaan kemudian menemukan tiga mayat dalam keadaan mereput di dua bilik tidur.
“Siasatan mendapati ketiga-tiga mayat adalah ahli keluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun,” menurutnya dalam kenyataan.
Mohamad Hatta berkata pemeriksaan forensik menemukan kesan torehan pada lengan kanan anak lelaki pasangan itu manakala mayat ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda yang mencurigakan.
Ads
“Turut ditemui empat pisau terdapat kesan darah dipercayai digunakan semasa kejadian serta pelbagai jenis ubat yang telah digunakan di atas meja ruang tamu rumah tersebut,” katanya.
Beliau berkata ketiga-tiga mayat dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan penuh bedah siasat.
Comel sungguh Abeer Widad, anak tunggal kesayangan kepada pendakwah dan pengacara terkenal, Ustazah Sharifah Khasif.
Abeer atau nama penuhnya Abeer Widad Muhammad Hizal yang kini berusia 10 tahun sangat rapat dan manja dengan ibunya.
Paling membanggakan Abeer sudah pun menunjukkan kecenderungannya untuk menjadi seorang qariah hebat suatu masa nanti.
Buktinya, baru-baru ini Abeer meraih gelaran Johan Tilawah Al-Quran Sekolah Rendah (kategori perempuan) peringkat kebangsaan.
Ke mana tumpahnya kuah, ternyata Abeer mewarisi bakat ibunya yang pernah bergelar Juara Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009.
Ustazah Sharifah Khasif juga merupakan Tokoh Maal Hijrah Perak 1447H. MasyaAallah, hebatnya ibu!
Sebagai ibu pastinya Ustazah Sharifah Khasif atau nama penuhnya Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd Badiuzzaman Al-Yahya merasa syukur dan bangga dengan Abeer.
Berkat usahanya selama ini yang telah mendidik Abeer untuk mengenal dan membaca kalam suci Al-Quran sejak kecil membuahkan hasil.
Ustazah Sharifah Khasif turut berkongsi berita gembira itu di Instagram peribadinya.
“Alhamdulillah syukur atas izinNya Anakanda Abeer berjaya menjadi Johan Kebangsaan Sekolah sekolah Malaysia di usia 10 tahun.
“Rezeki Abeer dah tertulis. Yang lain tak kurang hebatnya. InsyaaAllah semoga legasi Al-Quran tetap terus berkembang sehingga ke akhir hayat…. takbir!”
Ustazah Sharifah Khasif turut berkongsi satu video ringkas ketika Abeer mengalunkan bacaan Al-Quran dalam pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan itu.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata para pengikut menzahirkan rasa bangga dan ucapan tahniah buat Abeer serta Ustazah Sharifah Khasif.
“MashaAllah Abeer, tahniah! Alhamdulillah”
“MashaAllah. Tahniah ustazah, Jadi ibu yang hebat, guru pertama buat anak2. Doakan saya jadi ibu hebat berjaya didik anak juga. Aamiin”
“Masa saya lalu kot surau, dengar peserta sedang baca…terus tanya ustaz2 kat luar tu, eh sedapnya adik ni baca MasyaAllah peserta mana ni…ustaz tu bagitau, anak ustazah sharifah khasif… waaah patutla power baca. Tahniah ustazah @sharifahkhasif_official”
“Abeer mewarisi bakat mama…aunty saksi mama Abeer tapaw bersih MTQ sekolah2 zaman 90an dulu…tahniah @sharifahkhasif_official berjaya mewarisi bakat ke anak pulak. Kalau la tokwan Badiuzzaman ada mesti dia happy tengok cucu pun pandai bertaranum…”
“Sebagai ibu sudah tentu saya nak Abeer lebih daripada saya. Kalau boleh saya nak Abeer menjadi seorang insan yang bukan sekadar cantik bahkan cerdik, setia dan terdidik. Abeer bebas memilih kerjaya namun asasnya haruslah dengan menjadi ahli Al Quran, menjadi mutiara yang sangat berharga di sisi Allah SWT, insyaAllah.
“Kita cari akhirat, dunia akan kejar kita. Saya yakin orang yang berilmu dan hidup dengan Al Quran akan diberi rezeki dan kehebatan yang luar biasa oleh Allah SWT.
“Saya dalam usaha nak menjadikan Abeer seorang insan yang akan meneruskan legasi sebagai qariah negara. Amin Ya Allah.. Saya dah nampak kelebihannya dari segi suara. Bakat pun dah ada. Makhraj serta sebutannya jelas dan bulat-bulat, ketepatan makhraj yang sedap didengar.”
Ustazah Sharifah Khasif menjadikan ibunya sebagai contoh dalam mendidik anak. Menurutnya, ibu seorang yang sangat sabar dalam mendidik anak-anak selain tak banyak cakap, pendiam tetapi jujur.
