Jangan Samakan Perasaan Kita Dengan Orang Lain, Sebab ‘KASUT’ Masing-masing Berbeza

Apa yang kita perlu takkan sama dengan apa yang orang lain perlu. Begitu juga dengan perasaan, ianya tak sama. Jadi, apabila membaca tentang ujian hidup seseorang, jangan pernah meremehkan apatah lagi cuba samakan perasaan orang itu dengan anda.

Lagi-lagi soal balik kampung di waktu kerajaan membenarkan rentas negeri ini. Mengapa perlu dipertikaikan keperluan mereka itu. Kerana anda tidak berada dalam ‘kasut’ mereka. Hadamkan perkongsian Abdul Muiez Ruslee ini.

Sebab Inilah Jangan Samakan Perasaan Kita Dengan Orang Lain

Sebaik kerajaan membenarkan rentas negeri, saya fikir, mungkin sayalah yang terawal akan menunggu di sempadan. Maklumlah, sempadan Perak-Selangor pun hanya beberapa minit dari rumah.

Tetapi, ceritanya menjadi lain bila permohonan cuti saya pada hari Khamis tidak diluluskan. I is Reda. Duduk lah kita di stesen. Sambil-sambil menunggu semboyan jika khidmat ini diperlukan.

Bila tahu sahaja kami akan lewat sampai ke kampung, ibu dan bapa mentua yang mengambil tindakan cergas merentas negeri untuk bertemu dengan anak cucu mereka.

Sejak dari dalam kereta, air mata ibu mentua sudah tumpah. Tak tertahan-tahan. Di rumah ini lagilah. Perasaan dup dap tu macam rancangan jejak kasih.

Bila isteri dah bertemu mata dengan ibu dan ayahnya, jadilah drama air mata yang penuh emosi. Langsung tak boleh ditahan lagi. Maklumlah, sudah 4 bulan mereka tidak bertemu. Apa lagi nak mencium pipi.

Kerana Kasut Kita Tidak Sama

Jangan main-main wo dengan perasaan rindu ini. Jangan menidak dan meremehkan perasaan orang lain terhadap keluarga mereka. Kerana kasut kita tidak sama.

Kalau kita tidak hairan dengan keluarga, mungkin kerana konflik lama, jangan nak samakan perasaan kita dengan perasaan orang lain.

Kalau anak menantu kita ada di depan mata, jangan nak samakan perasaan kita dengan perasaan orang lain.

Kalau kita dapat berpakaian sedondon dengan ibu dan ayah di Hari Raya, jangan nak samakan perasaan kita dengan orang lain.

Kalau rumah kita hanya sedepa dari rumah ibu dan ayah, jangan nak samakan perasaan kita dengan orang lain.

Jika kita sentiasa dapat memeluk anak menantu dan cucu, jangan samakan perasaan kita dengan orang lain.

Jika dapat berbuka puasa semeja dengan anak menantu, jangan samakan perasaan kita dengan orang lain.

Jika kita dapat menyediakan juadah hari raya bersama keluarga, jangan samakan perasaan kita dengan orang lain.

Jika rindu dengan anak cucu, kita boleh telefon dan hanya sekelip mata mereka muncul depan kita, jangan samakan perasaan kita dengan orang lain.

Jika kita obses terhadap kerja, jangan bertanya kenapa orang lain tidak boleh jadi seperti kita. Perasaan kita tidak sama.

Jika kita paranoid terhadap sesuatu isu, jangan samakan perasaan kita dengan perasaan orang lain.

Kalau kita tidak kisah pun nak balik kampung, jangan harap orang lain ada perasaan yang sama macam kita.

Tak Perlu Sampai Nak Sekolahkan Orang Lain

Macam contoh yang diberi oleh sahabat saya.

Bila kita lihat bil elektrik kita lebih murah berbanding orang lain, maka kita pun menyekolahkan orang itu kerana tidak pandai berjimat dan selalu membazir elektrik. Kitalah yang terbaik, kitalah yang terhebat kononnya.

Nanti sampai satu ketika, bila talian telefon kita lembab, kita pun merungut, “Slow gila internet aku.” Waktu itu orang akan jawab, “Eh, talian internet aku laju saja. Talian kau tu je yang cap ayam.” Masa tu baru kita rasa, PADAN MUKA.

Setiap hari kita ada peluang untuk menjadi orang yang lebih disayangi dan dicintai. Tetapi, mengapa kita memilih untuk rela dibenci?

Alamak, macam lagu Aiman Tino lah pula.
InsyaAllah, minggu ini beraya di Perak, minggu depan beraya di Negeri Sembilan. Lepas itu, bolehlah kerja dengan tenang

Sambil nyanyi lagu Balik Kampung, kena nyanyi sekali lagu Dendang Perantau.
Fuhh, panjang betul justifikasi nak balik kampung ni. Jangan main-main arrr.
InsyaAllah. Daripada Allah belaka.

MW : Begitulah aturan hidup ini. Setiap orang rezekinya berbeza. Jika hati dapat belajar meraikan perbezaan, tentunya ketenangan itu jadi milik diri sendiri.

*Artikel disunting dan diterbitkan dengan keizinan daripada penulis, Abdul Muiez Ruslee

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI