Bila tiada lagi wujudnya persefahaman, sering bergaduh, berlaku penindasan, pengabaian nafkah, hak dan tanggungjawab suami isteri, perceraian mungkin adalah jalan yang terbaik. Namun untuk melalui proses perceraian ini bukannya mudah. Ramai yang pernah menempuhinya terpaksa hadap kes ini berbulan-bulan malah bertahun-tahun lamanya.
Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) telah memperkenalkan kaedah proses perceraian secara ‘fast track’. Melalui proses ini, pasangan yang bersetuju untuk bercerai akan diselesaikan dalam tempoh 6 jam daripada masa pemfailan kes dan ia memudahkan proses dan dapat menjimatkan masa serta kos pasangan tersebut.
Bukan Cerai Sewenang-Wenangnya
Namun perlu ambil perhatian, kaedah proses perceraian ‘fast track’ yang diperkenalkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) ini bukan untuk menyelesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya.
JAKESS dalam satu kenyataan berkata, sistem diperkenalkan pada 2015 itu perlu melalui pelbagai fasa, termasuk jalan penyelesaian bagi konflik rumah tangga dihadapi setiap pasangan bermasalah.
Katanya, pemfailan kes di Mahkamah Syariah hanya dibuat selepas usaha menerusi kaedah runding cara itu gagal menyelamatkan perkahwinan pasangan terbabit.
“Pewujudan proses kerja kes cerai secara ‘fast track’ adalah untuk menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan Mahkamah Syariah Selangor yang mendakwa mahkamah mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikan kes cerai di negeri ini.
Ads
“Ia adalah satu prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan JAKESS bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengendalian kes cerai difailkan atas persetujuan bersama suami dan isteri yang sebelum ini mengambil masa hingga 90 hari untuk diselesaikan,” katanya.
Dakwaan Punca Kes Perceraian Tertinggi
Isu proses perceraian hanya mengambil masa enam jam di Selangor dibangkitkan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, semalam.
Ads
Ia dibangkitkan oleh Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang turut mendakwa proses perceraian ekspres di Selangor antara punca negeri ini mencatat kes perceraian tertinggi di Malaysia.
Mengulas lanjut, JAKESS berkata, kaedah diperkenalkan itu bagaimanapun perlu memenuhi syarat ditetapkan.
“Syarat itu ialah dokumen lengkap, suami isteri hadir di mahkamah dan wujud persetujuan antara suami isteri untuk bercerai secara baik serta harmoni.
Ads
“Selain itu, isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci itu, dan mahkamah berpuas hati bahawa sudah berlaku pecah belah (shiqaq) dalam perkahwinan yang tidak dapat dipulihkan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kaedah terbabit bukanlah untuk menggalakkan masyarakat Islam bercerai sehingga menyumbang kadar kes tinggi di Selangor.
“Sebaliknya, kadar perceraian tinggi tercatat disebabkan jumlah penduduk yang ramai di Selangor berbanding negeri lain di seluruh Malaysia,” katanya.
MW: Semoga penjelasan daripada Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) ini dapat difahami. Ia bukan menggalakkan perceraian tapi memudahkan proses dan menjimatkan masa dan kos bagi pasangan yang gagal menyelamatkan perkahwinan.
Setiap anak-anak yang dilahirkan pasti ada kelebihannya yang merupakan satu anugerah tidak ternilai. Siapa sangka, meskipun dilahirkan dengan kekurangan secara fizikal, kanak-kanak ini mempunyai cukup ‘kesempurnaan’ apabila diberi keterangan hati menghafaz hampir semua surah dalam al-Quran dengan hanya mendengar alunan di radio.
Kanak-kanak istimewa ini, Ahmad Aqeel Faiz Mohammad Noor, 7, turut disahkan menghidap autisme dan kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Presint 18, Putrajaya di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) bagi pendidikan kanak-kanak kurang upaya penglihatan.
Ibunya, Nur Izzah Mohamad Kamil, 36, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu buta kedua-dua belah mata sejak dilahirkan dan pada umurnya setahun setengah disahkan menghidap autisme.
“Ketika umur Aqeel setahun, saya perasan perkembangannya agak lambat dan dia suka menghantukkan kepala di lantai malah menangis yang tidak tahu punca.
“Selepas melakukan sedikit pembacaan dan perasan Aqeel ada ciri-ciri autisme, kami kemudian merujuk kepada pakar kanak-kanak seterusnya ke pakar psikiatrik dan doktor mengesahkan anak mempunyai mild autism,” katanya.
Suri rumah itu berkata, ketika mengandungkan Aqeel dia sering mengalunkan ayat al-Quran sehingga dia besar dan dia akan mendengar serta menghayati surah berkenaan yang dipasang di YouTube, radio dan televisyen.
“Aqeel dulu ada masalah tak tidur malam sebab dia tidak dapat bezakan waktu siang dan malam.
“Nak bagi dia tidak merayap keluar dari bilik memang kami pasang ayat suci al-Quran setiap masa dalam bilik dia. Kalau dia tak dapat tidur, dia akan dengar al-Quran sepanjang malam hingga pagi.
“Lagipun Aqeel ada autisme, jadi kalau dia ‘tantrum ’ (meragam) memang saya pasangkan al-Quran sebagai terapi untuk dia,” katanya .
Menurutnya, ayat suci al-Quran memang sebati dengan Aqeel kerana sudah didedahkan daripada kecil lagi, malah ketika dalam rahim.
“Tapi mungkin juga kelebihan Aqeel buta dan autisme membuatkan dia dapat menghafaz banyak surah.
“Sebab adik-beradik yang lain iaitu abangnya berusia 10 tahun dan adik perempuan berusia tiga tahun pun kami buat benda sama, tetapi tidaklah sehebat Aqeel.
“Saya rasa hampir semua surah dalam al-Quran dihafaz oleh Aqeel, selain tu Aqeel boleh membaca surah Al-Baqarah, Al-Imran, An-Nisa dan Yaasin,” katanya.
Menurutnya, ini berikutan setiap kali suaminya, Faiz Mohammad Noor Kamaruzaman, 36, membaca al-Quran kemudian meminta Aqeel menyambungnya, pastinya dia boleh melengkapkan surah berkenaan.
“Saya rasa hampir semua surah dihafaz oleh Aqeel kerana bila kami pilih surah dalam al-Quran, dia boleh teka surah apa kami baca.
“Kami berharap Aqeel dapat menjadi hafiz al-Quran suatu hari nanti walaupun mempunyai kekurangan diri,” katanya .
Menurutnya, dia dan suami berharap supaya Aqeel dapat berdikari dan menjalani kehidupan seperti orang lain walaupun agak sukar untuk mendidik Aqeel kerana masalah penglihatan dan autisme.
“Bagaimanapun, kami tidak putus asa menghantar Aqeel ke sekolah, terapi dan kelas fardu ain untuk mempersiapkan dirinya untuk masa depan.
“Siapa tahu satu hari nanti Aqeel dapat bertanding dalam tilawah al-Quran dan ini sudah cukup menggembirakan kami,” katanya.
MW: Alhamdulillah. Tahniah buat keluarga ini, mempunyai anak yang cukup istimewa. Disebalik ‘kekurangannya’ memiliki keistimewaan dan kesempurnaan yang jarang dimiliki oleh kanak-kanak lain.
Ibu ini, Intan Nureezanie semasa hamilkan anak kedua alami masalah air ketuban lebih. Keadaan itu menyebabkan semput kerap menyerang terutama bila kandungan melepasi usia 20 minggu.
Sampai satu tahap, dia terpaksa membuang lebihan air ketuban dari kantung rahimnya. Dan selepas itulah peristiwa pilu ini ibu alami. Satu persatu, ibu ini kisahkan sebagai kenangan akhir untuk anak syurganya.