“Susah sangat nak ikut, mungkin cara saya berbeza. Saya banyak ikut cara arwah walid (ayah) beliau seorang yang tegas namun sangat penyayang.”
Hubungan ibu dan anak ini sememangnya sangat rapat. Ustazah Sharifah Khasif memanggil Abeer sebagai ‘Kakak’ dan melayannya umpama sahabat.
“Saya suka bercerita dengan Abeer contohnya tentang masa depan, situasi semasa dan sebagainya. Walaupun anak-anak kecil nampak seperti main-main dan tak berapa nak dengar namun percayalah mereka sebenarnya sedang cuba untuk faham.”
Semoga Abeer membesar sebagai seorang anak yang solehah dan bijak seterusnya dapat meneruskan legasi sebagai qariah negara seperti diimpikan oleh ibunya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Perkahwinan adalah alam perkongsian suami isteri. Ada pasangan yang boleh berkongsi segala aspek dalam kehidupan seperti kewangan, perasaan dan sebagainya.
Tahap kebahagiaan ideal yang didambakan oleh pasangan khususnya para isteri dicapai dengan kasih sayang, saling memahami, setia, hormat, tidak menyakiti hati pasangan, menerima dan menghargai kekurangan pasangan.
Namun perjalanan dalam perkahwinan tidak semudah diimpikan. Ada pasangan yang hanya boleh berkongsi sebahagian, ada yang hanya sedikit, ada yang sukar untuk berkongsi kerana ego yang tinggi serta sukar menerima pasangan seadanya.
Isu mandul dalam rumahtangga merupakan satu topik yang cukup sensitif namun penting untuk dibincangkan secara terbuka untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat.
Ia bukan sekadar isu kesihatan bahkan turut melibatkan aspek emosi, sosial dan hubungan antara pasangan.
Memetik perkongsian kisah seorang wanita kepada Mingguan Wanita, perkahwinannya mula diuji apabila dia tidak dikurniakan zuriat.
Wanita mana yang tidak mahu bergelar ibu, merasai nikmat mengandung dan melahirkan zuriat sendiri. Namun rezeki belum memihak kepadanya. Walau pun ramai yang menuduhnya mandul namun dia tidak ambil pusing asalkan bukan suami sendiri yang berkata begitu.
Pelbagai usaha dilakukan, tak sekadar mencuba rawatan tradisional seperti berurut malah dia juga cuba memakan jamu termasuk berjumpa doktor.
Doktor memaklumkan dia tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. Dia bersyukur dan menganggap Allah SWT belum kurniakan rezeki.
Apa yang membuatkan dia terkilan, suaminya tidak pernah melakukan pemeriksaan kesihatan sama ada tradisional mahupun moden. Suaminya yakin bahawa dia seorang sahaja yang subur kerana adik beradiknya ramai dan mereka mempunyai anak ramai.
“Tahun berganti tahun, saya semakin reda dan serahkan pada rezeki kerana saya dah buat yang termampu. Namun dalam hati masih terkilan kerana suami tetap tak nak berusaha. Ajak buat IVF pun dia tak mahu.”
“Masuk tahun kelima, saya makin tertekan. Bukan sebab suami saja malah keluarganya juga. Mak mentua sering menyindir. Katanya saya yang tak boleh mengandung, bukan anaknya yang bermasalah!
“Bayangkan perasaan saya ketika itu. Saya dah jumpa doktor dan doktor cakap saya memang tiada masalah. Saya mula kurang balik ke rumah keluarga mentua kerana tak tahan asyik disindir lebih-lebih lagi kalau ada adik-beradik suami yang beranak baru.”
Sudah jatuh ditimpa tangga. Muncul satu lagi ujian yang lebih besar dalam rumahtangga wanita ini.
“Saya tinggal berjiran dengan seorang ibu tunggal dua anak. Cukuplah saya gelarkannya ‘Z’. Orangnya memang ramah dan kami rapat. Anak-anaknya juga rapat dengan saya dan suami. Kalau hari cuti, sering kali juga mereka ke rumah kami.
“Lama kelamaan saya dapat rasakan perubahan pada suami. Kata orang, naluri isteri. Saya melayan anak-anak Z dengan baik tapi saya lihat suami melayan mereka ‘terlebih’ baik hinggakan pernah bawa budak berdua itu ke rumah ibu bapanya. Dia juga meminta dirinya dipanggil ‘Papa’.
“Mulanya saya tak kisah sangat tapi saya dapat rasakan ada sesuatu di sebalik jelingan Z dan suami tiap kali bersua. Saya tak sedap hati.”
“Hinggalah Z tiba-tiba berpindah dan saya tak tahu. Balik kerja, tengok rumahnya sudah kosong. Bila tanya pada suami, dia hanya cakap tak tahu. Saya cuba telefon pun tak dijawab.
“Seminggu kemudian suami bekerja di luar kawasan dan saya tak syak apa-apa sehinggalah saya terlihat bil telefon suami. Banyak telefon ke satu nombor dan bila saya semak, itu nombor Z.
“Berhari-hari saya tak boleh tidur memikirkan perkara itu, akhirnya saya nekad untuk berterus terang dengan suami. Walaupun pada mulanya suami menafikan, akhirnya dia mengaku yang dia sebenarnya sudah pun menikah dengan Z. Tuhan saja yang tahu hati saya ketika itu. Rasa marah, kecewa, tertipu, sedih! Macam-macam berbaur di hati.
“Kata suami, dia jatuh cinta dalam diam dan sepakat untuk berkahwin. Dia yakin akan mendapat zuriat bersama Z kerana yakin dirinya subur. Kata-kata terakhirnya itu mencabar ego saya sebagai wanita. Bermakna suami anggap saya mandul dan tak boleh berikannya zuriat, sebab itu saya dimadukan dalam diam.”
Terkejut dan tidak dapat menerima perbuatan tersebut akhirnya wanita ini nekad meminta cerai.
“Saya tak kisah orang kata saya mandul, tapi bila suami sendiri yang kata begitu saya sangat sedih. Saya membuat permohonan cerai namun suami memujuk supaya saya untuk menarik balik permohonan. Hati saya sudah cukup terluka untuk terus bergelar isterinya. Saya juga rasa tertipu kerana suami sanggup bermain cinta dengan wanita yang dianggap rakan baik.”
Memetik kata-kata nasihat daripada Puan Hajah Maimunah Mohamad selaku Kaunselor dan penulis tetap ruangan ‘Ya Tuhan’ dalam majalah Mingguan Wanita, sesungguhnya perancangan Allah SWT adalah yang terbaik.
Menurutnya, proses menunggu keputusan perceraian di mahkamah bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi jika suami enggan turun atau enggan melafazkan cerai di hadapan hakim.
“Pertama sekali berlapang dada, terus berbaik sangka dengan suami dan keluarganya. Anak hanya anugerah dan amanah Allah yang menjadi pengikat kasih suami isteri. Namun, jika Allah tidak menganugerahkan pun kita boleh mencipta keadaan itu dengan mengambil anak angkat.”
Pesan Puan Hajah Maimunah lagi walau apapun yang berlaku, reda dan bersangka baiklah dengan Allah SWT. Sentiasa berdoa termasuk mengamalkan solat malam, solat awal waktu, solat sunat dan solat hajat.
“Pelbagaikan aktiviti dalam kehidupan kerana bahagia dalam hidup bukan hanya bergantung kepada bahagia dengan seorang lelaki.”
Fasha Sandha tak pernah terfikir gelaran Datuk. Pelakon cantik baru saja menerima Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perlis sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di Istana Arau, Perlis.
Malah Fasha juga menerangkan pingat tersebut sebagai satu penghargaan tertinggi yang pernah diterimanya sejak bergelar anak seni lebih dua dekad lalu.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga sangat bersyukur dengan pengiktirafan yang terima. Seperti mana dipetik menerusi Kosmo! Online Fasha akui dirinya sangat dihargai.
“Anugerah ini tidak buat saya rasa terbeban sebaliknya dihargai.
“Kalau nak cakap tentang kemungkinan akan diangkat menjadi ikon atau dapat gelaran datuk, saya rasa perjalananan itu masih terlalu jauh sebab ramai lagi orang yang lebih layak.
“Gelaran datuk? Terlalu berat dan tak pernah terfikir, tiada komen tentang itu,” katanya.
Pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan akui dirinya banyak kekurangan dan tidak mahu menabik dada.
“Alhamdulillah rezeki yang tidak disangka dan anggap hadiah untuk perkahwinan serta anak-anak.
“Saya masih banyak kelemahan berbanding kelebihan tetapi apabila terpilih menerima pengiktirafan sebegitu, saya syukur.
“Pengiktirafan tersebut jarang diberikan oleh pihak istana Perlis, memang satu perkara yang tidak pernah dijangka, kurniaan yang paling tinggi saya pernah dapat,” ungkap Fasha.
Kongsi Fasha lagi dirinya juga tidak mahu dilihat keterlaluan dalam memberikan komen kerana tidak mahu dilabel sombong.
“Saya risau nak cakap sebab takut kedengaran seperti riak namun anggap itu satu hadiah yang diberikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail,” sambung Fasha.
Pada masa yang sama Fasha sangat berbesa hati dengan penganugerahan itu dan menyuntik semangat untuk dirinya menjadi orang lebih baik.
“Mungkin saya dapat sebab sebelum ini banyak menulis tentang Perlis Indera Kayangan selain dibesarkan di negeri itu walaupun saya dilahirkan di Johor. Ini satu kenangan yang manis, Alhamdulillah,” sambung Fasha.