Suami jangan sesekali membuat isteri anda menjadi papa kedana selepas berkahwin. Bayangkan jika sebelum ini mereka hidup senang, punya kerjaya yang baik dan memiliki aset namun selepas berkahwin, mereka jadi papa kedana.
Suami Jangan Buat Isteri Jadi Papa Kedana Lepas Kahwin
Mengapa boleh jadi sampai begitu? Berikut perkongsian daripada Akhtar Syamir. Moga fakta yang dikongsikan ini mampu membuka mata orang ramai terutama para suami berkenaan cara untuk mengelakkan isteri menghadapi kesusahan jika berlaku sesuatu kepada sang suami.
Ramai suami yang tidak sedar, mereka membogelkan isteri sendiri sehingga menjadi papa kedana.
Yang saya maksudkan dengan ayat di atas ialah, seorang isteri yang sebelum ini mempunyai segala-galanya menjadi tidak mempunyai apa-apa.
Sama ada dalam masa yang singkat, atau pun dalam jangka masa yang panjang. Sedikit, demi sedikit kepunyaan isteri diambil.
Kita bukan berbicara mengenai harta benda sahaja, tetapi dari segi keupayaan isteri untuk berdikari.
Sebelum berkahwin, si isteri ada kerjaya, ada kereta atau kenderaan sendiri, ada barang kemas dan duit simpanan. Lengkap hidup seorang wanita untuk meneruskan kehidupan seorang diri.
Sehinggalah dia bertemu dengan kekasih hati yang diharap dapat melengkapkan lagi perjalanan hidup dirinya di muka bumi ini.
“Sayang tak perlu kerja, Abang boleh sara hidup sayang. Duduk rumah je nanti jaga anak-anak kita”.
Gelap mata sekejap si isteri membayangkan “impian” ramai wanita, menjadi isteri yang taat dan bermain dengan anak setiap hari waktu suami keluar mencari rezeki.
Senario itu terpancar di minda isteri yang menganggap “akhirnya, aku akan lalui saat indah ini”.
Persetujuan diberi, isteri meletakkan jawatan. Satu pengorbanan dari si isteri dan ada yang terlupa, sebenarnya satu kehilangan punca pendapatan buat si isteri.
Kerja sudah berhenti, bagaimana nak bayar ansuran kereta? “Jualkan sahaja. Kalau bernasib baik, dapat duit lebih. Boleh bantu beli barang rumah”, usul si suami.
Kereta itu pun dijual. Satu lagi pengorbanan isteri. Tetapi ramai yang terlupa, sebenarnya ini satu kehilangan di dalam keupayaan untuk berdikari.
Saban hari dan tahun, kehidupan menjadi susah. Bukan semua orang mampu membesarkan keluarga dengan 1 punca pendapatan. Ada yang terpaksa meminta bantuan isteri menjual dan menggadaikan barang kemasnya apabila simpanan peribadinya sudah habis.
Ads
Benar, keluarga itu tanggungjawab bersama. Ramailah yang mencanang ayat ini sambil berjalan ke pajak gadai. Tinggallah isteri menangis redha di rumah dengan tiada apa-apa lagi di badan serta akaun yang kosong tiada pendapatan.
Nafkah? Suami tak mampu. “Tak nampak ke yang abang kerja siang malam pagi petang nak cari duit untuk bagi kita makan? Nak nafkah apa lagi? Dah ada rumah, tak kebulur pun dah cukup bagus tau tak?”
Benar, isteri perlu beri keredhaan supaya berkat bantuan yang diberikan. Ramai isteri yang redha. Ramai juga yang redha sehingga bogel tiada apa lagi yang tinggal.
Yang suami tidak sedar, segala bantuan, pengorbanan itu sebenarnya dalam masa yang sama, membuatkan isteri secara individunya jatuh miskin papa kedana tanpa apa-apa. Yang tinggal hanyalah suami dan anak-anak jika ada.
Masalah timbul apabila suami meninggal dunia. Di waktu hidup pun sudah tidak punya apa-apa, apatah lagi apabila sudah tiada?
Si isteri hilang segala-galanya. Punca pendapatan tiada, kenderaan tiada, harta benda tiada. Kerjaya pun tiada. Nak mula bekerja, umur pun sudah lanjut dan tidak tahu apa kerja yang boleh dibuat kerana selama ini bergantung penuh kepada suami.
Bagaimana nak meneruskan kehidupan? Jika ada anak, bagaimana nak beri mereka makan? Nak tidur di mana?
Ditanya mengenai pewaris KWSP, ditempelak dituduh tak sabar nak suami mati.
Dicadangkan tukar penama dari ibu kepada isteri untuk waris rumah, dimarahi kerana gilakan harta.
Diusulkan supaya buat hibah, tidak diendahkan dan menggagap si isteri hanya fikir si suami mati sahaja. Insurans nyawa? Tiada kesedaran langsung.
Apa sahaja isteri yang telah dibogelkan ini warisi? Hutang. Rumah yang masih hutang, kereta yang masih hutang, perabot yang masih hutang. Semua itu akan hilang dalam masa sebulan dua.
Itu situasi yang “tidak sedar”. Bagaimana pula dengan situasi yang sedar?
Ulangi semua situasi di atas, tetapi kesudahannya bukan kematian suami, tetapi penceraian atau suami berkahwin lagi.
Ads
Buat yang masih bertanggungjawab untuk memberi nafkah anak-anak, mungkin dapat membantu. Tetapi bagaimana dengan isteri yang telah tiada apa-apa ini? Hendak memulakan kehidupan baru di pertengahan usia atau setelah beberapa tahun kahwin sangatlah susah. Tiada harta benda, tiada kenderaan dan pekerjaan. Umpama kehidupan setelah butang reset ditekan.
Apabila tiada apa-apa yang tinggal, inilah yang saya maksudkan dengan isteri yang dibogelkan dan menjadi papa kedana.
Ada juga kes membela biawak hidup, tetapi tidak perlu saya huraikan di sini kerana semua sedia maklum apakah maksudnya. Yang menjadi mangsa tetap si isteri.
Tidak ketinggalan kes di mana suami membuat pinjaman atas nama isteri. Tak kiralah pinjaman kereta, rumah atau pinjaman peribadi. Apabila berpisah, apabila suami tiada, semuanya iateri yang menanggung.
Namun, tidak adil jika kita beri semua keadaan ini tanpa jalan penyelesaian. Ini kerana, dalam kehidupan ini, kita pasti akan diuji. Yang penting, kita perlu bersedia.
Bagaimana nak elakkan dari membogelkan isteri?
1. Waris KWSP letak nama isteri. Benar ia bukan hak mutlak isteri dan perlu melalui proses faraid selepas itu. Tetapi yang penting, proses itu menjadi tidak susah.
2. Waris penama pinjaman rumah LTAT dan yang seangkatan dengannya letaklah nama isteri dan bukannya nama ibu lagi. Ramai yang tidak ambil peduli bab ini dan apabila terjadi apa-apa pada suami, tempat tinggal pun isteri tiada.
Ads
3. Jangan sekat jika isteri mahu belajar kemahiran baru selepas berkahwin. Mungkin dia minat menjahit, minat memasak, minat berniaga, minat berniaga online. Ini semua skill dan kemahiran yang akan membantu dia apabila dia tinggal seorang nanti. Tidaklah hidup dia terkontang-kanting tidak tahu apa yang boleh dilakukan.
4. Buatlah hibah untuk isteri. Tak kira lah RM50k ke, RM100k ke atau lebih lagi. Sekarang hibah ini sudah semakin mudah untuk dibuat dan komitmen bulanan hanya RM 50 dan mungkin ada yang lebih rendah lagi. Nampak ratus ribu tu macam banyak, sebenarnya tidak. Menyara anak-anak seorang diri bukanlah mudah dan memerlukan wang ringgit yang banyak.
5. Berpada-pada apabila meminta bantuan. Jangan ambil jalan mudah apabila memerlukan sesuatu. Jangan jadikan isteri tempat untuk merealisasikan keinginan.
6. Sentiasalah ambil berat tentang nafkah isteri. Ini adalah wajib. Jangan pula apabila nafkah sudah diberi, isteri pula yang perlu membeli barang dapur dan lain-lain.
7. Perlu sentiasa ingat yang segala bantuan yang lebih dari yang sepatutnya si isteri beri, ialah satu benda yang perlu dibayar semula. Jangan pejamkan mata dan jangan anggap ianya habis begitu sahaja.
8. Jika si suami mahu isteri berhenti kerja, kena wujudkan sumber kewangan untuknya.
9. Segala harta peribadi isteri adalah hak mutlak isteri. Ianya tidak jatuh kepada suami secara automatik selepas berkahwin. Jangan ada tanggapan automatik ini.
10. Sayangi, kasihi dan layanlah isteri sebaik mungkin supaya isteri redha di atas segala pertolongan dan pengorbanan yang telah isteri lakukan.
Ingatlah yang tanggungjawab menyediakan tempat tinggal, pakaian dan makanan itu ialah tanggungjawab suami. Berusahalah sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab itu sebelum mempersoalkan tanggungjawab isteri dalam membantu keluarga.
Semoga dapat membuka mata. Kongsikan jika anda rasa perkara ini penting.
Kepada yang menjaga isteri dengan baik dan mengambil berat kelangsungan hidup isteri apabila anda sudah tiada nanti, ambil penulisan ini sebagai tambahan informasi. Tidak perlu sentap dan marah kerana ianya tidak ditujukan kepada anda.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Seram bila baca kes seorang ibu muda, Puan Nurul Suhada Abd Rahman, 24 tahun, yang mana anaknya nyaris diculik oleh seorang perempuan Cina yang tetiba mengaku jadi ibu.
Kejadian ini berlaku semalam di KL Sentral pada jam 2.30 petang, tak sangka niatnya untuk melepaskan keinginan nak naik tren suka-suka bertukar menjadi kisah trauma.
Pengalaman yang dikongsi di laman Facebook miliknya beberapa jam yang lepas tular dan menjadi perhatian netizen untuk bersikap lebih berhati-hati jika membawa anak keluar tanpa ditemani lelaki dewasa.
Ikuti perkongsian ibu ini…
“Sebelum ni mama baca je kes anak orang kena culik, anak sakit, virus, pelbagai sindiket dan sebagainya. Tapi hari ni, bila kena dekat batang hidung sendiri.. Allahuakbar.. Sedih sangat. Menangis tau risau jadi apa apa dekat anak kesayangan ni.”
Sebab ramai sangat yang pm/dm untuk tau full story macam mana kejadian, maka disini, Mama Fayyad cerita kan kisah trauma Mama.
Oh! Sebelum apa apa… Mama sebenarnya saja nak naik Keretapi ni, sekian lama dah tak naik dari mengandung lagi teringin nak jalan naik Keretapi. Bila ade Fayyad ni, lagi Excited la nak naik tu sebab ada teman penghibur sekali. Dan ada jugak Kakak sepupu, Chot Chotin (Chott) ikut sama bawak anak kecik juga adik sepupu lelaki pun ada (Zamarul).”
Nota:
Perkara ini tak dirancang sama sekali, kami sekadar hantar Pak Usu ke stesen keretapi jer mula-mula.. lama lama jadi terlangkah sekali naik keretapi sebab tu kami gah berpakaian sekadar seluar trek dan tshirt saja. Mama lagi lah pakej tudung sarung jer yang penting yakin diri jer.
Berbekalkan sebotol susu dan sekeping pampers Fayyad, dah buat mama rasa ON.
Tetiba Ada Perempuan Ikut
Tulisnya dia tak sangka perempuan itu sudah lama mengekorinya, sampailah dia ditahan.
“Okay, ceritanya macam ni. Ada sorang perempuan berbangsa Cina ikut kami sepanjang perjalanan naik turun escalator kat KL Sentral. Asyik pandang Fayyad je. Mama tak perasan langsung Amoi ni ikut sebenarnya. Kakak sepupu (chott) dan adik sepupu (Zamarul) yang perasan tapi tak bagi tau pun. Takut salah sangka pulak.. lepas makan kat food court Stesen KL Sentral tu, kami turun ke tingkat bawah guna tangga biasa.
Start sini Amoi dah ikut dah. Kami berjalan seperti biasa sambil mama Bubbling main-main dengan Fayyad. Dari tangga tingkat atas nak ke tempat laluan ke MRT tu, tup tup Amoi ni tahan dan tegur mama dulu.”