Alhamdulillah, seminggu sudah pemergian anak syurga bonda MUHAMMAD ASEEF HABIB. Ramai yang nak tahu sebab anak syurga meninggal di kala usia 6 bulan lebih dalam kandungan. Hari ni (ketika status ditulis) Bonda dah kuat untuk story.
Bonda pregnant kali ni agak excited juga, even Bonda ada anak sebelum ni MUHAMMAD AQEEF HILAL. Bonda excited sebabnya Bonda nak dapat hero lagi. So Bonda excited semua perkara.
Tapi Allah uji Bonda untuk anak syurga Bonda hanya dalam rahim Bonda selama 6 bulan @ 27 week 1 days sahaja.
Maka bermulalah episod di mana Bonda tahu Bonda ada masalah kandungan apabila kandungan usia 20 week++. Bila checkup ketinggian perut lebih dari sepatutnya. Nurse ragu-ragu sama ada kedudukan baby atau air ketuban lebih.
Sampai lah Bonda setiap minggu buat checkup ketinggian perut yang makin lama makin besar.
Bayangkan perut Bonda dah tak macam pregnant 6 bulan. Sebab air ketuban lebih.
Kan selalunya orang hanya tahu air ketuban kurang sahaja.
Nak dijadikan cerita, Bonda checkup pada 14/5/2019. Memang setiap hari Selasa Bonda kena follow checkup di RSAT. Sebab berat naik turun dan nak checkup perut. Nurse nak pastikan adakah kerana kedudukan atau perkara lain. Masa checkup baby dan jantung semua okay tapi ketinggian perut masih tinggi.
Bayangkan tengah checkup pun tetiba lemas semput. Nurse pun refer doctor, bayangkan checkup dengan doctor 2 kali semput dan lemas, berpeluh.. dalam bilik doctor yang sejuk pun berpeluh. Bila check AFI 30. Jadi kandungan kali ni Bonda mengalami air ketuban lebih.
Doctor pun terpaksa refer pakar O&G. Bila refer pakar O&G AFI tu 34.
Bayangkan air ketuban dengan paru-paru tu dekat sangat. Patutlah selalu lemas tak cukup oksigen. So pakar decide Bonda kena keluarkan sedikit air ketuban tu tetapi ade risiko nya. Dan pakar mintak Bonda minum air gula. Biasanya mereka yang ada air ketuban lebih berlaku pada ibu yang ada GDM.
Ini risiko yang mungkin Bonda lalui:
Bonda putuskan kena keluarkan sebab tak mampu bertahan asyik semput. Hari tu juga Bonda kena warded. Sedih bukan sebab warded tapi kena berpisah dengan bujang. Lepas kena warded nurse mintak Bonda puasa start 10 malam sebab 4 pagi nak minum air gula.
Pukul 4 pagi, tengah lena nurse datang mintak minum air gula. Dalam mamai-mamai minum lah walaupun manis.. paham paham lah.
Pagi tu nurse bagitahu no GDM. Doc pun dah bagitahu kemungkinan pada baby. Oh my! Bonda dah risauuu lah. Tapi masih positif. Doc datang decide nak keluarkan air ketuban. Esok kan harinya. Doc terangkan risiko yang bakal Bonda hadapi.
Bonda kata anak syurga Bonda kena kuat. Dan Bonda pun kuat untuk anak syurga bonda walaupun ape jadi. Bonda kena cucuk Dexa matangkan paru-paru baby dulu baru boleh proceed untuk next stage. Sekali lagi, doc minta puasa start 4 pagi sebab 9 pagi nak keluarkan air ketuban.
Selepas checkup dan pantauan doctor pukul 11 pagi, doc nak keluarkan air ketuban yang lebih tu. Sakit dia jangan cakap sebab dia cucuk di perut kita. Don’t worry tak kena baby. Dia scan dulu ruang kosong mana yang sesuai. Dekat setengah jamlah bonda keluarkan air ketuban yang lebih tu sebanyak 1 liter.
Faham tak 1 liter tu banyak mana kan. Baru lah Bonda selesa nak bernafas selepas air ketuban tu dah buang. Sakit lepas buat tu.. Kena rehat dan tak boleh bergerak. Takut berlaku contraction atau masalah lain.
Nak dijadikan cerita, malam tu waktu nak tidur tetiba menggigil, berpeluh, kepala sakit. Pukul 4 pagi macam tu nurse datang check BSP. Nurse nampak Bonda pucat menggigil.
Sekali check suhu 38.6. Habis lah Bonda demam lepas buat procedure tu. Nurse mintak mandi. Suhu turun 36.9. Tetapi selepas tu doc on antibiotik badan Bonda start menggigill semula. Check suhu 37.9.
17/5/2019 ( Jumaat )
Suhu masih tak okay lagi. Tapi dah kuat lah juga sebab tak nak layan dah. Takut makin melarat. Doc datang jumpa. Dia dah detect kandungan Bonda dah ada jangkitan kuman sebab Bonda demam selepas procedure itu. Tapi doc cakap Bonda okay lagi.
Start petang tu, dah menggigill demam lagi melarat ke malam. Nurse check suhu dah 39.6C. Bila badan Bonda menggigil macam apa, nurse dan doctor dah keliling Bonda.
Masuk lah segala jarum kiri kanan kat tangan. Ambik darah semua. Doc decide Bonda dipindahkan di HDU labour room untuk pemantauan.
Tetapi bila dipindahkan ke HDU masa itu suhu dah 40.1C . Doc terus decide Bonda terpaksa emergency caeser. Masa itu juga kuman dah detect ada dalam kandungan dan baby.
Tekanan nadi Bonda pun dah 120++ ke atas. Memang laju.. Nak tak nak Bonda terpaksa emergency caeser walapun kandungan baru 6 bulan. Berat baby masih kecik. Tetapi kalau Bonda tak caeser, akan ada masalah lain pada Bonda.
Doc terangkan dia terpaksa caeser sebab kalau kuman detect saluran darah, Bonda akan koma atau meninggal sebab suhu terlampau tinggi. Kuman pada air ketuban tu dah aktif selepas procedure tu. Bonda kena redha. Doc minta Bonda kuat walau apa-apa terjadi Tepat pukul 11 lebih malam, Bonda ditolak ke bilik pembedahan. Perasaan masa tu kosong.
Tepat 12.15 am lahirlah anak syurga Bonda seberat 1kg. Tetapi anak Bonda dilahirkan dan diletakkan di NICU sebab anak Bonda kecik. Bonda pun selepas caeser dipindahkan ke bilik HDU. Untuk pemantauan memandangkan masih demam.
Sampai lah pukul 11 lebih Bonda masih tak kuat, pening lagi. Doc kanak-kanak dari NICU call Bonda bagitahu anak kekurangan darah. Jadinya, doc datang ambik darah Bonda.
Dalam pukul 12, doc call bagitau anak Bonda dah tenat kritikal. Masa tu jantung.. Allah saja yang tahu. Dalam hati Bonda terus berdoa supaya anak Bonda kuat. Selepas tu, doc pakar kanak-kanak datang bagitau Bonda itu ini sebelum Bonda ditolak ke bilik NICU yang menempatkan anak syurga Bonda.
Bonda dalam keadaan pening, doc terangkan keadaan anak Bonda.
Dah tak mampu bertahan kerana pendarahan otak. Sebab lakukan CPR 15 minit sekali, tak ada tindak balas. Akhirnya, Bonda decide pada doc lepaskan lah anak syurga bonda. Satu keputusan yang paling berat Bonda kena lakukan dalam hidup Bonda selama ni.
Tepat 12.15 pm dan akhirnya anak Bonda pergi untuk selamanya. Cuma 12 jam kamu bertahan sayang.
Bonda mampu hantar anak Bonda di forensik sahaja. Dan sedih dia Allah yang tahu. Bonda tak mampu pulang bersama. Ketika itu, Bonda masih dalam pemantauan.
