Buat para suami bila anda lihat isteri tiba-tiba jadi malas, segeralah bantu dia. Memang ya wanita ‘multitasking’ tapi tetap ada ‘limitnya.’ Ada ketikanya isteri akan rasa terlalu penat bukan sahaja fizikal tetapi juga mental.
Suami Bila Nampak Isteri Tiba-tiba Malas, Bantulah Dia
Menjadi isteri dan ibu bukannya tugasan yang mudah. Namun ianya satu tanggungjawab yang perlu wanita laksanakan dengan baik. Lumrah bagi wanita, ingin menjaga keluarga dengan sebaik mungkin dan menyiapkan semuanya demi anak dan suami. Namun kudratnya tak sekuat lelaki, emosinya sangat rapuh.
Kesan terhadap fizikal, mental dan emosi seorang wanita yang bergelar isteri dan juga ibu dalam mengimbangi antara kerjaya, pembelajaran anak, layanan terhadap suami dan menguruskan kerja-kerja rumah.
Wanita itu multi-tasking, boleh berfikir 2, 3 perkara dalam masa yang sama, wanita juga boleh melakukan 2,3 perkara dalam masa yang sama.
Wanita Memang ‘Multitasking’ Tapi Tetap Ada ‘Limit’
Ads
Jika kita sebagai suami nampak mood isteri sudah tidak keruan, jika kita nampak dia sudah mula marah-marah, jika kita nampak dia sudah mula tinggi suara, jika kita nampak dia duduk diam macam sedang berfikir tanpa buat apa-apa, termenung, mengelamun, bermimpi disiang hari, maka dia sebenarnya sedang menghantar isyarat bantuan.
Dia perlukan pertolongan, bebanan yang dipikulnya perlu diringankan.
Dia sudah penat dengan multi-task yang dia perlu handle. Kalau dia fokus kepada anak-anak, nanti suami balik tak ada apa nak makan.
Ads
Kalau dia fokus kepada kerja-kerja rumah, nanti kerja-kerja sekolah anak tak sempat disiapkan. Kalau dia ambil pendekatan buat setakat yang mampu, maka dia tak puas hati bila masih ada perkara yang tertunda, tak sempat dibuatnya.
Fizikal sudah penat, emosi sudah sarat, mental sudah tenat. Suami perlu ambil langkah ini iaitu membuat apa yang isteri selalu buat. Jadikan itu sebagai tugas kita pula, ambil alih daripada isteri sepenuhnya. InsyaAllah, lebih harmoni dan tenang si isteri bila suami berkongsi bebanan dengannya.
Sebenarnya tak susah pun suami nak bahagiakan isteri. Hanya dengan menghargai penat lelah si dia, cukup membuatkan hati isteri berbunga-bunga. Biasanya kalau cakap nak hargai penat pasangan kena beli hadiah atau barangan mewah sebagai tanda kasih sayang. Kononnya, itulah untuk menghargai pasangan.
Memang tak salah pun nak hargai penat pasangan dengan memberi barangan atau hadiah. Tapi bagaimana dengan keadaan fizikalnya yang penat uruskan rumahtangga. Adakah suami layan emosi penat lelah isteri selama ini.
Jangan fikir, nak hargai pasangan dengan memberi hadiah semata-mata. Malah tak perlu pun nak habiskan duit dengan cara ini. Bagaimana pula dengan pasangan yang hidup sederhana, sanggupkah berhutang untuk membeli hadiah, semata-mata nak hargai pasangan.
Sebenarnya, hidup serba serbi sederhana pun boleh membuatkan pasangan bahagia. Caranya, cukup mudah dengan hanya membantu pasangan di rumah pun buat dia bahagia.
Inilah yang dikongsikan oleh Syahirah Omar tentang mudahnya nak bahagia dan hargai isteri. Tak susah pun caranya.
Hargai Penat Isteri, Ringankan Tulang
Saya ada seorang kawan yang sudah berumahtangga. Hidupnya sangat bahagia. Anak-anak yang baik dan mendengar kata. Sejuk hati bila tengok keluarga kecil mereka.
Setiap pagi suami pergi kerja naik motor. Isteri tadi uruskan 4 orang anak lelaki mereka, hantar dan jemput anak di sekolah naik kereta wira lama warna biru.
