Isteri boleh sahaja nak mintak suami membantu untuk membuat kerja-kerja rumah. Cuma, nak bagi mereka seronok, ikhlas tolong buat kerja rumah itu kenalah ada cara nak memintanya. Bukan main terjah arah-arah. Memang taklah nak dibantunya.
Isteri Boleh Saja Minta Suami Tolong Buat Kerja Rumah
Bak kata Liza Suhana ini, “orang lelaki pun rajin buat kerja rumah. Cuma ada pantangnya.”
Sebenarnya ada pantang larang dan syarat nak minta orang lelaki rajin buat kerja rumah. Mak-mak dan para isteri tolong peka kalau tak nak stres buat kerja rumah seorang diri.
Di bawah ini dikongsikan pantang larang yang perlu mak-mak elakkan jika nak minta suami membantu membuat kerja-kerja rumah.
Kena Tahu Dulu Apa Pantang Larangnya
1. Jangan berleter
Orang lelaki memang akan berdesing telinga kalau dengar kita berleter.
Cukup cakap sekali dua, diorang akan buat. Kalau benda urgent, sepantas kilat mereka boleh jadi hero. Kalau benda tak berapa penting, harap bersabar sahaja walau sampai bulan depan.
2. Jangan membanding
Ads
Dan jangan buat perbandingan antara mereka dengan anak jiran, suami sepupu, menantu Mak Cik Kiah, adik ipar ketua kampung. Jangan!
Mereka akan rasa tercabar dan silap haribulan suruh kita pergi cari adik ipar ketua kampung itu tolong kita buat kerja.
3. Jangan larang
Kalau nampak mereka sedang rajin, jangan dilarang! Nanti terbantut hasrat suci murni nak menolong itu.
Biar mereka teruskan cuci pinggan sendiri lepas makan atau kutip baju kotor masuk mesin basuh walaupun tak ikut SOP kita. Inilah proses untuk biasakan mereka dengan kerja rumah.
Ads
Pergi kerja cari rezeki sama-sama, buat kerja rumah pun patut sama-samalah. Barulah aman rumah tangga.
4. Jangan bagi arahan
Pantang tok nenek diorang kalau kita suka mengarah-arah. Boleh mencabar maruah.
Tukar ayat daripada, “Pi buang sampah yang dok berlonggok tu cepat!” kepada, “Tolong buang sampah tu sat … .”
Kalau boleh merayu lagi bagus. Suami akan rasa dirinya amat diperlukan.
5. Jangan tak puji
Ads
Orang lelaki pun suka kalau dipuji. Mereka akan rasa diri bertanggungjawab dan akan suka membantu.
Ucap pula, “Terima kasih,” dengan senyuman meleret, pasti mereka cair. Esok siap tanya nak tolong apa lagi. Kan bahagia!
Praktikkan lima perkara ini, Insya-Allah suami, adik, anak-anak lelaki kita akan rajin bantu buat kerja rumah. Kadang-kadang tanpa perlu pun kita suruh.
Bagaimanapun ia memerlukan kesabaran dan sentiasa diamalkan ye. Ia bukan boleh berlaku sekelip mata. Apa yang penting ibu bapa perlu memupuk anak-anak lelaki sejak dari kecil lagi habit suka membantu membuat kerja rumah.
Sedihnya bila anak sakit tapi mak tak boleh cuti. Hari ni anak nombor dua mengadu badan panas dan rasa tidak selesa. Terus mak ambil termometer, sukat suhu. Tengok-tengok dah mencecah 38.5’Celsius. Terus bagi ubat demam yang ada dalam peti ais. Namun, apakan daya, hari ni mak tak boleh ambil cuti sebab kerja di pejabat bertimbun-timbun. Nak tak nak, anak kena hantar ke rumah pengasuh.
Situasi anak sakit ini mungkin kerap di alami oleh mak-mak yang bekerja. Ingin ambil cuti tapi faktor kesibukan menyebabkan mak-mak terpaksa meletakkan anak di bawah pengasuh atau taska untuk dijaga. Hanya telefon dalam masa tertentu menjadi penghubung untuk memantau keadaan anak.
Sedih, sayu dan rasa bersalah sebab terpaksa tinggalkan anak sakit tanpa mak-mak yang jaga. Kerja memang kenalah kerja tetapi janganlah sampai anak demam atau sakit terpaksa serahkan kepada pengasuh atau taska. Inilah masanya untuk mak-mak dekati anak-anak dengan jaga kerenah sepanjang anak tidak sihat.
Walau bagaimanapun, untuk mengurangkan rasa kegusaran dan bersalah, ada cara yang boleh mak-mak lakukan semasa anak tidak sihat. Kalau cuti jadi punca, apa kata anda cuba usahakan cara di bawah:
1. Minta Bantuan Orang Terdekat
Sudah tentu kerja yang banyak di pejabat membuatkan mak-mak tidak dapat ambil cuti kecemasan. Jadi, mintalah orang yang dipercayai, sudah tentu pengasuh atau pusat taska (jika jauh dari keluarga). Tetapi jika tinggal berdekatan dengan ibu bapa, mintalah mereka menjaga buat sementara waktu ketika mak-mak pergi bekerja.
2. Usahakan Minta Pelepasan Cuti Daripada Ketua
Kerja memanglah penting, tempat anak mencari rezeki tetapi anak lagi penting. Tidak salah kiranya anda berunding dengan ketua mengatakan masalah yang dihadapi. Jika bos memahami, sudah tentu kerja menjadi senang. Anda pun boleh bercuti demi menjaga anak yang sakit.
3. Bincang Dengan Suami
Bukan semua tanggungjawab rumah tangga di bahu mak-mak. Ada kalanya, mak perlukan bantuan orang lain atau lebih dekat lagi, suami. Cubalah bincang bersama suami agar mendapat keputusan terbaik. Jika mak tak dapat cuti, mintalah bantuan suami suapaya dia cuti untuk menjaga anak, esoknya mak pula yang cuti.
4. Anak Lebih Penting, Bercutilah!
Sebagai ibu bekerja, mak perlu buat skala yang lagi penting. Mak datang ke pejabat dan selesaikan tugas yang paling penting dulu. Selebihnya, mak boleh selesaikan keesokan harinya. Jadi selesai kerja, mak boleh minta keizinan bos untuk balik awal, temani anak yang sakit.
5. Guna Cuti Tahunan
Sesetengah mak-mak gunakan cuti tahunan untuk bercuti jika anak sakit. Tetapi, jika berlaku keadaan perkara sedemikian, inilah masanya untuk mak-mak gunakan cuti tahunan yang diberikan oleh syarikat. Dengan adanya lebihan cuti, maka boleh gunakan tanpa perlu risau.
Semoga tip yang diberikan ini dapat membantu ibu menghilangkan rasa gusar dan bersalah apabila tak dapat bercuti semasa anak sakit. Sememangnya hiba bila terlihat anak terpaksa dihantar ke sekolah dan terlantar tidur di kelas dalam keadaannya yang sakit. Moga urusan ibu ayah kelak dalam menjaga anak-anak akan dipermudahkanNya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami isteri yang baru mendirikan rumahtangga lagi-lagi jodoh diatur keluarga akan lalui fasa untuk memahami hati pasangannya. Jika langkah pertama pun tak dapat dilalui, bagaimana mahu lalui fasa yang seterusnya.
Wanita ini, Azian Mohamed Isa berkongsi 7 tip jadi isteri bahagia ketika mula-mula bergelar pengantin baru. Lagi-lagi melalui perkahwinan diatur keluarga.
Zaman Internet 5G Ini, Jodoh Diatur Keluarga Mungkin Dianggap Kolot
“Cik Yan, boleh bagi tip macam mana nak jadi isteri yang baik?”
Tersenyum saya baca mesej ni. Cik Yan pun tengah struggling nak jadi isteri solehah sayang oiii…hehe..
Saya lihat kad jemputan perkahwinannya. 7 Julai 2019. Dah semakin hampir tarikhnya.
“Nervous ni Cik Yan. Takut pun ada. Macam-macam perasaan. I don’t know him much. Dia pilihan keluarga.”
“Wah, anak solehah ni!”laju saya balas mesejnya.
Sejuk hati saya dengar tentang hal ini. Dalam zaman internet 5G ini, “arranged marriage” mungkin dianggap kolot. Atau berunsur paksaan. Namun, ramai yang barangkali lupa, mencari jodoh yang baik ialah salah satu tanggung jawab ibu bapa kepada anak-anaknya, lebih-lebih lagi untuk anak perempuan. Ada nilai yang amat tinggi di situ. Ibu bapa bukan sekadar setuju tapi restu. Masya-Allah.
Oleh kerana Lah atau nama penuhnya, Nabilah sekarang sedang melanjutkan pengajian di peringkat Masters di oversea, selepas bernikah, suami akan menemaninya sehingga tamat pengajian.
Ya, lebih kurang macam kes saya dan suami. Kami bernikah pada bulan Mei 1999. Jun 1999 kami terus ke Oxford, UK. Suami menyambung pengajian PhD nya di sana. So, we begin our married life overseas. Honeymoon terus di UK! Haha…
Jadi, khas untuk Nabilah, ini perkongsian daripada Cik Yan yang dikutip hasil pembacaan dan juga pengalaman. Pesanan ini juga khas untuk pasangan istimewa Nabilah binti Ahmad Samsuri iaitu Mohd Abdul Rahman bin Mohd Azemi Azman. Moga bahagia till Jannah.
Tujuh Pesanan Untuk Pengantin Perempuan
1. Ketahui Hak Sebagai Seorang Isteri
Hak seorang isteri ialah menerima nafkah zahir dan batin daripada suami (zahir: tempat tinggal, makan dan pakaian, batin: kasih sayang, layanan seksual).
Kalau ikut buku teks itulah skemanya. Bermakna, pemberian nafkah seorang suami ialah sebagai tanda sayang dan cintanya kepada seorang isteri.
Isteri mahukan sentuhan dan percakapan yang lemah lembut daripada suami. Contohi pergaulan Rasulullah SAW dengan isteri Baginda. Solat bersama-sama. Selepas solat, bersalaman.
2. Ketahui Tanggungjawab Sebagai Seorang Isteri
Taat dan hormat suami. Bagaimana?
Jaga makan dan pakai suami. Dalam Islam, perkara ini tidak wajib tetapi merupakan ihsan, atau act of kindness untuk membina mawaddah atau kasih sayang.
Berikan layanan zahir dan batin.
3. Nafkah Letaknya di Bahu Suami
Nafkah ialah wajib bukan pilihan, walaupun isteri mampu, suami kena tunaikan.
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita)” (Surah an-Nisa’:34)
Kelebihan ini bukan sahaja menjadi simbol jati diri untuk seorang suami malah suami beroleh rasa hormat daripada isteri dan anak-anak sebagai pemberi nafkah.
4. Jaga Maruah Suami
Maruah ialah satu benda paling besar bagi seorang lelaki. Jangan perlekehkan peranan suami. Elakkan menggembar-gemburkan kelemahan suami, tetapi saling memperbaiki kelemahan diri dan suami. Memetik kata Ustaz Amin, rumah tangga perlu ada sistem UPGRADE dan AUDIT.
Upgrade dengan ilmu.
Audit atau muhasabah dengan tegur-menegur.
5. Perancangan Keluarga
Sebelum kami ke UK, ramai juga yang memberi ‘hint’ supaya saya beranak ramai di sana. Tapi saya dan suami sudah berbincang, keutamaan pada masa itu ialah pengajian suami. Bukan membina keluarga yang ramai.
Oleh itu, selepas melahirkan anak sulung pada tahun 2000, saya merancang kehamilan saya. Hanya pada awal tahun 2003, saya cuba untuk hamil semula. Walaupun dalam bulan Februari, saya keguguran, terpaksa melalui proses D&C.
Alhamdulillah, sebulan selepas itu saya disahkan hamil. Jadinya, semasa kami kembali ke Malaysia pada bulan Oktober, 2003, kami pulang dengan “excess baggage” yang manis. Suami berjaya mendapat title ‘Dr’, saya membawa pulang Masters in Science (with Distinction), anak sulung kami, Athirah, 3 tahun dan bayi dalam kandungan berusia 7 bulan.
So, be clear with your priorities.
6. Urusan Kerja Rumah Ialah Tugas Ahli Keluarga
Tugas domestik memasak, mengemas, membasuh pinggan, cuci bilik air etc ialah tanggungjawab ahli keluarga.