“You, Stop! Where yuu want to go? And who are you?”
“Masa ni mama macam hahh?? Apahal tiba-tiba tanya dan tak pikir negatif langsung.
Mama so peramah dan jawab jela.. then die start tanya dalam keadaan nak marah.”
“Who this baby?”
“Time ni Chott dah start tarik tangan Mama dan ajak jauh dari Amoi ni. 1st, ingat maybe die nak pukau kot sebab die berpusing nak bercakap bertentang mata dengan Mama masa Chott ni halang. Mama cakap la “My son!” .. then Amoi ni react like tangan dia tengah menggigil yang geram dan muka dia tak tahu nak cakap macam mana masa tu.
Masa itu juga Chott tarik mama dan kami lari sepanjang perjalanan laluan nak ke MRT counter. Sepanjang larian tu la Amoi ni kejar dengan bawak Beg Balik Kg dia, sambil jerit-jerit.”
“Hey, Stop!” .. “You! you!” .. “Stop!” ..
Lari Dekat Polis Bantuan
Dengan perasaan takut, Puan Syuhada tetap pertahankan anaknya tetapi perempuan itu tetap menyatakan yang anak kecil yang dipeluknya itu anak dia.
“Kami je tahu macam mana kami bukak langkah larian tu dalam keadaan terkejut dengan tindakan Amoi tu sebelum naik esculator nak ke MRT, ada Abang Polis bantuan kat situ. Kami berlari ke Abang tu, then cerita hal tadi. Tak sempat nak cerita sampai habis, Amoi ni start nak tarik Fayyad dan cakap Fayyad Anak dia. And mama gila terlejutt la. Amoi cakap anak dia hilang dan Fayyad anak dia. Terkedu weyh time tu dalam keadaan tengah struggle pertahankan Fayyad dari disentuh Amoi tu. Amoi tu tak habis-habis cakap Fayyad anak dia yang hilang dan Fayyad anak Cina.
Siap Keluarkan MYKID Anak
“Abang Polis ni suruh mama keluarkan bukti yakni MyKid Fayyad. Masa mama nak keluarkan MyKid tu dalam beg sandang, Mama past lah Fayyad dekat Cousin kecik (Zamarul) untuk pegang Fayyad sementara Abang Polis blok Amoi tu dari buat apa apa. Then Amoi ni menjerit marah sebab kononnya mama bagi baby dia pada budak kecik untuk pegang kejap. Amoi kata Mama tak ada otak! Mama dah start takutt sangat dan nak menangis time ni.”
“Abang polis tu tunjuk kat Amoi tu MyKid Fayyad, pengesahan yang Fayyad Anak Melayu dan bukan anak dia yang hilang. Amoi ni tak puas hati, tetap jerit saiko kata tu anak dia yang hilang. Actually memang dia tunjuk MyKid anak die pun. Tapi tak sempat nak baca bebetul MyKid tu sebab gigih sangat protect Fayyad. Amoi ni tanya macam-macam Fayyad berapa bulan, gigi berapa batang tapi tanya dalam keadaan saiko. Mata terbeliak bila bertanya. Takutt sangat.”
Tunjuk Puting Sebagai Bukti
Sampai satu tahap dia cuba guna puting untuk nyatakan yang itu anaknya. Nampak tak dia punya try hard nak culik budak kecil itu.
“Tak habis dekat situ, dia keluarkan puting baby dari beg yang dia bawa. Dia tunjuk-tunjuk goyang-goyang puting tu depan Mama dan Fayyad. Dia tanya kenal tak puting tu dalam keadaan saiko tadi la. Mama jawab tak kenal dan anak saya tak isap puting. Dia try hard tunjuk depan Fayyad lebih dekat, tapi Chott blok kami dan Abang Polis tarik dia. Abang polis pun tak boleh nak handle Amoi ni. Then Abang Polis panggil kawan dia lagi sorang. Kawan dia tanya-tanya tapi Amoi still cakap “thats my baby!“.”
“Sebenarnya Semua conversation Amoi ni in English tau. Mama paham dan boleh respon balik tapi dalam keadaan Mama sendiri takut menggigil anak kita dipertaruhkan, mana mungkin mama boleh protect sengsorang. Saya suruh abang polis tu suruh Amoi tu tunjuk gambar anak dia yang hilang tu sebab nak tengok betul sama ke dengan muka Fayyad. Tapi Abang Polis ni, tak berapa pandai nak speaking dan dia dalam keadaan di saiko Amoi ni sebab Amoi ni tunjuk perasaan dengan campak beg balik kg dia kat kaki polis ni.
Bila geng Abg polis ni dah sampai.. Amoi ni still react saiko dengan soalan-soalan barang baby bagai dan menjerit kata Fayyad anak dia. Banyak kali dia cuba nak sentuh / tarik Fayyad. Alhamdulillah.. Chott, Zamarul & Abg Polis try hard halang.. lagi di halang, lagi dia menjerit cakap Fayyad anak dia yang hilang. Tak tau la Amoi ni memang sakit ke, sindiket, atau betul anak dia hilang. Mama pun tak dapat bayangkan apa jadi bila anak kita sendiri hilang.. boleh hilang pertimbangan juga.
Time ni Fayyad dah start takut tengok Mama cuba elak dari setiap langkah Amoi ni mendekat Fayyad pun menjerit bising baby baby.. bukannya kita paham bahasa baby. Amoi ni terus melenting tunjuk jari kat Fayyad dalam keadaan marah dan cakap,
“See! see!”
Amoi tu marah Abg Polis tu.. Dia suruh tengok reaksi Fayyad yang tak selesa dengan orang asing ni. Segigihnya dia membuktikan yang Fayyad bukan anak Mama.
So, bila geng Abg Polis sampai tak dapat jugak nak cool down kan Amoi tu. Abang Polis tu suruh kami lari pergi naik train cepat! Dan masa tu Mama punya lutut tersangatlah longgar nak berlari sambil dukung Fayyad, galas beg kat belakang, sesambil nak tengok toleh belakang takut-takut Amoi ni kejar lagi atau tak dan terlepas ke apa ke. Macam-macam lah bermain kat otak masa tu.
Dari 1st naik esculator yang tinggi nak ke MRT tu.. kami lari dalam ketakutan dan Amoi tu tersangat lah gigih nak rempuh road block Abang Polis tu dan sambil menjerit Fayyad anak dia. Mama rasa jauhh sangattt kami berlari.. turun naik esculator dengan larian ketakutan. Cepat-cepat tekan mesin nak beli Coin dengan mengah. Sampai la kami sesambil tunggu train pada landasan yang betul pun menyorok nyorok dekat bawah esculator sebab terlalu takut. Bila train sampai, kami terus masuk dan duduk dekat tempat orang ramai. Lega rasanya waktu train dah bergerak.”
Tak Ada Orang Tolong
Apabila berlaku kes macam ini, sepatutnya kita orang ramai tolong prihatin sama. Namun dalam kejadian yang menimpa wanita ini, berlaku sebaliknya.
“Sebenarnya, kami sangat kecewa sepanjang larian dalam ketakutan kami tu, tak ada sorang pun orang yang nak tolong atau pun tanya kenapa atau apa pun lah.. takde! Kami harungi dengan kekuatan dalam ketakutan kami sendiri je sampai la jumpa Abang polis tu. Terima kasih Abang polis.
Dalam train mama gigil-gigil, ketak lutut, trauma sangat. Menyesal sangat pergi tanpa lelaki dewasa yang boleh protect kami.Serik dah mama.
Alhamdulillah, Mama dan cousin selamat sampai dalam keadaan masih trauma.. Pertama kali dalam hidup terjadi kat diri sendiri.”
Sepanjang malam mama pikir.. hal ni sindiket ke apa ye. Risau kalau ade yang terkena nanti kalau benar ini sindiket. Takuttt!!”
Luahnya, dia sendiri tak tahu Amoi ni sakit atau anak dia betul-betul hilang sampai dia hilang pertimbangan macam tu. Jadi kalau orang ramai kenal perempuan ini datau pernah terkena, boleh inform padanya dan dia akan delete post ini. Niatnya cuma nak mak ayah lebih berhati-hati dengan orang sekeliling bila bawa anak keluar dari rumah.
Belajar Kedekut Anak Bagi Orag Pegang
Selepas kejadian ini semalam, Puan Suhada belajar untuk KEDEKUTKAN ANAK DARI ORANG.