Pulanglah anak syurga Bonda bersama ayah, atuk, opah, tokabah, nenda, moyang dan kawan-kawan ayah ke Jengka. Selepas Asar anak Bonda selamat dikebumikan bersebelahan arwah abang dan adik bonda. ( Paklong dan Makcik anak syurga Bonda )
Selama ni tak pernah terfikir akan melalui fasa dugaan kehilangan zuriat yang dikandung. Tapi Allah menyayangi dari Bonda sayang anak syurga Bonda.
Bonda dah 8 hari (ketika status ditulis) berpantang tanpa anak. Sakitnya Allah yang tahu . Tapi anak syurga Bonda dah rehat di taman syurga Allah.
Al fatihah anak syurga Bonda MUHAMMAD ASEEF HABIB B MOHAMAD AZLAN
Alhamdulillah Bonda dah kuat sebab Bonda masih ada permata hati Bonda lagi MUHAMMAD AQEEF HILAL. Yang sentiasa menceriakan hidup Bonda, kekuatan Bonda untuk melangkah dari hari ke hari.
Sumber/Foto : Intan Nureezanie
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Orang cakap, nak pikat suami kenalah pikat mentua sekali. Jangan pula, sebelum berkahwin semuanya baik, manis dan elok. Orang cakap, pijak semut pun tak mati.
Tetapi, bila sudah dimiliki keadaan terus berubah. Mula timbul sikap cerewet, pantang ditegur dan lebih teruk lagi apabila mentua dan menantu mula bermasam muka kerana ada sahaja perkara yang tidak kena di mata mereka. Boleh dikatakan, baik menantu mahu pun mentua, mereka tidak ‘ngam’.
Jadi, bagaimana ingin menjadi menantu pilihan dan mentua disayangi. Ikut ikupasan lanjut bersama Prof Madya Dr Hj Mohd Nor Mamat Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) berkenaan cara nak pikat mentua.
Konflik Menantu Mentua
Seringkali kita mendengar kes atau konflik yang berlaku antara menantu perempuan dan ibu mentua berbanding dengan menantu lelaki dengan bapa mentua. Keadaan ini mudah berlaku apabila kedua-duanya cepat terasa hati dan tidak dihargai baik oleh suami atau anak lelaki sendiri.
Ada juga disebabkan oleh perbezaan jurang yang menimbulkan salah faham apabila ibu mentua membanding-bandingkan cara menantu menjaga keluarga. Contohnya, melayan suami atau pun mendidik anak-anak yan tidak sehebat mereka dahulu.
Malahan, kelemahan menantu menguruskan rumah tangga juga boleh menjadi punca kritikan mentua sehingga menimbulkan rasa hati dan konflik dalam hubungan. Apatah lagi, jika tinggal bersama, setiap tindakan menantu jadi perhatian mentua.
Tidak Rapat
Daripada sudut psikologi, perempuan lebih didominasi oleh emosi. Namun, tidaklah dikatakan menantu perempuan dan ibu mentua sukar untuk rapat kerana ada kalanya mereka boleh rapat melebihi hubungan menantu lelaki dengan bapa mentua.
Mereka didominasi oleh emosi, jika gembira akan jadi gembira bersungguh-sungguh dan jika sedih, mereka akan cepat sedih dan terasa hati. Berbeza dengan lelaki yang agak rendah emosinya, lebih banyak mengambil mudah, sukar terasa hati dan kalau pun berlaku, cepat pula melupakan.
Ambil Hati Mentua
Ada cara yang boleh memastikan menantu ‘mesra’ dengan mentua atau dikatakan lebih serasi. Contohnya, jangan tinggal terlalu lama bersama menantu dan mentua. Jika keadaan ini tidak dapat dielakkan, sebagai menantu perlulah menghormati ibu mentua seperti ibu sendiri dan suami hendaklah bijak memberi perhatian kepada kedua-duanya secara efektif.