Tugasan ini boleh diagihkan mengikut usia dan keupayaan suami dan anak-anak. Jangan stereotype kan tugasan itu berdasarkan gender. Dan biarkan si isteri saja yang mengungguli tugas-tugas ini. Bimbang nanti, jika isteri tiada, rumah tangga akan gagal berfungsi. Suami jadi pemalas, anak-anak cetek ilmu perihal urusan kendiri.
7. Elak Bersaing Dengan Ibu Mentua
Benda boleh cooperate kenapa perlu compete!
Tak payah compete dalam hal masakan. Dah memang terbukti, masakan ibu is the best. Buat apa nak buktikan kita boleh masak sehebat ibu mentua? Buang masa dan tak berbaloi, bukan? Apa kata kita salurkan tenaga kita dengan mencipta masakan ‘signature’ kita. Suami sayang, ibu mentua pun akan teruja.
Dalam hal lain pun sama juga. Sebagai contoh, ibu mentua saya memang pakar dalam hiasan bunga-bungaan. Di rumah beliau setiap sudut pasti ada bunga hiasan. Besar, kecil, fesyen lama, trend baru, semua dia boleh. Saya pula jenis yang minimalis.
Jenis less is more, bunga-bunga ni kumpul habuk aje.
Mula-mula tu rasa tercabar jugak. Especially bila pergi kedai bunga, mak mesti kata, “Azian, pilihlah. Cantik bunga ni.”
Terkebil-kebil saya weii, blur tak tahu nak pilih yang mana. Mak dah boleh visualize jambangan yang macam mana dia nak buat. Saya pula, bayangan pun tak nampak!
Boleh saja saya cakap, “Mak, Yan tak minatlah bunga-bunga ni. Tak sesuai dengan konsep rumah, kumpul habuk, bla bla bla …” Tapi saya memilih untuk ikut apa saja bunga yang Mak ambil.
Siap tanya lagi, “Mak, warna ni okey ke?” Mak pun dengan mata yang bersinar-sinar akan mengangguk bersetuju. Kalau dia kata tak okey, tak pula saya masam mencuka. She’s the expert. Sampai rumah saya, mak dengan senang hatinya akan gubah bunga yang dipilih oleh saya (actually dia yang pilih, saya follow aje). Hasilnya, wow, memang cantik!
Begitulah…
“A husband and wife must function like two wings on the same bird. They must work together or the marriage will never get off the ground.” Dave Willis
Tahniah, Nabilah dan pasangan, Abdul Rahman. Selamat Pengantin Baru.
Nekad dah! Anda rasa sudah setakat ini saja anda bersabar dan bertahan dalam rumah tangga yang tak lagi membuatkan anda bahagia. Tapi, benarkah perceraian jalan terbaik untuk anda dan anak-anak? Ikuti perkongsian daripada Dr. Syed Yusainee Yahya, Promind Training And Consultation, juga penulis jemputan di dalam Majalah Mingguan Wanita. (Facebook/nota emas untuk isteri)
Nekad Pilih Cerai Jalan Terakhir
Kadangkala isu rumah tangga yang dihadapi itu terlalu sukar dan terlalu rumit untuk dileraikan. Ada masanya seperti tidak ada jalan lain lagi yang ada di hadapan kecuali bercerai sebagai pilihan terakhir.
“Walaupun dibenarkan tetapi bercerai adalah perkara halal yang sangat dibenci Allah SWT. Ini sebagaimana yang dalam hadis Rasulullahlah s.a.w.“Perkara halal yang paling Allah benci adalah perceraian.” HR. Abu Dawud dan Ibnu Majah.
Sudah Nekad Berpisah
Sebagai kaunselor profesional saya selalu berhadapan dengan kes-kes pasangan yang sudah nekad untuk berpisah. Ya, sudah tentu mereka telah memikirkan bahawa itu adalah tindakan terbaik. Sudah tentu saya akan terus bersetuju dahulu dengan niat mereka itu. Siapalah saya untuk masuk campur dan membuat keputusan untuk pihak mereka.