“Siapa tak sayang anakk oiiiiii.
Ini Pengajaran sangat buat mama. Lepas ni kena berhati-hati sunggu. Kena ada Protector bila keluar. Tak boleh jadi peramah sangat sampai tak kena situasi
Jangan bagi orang sentuh / pegang anak kita sesuka hati. Apatah lagi tetiba mintak nak dokong anak. Omgg!! Tak nak pikir lah kalau terbagi dukung Fayyad tadi.
Dan please, jadilah rakyat umum yang prihatin. Kesian kami tadi orang ramai dok tengok jer. Tak ada sorang pun yang hulurkan bantuan, tanya kami kenapa ke apa.”
Mama serikkk!
Pesan wanita ini, dia harap mak-mak di luar sana kena berhati-hati kalau terjumpa dengan orang ini dan semoga kejadian ini menjadi pengajaran buat kalian juga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Jangan bangga isteri masih bertahan atas segala sikap buruk anda selama ini. Dia kekal berada di sisi suami kerana kenangkan kau ayah kepada anak-anaknya yang belum mengerti apa-apa.
Kadang-kadang memang sukar untuk menyelami hati seorang wanita kerana dia sanggup kebalkan hati dan perasaan demi orang lain terutamanya untuk anak-anaknya. Oleh itu suami jangan terlalu yakin bila isteri masih bertahan dengan sikap anda. Bukan kerana anda tetapi anak-anak.
Jangan anggap isteri bertahan sebab dia bergantung hidup pada kita…
Kita bagi dia duit, kita bagi dia makan, kita bagi dia pakaian, kita bagi dia tempat tinggal, maka sebab itulah dia bertahan walaupun kita ni dah buat macam-macam yang menyakiti dan melukakan hatinya…
Jangan bangga bila terus-menerus membuatkan isteri menangis disebabkan sikap dan layanan kita terhadapnya…
Dia Masih Bertahan Kerana Anak-anak
Dia bertahan dan masih kekal di situ kerana kau adalah ayah kapada anak-anaknya…
Kerana alasan itulah, dia letak harapan untuk pasangannya berubah walaupun dia sendiri tak nampak harapan bahawa kau akan berubah… Kerana alasan itulah, dia mengenepikan perasaan, kemahuan dan impian dirinya…
Dia boleh sahaja hidup tanpa orang yang bagi dia duit, makan, pakaian dan tempat tinggal kerana keyakinan dia pada rezeki itu datangnya dari Allah SWT, bukan pasangan…
Jangan anggap mereka lemah dan tak boleh hidup tanpa seorang insan yang bernama lelaki…
Apa guna hidup dengan lelaki yang berterusan tidak menghargai, menyakiti, menganiayai serta menzalimi dirinya sebagai seorang wanita yang mana sepatutnya dimuliakan kerana Islam mengajar untuk memuliakan kaum hawa dan melayan isteri dengan makruf…
Berubahlah selagi masih diberikan masa untuk berubah… Kita tak akan pernah tahu banyak mana masa yang kita ada untuk berubah…
Untuk apa kita berkahwin kalau bukan untuk membahagiakan mereka yang berada di sisi kita? Renung-renungkan…
MW: Sesungguhnya seorang isteri akan bertahan bila dia kenangkan anak-anak walaupun hatinya remuk dengan sikap pasangan. Namun jika tiba masanya, seorang isteri dan ibu mampu bertindak demi kebaikannya sendiri. Renung-renungkan.
Isteri takut nak berhenti kerja bukan apa, risau suami abai nafkah, takut tak cukup belanja. Masih ada suami yang mengabaikan bab nafkah, tak semua tetapi wujud dalam realiti kehidupan. Isteri pula mula reda walaupun jauh di sudut hati berasa sedih.
Namun ini bukan isunya, yang menjadi barah dalam rumah tangga adalah apabila si suami sengaja buat-buat lupa tak mahu bagi nafkah. Alasan biasa adalah, TAK CUKUP!
Suami Abai Nafkah, Isteri Takut Nak Berhenti Kerja Risau Tak Cukup!
Maka isteri terut bekerja demi cukupkan apa yang perlu. Ya, ini yang menjadi penyakit dalam hubungan, awal-awal mungkin boleh simpan tetapi sampai satu tahap isteri penat, semua akan ‘terlondeh’ dan jadi kes mengungkit.
