Suami dan juga isteri sama-sama penat. Masing-masing menggalas tanggungjawab berat dalam menguruskan keluarga. Apabila merungkai bab penat si suami, biasanya banyak berpunca dari penat tubuh badan dan fikiran akibat kerja.
Lain pula bagi si isteri. Dia penat juga penat bab tubuh badan serta mentalnya, namun paling terutama dia penat memikul emosinya. Penat isteri sukar disedari oleh pasangan dan sukar untuk dirawat jika tak faham keadaan isterinya.
Isteri Marah-marah Itu Tanda Dia Penat Fizikal & Mental
Ianya perihal dalaman, apa yang disimpan dan kadangkala si isteri selalu cakap dia baik-baik sahaja sebab tak mahu susahkan suaminya.
MEMENDAM INILAH YANG BUAT MEREKA SANGAT PENAT. TATKALA KALIAN NAMPAK ISTERI CEPAT MARAH ATAU MENINGGIKAN SUARA UNTUK HAL-HAL KECIL YANG DILAKUKAN ANAK, CEPAT-CEPATLAH AMBIL ALIH TUGAS ISTERI ITU.
Ini Langkah Yang Suami Perlu Buat
Kadang kalian nampak dia marah anak sepahkan rumah, tertumpah makanan, air, jatuhkan barang atau silap buat kerja sekolah.
Kalian pun terus marah isteri balik. Padahal kalian tak pergi pada puncanya. Apa yang menyebabkan dia begitu.
Ads
Kenapa cepat benar hilang sabarnya. Kena siasat dan jangan terus menghukum atau menengking isteri balik.
Ketahuilah apa yang dia marahkan itu, bukan sebab salah anak-anak yang besar, tetapi ketahuilah dia sudah penat mental dan emosi dalam melayani anak-anak. Dia drain. Bukan dia sengaja.
Ads
Isteri mengasingkan diri di dapur atau di balik. Kadang dia menangis tanpa sebab. Atau sangat sensitif waktu itu.
Masa ini, jalan yang paling bijak adalah ringankan bebannya itu. Bantulah dia uruskan rumah dan anak-anak. Sebelum tidur, tanya padanya, selami jiwanya apa yang boleh kita bantu.
TUNJUKKAN PERHATIAN PADANYA. KADANGKALA KALIAN TAK MAHU BERSUARA, CUKUPLAH DENGAN MENDAKAPNYA DAN UCAPKAN TERIMA KASIH SEBAB JAGA ANAK-ANAK DAN RUMAH SELAMA INI. PASTI, DIA SENDIRI MENANGIS DAN MELUAHKAN SEGALA-GALANYA.
Kadang bukan isteri nak marah atau melayan perasaan tetapi dia sedang penat. Tenaganya digunakan seluruhnya untuk berjasa pada anak-anak dan rumah tangga.
Maka, suami perlu lebih kuat dan sokonglah hati, mental dan jiwa seorang isteri. Usah biar dia penat sendiri kerana selagi si suami ada menemani, kekuatannya akan bersemi nanti.
Mana-mana isteri pun tidak berniat untuk mengawal suami bila keluar lepak dan pulang lewat ke rumah. Bagaimanapun jika suami hari-hari keluar lepak dengan kawan-kawan sehingga awal pagi, isteri mana yang mampu bersabar.
Mulalah suami melabel isteri sebagai ‘queen control’ dan suka mengongkong. Kalau nak diikutkan, isteri bukan bermaksud nak kawal segala pergerakan suami. Tapi sebenarnya, mereka susah nak luahkan beberapa perkara ini.
5 SEBAB ISTERI MERAJUK KALAU SUAMI BALIK LEWAT & ASYIK LEPAK DENGAN KAWAN
1. ISTERI ANDA SANGAT LETIH
Punca paling utama isteri kurang senang bila suami balik lewat ialah kerana mereka dah terlalu penat apabila seharian di rumah mengurus anak. Bagi surirumah terutamanya, hari mereka bermula seawal 5-6 pagi. Mereka ni bangun paling awal, tidur pula paling lewat. Nak siapkan anak ke sekolah, mengurus bayi, mengambil anak balik sekolah, menyediakan makan, mengemas, mencuci dan macam-macam lagi.
Suami kena faham, hari mereka tak pernah berenggang dengan rengekan dan ragam anak masing-masing. Seorang nak makan, seorang nak tidur, seorang nak berdukung, seorang nak ajak bermain. Selagi kita sendiri tak ‘hadap’ benda-benda ni, kita takkan faham kepenatan mental dan emosi yang dialami.
Bila suami baliklah baru dapat nak ‘bernafas’ sikit. Itupun sekadar memenuhi keperluan diri. Nak mandi, nak ke tandas, nak makan, nak minum kopi yang dari pagi tadi tak habis-habis. Letih. Terlalu letih.
2. ISTERI RASA SUNYI
Walaupun setiap masa ditemani anak-anak di rumah, isteri perlukan seorang dewasa untuk mendengar ceritanya, meluahkan apa yang terbuku di hati, berbincang mengenai anak-anak, urusan kerja rumah atau sekadar berbual kosong. Sebab itulah isteri boleh bercakap tanpa henti sebaik saja si suami melangkah masuk ke rumah. Mungkin si isteri tak bermaksud nak membebel, tapi dalam hatinya cuma nak berkongsi.
Bayangkan kalau kita di tempat kerja tanpa office mate yang ‘sekepala’ dengan kita, tentu mudah kita rasa tertekan dan stres di pejabat kan? Begitulah juga halnya dengan isteri anda. Cuba ingat semula, bila kali terakhir si isteri keluar bersama rakan-rakannya. Mungkin dah terlalu lama sampai isteri pun dah lost contact dengan mereka.
3. ISTERI DAH MASAKKAN SESUATU YANG ISTIMEWA
Bila isteri dah masakkan makanan kegemaran suami, tapi tahu-tahu dia ada rancangan lain. Tentu rasa sedikit ‘berkecai’ perasaan walaupun ia bukanlah disengajakan. Bukan senang nak cari barang memasak yang complete khas buat suami.
Nak tak nak terpaksalah simpan lauk dalam peti. Suami pula bukan jenis makan berulang. Setiap kali terpandang, nak memasak pun rasanya tak ada mood lagi.
4. KASIHANKAN ANAK-ANAK
Dari tadi asyik tanya “Papa mana?”, “Bila Papa balik?”. Sampai kita yang naik geram sebab dah banyak kali diberitahu.
Bayangkan kalau suami sampai rumah jam 6 petang dan anak masuk tidur lebih kurang jam 9-10 malam. Kasihan dengan anak-anak sebab masa bersama ayah cuma 3-4 jam setiap hari. Masa yang singkat itulah si anak-anak nakkan perhatian dan bermanja dengan ayahnya. Kalau yang jenis kerja luar dan tak tentu masa, lagilah kasihan…
5. RASA KURANG DIHARGAI
Walaupun menguruskan rumah dah menjadi sebahagian rutin isteri setiap hari, dah tentu ada hari-hari yang lebih mencabar buatnya. Contohnya kalau anak langsung tak nak tidur atau anak punya pe’el asyik nak berkepit hari ni.
Rasa tak boleh buat apa-apa sampaikan nak solat pun susah. Rasa teringin nak diajak shopping atau makan di luar. Tapi didiamkan saja sebab takut menyusahkan atau menjadi beban pada suami. Tapi tiba-tiba suami ada rancangan lain tanpa bertanyakan keadaan kita yang tunggang terbalik di rumah, manalah tak ‘makan hati’.
Suami kalau balik lewat tu, bawalah something untuk gembirakan isteri. Tapaulah makanan ‘favourite’ dia. Paling kurang kalau terlupa sangat pun belilah coklat dekat 7e tu. Bukannya susah. Itu kan tanda ingatan dan keprihatinan.
Selain itu, pertanyaan ringkas seperti “Awak dah makan?” atau “Anak-anak OK tak hari ni?” dah cukup membahagiakan. Kalau isteri nampak letih sangat, sesekali ‘offer’lah nak picit badan mereka. Mesti terus tak jadi marah!
BUKAN NAK MENGADA-NGADA
Sesekali kalau isteri merajuk tu pujuklah. Jangan anggap mereka mengada-ngada pula. Jauh sekali nak jadi ‘queen control’.
Isteri mana yang tak mahukan perhatian daripada suami, kan? Lagipun, dah nama pun orang perempuan. Merajuk itulah salah satu tanda dia sayang.
Memang sedih apabila semakin ramai suami isteri golongan berusia bercerai angkara orang ketiga. Sedih tapi itulah realiti yang terjadi. Lebih dikesalkan masing-masing merupakan isteri mahupun suami orang.
Tidak menjaga batasan hubungan di media sosial antara puncanya. Hadamkan perkongsian daripada Pendakwah Ustaz Pahrol Mohamad Juoi ini sebagai pengajaran.
Hubungan haram itu selalunya bermula daripada perbualan di whatsapp, messenger dan lain-lain media sosial, yang mulanya sekali-sekala, kemudian makin akrab.
Hubungan tercela itu berpunca daripada program re-union (sekolah, IPT, TADIKA) , teman sepejabat, kumpulan sehobi (bela kucing, bertanam pokok dan lain-lain) atau kumpulan berniaga bersama.
Permulaan Perbualan Santai
Ingatlah, wahai suami orang, haram menghubungi isteri orang dengan tujuan bersuka-suka (kononnya hanya untuk berbual bertanya khabar). Wahai isteri orang, adalah tercela melayan lelaki selain suami mu walaupun atas alasan bekas teman rapat, sahabat akrab atau kenalan lama.
Daripada perbualan santai, akhirnya menjadi satu kenikmatan, terus jadi ketagihan. Datang pula rasa kosong bila tidak berhubung Awas, pada ketika itu pintu kecurangan sudah terbuka.
Jika ada lelaki lain di hati Sang isteri, jika ada wanita bersuami di hati Sang suami, terkutuklah perbuatan itu… kau akan menempa neraka. Sepandai-pandai bersembunyi, dosa itu akan terbalas jua!
Man neglecting his girlfriend and using his mobile phone in bed
Pasangan Berusia, ‘Kelihatan’ Beragama Juga Selingkuh
Saya menyentuh isu selingkuh sebab ia paling banyak berlaku. Bukan sahaja pada pasangan muda, tetapi juga yang sudah berusia. Bukan sahaja yang jahil, tetapi yang kelihatannya beragama – berjubah, bertudung labuh dan berlatar belakang agama.
Kepada kaum suami, kita pesankan jagalah maruah isteri orang lain. Menaruh hati kepada isteri orang ialah satu penyakit hati. Kemesraan dan keprihatinan perlu diberi kepada isteri sendiri.
Kepada kaum isteri, jagalah maruahmu. Di mana kau letak rasa malumu? Hingga tergamak kau habiskan masa berceloteh, mengadu, bercanda akhirnya bermesra dengan membelakangkan suamimu yang halal?
Jangan berhujah yang engkau tidak tahu, tidak ada apa-apa, hanya saja-saja, sedangkan hati kecil mu telah pun membisikkan bahawa semua itu salah kerana menentang fitrah dan mengundang fitnah.
Sekali pasangan mu terluka, bukan mudah untuk disembuhkan apalagi dimaafkan serta dilupakan. Kau telah berlaku zalim kepadanya. Kau telah mengkhianati kepercayaannya.
Jangan sekali-kali beralasan, kesunyian, pasangan tidak pandai membelai, tidak empati, tidak cantik, hilang aura dan sebagainya. Itu semua madah syaitan.
Ada yang bertanya, mengapa saya begitu serius tentang isu selingkuh ini?
1.Re-union Sekolah
Saya pernah bertemu seorang lelaki separuh umur menangis teresak-esak selepas solat Dhuha di sebuah masjid. Bila saya dekati dan bertanya mengapa?
Dia menjawab, “Saya sangat sedih, isteri saya meninggalkannya kami anak beranak selepas kembali bercinta dengan kekasih lamanya zaman sekolah.” Puncanya, perbualan biasa selepas re-union sekolah.
2. Kekasih Lama (Cinta Terhalang)
Saya pernah bertemu seorang sahabat (ustaz) yang berada dalam dilema bila bekas kekasih lama muncul kembali menagih cinta lama yang masih membara(baca: old fire).
Cinta mereka terpisah kerana dihalang ibu-bapa. Dia berkata, “kami terlalu mencintai.”
Saya memujuknya dengan berkata, “dia ada suami. Ustaz ada isteri. Anak masing-masing pun berderet. Hendak diapakan cinta itu?”
Bila dia memberi pelbagai alasan, saya terus menegaskan, “cinta bukan Tuhan. Hingga segala kehendaknya perlu diturutkan.” Bagaimana bertemu kembali? Lewat FB.
3. Hubungan Lelaki Lain
Saya pernah menghadapi seorang suami yang begitu terluka apabila mengetahui isterinya yang begitu disayanginya punya hubungan dengan lelaki lain.
Bila saya bertanya, sejauh mana perhubungan itu, dia menjawab, “belum ada hubungan badan, dating dan sebagainya. Tetapi mereka saling meluahkan perasaan, bertukar-tukar gambar dan berkongsi cerita masa lalu dan kini.”
Bila saya katakan tidak mengapa, kerana belum serius. Suami itu menjawab, “tetapi saya tidak sangka sama sekali isteri saya sanggup melayan hingga begitu sekali. Saya bertungkus lumus mencari rezeki, dia bersuka-suka, bergurau dan bercanda dengan lelaki lain.”
Masih cinta? Tanya saya. Bila dia mengiyakan saya pun berkata, “maafkan, jangan berdendam. Jika boleh belajar melupakan. Jika melupakan terlalu sukar, tidak mengapa. Tetapi jangan sampai itu semua mempengaruhi perjalanan rumah tangga selepas ini. Move on!” Pertemuan, lewat aplikasi messenger.
4. Selingkuh Rakan Sekerja
Ketika menjalankan program-program latihan lebih 24 tahun pada organisasi swasta dan kerajaan, banyak sekali saya temui kes selingkuh sesama rakan sekerja yang melibatkan isteri dan suami orang.
Saya melihat sendiri justifikasi Rasulullah SAW berpesan tentang hal ini pada khutbah baginda yang terakhir. Pada hal ketika itu, Islam sudah sampai ke kemuncaknya dan bibit-bibit empayar Islam sudah kelihatan.
Namun pesan Rasululllah SAW kembali kepada basic – soal asas dan teras – soal rumah tangga. Suami diingatkan, tentang kewajiban memberi nafkah, memberi kasih sayang, berlembut dan melayan isteri dengan baik. Bertanggung jawab.
Manakala isteri, dipesan dua perkara: Jangan membawa masuk orang yang tidak disukai suaminya ke dalam rumah dan dilarang melakukan zina! Jaga ikhtilat.
Hancur rumah tangga, hancur ummah. Justeru, kamu yang terbaik ialah kamu yang terbaik kepada keluarganya, begitu wasiat Rasululllah SAW.
Ikhtilat Media Sosial
Semasa forum Maulidur Rasul di PPUM baru-baru ini, Dai Anas (yang menjadi moderator) juga meluahkan kebimbangannya tentang kes-kes selingkuh yang semakin meningkat.
Marilah kita berdoa, yang terlanjur silap, kembali bertaubat. Yang masih degil, menyedari kesalahan dan terus istighfar. Ya Allah, kerana cinta ku katakan jua hakikat yang pahit ini. ‘Auzubillah.
Menjadi menantu ‘favourite’ antara yang menjadi idaman ramai para isteri. Bertuahlah wanita yang apabila berkahwin punya hubungannya sentiasa wangi dan mesra dengan mak mentua.
Sebaliknya bagi menantu yang sentiasa ‘panas’ sahaja bila bersama mak mentua, tentunya ia satu situasi yang menyedihkan. Amat pedih bagi mereka yang hubungannya sentiasa tegang.
Apabila menantu dan mentua tidak sebulu, orang lain dalam keluarga akan turut sama merasakan tempiasnya. Kita semua nanti akan dapat rezeki jadi mak mentua. Moga Allah mudahkan.
INI TIP BERGUNA KHAS UNTUK MAK MENTUA
1. Kalau anak perempuan, minta sahajalah menantu beri mas kahwin semampunya. Tak payah minta hantaran. Kahwinkan anak dengan ringkas sekali. Kalau menantu itu anak Sultan Brunei, tak apa. Buatlah kenduri 40 hari 40 malam. Tak ada siapa kisah.
2. Jangan bagi anak dan menantu tinggal di rumah lebih dari 2 bulan. Bulan ketiga kahwin, suruh sahaja mereka keluar rumah dan cari tempat lain.
3. Tak perlu masuk campur hal anak menantu. Suka hati mereka hendak susun perabot macam mana, nak potong sayur style apa, nak masak nasi pakai dapur apa! Biarkanlah mereka!
4. Menantu kalau perempuan, biarlah dia nak buat apa di rumahnya. Nak mandikan anak ke atau mandikan anak 2 hari sekali ke. Biarlah. Kalau cucu masam sangat, mandikan sendiri.
5. Biar anak kita hidup dengan orang yang dia sayang cara dia. Kalau anak lelaki kita nak tolong isteri dia masak dan mengemas, biarkan. Dia sudah besar, tahulah dia nak hidup macam mana.
6. Tak perlu gosip dengan anak-anak yang tentang menantu. Ingat! Anak kita pun menantu orang juga.
7. Kalau anak dengan menantu bergaduh, beri tahu anak, tak perlu mengadu. Selesaikan sendiri.
8. Kalau menantu jenis orang susah tak berduit, jangan dibezakan dia. Mana tahu masa depan nanti dialah yang basuhkan berak kencing kita sebab dia yang paling ada masa. Menantu yang kaya sibu bekerja. Jangan menyesal pula.
9. Jadilah mak mentua yang waras dan beriman.
10. Jangan buat tak tentu dengan anak orang. Allah itu tidak lupa.
10 cara jadi menantu favourite
Selalu senyum
Apabila berdepan dengan ibu mentua, jangan sesekali menarik muka masam sebaliknya berusaha untuk senyum seikhlas mungkin. Ini kerana bimbang ibu mentua terasa hati walhal punca anda monyok tidak ada kaitan dengannya. Jadi perlu senyum sentiasa walaupun dalam hati anda tidak begitu gembira.
Elak masuk campur
Anda sangat tidak digalakkan untuk masuk campur dalam perihal anak menantunya yang lain selagi apa yang berlaku itu tidak bertentangan dengan syariat. Elakkan bergosip dan menjadi batu api kerana tersilap langkah, ia akan memakan diri anda sebagai menantu. Jadi, berbaik-baiklah dengan mentua dan ipar-duai yang lain.
Ringan tulang
Ingat, di rumah mentua anda perlu ringan tulang! Bangun awal pagi, solat Subuh dan segera bantu ibu mentua di dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Anda juga perlu tunjuk skil memasak dan soal sedap atau tidak itu bukan keutamaan. Yang penting anda rajin ke dapur.
Murah hati
Untuk mengambil hati mentua, anda tidak boleh kedekut sebaliknya perlu bermurah hati misalnya belikan ibu mentua hadiah, pakaian atau paling kurang barang keperluan rumah. Anda juga boleh beri wang kepadanya untuk dia berbelanja.
Usah cemburu dengan ibu mentua sendiri
Asyik anda sahaja layan suami! Sesekali berilah peluang untuk ibu mentua melayan anaknya misalnya ketika anda balik kampung. Bukan setiap hari ibu mentua anda berpeluang layan anak lelakinya seperti zaman bujang mereka dulu. Jadi biarkan jika ibu mentua manjakan suami anda. Cemburu biarlah bertempat!
Selalu minta pandangan
Sebagai ibu, hati mana yang tidak gembira jika anak menantu selalu menghubungi atau menziarahinya. Selain bertanya khabar, sebagai menantu anda juga boleh bertanya pendapatnya tentang sesuatu perkara misalnya yang melibatkan anak-anak anda yakni cucu-cucunya. Sesekali anda juga boleh bertanya resipi kegemaran suami anda yang juga anak kesayangannya. Pasti ibu mentua anda gembira.
Jaga percakapan
Usah biarkan kerana mulut badan binasa! Jika anda seorang yang dikategorikan sebagai ‘mulut lepas’, anda dinasihatkan agar kurang bercakap. Dan pastikan anda sentiasa peka apa yang bakal diperkatakan anda, bimbang ia mengecilkan hati ibu mentua. Fikir sebelum bercakap!
Jaga air muka suami
Isteri yang baik dan bijak adalah isteri yang pandai menjaga aib suaminya. Jadi, elakkan memarahi suami di depan ibunya walaupun apa yang dilakukan suami ketika itu benar-benar menyakitkan hati anda. Kawal emosi anda depan ibu mentua! Usah sesekali memperkecilkan suami di depan ibu mentua anda dan adik-beradiknya yang lain. Ini boleh memberi gambaran positif pada ibu mentua anda bahawa anda seorang yang sangat menghormati suami.
Dahulukan dia
Sebagai menantu yang baik, anda perlu dahulukan ibu mentua anda dalam apa jua keadaan. Sebagai contoh mudah, apabila ibu mertua naik kenderaan bersama anda, pelawa dia untuk duduk di hadapan iaitu di sebelah anaknya. Beri dia peluang bersembang dengan suami anda dan sesekali anda duduk di belakang bersama anak-anak tidak mengapa.
Puji suami anda
Hati seorang ibu pasti gembira jika ada orang lain yang selalu memuji anaknya. Jadi, anda perlu selalu memuji kebaikan suami anda di depan ibu mentua. Sesekali ucaplah begini, “Syukur sangat Allah beri suami sebagai jodoh saya. Pandai sungguh mama didik dan ajar dia. Saya rasa sangat beruntung dapat suami macam dia”
Sumber: Majalah Keluarga Januari 2016 & Normaliza Mahadi
Seronok tengok video menantu sediakan sarapan untuk mentuanya, beruntung mentuanya! Terbukti wujud hubungan baik dalam keluarga ini dan selayaknya dijadikan inspirasi