Saya suka lihat cara mereka suami isteri. Saya rasa saya tahu kenapa kawan saya ni nampak sangat bahagia. Mungkin ada gaduh sesama mereka biasalah suami isteri, tapi saya tertarik nak kongsikan di sini kenapa kawan saya bahagia.
Saya perhatikan,
1. Setiap kali isteri dia bercakap, suami pandang tepat pada mata isteri. Setiap kali isteri panggil, suami terus bangun tinggalkan urusan suami dan fokus pada isteri. Sebab itu juga anak-anak mereka sangat mendengar kata bila melihat ayah mereka juga begitu. Mata bukan di handphone, di laptop atau di TV.
2. Hidup kawan saya sangat sederhana. Tapi mereka tenang saja. Setiap petang kalau suami dia balik kerja, kawan saya cerita suami mesti beli makanan untuk keluarga. Kuih muih, biskut atau apa saja. Tak pernah pulang dengan tangan kosong. Kata suami dia, rezeki murah bila bahagiakan anak isteri walaupun dengan bawa pulang sebungkus biskut cicah teh O.
3. Suaminya sangat ringan tulang. Isteri tak perlu suruh itu ini. Bukan senang uruskan 4 anak lelaki tetapi bila seorang ayah sangat rajin menolong si ibu, anak mereka pun jadi rajin juga. Yes, children are great imitators. So give them something great to imitate.
4. Kawan saya cerita setiap Maghrib dan Isyak pasti mereka solat berjemaah. Bila hari cuti, suami akan bawa anak yang besar sikit ke surau. Bila jaga solat, Insya Allah semua urusan Allah pasti jaga.
5. Bila hari cuti, suami dia bawa pusing naik kereta. Bila dah gaji, suami pasti bawa dia pergi kedai Eco. Tak mahal, tapi memang itupun dah buat isteri bahagia.
Benarlah, tak susah nak bahagiakan isteri. Isteri cuma mahu dihargai. Bila terlalu penat uruskan keluarga isteri cuma mahu suami peduli emosi isteri.
Kadang bila isteri mengadu penat uruskan anak bukan bermaksud dia terbeban dengan anak dan tidak bersyukur. Hakikatnya dia terlalu sayang anak-anak. Dia cuma mahu bercerita. Dia cuma mahu meluah rasa. Dia cuma penat emosi, mental walaupun fizikal masih bertahan lagi.
Sabda Nabi yang bermaksud: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Ahmad)
Saya doakan semoga rumahtangga kalian bahagia sampai Syurga dan sentiasa dalam Rahmat Allah.
Isteri tak minta lebih pun sebab dia tahu setakat mana kemampuan suami. Cuma nak hargai untuk dia hilangkan penat emosi bila uruskan keluarga.
Suami curang, isteri sudah maafkan tapi susah nak lupa, ini nasihat perunding keluarga dan guaman syarie. Isteri sudah memaafkan suaminya yang curang namun pada masa sama masih gagal untuk melupakannya. Bagaimana caranya untuk meyakinkan hati, mempercayai kembali suami yang pernah curang?
Walaupun si isteri telah memaafkan segala perbuatan curang suami terhadap dirinya namun ‘mimpi ngeri’ itu tetap menghantui. Si isteri sedaya upaya cuba untuk mempercayai suaminya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.
Mungkin ada isteri yang dalam diam mengakui, sedang berada dalam situasi ini, pernah dicurangi oleh suami tercinta. Aduh, remuk hati. Namun demi sayang dan kasih yang masih bersisa, si isteri ambil jalan untuk memaafkan kecurangan tersebut.
Tapi, bercakap tak semudah untuk melakukan. Jadi, mungkin perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Keluarga & Guaman Syarie dan kolumnis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita, boleh membantu anda yang sedang berada dalam situasi sebegini.
Minda Manusia
Ingin saya menarik perhatian anda semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak, boleh delete dan masuk recycle bin, kemudian delete terus. Langsung payah nak dicari semula.
Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan. Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.
Usaha
Realitinya, usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda. Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.
Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut. Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.
Peluang
Memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya memberi ruang dan peluang kepada sesiapa saja apatah lagi kepada pasangan sendiri.
Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup – cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh edah yang tertentu. Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra. Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumah tangga.
Memaafkan
Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas berikan kemaafakn kepadanya. Anda dan pasangan anda adalah insan biasa,sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain.
Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut. Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.
Rasulullah SAW seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat. Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.
Biarkan Berlalu
Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali. Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insya-Allah.
Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah Anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang. Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda.
Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula. Mohon juga agar anda membiarkan pengalaman perit yang lepas, berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.
Bila anak nakal, ibu bapanya perlu bersikap tegas. Jika si anak melakukan kesalahan, hukumlah dengan hukuman yan setimpal bukan membela membuta tuli. Kalau terlampau ‘diberi muka’ anak jadi bertambah ‘naik lemak.’
Rasulullah SAW insan mulia yang tinggi akhlaknya yang sepatutnya kita contohi termasuk cara baginda mendidik anak-anak. Sabda Rasulullah SAW “Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”.
NASIHAT
Anak yang nakal perlu dinasihati tentang kesalahan mereka sehingga mereka tahu dan sedar akan kesalahan mereka dan tidak akan mengulanginya. Nasihati dengan baik sehingga mereka faham. Gunakan suara yang lembut dan tak perlu menjerit dan berteriak kerana kadangkala cara itu hanya membuatkan anak semakin memberontak.
SEDIAKAN ROTAN DI RUMAH
Mungkin tidak ramai yang ada menyimpan rotan di rumah sekarang. Menggantung rotan di rumah bukan bererti kita cuba memberitahu anak-anak bahawa jika mereka melakukan kesalahan atau nakal, maka mereka akan dipukul. Sebaliknya, ia hanya untuk mendidik mereka agar takut jika melakukan perbuatan yang tidak baik. Seperti yang dikatakan Imam Ibnu Anbari:
“Rasulullah SAW tidak memaksudkan perintah untuk mengantungkan cambuk (alat pemukul) untuk memukul, kerana Rasulullah s.a.w tidak memerintahkan hal itu pada seorang pun. Akan tetapi yang baginda maksud adalah agar hal itu menjadi pendidikan bagi mereka.”
Jika perlu memukul anak juga kena tahu caranya. Jangan pukul anak dari lutut ke atas dan jangan gunakan tangan/anggota tubuh kita untuk memukul anak dan jangan sesekali menampar anak pakai tangan kita. Ini kerana dibimbangkan anak jadi bertambah degil dan nakal.
Sebaliknya, rotan/pukul anak di telapak kakinya. Secara saintifiknya ada kaitan dengan refleksologi dan merangsang ke bahagian otak. Rotan adalah jalan terakhir. Dengan niat untuk mengajar, bukan untuk menyakiti mereka.
WAJAH MASAM
Menampakkan muka masam merupakan salah satu cara Rasulullah s.a.w dalam mendidik anak yang nakal, dengan menampakkan muka masam. Dengan cara ini diharapkan anak akan sedar akan kesalahannya yang telah membuat orang tuanya kecewa.
TEGUR DENGAN TEGAS
Mula-mula, nasihati anak dengan suara yang lembut namun jika anak tidak mendengar kata, tegurlah dengan nada suara yang lebih kuat dan tegas agar mereka sedar bahawa mereka telah melakukan sesuatu perbuatan yang tidak sepatutnya.
Walau bagaimana pun, tidak perlu marah-marah, cukup anda bertegas. Ada beza antara marah dan tegas. Ibu bapa sekarang ramai yang suka marah anak tapi tidak tegas. Kadangkala mengugut anak tetapi mereka sendiri tidak kotakan apa yang dikatakan itu. Jadi, anak sendiri hilang rasa percaya pada ibu bapa.
HUKUMAN RINGAN
Hukuman adalah cara yang paling mudah supaya anak serik dan tidak mengulangi lagi kesalahannya. Namun, jangan melanggar batas syariat.
DOA
Doa ibu tanpa hijab. Jadi, jangan sesekali berhenti berdoa supaya anak-anak membesar menjadi anak yang soleh dan solehah, hebat di dunia dan cemerlang di akhirat. Yang paling penting, didik anak dengan ilmu agama yang secukupnya kerana ia adalah benteng paling mantap untuk menghindari seseorang daripada melakukan sesuatu perkara yang buruk.