Walaupun bekerja bukan kewajipan isteri, tapi ramai isteri yang tak berani nak berhenti kerja sebab takut tak cukup.
TUJUH sebab kenapa isteri tak berani berhenti kerja:
1. Pendapatan isteri lebih dari suami
Barang dapur isteri beli, keperluan harian isteri beli, duit pengasuh isteri bayar, yuran sekolah isteri bayar, minyak kereta isteri isikan, bil internet, bil air, bil elektrik smua atas isteri. Komitmen dan bebanan bulanan isteri itu lebih banyak disebabkan pendapatan si isteri lebih tinggi dari si suami.
2. Isteri berbelanja tak mengharapkan duit suami
Nak beli skincare, nak beli barang kemas, nak beli tudung/baju, nak shopping online, ada duit boleh beli. Tak perlu meminta-minta, tak perlu mengemis, teringin nak makan apa-apa, boleh beli sendiri. Kos maintenance diri sendiri dibiayai oleh duit sendiri.
3. Risau menjadi beban kepada suami
Bila dah berhenti, takut tak dapat menolong suami dengan duit. Nak beli apa pun, tunggu suami yang bagi duit. Kalau terlebih guna duit yang suami bagi, rasa dah menyusahkan suami atau menyebabkan suami kekurangan duit. Bila suami mengeluh tak cukup duit, rasa bersalah sebab tak boleh bantu dia.
4. Takut suami lepas tangan
Walaupun tak patut ada mentaliti macam ini, tapi kebiasaannya setiap isteri akan fikir juga. Hanya dia yang mengenali suaminya. Nanti kalau suami tak tunai nafkah, kalau suami tak bagi duit belanja, jika suami culas tentang kewajipan dia, maka siapa yang akan tanggung keluarga? Siapa yang akan beli keperluan harian dan sebagainya?
5. Isteri boleh menolong keluarganya sendiri tanpa perlu menyusahkan suami
Nak hulur duit pada orang tua pun tak segan, nak beli apa-apa kat org tua pun dibolehkan. Nak bawa orang tua berjalan, melancong, nak bagi duit kat adik belajar, semua guna duit sendiri dan untuk keluarga sendiri.
6. Kerjaya yang diminati/jaminan masa depan
Susah nak dapat kerja bahagian itu dan bila dah dapat, bukan senang-senang boleh berhenti. Kerja pula bidang yang memang dipelajari dan diminati. Passion itu sentiasa ada setiap hari bila keluar pergi kerja. Nanti dah tua, ada duit simpanan, ada pencen tak perlu nak harap anak-anak tanggung.
7. Suka berdikari dan ada duit/harta sendiri
Memang sejenis yang nak ada duit/harta sendiri dan berdikari dengan kaki sendiri. Tak nak mengharapkan sesiapa untuk dia menjalani kehidupan hariannya. Dia nak bekerja sebab dia ada matlamat dan impian yang ingin dicapainya.
Apa pun alasan dan sebab tak nak berhenti, bila dah jadi suami isteri, ada anak-anak, kadang-kadang kepentingan anak-anak dan famili tu bypass semua alasan dan sebab yang kita ada di atas ini.
Ingatlah rezeki dari Allah S.W.T, jadi isteri jangan risau tak cukup dan takut untuk meneruskan kehidupan. Yang penting berusaha dan doa, lain-lain Allah akan aturkan. Soal suami abai nafkah pula, kena suarakan dan berbincanglah dan rancang kewangan keluarga sebelum buat apa-apa keputusan. Tak banyak tak apa, janji ada kerana nafkah itu umpama hutang suami kepada isteri.
Anak perempuan meningkat remaja. Nana Mahzan akui agak risau. Namun punya cara tersendiri didik anak. Paling penting kata Nana perlu banyak berbicara dengan anak perempuan. Berkongsi cerita sangat penting dan pastikan anak menghormati dan mendengar kata ibu ayah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Suasana sebak di Konvokesyen UniSZA apabila ibu terima skrol diploma arwah anak yang meninggal dunia dua minggu sebelum tamat pengajian – hadiah terakhir Airel buat ibunya.