Namun sebelum mereka memuktamadkan tindakan itu, saya akan bertanyakan beberapa perkara. Pertanyaan saya itu umpama cermin sisi kereta yang membawa mereka melihat perkara yang mereka mungkin terlepas pandang. Itulah yang saya mahu kongsikan dalam nota untuk isteri pada minggu ini.
Emosi Wanita
Maaf cakap, tetapi mujurlah dalam Islam, kuasa talak itu tidak diberikan kepada isteri. Saya tidak kata semua suami itu sempurna tetapi perasaan dan emosi sebagai perempuan sangat tinggi risikonya kepada talak.
Soalan 1 – Keputusan Bukan Berasaskan Emosi?
Soalan saya yang pertama sekiranya anda telah nekad untuk berpisah adakah anda pasti bahawa itu bukan keputusan yang dikuasai emosi dan perasaan yang negatif? Kena ingat kata orang bijaksana ‘jangan membuat keputusan ketika marah dan jangan memberi ketika suka. Kelak nanti buruk padahnya’.
Soalan 2- Sudah Habiskah Usaha Selamatkan Rumah Tangga?
Soalan kedua ini agak klise. Adakah anda telah melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan keadaan? Sila jawab dengan sejujur hati. Tidak ada orang lain yang boleh memberikan jawapan kecuali diri anda sendiri.
Adakah anda pernah berbincang dengan suami tentang isu yang dihadapi itu? Adakah anda telah berusaha meminta bantuan keluarga? Adakah anda telah berjumpa dan meminta pendapat daripada pihak profesional contohnya kaunselor rumah tangga?
Soalan 3 – Apakah Keputusan Tiada Campur Tangan Pihak Lain?
Soalan ketiga ini berkait dengan soalan kedua tadi. Adakah keputusan anda itu adalah bebas dan tidak dipengaruhi oleh orang lain? Situasi ini selalu berlaku apabila kita meminta nasihat daripada keluarga terdekat. Tidak dinafikan faktor keluarga membuatkan orang yang memberi nasihat itu agak berat sebelah. Kena ingat bahawa ini rumah tangga anda dan bukan rumah tangga mereka. Anda meminta nasihat tetapi pastikan keputusan akhir adalah keputusan anda sendiri.
Akan Tempohi Kehidupan Jauh Berbeza
Pernahkah anda bayangkan bagaimana keadaan selepas bercerai nanti? Sudah pasti berbeza. Kehidupan anda akan berubah dan begitu juga kehidupan anak-anak. Kita bukan hidup dalam dunia kartun yang tiada undang-undang. Adakah perceraian itu akan memaksa anda patuh kepada keputusan mahkamah tentang hak harta dan hak penjagaan anak-anak yang selama ini anda tidak sedar?
Cuba bayangkan sekiranya anak-anak akan tinggal dengan anda selepas bercerai, adakah anda mempunyai keupayaan dan kekuatan mental dan fizikal untuk melaluinya? Adakah anda mempunyai sumber kewangan yang mencukupi atau merancang untuk bergantung kepada nafkah daripada bakal bekas suami nanti?
Sokongan Orang Terdekat
Bagaimana dengan keadaan sosial anda selepas bercerai? Adakah anda mempunyai keluarga, saudara-mara atau rakan-rakan untuk melalui hari-hari itu nanti? Adakah keluarga bersetuju dengan keputusan anda untuk berpisah dan melindungi anda selepas itu?
Bagaimana pula tanggapan masyarakat dengan status baru anda? Adakah hati anda cukup tabah atau hati anda seperti tisu muka yang mudah koyak apabila terdengar kata-kata nista daripada mulut-mulut celupar yang bakal ditemui?
Benar-benar Yakin?
Sekiranya anda sedang memikirkan dengan serius untuk berpisah dengan suami maka cuba jawab dahulu soalan-soalan dalam nota ini. Adakah anda yakin dengan semua jawapan anda itu?
Perkahwinan adalah perkongsian hidup antara dua insan yang tidak sempurna. Ia perlu dibaiki dan dibetulkan setiap hari. Ia tidak mudah. Seperti jalan menuju ke Jannah Allah…ia tidak mudah!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bekas suami Liza Abdullah meninggal dunia. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Zolkefli Abdul Rahman yang telah pulang ke ramahtullah malam tadi.Berita tersebut telah disampaikan...