Sebenarnya, isteri dan ibu inginkan perhatian dan belaian yang istimewa daripada suami atau anak lelaki.
Sebagai menantu perempuan, perlulah banyak bersabar dan tunjukkan keikhlasan dalam menghormati ibu mentua sebagai wanita yang paling istimewa dalam rumah tersebut. Elakkan daripada kita merampas anak lelaki daripada hidupnya atau menghalang daripada anak lelaki mengambil berat terhadapnya.
Sebagai menantu, biasakan diri kita sesuaikan diri dengan gaya hidup mentua, ini boleh menjadikan mereka rasa dihargai. Dahulukan apa sahaja untuknya, elakkan daripada merasakan ibu mentua sebagai orang asing dalam urusan keluarga.
Anggap Ibu Sendiri
Sebaiknya, sebelum mendirikan rumah tangga dengan pasangan, mulalah berkenalan dan berbaik dengan bakal ibu bapa mentua. Pujuk diri agar menerima hakikat bahawa kita bukanlah bersendirian memiliki suami kerana mentua juga adalah sebahagian daripada keluarga kita.
Cari sesuatu yang boleh mencipta kekaguman dan penghormatan terhadap mentua untuk lebih memudahkan kita menjadi lebih rapat dan ‘rakan baik’ atau pun idola dalam kehidupan kita.Jadikan pahala berbuat baik dan menghormati kedua ibu bapa mntua sebagai motivasi untuk kita bersabar dan menerima keadaan tersebut.
Nasihat Untuk Menantu
1.Berilah keutamaan kepada mentua kerana mereka lebih tua dan perlu dihormati sama seperti ibu bapa kita sendiri.
2.Pujuk hati untuk berkongsi kasih sayang dengan wanita lain iaitu ibu mentua kerana jika diamati betul-betul, sebenarnya kasih sayang dan perhatian suami adalah istimewa untuk setiap.
3.Hormati ibu bapa mentua kerana dengan sebab merekalah, kita mempunyai suami dan menerusi penghormatan serta kasih sayang suami kita terhadap mereka juga menjadi asbab laluan kita ke syurga.
4.Elakkan daripada membanding-bandingkan kasih sayang atau perhatian suami.. Elakkan prasangka negatif terhadap mentua yang kadang kala merasakan seolah-olah ingin bersaing untuk mendapatkan perhatian daripada suami kita.
5.Cuba sedaya upaya untuk tidak tinggal sebumbung dengan ibu bapa mentua dalam tempoh yang lama. Sebaiknya, tinggal berasingan dan sering kalilah mengunjungi rumah mereka.
6.Jika tiada pilihan, carilah atau ciptalah hubungan yang membahagiakan bersama ibu mentua, contohnya berkongsi hobi yg sama, atau pun jadikannya guru masakan atau apa sahaja yang membahagiakan dan menggembirakannya (tanda dihormati).
Wahai Mentua!
1.Berilah ruang dan peluang kepada anak untuk menjadi suami yang membahagiakan keluarganya. Anak lelaki mempunyai tanggungjawab yang berbeza daripada sebelum menjadi suami kepada menantu kita.
2.Pujuk diri untuk menerima hakikat betapa anak kita telah pun mempunyai tanggungjawab baru dan sedia berkongsi perhatian serta kasih sayang dengan wanita lain.
3.Jadilah mentua yang bertoleransi serta membahagiakan menantu seperti mana anak sendiri dan ini akan lebih dihormati oleh menantu.
4.Elakkan daripada masuk campur semua urusan anak menantu kerana mereka lebih tahu mengurus hidup sendiri, malah mereka juga hidup pada zaman yang berbeza dengan kita.
5.Elakkan membanding-bandingkan tindakan atau pun sikap menantu dengan cara hidup kita atau pun dengan anak menantu lain kerana tugas kita sebagai ibu bapa adalah membesar dan mendidik anak-anak dalam membina keluarga mereka dengan bahagia.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!